Amalan pemakanan Rasulullah s.a.w cegah obesiti

Oleh Safarina Mohd Fathoni, Nurhidayah Abd Rahman, Atiqah Abdullah Sani dan Nur Najihah Dzulkefli

Kajian terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 mendapati 60 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 dikategorikan sebagai berat berlebihan.

Keseluruhannya, Malaysia kini menduduki tangga keenam di Asia dengan kadar obesiti tertinggi di kalangan dewasa.
Menurut laporan Malaysian National Health and Morbidity Survey pada 2006, sebanyak 43 peratus dewasa dan 38 peratus kanak-kanak di Malaysia adalah penghidap obesiti.

Allah SWT berfirman: “Dan makanlah dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-A’raaf, ayat 31)

Kajian bertajuk ‘Penularan obesiti dalam kalangan kanak-kanak’ oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008 menunjukkan peningkatan mendadak dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun ke atas sebanyak 30 peratus.

Ada juga usaha kerajaan bersama pihak media elektronik dan cetak dalam mengehadkan pengiklanan makanan dan minuman ringan kepada kanak-kanak sebagai menggalakkan tabiat pemakanan sihat terutama kepada kanak-kanak.

Tidak makan secara berlebihan

Mencegah obesiti bermula dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang betul. Cara pemakanan digalakkan Islam adalah tidak makan secara berlebihan.
Allah SWT berfirman: “Dan makanlah dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan.” (Surah al-A’raaf, ayat 31)

Saidina Umar pernah berkata: “Jauhi makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab rosak diri, mewarisi penyakit, menyebabkan malas sembahyang, dan hendaklah kamu menjaga makan, kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk.”

Islam juga menyarankan makan secara perlahan atau tidak gelojoh kerana ia memberi kesan positif terhadap sistem penghadaman dan mampu menurunkan berat badan. Oleh itu, seseorang yang makan terlalu cepat, berkemungkinan besar akan makan secara berlebihan.

Cara pemakanan yang diamalkan Rasulullah SAW ialah tidak meminum susu ketika makan daging, tidak makan daging bersama ikan, tidak minum susu dengan ikan atau ayam, tidak makan ikan bersama telur dan daun salad selain melarang meminum susu bersama cuka.

Gemar makan berlawanan

Jika dilihat hari ini, masyarakat kita lebih gemar memakan makanan yang berlawanan dengan amalan Rasulullah SAW seperti koktel yang mencampurkan buah-buahan dengan susu. Masyarakat seharusnya mengubah tabiat ini yang boleh menjejaskan kesihatan.

Rasulullah SAW menasihati umatnya tidak memakan buah-buahan selepas makan nasi sebaliknya makanlah buah-buahan sebelum makan nasi.

Dari sudut saintifiknya, buah adalah sejenis makanan mudah cerna dan membantu penghadaman makanan berat lain. Jika kita terus makan buah selepas makan nasi ataupun memakannya bersama makanan lain, buah akan terperangkap dalam perut.

Hal ini akan mengakibatkan proses menghasilkan tenaga tanpa oksigen. Apabila penghasilan tenaga tidak mendapat oksigen secukupnya, ia akan menghasilkan asid laktik dan menyebabkan perut sakit serta mengakibatkan otot perut menjadi lemah.

Di samping itu, Islam turut memberi cadangan pemakanan yang baik untuk kesihatan seperti kurma dan madu. Madu mempunyai khasiat setanding kurma. Kita juga disarankan supaya meminumnya pada setiap hari seperti yang diamalkan Rasulullah SAW.

Hadis riwayat daripada Aisyah, “Rasulullah SAW sangat menyukai makanan yang manis-manis dan madu.” (Sahih Bukhari)

Nabi Muhammad SAW mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik iaitu mengambil pada waktu pagi sebelum sarapan. Madu hendaklah dicampurkan dengan air sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan tubuh badan.

Antara lain, madu juga mempunyai khasiat yang mampu melegakan banyak penyakit seperti menghilangkan batuk dan mencairkan kahak, di samping dapat mencergaskan otak dan menguatkan daya ingatan.

Apabila kita mengubah tabiat pemakanan kita seperti yang disarankan oleh Islam, masalah obesiti dapat dicegah, manakala penjagaan kesihatan juga turut terjamin

Renungi dan laksana 7 pesanan Rasulullah s.a.w

Rosdi Long

Seorang sahabat Baginda yang terkenal dengan gelaran ahli suffah, iaitu golongan sufi yang sentiasa mencari peluang untuk berjumpa dengan Baginda SAW bagi mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar ialah Abu Zhar r.a.

Berkata Abu Zhar r.a bahawa Baginda SAW telah mewasiatkan kepadanya dengan tujuh perkara.

Pertama, Baginda menyuruh aku mencintai orang miskin dan mendekati mereka. Dalam setiap masyarakat pasti ada golongan yang kurang berkemampuan iaitu fakir dan miskin, kerana itu kita diperintahkan dengan ibadah zakat untuk membantu mereka.

Mengasihi golongan miskin adalah tuntutan agama sebagai tanda syukur kita kepada nikmat ALLAH dan kita membantu sesama insan. Begitulah keindahan hidup bermasyarakat yang dianjurkan oleh Islam atas tanggungjawab saling membantu.

Kedua, Baginda menyuruhku agar tidak meminta-minta sesuatu kepada seseorang. Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdikari, iaitu berusaha mendapatkan segala nikmat yang datang daripada anugerah-Nya. Budaya meminta-minta tidak disukai oleh manusia tetapi disukai oleh ALLAH. Oleh itu kita disuruh memperbanyakkan berdoa kepada-Nya. Mintaklah hanya pada-Nya yang Maha Berkuasa lagi Maha Kaya.

Ketiga, Baginda menyuruhku agar melihat kepada orang yang nasibnya lebih teruk daripada aku, jangan melihat kepada orang yang nasibnya lebih baik daripadaku.

Dalam soal kehidupan kita di dunia, kita tidak mampu untuk menandingi kekayaan dan kemewahan hidup yang dimiliki oleh orang lain.

Justeru Baginda mengajar bersyukur dan reda dengan apa dikurniakan ALLAH kepada kita. Jika melihat kelebihan yang ada pada orang lain dibimbangi akan mengundang perbuatan yang salah seperti menipu, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya demi untuk mendapatkan kesenangan seperti orang lain.

Keempat, Baginda SAW menyuruhku menghubungkan silaturahim walaupun orang itu membenci aku. Persaudaraan Islam adalah suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam. ALLAH SWT mengingatkan kita dengan firmanNya bermaksud,

“sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka perelokkanlah persaudaraan antara kamu”.  Hadis Baginda yang lain, menyatakan “tidak akan masuk syurga seseorang itu sehinggalah dia beriman, dan tidak beriman sehingga ia berkasih sayang”

Persoalan silaturahim umat Islam terhakis disebabkan perkara dunia sehingga sanggup memutuskan silaturahim dan menyemai kebencian, dendam serta berpuak-puak yang akhirnya merugikan umat Islam. Oleh itu janganlah kepentingan dunia mengatasi tuntutan syariat.

Kelima, Baginda menyuruhku berkata benar walaupun pahit. Kebenaran yang mutlak adalah apa didatangkan ALLAH, iaitu al-Quran dan hadis Baginda SAW. Prinsip kebenaran inilah menjadi tonggak bagi umat Islam dalam melaksanakan segala urusan kehidupan mereka. Menyokong atas perkara yang benar, bukan kerana ia datang daripada ahli kumpulan atau jamaah yang sama, bukan kerana lambang atau logonya, tetapi pada benar atau salahnya sesuatu perkara.

Keenam, Baginda menyuruhku agar tidak gementar menjalankan apa diperintahkan ALLAH walaupun mendapat cercaan manusia. Memang akan ada manusia yang tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan, namun keredaan manusia bukanlah matlamat utama kerana kita adalah hamba ALLAH, bukan hamba manusia.

Oleh itu jangan berasa terhina apabila ada manusia menghina dan mencerca kerana para Nabi dan Rasul juga dihina dan dicerca oleh sebahagian manusia yang memusuhi mereka. Apa diperintahkan ALLAH dan Rasul itulah keutamaan diambil kira.

Ketujuh, Baginda menyuruhku agar perbanyak ungkapan la haula wala quwwata illa billah. Bergantung haraplah kepada-Nya. Dialah menentukan setiap perkara, baik buruk datang daripada keizinan-Nya. Banyakkan mengucapkan kalimah ini sebagai tanda perhambaan kita hamba yang lemah lagi hina.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memperingati diri kita kembali kepada pesanan dan menambah kecintaan kita kepada Baginda bagi mendekatkan kita kepada reda-Nya

Doa Rasulullah buat Muslimin

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Doa adalah senjata ampuh umat Islam. – Gambar hiasan

ADA sebuah doa yang biasa dibaca oleh Nabi SAW dan jika direnung dan dihayati secara mendalam, ternyata sangat mencakupi pelbagai permohonan.

Daripada Abu Musa al-Asyaari ra, Rasulullah berdoa: Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kebodohanku, dan perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku, serta ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Ya Allah, ampunilah kesalahanku, kemalasanku, kesengajaanku, kebodohanku, gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu, dosa yang mendatang, dosa yang aku samarkan dan dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan, Engkaulah yang mendahulukan dan Engkaulah yang mengakhirkan, serta Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (riwayat Bukhari)

Tema di dalam doa itu adalah seorang hamba Allah SWT memohon keampunan-Nya. Sekurang-kurangnya terdapat 13 petunjuk yang diajukan hamba tersebut kepada Allah SWT. Semuanya dengan harapan dan permohonan keampunan-Nya.

1Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Kesalahan dapat mencakup perintah Allah yang dilalaikan atau larangan Allah yang dilanggar.

2Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Manusia tidak luput daripada kebodohan. Tidak ada manusia yang memiliki pengetahuan sempurna. Kebodohan seseorang sering kali menyebabkan tingkah lakunya yang tidak terpuji, sehingga ia perlu memohon ampunan Allah SWT atas kebodohan dirinya itu.

Kebodohan

3Ya Allah, ampunilah perbuatanku yang berlebihan dalam urusanku. Kadang-kala kita mengerjakan suatu perbuatan secara tidak adil atau tidak profesional. Perbuatan berlebihan tersebut mungkin menyakiti hati, bahkan menzalimi orang lain. Maka kita berharap ampunan Allah atas perbuatan berlebihan di dalam berbagai urusan.

4Ya Allah, ampunilah kesalahanku yang Engkau lebih mengetahui daripadaku. Manusia sering mengerjakan kesalahan tanpa ia menyedarinya.

Boleh jadi ia lebih mudah dilihat oleh oang lain, tetapi tidak bagi diri sendiri. Maka untuk urusan seperti itu seorang mukmin memohon ampunan Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatunya.

Seorang mukmin mengakui bahawa Allah SWT merupakan Zat Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib mahupun nyata, maka ia pun mengembalikan semua dosa yang ia sendiri tidak ketahui kepada Allah SWT.

5Ya Allah, ampunilah kesalahanku. Manusia boleh terlibat di dalam banyak kesalahan. Maka ia memohon kembali ampunan Allah atas kesalahannya pada hal sebelumnya dia telah melakukannya kepada Allah SWT.

6Ya Allah, ampunilah kemalasanku. Kemalasan dapat menjadi musuh utama yang menyebabkan seseorang menunda, bahkan melalaikan suatu kewajipan yang mesti dikerjakan.

Pengakuannya di hadapan Allah SWT bahawa dirinya kadang-kadang dilanda kemalasan yang mesti disertai dengan permohonan ampunan Allah atasnya.

7Ya Allah, ampunilah kesengajaanku. Harus diakui bahawa kadang-kadang kita secara sengaja melakukan suatu kesalahan.

Entah kerana emosi atau terpengaruh lingkungan atau pelbagai alasan lain. Yang jelas, semua kesengajaan itu mestilah disusuli dengan istighfar dan permohonan keampunan-Nya.

8Ya Allah, ampunilah kebodohanku. Maha Suci Allah, ternyata Rasulullah SAW sangat mengerti akan kelemahan kita yang satu ini. Manusia memang selalu kekurangan ilmu sehingga mustahil terluput daripada kebodohan. Oleh itu permohonan ampunan Allah atas kebodohan diri perlu diajukan berulang kali.

9Ya Allah, ampunilah gelak tawaku yang semua itu ada pada diriku. Apakah ketawa itu berdosa? Tentunya tidak. Tetapi bila dilakukan secara tidak profesional atau melampaui, ia akan mendatangkan masalah. Firman Allah: Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu mereka kerjakan. (at-Taubah: 82)

Selain sabda Rasulullah SAW: Demi Allah, andai kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu jarang tertawa dan sering menangis. (riwayat Tirmizi)

10Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang telah berlalu. Setiap orang perlu berhati-hati terhadap dosa lampau yang pernah dilakukan dahulu. Berkemungkinan dosa-dosa itu belum sempat kita menyesalinya. Maka tiba masanya untuk kita mengakui dan menginsafi di hadapan Allah SWT seterusnya memohon keampunan-Nya.

11Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang mendatang. Seorang mukmin pasti menyedari bahawa kehidupan ini bukan sekadar masa lalu dan masa kini. Ia juga meliputi perkara mendatang.

Begitu juga dengan perlakuan dosa yang dikerjakan. Ia tidak hanya terjadi di masa lalu dan masa kini semata-mata. Tetapi boleh terjadi di masa akan datang.

Oleh kerana itu, dengan penuh kejujuran kita mengharapkan keampunan Allah atas dosa yang akan datang dan cuba mengelakkannya daripada terjebak kepadanya.

12Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku samarkan. Seorang mukmin sangat khuatir dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi atau berselindung. Sabda Rasulullah SAW: Sungguh aku mengetahui bahawa ada suatu kaum daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikan kebaikan itu debu yang berterbangan.

Thauban berkata: Wahai Rasulullah, sebutkanlah ciri-ciri mereka kepada kami dan jelaskanlah tentang mereka kepada kami, supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.

Baginda bersabda: Sesungguhnya mereka adalah saudara-saudara kamu dan daripada golongan kamu, mereka solat malam sebagaimana kamu mengerjakannya tetapi mereka adalah kaum yang melakukan perbuatan yang diharamkan Allah sedang mereka berkhalwat (menyendiri). (riwayat Ibnu Majah)

13Ya Allah, ampunilah aku atas dosa yang aku perbuat dengan terang-terangan. Sedangkan dosa yang dikerjakan secara senyap atau tersembunyi itu kita khuatir, apa lagi dosa yang dilakukan secara terbuka. Oleh itu, keampunan daripada Allah SWT amat diharapkan.

Sungguh amat luar biasa, kesemua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah itu adalah merupakan dosa dan kesalahan yang sering dilakukan oleh setiap daripada kita lelaki atau perempuan, sama ada secara disedari mahupun sebaliknya. Maka itu, betapa bertuah umat Islam sekiranya mereka juga berdoa sebagaimana yang didoakan oleh Baginda SAW ini.

Tarikh Qiamat adalah rahsia Allah

Rakyat di beberapa negara sudah panik dengan kepercayaan bahawa dunia akan kiamat Jumaat depan. Mereka percaya pengiraan kalendar masyarakat Maya, sebuah tamadun Mesoamerika ribuan tahun lalu yang terkenal dengan seni bina, sistem matematik dan astronomi, akan berhenti esok 21 Disember.

Sebenarnya, orang Maya tidak pernah meramalkan tarikh kiamat. Kepercayaan ini bermula 46 tahun lalu apabila Dr Michael Coe, seorang pakar tamadun Maya, menyatakan bahawa pengakhiran kalendar Maya mungkin mencetuskan Armageddon, seperti disebut dalam kitab Injil. Sejak kenyataan itu, ada orang mempercayai ke tahap menjadi fanatik. Ada yang percaya sebuah planet atau komet akan melanggar bumi atau diserang makhluk asing.

Walaupun NASA menyangkal teori ini, ada orang Amerika yang menyediakan rumah perlindungan bawah tanah untuk menangkis nyalaan solar dan radiasi. Di Rusia, ramai mula menyimpan bekalan makanan dan keperluan utama hinggakan Perdana Menteri Dmitry Medvedev terpaksa membuat pengumuman untuk meredakan keadaan.

Kita orang Islam percaya hari kiamat adalah rahsia ALLAH SWT. Hatta Nabi Muhammad SAW pun tidak tahu bilakah kiamat akan berlaku. Dalam Surah Al-A’raf, ayat 187 bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya?

Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.

Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi ALLAH, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

Selanjutnya, sabda Rasulullah SAW, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya Baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kita wajib mempercayai hari kiamat. Malah kita telah diberikan tanda-tanda akan berlaku kiamat. Ayat 7 Surah Al-Hajj bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya dan bahawa sesungguhnya ALLAH akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang di dalam kubur.”

Daripada Anas RA katanya: “Akan kusampaikan kepadamu sebuah hadis yang tidak akan disampaikan orang kepadamu sepeninggalanku.

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda-tanda kiamat ialah: berkurangnya ilmu, meratanya kebodohan, berlakunya (merebaknya) perzinaan dan banyaknya perempuan serta sedikitnya lelaki sehingga bagi 50 perempuan hanya seorang pengawalnya.

Rasulullah SAW telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat-mengingati satu sama lain, lalu Baginda SAW bertanya: “Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?”

Kami menjawab: ”Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya”; Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya 10 alamat.” Lalu Baginda SAW menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya’juj wa Ma’juj.”

Antara tanda-tanda kecil kiamat ialah ramainya pembohong besar (Sahih Muslim), ramainya saksi palsu (HR Ahmad), orang bodoh dan hina mendapat kedudukan terhormat (HR At-Tabrani), ramai orang soleh meninggal dunia (HR Ahmad) dan sikap orang Muslimin yang memberikan salam kepada orang yang dikenali sahaja (HR Ahmad).

Juga apabila bulan sabit kelihatan besar (HR At-Tabrani), penaklukan Baitulmaqdis (Sahih Bukhari) dan apabila negara Arab menjadi padang rumput dan sungai (Sahih Muslim).
Kesemua tanda kecil ini telah pun berlaku. Kelak menyusul pula tanda-tanda besar kiamat.

Hendaklah kita sama-sama mengambil iktibar. Jadikanlah al-Quran dan Hadis sebagai rujukan utama perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah.

Halaqah Kitab Muslimin 2013 (Lepasan SPM/STAM/STPM dan umum)

Istimewa bagi lepasan SPM/STAM/STPM dan umum (60 orang peserta lelaki sahaja)

Tarikh : 5 – 19 Januari 2013 ( 2 minggu )

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 60 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 16 tahun ke atas  (terhad 60 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

5 Januari 2013  (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Hidayah Sibyan (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf)
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (kain pelikat, baju Melayu atau kemaja lengan panjang)  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Sila hubungi :

019- 9388902(Ust. Shairazi )

Blog : albakriah.wordpress.com

Web : www.al-bakriah.com.my

Pengajian Intensif Muslimat 2013 (Lepasan SPM/STAM/STPM dan umum)

Istimewa bagi lepasan SPM/STAM/STPM dan umum ( 40 orang peserta muslimat sahaja)

Tarikh

12 – 26 Januari 2013 ( 2 minggu )

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 40 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar perempuan berumur 16 tahun ke atas (terhad 40 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

12 Januari 2013  (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan Hidayah Sibyan (Tauhid, Feqah dan Tasawwuf)
  • Bab haidh dan Nifas
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (sebaiknya jubah dan tudung labuh ) & pakaian solat , bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

Blog : epondok.wordpress.com

Kehebatan amalan zikir

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
APA yang diperintahkan Allah pasti mempunyai fadilat, hikmah dan ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. Hal itu termasuklah dalam amalan berzikir.

Ia perbuatan ringan, namun mempunyai ganjaran besar kepada pengamalnya. Ringan di lidah tetapi berat di ‘Mizan’, begitu kedudukan status amalan zikir dan amat tidak wajar seandainya kita mengabaikannya.

Sahabat Rasulullah s.a.w, Muaz bin Jabal pernah memberitahu, “Tidak ada sesuatu pun yang dapat menyelamat­kan seorang hamba daripada azab Allah, melebihi zikir kepada-Nya.”

Jangan kita sangsi apa yang disuarakan Muaz kerana ketika perjalanan sirahnya bersama Rasulullah s.a.w, beliau antara sahabat yang menjadi kesayangan Rasulullah hinggakan pernah satu hari Baginda memberitahu sahabat lain, “Umatku yang paling tahu akan yang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.”

Ia penghormatan tertinggi buat Mu’az daripada golongan Ansar yang turut terbabit dalam Perjanjian Aqabah kedua.

Sementara itu, seorang ulama tabiin tersohor, Aun bin Abdullah ada menyampaikan satu cerita, “Pada suatu ketika ketika kami mendatangi Ummu al-Darda’ kami pun berzikir dengannya.

Namun, pada suatu hari yang lain, Ummu al-Darda merasa gelisah sehingga membuatkan sahabat yang bersama berzikir bersamanya berasa hairan.

Mereka berkata, “Adakah kami membuatkanmu berasa bosan, wahai Ummu al-Darda?” Sambil membetulkan kedudukannya di lantai, Ummu al-Darda’ menjawab, “Apakah kalian fikir kalian membuat­kanku berasa bosan? Tidak sama sekali wahai sahabat sekalian. Selama hidupku, aku selalu mengharapkan zikir, maka bagiku tiada sesuatu hal pun yang dapat melapangkan dadaku melebihi zikirnya ahli zikir.”

Begitulah pengakuan jujur seorang insan mulia. Siapa yang tidak mengetahui keunggulan Ummu al-Darda’ atau Abu Darda’ ini. Siapakah yang berani menafikan ketokohannya?

Abu Darda’ pernah menceritakan berkenaan riwayat hidupnya. Ceritanya, “Aku mengislamkan diriku kepada Rasulullah s.a.w sewaktu aku menjadi saudagar yang mewah dengan harta kekayaan.

“Keinginanku adalah untuk menjadikan beribadah dan berniaga dapat dihimpunkan pada diriku jadi satu. Tetapi sayang seribu kali sayang, hajat itu tidak kesampaian.

“Lalu, aku mengambil keputusan mengasingkan urusan perniagaan dan menghadapkan diri kepada ibadah. Aku tidak akan berasa gembira sedikitpun jika sekarang aku berjual beli dan mendapat hasil setiap hari 300 dinar, sekalipun kedaiku terletak di muka pintu masjid.”

Sambungnya lagi, “Aku tidak mengatakan kepada kamu Allah mengharamkan jual beli. Hanya aku secara peribadi lebih menyukai supaya aku termasuk dalam golongan yang berniaga dan jual belinya tidak sekali-kali melalaikannya daripada berzikir kepada Allah.”

Dari situ menggambarkan Ummu al-Darda’ seorang yang memiliki keimanan yang kuat sehingga gusar jika urusan perniagaannya menjerumuskan dirinya ke lembah golongan lalai berzikir.

Bagi insan yang sentiasa sibuk mengejar keduniaan sehingga lupa mengingati Allah malah sentiasa membiarkan hati dan jiwa terbelenggu de­ngan kekalutan urusan duniawi, beliau dengan ikhlas pernah berpesan antara lain, “Sesiapa yang tidak pernah puas terhadap dunia, maka tidak ada dunia baginya.”

Malah satu ketika beliau tidak dapat menahan sebak tatkala melihat ada sesetengah insan tenggelam dalam hawa nafsu mengejar keduniaan.

Sambil merintih perlahan suara insan mulia itu melontar­kan kata-kata, “Oh Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada hati yang bercabang-cabang.”

Rupanya luahan suara Abu Darda’ masih dapat didengari sahabatnya, lantas sahabatnya bertanya, “Apakah yang kamu maksudkan dengan hati yang bercabang-cabang itu, wahai Abu Darda’?” Dengan frasa kata yang ringkas Abu Darda’ menjawab, “Memiliki harta benda di setiap lembah.”

Ada lagi peringatan bermanfaat yang disampaikan Abu Darda’, kata beliau, “Alangkah hinanya makhluk di sisi Allah, apabila mereka mening­galkan kewajipannya terhadap Allah.

Selagi mereka teguh sebagai umat perkasa, mereka berjaya mempunyai kekuatan, kemudian apabila mereka tinggalkan amanah Allah, maka jadilah mereka orang yang hina dan kecundang.”

Apa yang dikatakan Abu Darda’ memang benar dan kita sedang menyaksikan fenomena masyarakat Islam masa kini banyak dilekakan dengan keduniaan sehingga terpaksa mengejar masa demi memartabatkan diri sebagai manusia hebat dari segi material.

Tetapi bagaimana dengan alunan jiwa untuk ukhrawi yang kekal abadi? Sudah tentu salah satu amalan yang perlu dibudayakan ialah mengamalkan zikir.

Ia mampu membentuk jiwa yang kaya dengan iman, takwa dan jati diri insan yang diredai Ilahi. Ulama’ berkata, “Barang siapa yang diberi makanan berupa zikir serta bersih daripada penyakit duniawi kemudian diberi minuman berupa tafakur, dia akan memperoleh pelbagai hikmah.”

Ada cerita lagi, ada seorang datang menemui Rasulullah lalu berkata kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat (ajaran) Islam itu sudah terlalu banyak bagiku, maka khabarkanlah untukku, sesuatu yang agar aku boleh berpegang teguh padanya?”

Seperti biasa Rasulullah tidak pernah menghampakan sebarang pertanyaan
daripada sahabat mahupun sesiapa saja di kalangan umatnya. Lalu nasihat Baginda, “Sentiasalah basahkan lidahmu dengan berzikir kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Justeru, dalam kesibukan kita pujuklah rasa dan hati kita supaya tidak cuai dalam mengamalkan zikir kepada Allah. Jadikanlah amalan zikir sebagai penawar jiwa dan penyejuk hati.

Adab anak terhadap ibubapa

Kalau kita hendak senaraikan adab anak kepada ibu bapanya ada banyak antaranya

Pertama, mentaati perintah ibu dan ayahnya kecuali dalam perkara yang sifatnya maksiat.

Kedua, bercakap kepada ibu bapa dengan penuh kelembutan dan kesopanan.

Ketiga, sekiranya ada kesempatan, hendaklah cium tangan ibu bapa.

Keempat, memelihara nama baik, maruah dan harta mereka.

Kelima, memuliakan kedua-duanya dan memberi apa yang mereka pinta.

Keenam, banyak berdoa dan memohon ampun untuk mereka berdua.

Ketujuh, apabila tetamu datang ke rumah, anak hendaklah memerhatikan pandangan ibu bapa kerana mungkin mereka hendak memerintahkan sesuatu.

Kelapan, melakukan perbuatan yang ibu bapa senang tanpa diperintah oleh mereka.

Kesembilan, jangan memotong percakapan ibu atau bapa ketika mereka bercakap.

Kesepuluh, jangan keluar rumah sebelum mereka memberi izin.

Ke-11, segera menyahut panggilan mereka.

Ke-12, jangan mencela apabila mereka melakukan pekerjaan yang tidak disenangi.

Ke-13, jangan menjulurkan kaki di depan mereka.

Ke-14, jangan lebih mengutamakan isteri dan anak daripada mereka.

Ke-15, menghormati kawan-kawan mereka ketika mereka hidup dan setelah kematian mereka.