• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Ayat Al-Quran sebagai penawar penyakit kanser

SOALAN

Nama saya Hasnah berusia 40 tahun. Saya disahkan menghidap kanser payudara pada awal Februari 2010. Pada Mac 2010, saya telah menjalani mastectomy iaitu pembedahan membuang keseluruhan payudara sebelah kiri.

Semasa pembedahan, sebanyak 15 kelenjar telah dikeluarkan dan tujuh dikenalpasti mengandungi sel-sel kanser.

Saya telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali dan radioterapi sebanyak 15 kali. Kedua-dua rawatan tamat pada September 2010.

Namun pada bulan Oktober 2012, selepas lebih dua tahun saya tamat rawatan, saya mendapat cancer relapse iaitu kanser kembali menyerang malah telah merebak ke bahagian tulang spinal (C3 & C4) dan menyerang tulang pelvik dan tulang rusuk di dada saya.

Bolehkah, Tuan Haji Lokman terangkan mengapa kanser menyerang saya kembali walaupun saya sudah tamat rawatan kemoterapi dan radioterapi?

Apakah ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan untuk menangani penyakit kanser dan bagaimana cara mengubatinya melalui perubatan Al-Quran?

JAWAPAN

Kanser begitu sukar dipulihkan terutamanya jika sudah berada di tahap tiga dan empat. Sebaik sahaja sel kanser merebak masuk ke saluran darah dan sistem peredaran kelenjar atau ‘lymph’, amat sukar untuk memastikan bahagian organ mana yang mengalami proses metastasis dan menyebabkan sel kanser.

Jalan paling mudah dalam kaedah perubatan moden adalah kemoterapi, iaitu memasukkan ubat anti kanser keseluruhan sel organ dalam badan.

Tetapi proses kemoterapi hanyalah berfungsi untuk surpressed atau melemahkan sel kanser atau melambatkan proses kanser dari merebak dengan cepat.

Adalah sukar bagi pakar perubatan moden untuk memberi lima tahun jaminan pesakit akan sembuh atau selamat dari kanser.

Ini kerana mereka sedar, kebarangkalian sel-sel kanser merebak ke bahagian tubuh yang lain amat tinggi.

Biarpun seseorang pesakit kanser telah bebas dari kanser berdekad lamanya, itu bukan jaminan kanser tidak akan kembali menyerang mereka.

Dalam kes Puan Hasnah, mengapa kanser kembali menyerang biarpun selepas beliau menjalani rawatan kemoterapi enam kali dan radioterapi 15 kali.

Ini adalah kerana sel-sel kanser yang dilemahkan semasa rawatan kemoterapi atau radioterapi akan kembali aktif selepas beberapa jangka masa atas beberapa faktor seperti tekanan emosi (stres), pemakanan tidak seimbang dan pelbagai faktor lain.

Apabila kanser kembali menyerang, pesakit perlu mengulangi semula rawatan seperti rawatan pertama.

Ini yang membuatkan pesakit berasa putus asa, tekanan emosi dan tabiat ini tidak membantu menyembuhkan sebaliknya membantu menggalakkan lagi pertumbuhan kanser.

Dalam erti kata lain, perjuangan melawan kanser melalui rawatan moden, tidak akan selesai dan menemui kesudahannya jika diri tidak berserah kepada Allah dan meminta pertolongan dari-Nya. Firman Allah di dalam Al-Quran

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman….” (Al Israa’ 82)

“….Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku..” (Al Baqarah, 186)

Konsep perubatan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran adalah ibadah. Justeru tiap amalan perubatan ini adalah bersandarkan amalan ibadah serta doa dan munajat.

Konsep inilah yang akan menghasilkan keputusan ‘2 dalam 1′, iaitu di samping mendapat kesembuhan, diri juga akan lebih dekat dengan Allah.

Sesungguhnya kesakitan bukanlah alasan untuk kita menjauhi diri daripada Allah. Dan kesakitan bukanlah alasan untuk kita meninggalkan ibadah sama ada wajib atau sunat.

Falsafah kesakitan menurut islam adalah sebagai wahana untuk Allah menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu, dan meningkatkan darjat kita disisi Nya.

Justeru, berdoa ketika sakit lebih dipandang Allah berbanding ketika sihat. Hal ini kerana ketika sihat, ia akan berdoa dan beramal dengan sambil lewa, kerana belum merasakan peritnya sebuah musibah kesakitan.

Namun, apabila seseorang itu sakit misalnya, ia akan berdoa kepada Allah dengan penuh khusyuk, tawaduk serta penuh pengharapan supaya Allah memakbulkan doanya dan menyembuhkan penyakitnya.

Kerana itu, saya sentiasa mengingatkan para perawat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bahawa kita berpegang kepada prinsip berdakwah di dalam berubat.

Dan buat para pesakit pula, kita membantu mereka agar yakin bahawa mereka beribadah sambil dirawat.

Hasil kedua prinsip ini, insya-Allah akan membawa kepada kesembuhan dengan syarat, para pesakit mengamalkan apa yang diarahkan serta meningkatkan amalan sunat dan menjauhi perkara-perkara dosa dan mungkar.

Saya akan berikan beberapa garis panduan secara umum mengenai rawatan kanser menurut kaedah ayat-ayat suci Al-Quran kepada pembaca dengan harapan kita meletakkan keyakinan yang penuh kepada mukjizat yang diberikan kepada Rasulullah s.a.w serta rahmat sekalian alam.

Al-Quran, bukan sekadar bacaan, ia sumber panduan juga medium penyembuhan.

Insya-Allah, semoga dengan keyakinan yang terbina, Allah akan hadiahkan pesakit/ pembaca dengan kesembuhan.

Antara kaedah yang digunakan untuk merawat kanser menurut perspektif perubatan Al-Hidayah adalah ;

* Membaca beberapa rangkaian ayat suci Al-Quran.

Ini adalah amalan utama atau amalan pokok dalam perubatan ini. Pesakit akan diberikan beberapa ayat suci Al-Quran, yang saya beri selepas memeriksa pesakit, jenis kanser, sejauh mana tahap sakit dan kesan penyakit terhadap pesakit.

Ayat suci Al-Quran yang diberikan adalah berbeza-beza mengikut individu disebabkan beberapa faktor yang disebutkan tadi.

Namun, secara umumnya, ayat-ayat Al-Quran yang berfungsi sebagai agen penyembuh kanser bermula dengan surah Al Mukminun, ayat 91 hingga 100 dan surah Al Hajj, bermula ayat 31 hingga 55.

Ayat surah Mukminun untuk dibaca pada waktu malam sebanyak tiga kali sama ada selepas maghrib atau isyak atau mana-mana masa yang sesuai pada waktu malam atau dibacakan di dalam sembahyang sama ada fardu, atau Qiyammulail.

Ayat surah Al Hajj tadi pula adalah untuk bacaan siang sebanyak tiga kali selepas subuh, zohor atau asar.

Jika tidak sempat, maka boleh dibaca pada bila-bila masa di waktu siang. Kesimpulannya, tiada alasan sibuk atau tidak sempat untuk seseorang pesakit melakukan amalan ini.

Selepas kali membaca ayat ini, pesakit boleh berdoa kepada Allah agar sakit mereka sembuh.

Ingat, berdoa dengan penuh keyakinan bahawa Allah berkuasa menyembuhkan setiap penyakit di dunia ini.

Kita telah pun berikhtiar dengan membaca ayat ini, lalu berdoa dan bertawakal kepada Allah, insya-Allah, pesakit akan merasakan perbezaannya setelah beberapa hari.

Dua rangkaian ayat yang saya berikan tadi, (Al Mukminun, Al Hajj), hendaklah diamalkan selama empat hingga lima minggu.

Baca dengan seikhlas hati dan penuh keyakinan. Setelah empat hingga lima minggu membaca ayat tadi, pesakit perlu pula membaca dua dari rangkaian surah-surah di bawah.

Surah Rangkaian Ayat

Al Anbiya’ 38 hingga 50

Huud 60 hingga 80

An Nahl 90 hingga 110

Yunus 55 hingga 70

Qasas 66 hingga 88

Ibrahim 9 hingga 22

Al Kahfi 38 hingga 60

Yunus 71 hingga 89

Setakat hari ini, saya telah mengenal pasti sebanyak 60 rangkaian ayat suci Al-Quran yang merupakan ayat spesifik penyembuh penyakit kanser.

Malah, ayat ini bersifat khusus untuk setiap tahap kanser dan spesifik untuk setiap jenis kanser yang dialami.

Setiap rangkaian ayat ini sama jika dibandingkan dengan setiap satu jenis ubat dalam kaedah rawatan kanser secara moden

Tanda rezeki itu berkat

KEBERKATAN rezeki adalah antara perkara utama yang mesti dititikberatkan dalam hidup. Rezeki bukan sekadar wang, harta, makanan dan minuman. Sebaliknya jodoh, anak, pangkat, nama baik, kedudukan dan sebagainya juga boleh disebut sebagai rezeki. Namun dalam artikel kali ini saya merujuk rezeki kepada pendapatan yang kita perolehi sama ada dengan bekerja sendiri, mengambil upah atau makan gaji. Rezeki yang dicari dan diusahakan itu pula dibawa pulang ke rumah untuk diberi makan anak isteri. Ada orang memandang ringan akan isu keberkatan rezeki ini. Pada mereka ia hanya isu kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Mereka ini tidak sedar wujudnya kaitan langsung antara keberkatan rezeki dengan nasib, kualiti perhubungan, kejayaan anak-anak, dan segala aspek kehidupan..

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan rezeki tidak berkat. Pertama, kerana ia jelas datang dari sumber pendapatan yang haram seperti berjudi, rasuah, mencuri, menipu, nombor ekor, pelaburan haram dan seumpamanya. Namun, ada yang tidak menyedari bahawa secara halus rezeki itu boleh hilang keberkatan apabila kita yang dibayar upah atau digajikan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, atau memikul sesuatu tugasan tetapi tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya apa yang berlaku ialah pelbagai masalah di tempat kerja seperti curi tulang, datang lewat, malas, kerja tidak mencapai kualiti, melakukan kerja lain sewaktu dalam masa bekerja, main-main, dengki, irihati dan seumpamanya.

Oleh itu eloklah dalam artikel kali ini kita lihat apakah antara tanda-tanda keberkatan rezeki bagi membolehkan kita sama-sama melakukan audit diri atau muhasabah.

* Hati semakin dekat dengan Allah dan Jiwa Tenang

Tanda-tanda yang pertama bahawa rezeki itu berkat ialah hati semakin dekat dengan Allah. Kita bukan sahaja menjaga solat lima waktu sebaliknya ditambah dengan amalan-amalan sunat. Mulut juga sentiasa berzikir dan suka pula membaca dan menelaah al-Quran.

* Pemurah

Kita mudah untuk memberi sedekah dan menunaikan zakat.

* Jauh daripada kejahatan manusia dan bala

Kalau kita datang lambat, malas, kerja tidak bersungguh-sungguh, hasil kerja tidak berkualiti dan sebagainya, majikan akan menegur, menasihati dan mungkin mengambil tindakan. Namun, gaji penuh tetap diberikan. Majikan tidak pernah mengaudit gaji kita. Misalnya, katalah gaji kita ialah RM1500 sebulan. Disebabkan kita malas maka majikan bayar RM1200 sahaja. Sebabnya, RM300 ringgit itu dipotong atas sikap malas kita itu. Sebaliknya, apabila kita malas, majikan tidak pernah memotong gaji bulanan kita. Namun, kita lupa bahawa Allah menjalankan auditnya. Maka Allah tarik sebahagian rezeki itu dengan pelbagai ujian dan masalah dalam hidup yang datang bertimpa-timpa seolah-olah kita memang bernasib malang. Bulan ini telefon bimbit hilang, bulan depan kereta pula dipecah orang. Kalau begitulah keadaannya maka eloklah kita audit gaji yang diterima setiap bulan sebab bimbang kalau-kalau itulah punca kepada segala masalah tersebut.

* Keluarga harmoni dan anak-anak cemerlang

* Sentiasa merasa cukup dan syukur

Hati ‘berpenyakit’ hilang pertimbangan

Nik Salida Suhaila

Hati adalah cermin kepada segala perbuatan. Setiap kali melakukan sesuatu, hati kita akan mencerminkan niat sebenar daripada perbuatan itu. Berbeza dengan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Rasulullah SAW mengajar kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.
Justeru, agama Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Kalau hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya, meskipun perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh aktiviti ibadah kita bertujuan melembutkan hati. Hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika di akhirat nanti, manakala hati yang kasar dan keras adalah hati yang terhijab daripada kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan barang siapa di dunia ini buta hatinya, maka di akhirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al-Israa, ayat 72)

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita seperti puasa, sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati menjadi baik. Tujuan berpuasa adalah untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah sewaktu tiada mata yang melihat dan berbuat baik semasa ramai orang menjadi jahat.
Dalam Islam, terdapat beberapa tingkat kualiti hati yang buruk iaitu hati yang berpenyakit, keras, membatu, tertutup dan mati. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.
Firman Allah SWT: “Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 10)

Hati yang pada awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi keras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa.

Firman Allah SWT: “Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah al-An’aam, ayat 43)

Hati yang keras jika tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al-Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah SWT berfirman: “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74)

Sesuatu yang sudah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembutkan hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu.

Setelah itu, hati menjadi tertutup dan apabila hati sudah tertutup ia tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu dalam firman-Nya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Akhirnya hati bagai dikunci mati iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah SWT: “Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 6-7)

Seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya. Justeru, setiap Muslim wajiblah menjaga hati seperti menjaga harta yang tidak ternilai harganya. Kita tidak akan mempunyai hati yang kedua, yang boleh menggantikan hati yang mati.

Bagaimanapun, kita mampu menghidupkannya kembali dengan iman dan takwa. Usaha menghidupkan hati perlu dilakukan dengan konsisten dan bersungguh-sungguh. Ibarat menjaga harta paling mahal, kita tidak ingin hati rosak disebabkan kotoran yang tidak dibuang