Kemuliaan hari Arafah

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali (‘arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.

Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.

Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji adalah (wukuf) di Arafah.” Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”

Ibadah wukuf di Arafah adalah “kemuncak” ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.

Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: “Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu.” (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).

Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : “Kusut masai dan penuh debu.” Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.

Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: “Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (riwayat Imam Ahmad).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: