• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Gesa haramkan shisha mudarat kesihatan

KUALA LUMPUR:Gejala menghisap shisha yang semakin menular dalam kalangan remaja masa kini dan kewujudan premis serta kedai yang menyediakan kemudahan menghisap shisha perlu diberi perhatian serius dengan segera oleh pihak berkuasa kesihatan dan majlis perbandaran.“Langkah ini perlu diambil dengan segera memandangkan menghisap shisha ini dikatakan sama bahayanya dengan menghisap rokok,” kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap hookah atau shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain.

Beliau berkata, penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter.

Menurutnya, mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.

Jelas beliau lagi, dalam satu laporan oleh sebuah akhbar tempatan yang memuatkan temubual dengan seorang pengamal perubatan mengenai bahaya menghisap shisha, dikatakan penghisap shisha turut boleh mengalami ketagihan seperti penghisap rokok biasa, kerana penggunaan tembakau sebagai bahan utama sememangnya membahayakan kesihatan.

Beliau menambah, penggunaan arang dalam peralatan dalam peralatan untuk menghisap shisha boleh meningkatkan masalah paru-paru berikutan arang yang digunakan boleh mendap dalam saluran pernafasan si penghisap.

“Air didihan yang digunakan juga tidak dapat menapis toksin yang ada, memandangkan shisha turut mengandungi nikotin dan karbon dioksida yang terdapat dalam rokok biasa, penggunaan berterusan hanya akan memudaratkan kesihatan dalam jangka masa penjang,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau CAP menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan shisha dan pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan terhadap premis yang mempunyai kemudahan untuk menghisap shisha.

“Tindakan tegas perlu diambil segera memandangkan penggunaan shisha boleh memudaratkan kesihatan,” katanya lagi.

Kemuliaan hari Arafah

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali (‘arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.

Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.

Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Haji adalah (wukuf) di Arafah.” Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”

Ibadah wukuf di Arafah adalah “kemuncak” ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.

Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: “Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu.” (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).

Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : “Kusut masai dan penuh debu.” Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.

Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: “Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku.” (riwayat Imam Ahmad).

Khutbah Aidil Adha 1433H

Khutbah Aidil Adha1433H – rumi

خطبة عيد الأضحى 1433

10 Zulhijjah miliki banyak kelebihan, pahala digandakan

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

ALLAH SWT menebarkan rahmat ke atas umatnya dengan menggalakkan mereka melakukan banyak amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Di samping itu, disediakan kelebihan tersendiri pada semua ibadat.

Ibadat haji adalah ibadat jasmani dalam jangka panjang bagi menzahirkan keesaan Allah SWT. Ini dapat dilihat melalui lafaz talbiah yang diucapkan jemaah haji yang memfokuskan kepada tauhid ubudiyyah kepada Allah SWT.

Bagi mereka yang melakukan haji penuh keikhlasan dan dapat mendisiplinkan diri dengan tuntutan serta larangan akan dikurniakan ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji serta mematuhi larangannya iaitu tidak melakukan perkara keji, tidak bercakap kotor serta tidak melakukan penyelewengan, maka dia akan kembali ke tanah air dengan bersih dan suci umpama kanak-kanak yang baru dilahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Jemaah haji berkumpul di tempat mulia di sisi Allah SWT pada hari Arafah, hari paling banyak dibebaskan ahli neraka seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tiada hari yang paling banyak dibebaskan umat daripada api neraka melainkan pada hari Arafah. Mereka akan mendapat penghormatan daripada sekalian malaikat.” (Hadis riwayat Muslim)

Di tempat yang paling suci inilah jemaah haji bermunajat kepada Allah SWT. Tempat suci inilah yang menjadi asas dibina oleh Nabi Ibrahim AS dengan binaan spiritual yang kukuh berteraskan keikhlasan dan ketakwaan.

Oleh itu, Allah SWT abadikan kenangan itu hingga hari kiamat bagi menunjukkan bahawa amalan yang berkualiti di sisi Allah SWT adalah amalan yang hanya dilakukan semata-mata kerana menuntut keredaan Allah SWT.

Dengan mengenakan pakaian ihram yang sederhana, tiada sebarang wangian, maka jelaslah nafsu manusia yang menginginkan kemewahan dan kenikmatan tidak mendapat tempat di sisi Allah SWT khususnya dalam melakukan ibadat kepada-Nya.

Hajarul Aswad yang dikucup sudah pasti menggugurkan banyak noda dan dosa sehingga menjadi hitam pekat kerana menanggung dosa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dalam keadaan putih bersih dan akhirnya menjadi hitam dengan dosa anak Adam.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Seterusnya jemaah melontar tiga Jamrah bagi menzahirkan perseteruan kuat antara iblis dan umat manusia. Iblis tidak pernah berputus asa melakukan penyesatan terhadap mereka sehingga Nabi Ibrahim terpaksa menghadapi tiga gangguan dalam usaha Baginda melakukan ibadat kepada Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu. Maka jadikanlah ia sebagai musuh kerana ia mengajak manusia menjadi penghuni neraka.” (Surah Fatir, ayat 6)

Jemaah tidak pernah dilupakan sehingga dijadikan malam mereka sebagai ibadat, ketika mabit di Muzdalifah sebahagian daripada malam serta ditambah dengan mengorbankan kekuatan anggota badan pada tawaf dan sai’. Lidah mereka basah dengan talbiah mengesakan Allah SWT.

Kehadiran 10 Zulhijjah pada setiap tahun juga akan digandakan pahala ganjaran kerana ia satu hari besar di sisi Allah SWT.

Daripada Ibnu Abbas RA, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada hari yang lebih baik di sisi Allah SWT daripada 10 Zulhijjah.”

Antara kelebihan 10 Zulhijjah yang disebut Imam Ghazali dalam Mukasyafatul Qulub ialah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami berikan masa kepada Nabi Musa selama 30 malam untuk bermunajat dan ditambahkan lagi 10 menjadi 40 malam.” (Surah Al-A’raf, ayat 142). Itulah hari-hari awal bulan Zulhijjah.

Pada 10 Zulhijjah, Allah SWT menyeru: “Wahai Malaikat, lihatlah kepada hambaku yang datang ke sini dalam keadaan kusut dan tidak terurus, mereka membelanjakan harta dan mengerah keringat yang banyak. Oleh itu saksikanlah bahawa Aku telah mengampunkan mereka.”

Doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdoa pada 10 Zulhijjah sama ada duniawi atau ukhrawi akan dimakbulkan Allah SWT. (Mukasyafatul Qulub).

Cerita hantu punca sakit jiwa kronik

Shamsul Kamal Amarudin

Ipoh: Pelbagai cerita hantu, mistik dan seram yang berleluasa dikenal pasti antara punca banyak kes sakit mental yang sepatutnya boleh dirawat pada peringkat awal, gagal dirujuk ke pakar perubatan sehingga sukar diubati.

Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Rabaiah Mohd Salleh, berkata paparan cerita seumpama itu mempengaruhi fikiran masyarakat hinggakan tanda penyakit mental yang ditunjukkan seseorang dianggap gangguan makhluk halus dan mengutamakan khidmat dukun serta pengamal perubatan tradisional.
“Cerita sebegini yang sering ditayangkan di televisyen, filem dan bahan bacaan mewujudkan stigma masyarakat mengenai sakit disebabkan gangguan hantu hingga ada yang trauma dan hanya dirujuk ke hospital apabila penyakit menjadi kronik,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Kesihatan Mental Perak Kesembilan di sini, semalam.

Persidangan dua hari bermula semalam itu dirasmikan Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Nordiyanah Hassan.

Tak nafi dunia jin

Dr Rabaiah berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menafikan kewujudan dunia jin dalam kepercayaan agama lantas membenarkan rawatan tradisional serta perubatan Islam dilakukan sebagai pelengkap rawatan.

Katanya, penyakit mental boleh diubati jika dirujuk ke hospital dari peringkat awal bagi membolehkan pesakit menerima rawatan sesuai dan dapat meneruskan kehidupan normal.

Beliau berkata, orang ramai yang mendapatkan rawatan penyakit mental kini meningkat kepada maksimum 10 kes baru didaftarkan sehari berbanding antara dua hingga tiga sehari pada 2007.
Sementara itu, Dr Nordiyanah berkata, banyak kajian menunjukkan pertalian rapat antara penyakit mental dan fizikal seperti kemurungan dengan penyakit berkaitan jantung dan angin ahmar, selain berisiko menghidap diabetes.

Serangan jantung

“Penyakit kerisauan mendedahkan individu kepada penyakit jantung koronari, angin ahmar, gangguan sistem pernafasan seperti asma serta berisiko mengidap penyakit kronik lain berkaitan sistem penghadaman,” katanya.

Katanya, stigma dan diskriminasi masyarakat menyebabkan ada pesakit jiwa enggan mendapatkan rawatan psikiatri kerana takut dicemuh tidak siuman terutama jika pernah mendapat rawatan di hospital mental

Tomato kurangkan risiko angin ahmar

Pengambilan buah, sayur beri kesan lebih baik: Kajian

Washington: Tabiat memakan buah tomato secara berterusan boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar, menurut salah satu kesimpulan kajian yang disiarkan kelmarin.

Secara umum, kajian itu menyatakan, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran memberi kesan lebih baik kepada anggota badan.
Faktor utama mengurangkan risiko kena angin ahmar ialah kehadiran unsur antioksida kuat iaitu ‘lycopene,’ menurut kajian penyelidik Finland dalam jurnal Neurology.

Kesimpulan penyelidikan itu adalah berdasarkan daripada data daripada lebih 1,000 lelaki pertengahan umur yang terbabit dalam kajian selama 12 tahun.

Ia menunjukkan bahawa lelaki yang memiliki kadar ‘lycopene’ tinggi dalam darah mereka mempunyai peluang 55 peratus lebih rendah untuk diserang angin ahmar.

Kurangkan risiko

“Kajian ini memperkukuh bukti bahawa diet yang memberi tumpuan kepada buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko serangan angin ahmar,” menurut penulis kajian, Jouni Karppi dari Universiti Eastern Finland di bandar Kuopio.
Sementara itu, di kalangan 258 lelaki dengan tahap terendah ‘lycopene’ dalam darah, hampir satu dalam 10 diserang angin ahmar. Tetapi, di kalangan 259 peserta yang mempunyai kandungan antioksida tinggi, ia menjadi satu setiap 25 orang.

Hubung kait antara tahap ‘lycopene’ dan risiko angin ahmar adalah lebih kuat apabila penyelidik hanya mengkaji angin ahmar yang disebabkan oleh darah beku.

Peserta dengan tahap ‘lycopene’ tertinggi mempunyai 59 peratus risiko lebih rendah mendapat serangan angin ahmar berpunca daripada darah beku dibandingkan lelaki yang memiliii kadar antioksida terendah.

Secara keseluruhannya, 67 lelaki mendapat serangan angin ahmar sepanjang tempoh kajian. – AFP