• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,713 orang
  • Kandungan Blog

Natijah Ibadat dan Kelazatannya

Petikan daripada Kitab Bimbingan Mukmin

Sayugialah hendaknya jangan sampai seseorang itu menganggap bahawa natijah sembahyangnya tidak boleh sampai ke peringkat qurratul-‘ain (cenderamata), sebab natijah ibadat-ibadat itu adalah semacam kelazatan bagi diri, sedang adat kebiasaan pula akan mencetuskan di dalam diri berbagai-bagai keindahan yang lebih aneh dari hal-hal yang disebutkan tadi.

Misalnya kita sering melihat penjudi yang muflis (bankrap) terkadang-kadang merasa gembira dan senang hati dengan perjudiannya, di mana ia menganggap bahawa kegembiraan orang yang tiada berjudi itu tidak seindah kegembiraannya yang berjudi, padahal perjudian itu akan merampas segala harta bendanya dan menghancurkan kerukunan rumahtangganya serta menjadikannya seorang muflis.

Namun demikian ia masih gemar dan cinta kepada perjudian juga, dan merasa senang dan enak ketika berjudi. Sebabnya boleh berlaku demikian ialah kerana perjudian itu telah berdarah daging dalam dirinya, dan ia telah terlalu biasa dengan perjudian dalam masa agak yang panjang.

Demikian pulalah dengan halnya orang yang suka bermain-main dengan burung merpati, kadangkala ia sanggup berdiri sepanjang hari di bawah terik panas matahari dengan menegakkan kedua belah kakinya tanpa merasa penat atau lelah, kerana hatinya sangat gembira melihat gerak geri burung-burung itu, berterbangan dan berkeliling di udara.

Kesemua ini adalah akibat dari adat dan kebiasaannya melakukan pekerjaan yang sama terus menerus dalam masa yang panjang, atau menyaksikan perkara itu bersama kawan-kawan dan rakan-rakan yang bergaul dengannya.

Jadi sekiranya nafsu itu, dengan jalan kebiasaannya saja, dapat merasa enak berbuat kebatilan, maka mengapa pula ia tidak boleh merasa enak juga untuk berbuat yang hak, bila ia dibiasakan berbuatnya dalam masa yang panjang dan memaksanya untuk mengerjakannya terus menerus.

Malahan kemuyulan nafsu kepada perbuatan-perbuatan yang jahat itu adalah menyimpang dari tabiat yang dikira sama seperti kemuyulannya kepada memakan tanah. Barangkali juga, jika manusia itu dibiasakan memakan tanah, nescaya ia akan berterusan memakannya.

Adapun kemuyulan manusia kepada hikmat dan kebijaksanaan serta cintakan Allah Ta’ala, makrifat dan beribadat kepadaNya adalah sama seperti kemuyulannya kepada makanan dan minuman. Itu adalah suatu kehendak tabiat hati dan ketentuan Ilahi. Sedangkan kemuyulannya kepada tuntutan-tuntutan syahwat adalah asing dari zatnya, dan semacam perkara yang baru mendatang kepada tabiatnya

Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul

Petikan daripada Kitab Bimbingan Mukmin

Sifat-sifat berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul  juga amat dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumber dari kejahatan dan kedurjanaan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Waspadalah kamu dari kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w. pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, sabdanya: Janganlah kamu memaki-maki mereka itu, yakni orang-orang Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar itu, sebab caci-makimu itu tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka, malah sebaliknya kamu akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup (dari keluarga si mati itu). Ketahuilah bahawasanya kata-kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan.

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis:

“Bukanlah seorang Mu’min itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”

Lagi sabdanya:

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kotor, berlaku cabul, suka berteriak-teriak dalam pasar.”

Batasan bercakap kotor itu, memadailah dengan membicarakan sesuatu perkara dengan menggunakan ibarat-ibarat yang buruk yang tak senang didengar oleh telinga. Hal-hal serupa ini sering berlaku sekitar membicarakan tentang persoalan-persoalan seks dan liku-likunya. Ibarat-ibarat yang keji itu sering menjadi permainan di mulut orang-orang yang memang buruk kelakuannya, yang biasa diperbualkan antara sesama mereka. Manakala orang-orang yang baik perilakunya sentiasa menjaga diri dari menyebut kata-kata yang kotor serupa itu.

Andaikata perlu disebutkan juga, maka mereka tidak pernah menyebutnya secara terang-terangan, malah mereka menggunakan kata-kata sindiran atau kata-kata semakna dengannya saja.

Berkata Ibnu Abbas r.a.: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Mulia dan Maha Pemaaf. Digunakan maksud persetubuhan itu dengan perkataan bersentuh kulit.

Maka perkataan-perkataan seperti masis atau mas (menyentuh), dukhul (masuk) adalah kata-kata yang dipakai untuk maksud bersetubuh atau berjimak. Ini semua untuk menjaga bahawa kata-kata yang dipakai dalam al-Quran itu jangan ada yang berbau kotor.

Di sana ada banyak lagi ibarat-ibarat yang kotor, yang tidak layak disebutkan disini, kebanyakan daripadanya digunakan dalam caci-maki, ataupun untuk menunjukkan tanda tidak senang kepada orang yang dilemparkan kata-kata itu. Apabila orang itu merasa malu jika kata-kata seperti itu dilemparkan kepadanya, maka janganlah hendaknya ia berani menyebutnya secara terang-terangan kepada orang lain. Sebab semuanya itu merupakan perkara-perkara yang keji yang harus dijauhi.

Dan punca dari segala kelakuan ini, sama ada bertujuan untuk menyakiti orang lain, ataupun tersebab oleh kebiasaan yang dihasilkan oleh percampurgaulan yang tak sihat dengan orang-orang yang buruk akhlak dan kelakuannya, yang sudah sememang menjadi tabiat mereka suka mencaci-maki dan berbuat pekerjaan-pekerjaan yang keji.

Sekali Peristiwa datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat! Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda:

Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang diketahuinya ada padamu, maka janganlah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukannya lantaran sesuatui keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagimu. Juga jangan sekali-kali memaki sesuatu.”

Setelah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w., maka orang dusun itu pun berkata pula: Sesudah itu saya tak pernah memaki-maki lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Pencacian seseorang Mu’min adalah fasik (perkara jahat) dan pembunuhnya adalah kekufuran.”

Lagi sabdanya:

“Orang yang memaki kedua ibu bapanya adalah terlaknat.”

Dan pada riwayat yang lain:

“Seberat-berat dosa besar, ialah bila seseorang itu memaki-maki kedua ibu bapanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah seseorang itu akan memaki-maki kedua ibu bapanya? Jawab Rasulullah s.a.w.: Bila seseorang memaki-maki bapa orang lain, maka orang itu akan membalas memaki-maki bapanya pula.”

Program Pondok Intensif 2012 (sempena cuti sekolah/IPT) – Telah Tutup pendaftaran

Istimewa Musim Cuti Sekolah/IPT

Sesi Pertama

Tarikh : 17 November – 1 Disember 2012

Sesi Kedua

Tarikh : 8– 22 Disember 2012

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki dan perempuan berumur 11 – 24 tahun (terhad 100 orang sahaja)
  • RM 245 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Lapor Diri (setelah sah daftar melalui email atau sms)

a. Sesi pertama : 17 November 2012 (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

b. Sesi kedua : 8 Disember 2012 (Sabtu) jam 2.30 – 3.15 ptg

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban

Pelajar yang lemah jawi dan al-Quran

  • Diletakkan dalam kelas khusus
  • Tekan Fardhu ‘Ain berdasarkan kertas kerja khusus
  • Tekan pembelajaran Iqra’
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian (wajib jubah dan tudung labuh bagi perempuan) & pakaian solat (wajib jubah dan serban bagi lelaki), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

019-9388902 (Ust Shairazi)

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : pppb1995@gmail.com

Blog : epondok.wordpress.com

Keindahan Senda Gurau Rasulullah s.a.w.

Cuba anda perhatikan bagaimana indahnya senda gurauan Rasulullah s.a.w. iaitu seperti diriwayatkan bahawa seorang tua perempuan telah mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka baginda telah bergurau dengannya dengan berkata: Orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu, tetapi segera pula Rasulullah s.a.w. berkata lagi: Anda tidak lagi menjadi tua bangka pada ketika itu! Lalu dibacakan kepadanya firman Allah Ta’ala.

“Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka Kami tukarkan mereka itu menjadi dara-dara.”  (al-Waqi’ah: 35-36)

Dalam sesuatu peristiwa yang lain, diceritakan bahawa ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Suamiku menjemputmu ke rumah! Baginda lalu berkata: Siapa dia suamimu itu? Apakah ia yang matanya ada putih-putih itu? Perempuan itu menjawab: Demi Allah, mata suami saya tidak ada putih-putih. Kemudian baginda berkata lagi: Bahkan di matanya ada putih-putih. Perempuan itu tetap menolak dengan berkata: Demi Allah, tidak. Maka barulah Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi: Malah setiap orang memang ada pada matanya putih-putih. Maksud baginda ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.

Ada seorang perempuan lain yang datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah! Berikanlah saya seekor unta yang boleh mengenderainya. Baginda berkata: Bahkan kita akan berikan untukmu anak unta supaya engkau mengenderainya. Kata perempuan itu pula: Apa yang akan saya buat dengan anak unta, jika ia tidak boleh mengangkat saya? Jawab Rasulullah s.a.w. Tiada ada seekor unta, melainkan ia dulunya anak unta.

Berkata Anas: Abu Talhah mempunyai seorang putra yang dipanggil dengan nama Abu Umair. Rasulullah s.a.w sering datang kepada mereka dengan berkata: Wahai Abu Umair! Apa khabar anak burung engkau? Kerana Abu Umair memang suka sangat bermain-main dengan anak burung tersebut.

Berkata Siti Aisyah radhiallahu-anha: Saya ikut bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam ghazwah (peperangan) Badar, lalu baginda berkata kepada saya: Mari kita berlumba lari! Maka saya pun menyingsing lengan dan menggariskan satu garisan tanda di tanah, dan dari situ kami pun berlumba lari? Maka saya pun menyingsing lengan dan menggariskan satu garisan tanda di tanah, dan dari situ kami pun berlumba lari, tetapi dia (baginda) telah mendahului saya. Kemudian baginda berkata pula: Ini ganti yang dulu di Dzul-Majaz. Dia mengingatkan saya suatu hari dulu, bila kami sedang berada di Dzul-Majz dan pada ketika itu saya masih kecil lagi. Bapa saya telah memberi saya suatu barang, lalu baginda berkata kepada saya: Berikanlah saya barang itu. Saya enggan memberikan kepadanya, dan saya pun lari. Tiba-tiba baginda berlari di belakang saya, tetapi ia tidak dapat mengejar saya.

Siti Aisyah bercerita lagi: Pada suatu hari isteri baginda Saudah binti Zam’ah berada bersama-sama Rasulullah s.a.w., maka saya pun buatkan makanan khazir, dan bawa makanan itu seraya berkata kepada Saudah: Makan! Saudah menjawab: Saya tak suka makanan ini! Maka saya berkata kepadanya: Demi Allah engkau mesti makan makanan ini, kalau tidak aku akan lumurkan mukamu dengannya. Saudah masih enggan memakannya seraya berkata: Saya tidak ingin memakannya. Maka saya ambil sedikit makanan itu dari dalam piring lalu saya tonyohkan ke muka Saudah, padahal Rasulullah s.a.w. sedang duduk di antara saya dengan Saudah, kemudian baginda merendahkan lututnya untuk Saudah supaya ia boleh membalas. Saudah terus mengambil sedikit makanan itu dari piring, lalu melumurkan muka saya pula. Melihat kejadian itu, Rasulullah s.a.w. hanya ketawa saja.

Dari Abu Salamah pula: Rasulullah s.a.w. sering memanjakan cucuandanya al-Hasan bin Ali r.a dengan menjelirkan lidah kepadanya. Apabila al-Hasan melihat keadaan itu ia ketawa gembira.

Berkata Uyainah al-Fizari: Demi Allah, saya mempunyai seorang anak saja, sekarang ia telah berkahwin dan telah tumbuh rambut mukanya, tetapi saya tak pernah menciumnya sama sekali. Maka baginda pun bersabda:

Siapa yang tak mempunyai belas kasihan, tak akan dibelas kasihani.”

Semua sifat-sifat kelemah-lembutan ini berlaku pada golongan kaum wanita dan kanak-kanak kecil. Rasulullah s.a.w telah memperlakukan yang demikian kepada mereka kerana memandangkan lemahnya hati mereka, bukan kerana kecenderungannya kepada senda gurau semata-mata.

Pernah sekali Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suhaib yang sedang makan korma, padahal ia terkena sakit mata. Kata baginda: Boleh makan korma juga? Bukankah matamu sakit? Jawab Suhaib: Saya makan dengan sebelah mata saja, wahai Rasulullah! Mendengar jawapannya Rasulullah s.a.w. tersenyum saja. Dalam setengah riwayat pula sehingga kelihatan gigi serinya.

Nu’aiman al-Ansari adalah seorang yang suka bergurau. Tiap-tiap kali ia datang ke Madinah ia membeli sesuatu barang di pasarnya, lalu membawanya sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: Wahai Rasulullah! Saya telah membeli ini dan saya hadiahkan untukmu. Sekejap lagi datanglah tuan puya barang itu menuntut harga barang yang dibelinya tadi, maka ia membawa orang itu menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berkata pula kepada baginda: Wahai Rasulullah, bayarkanlah harga barang tadi. Baginda pun bertanya kepada Nu’aiman: Bukankah barang itu engkau berikan kepada aku sebagai hadiah? Nu’aiman menjawab: Benar, wahai Rasulullah! Tetapi saya tak punya harganya dan saya suka tuan hamba memakannya. Mendengar yang demikian Rasulullah s.a.w. hanya ketawa, dan segeralah Baginda membayar harganya.

Bersenda gurau semacam ini tidaklah salah dilakukan sekali-sekala tetapi tidak boleh dilakukan selalu sangat.

Rayuan derma bagi menyiapkan Madrasah Muslimat

Pihak madrasah begitu memerlukan sumbangan daripada tuan/puan dalam menyiapkan kerja baik pulih madrasah muslimat bagi kegunaan sebagai penginapan dan juga pengajian untuk pelajar muslimat. Sebarang sumbangan bolehlah dihulurkan melalui pihak pejabat pondok atau masukkan melalui akaun berikut :

Tabung Madrasah Diniah Bakriah

BIMB 03018010098410

Hadis Harithah bin Wahab r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Bersedekahlah kamu sekalian kerana sudah semakin hampir waktunya seorang lelaki berjalan membawa barang yang ingin disedekahkannya. Lalu orang yang ingin diberikan sedekah berkata: Seandainya engkau membawa sedekahmu kepadaku kelmarin, tentu aku menerimanya. Adapun sekarang ini aku tidak lagi memerlukannya. Sehingga akhirnya lelaki itu tidak juga bertemu orang yang ingin menerima sedekahnya

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Apakah sedekah yang paling utama? Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau bersedekah ketika engkau masih sihat dan harta tersebut masih disayangi, engkau bimbang menjadi fakir dan bercita-cita untuk menjadi kaya. Jangan kamu tangguhkannya hingga roh sampai di halkum. Dalam keadaan tersebut barulah engkau berkata: Berikannya kepada Si Polan ini dan Si Polan itu. Sememangnya itu adalah hak Si Polan

Tangan zionis dalam kempen hina Rasulullah s.a.w

Mohd Azmi Abdul Hamid,

Analisis yang belum diketahui ramai dalam isu penerbitan video menghina Rasulullah s.a.w. ialah ia ada kaitan dengan rancangan zionis dan kuasa imperialis Amerika dan kuasa Eropah Barat.

Sebenarnya orang bernama Sam Bacille (nama sebenar Nakaola Basseley Nakaola) yang dikata menjadi pengarah kepada pembikinan filem itu hanya alat.

Beliau sebenarnya hanya seorang yang terlibat dalam kes menipu bank. Dengan latar belakang yang sama sekali sifar dalam pengetahuan mahupun kemahiran pembikinan filem, zionis telah mengguna beliau sebagai alat untuk melindungi pihak sebenar yang terlibat dalam menghasilkan filem tersebut. Beliau sendiri menafikan menjadi pengarah malah hanya menguruskan aspek “logistik” semata.

Jadi siapa pendalang filem tersebut?

Rekod awam mendapati satu permit filem telah diberi kepada Media for Christ sebuah agensi yang dikendali oleh seorang bernama Joseph Nasrallah Abdelmasih. Kumpulan beliau menaja program Kristian dalam Bahasa Arab termasuk The Way sebuah filem yang menampilkan dua orang penggerak kempen Islamofobia iaitu Pamela Geller dan Robert Spencer. Kedua mereka ini adalah penentang cadangan membina masjid di New York di tapak “Ground Zero” . Idea filem Innocence dicatat dalam blog Geller pada Februari 2012 dalam tajuk A Movie About Muhammad: An Idea Whose Time Has Come.

Sesungguhnya filem dokumentari penghinaan ke atas Nabi bukan satu insiden yang terpisah dan tersendiri, malah ia adalah suatu konspirasi melakar perang ke atas Islam dan umat Islam oleh Amerika, Israel dan kuasa imperialis Eropah Barat.

Tindakan dan rancangan provokasi dalam tempoh dua tahun sempena mengingati peristiwa September 11 bermula dengan kempen membakar Quran oleh Terry Jones dan kali ini video.

Fakta bahawa filem ini adalah kerja dari operasi ekstremis fanatik Zionis yang berpusat di Amerika dan Israel serta Eropah tidak dapat dinafikan, khususnya oleh CIA Dan Mossad.

Apabila reaksi yang sepatutnya berlaku tidak berhasil, mereka cuba menghubungkan kemarahan umat Islam terhadap filem itu kepada pembunuhan duta Amerika di Benghazi, Libya.

Pada hal pihak perisikan Amerika sudah menerima maklumat awal bahawa serangan ke atas kedutaan akan berlaku tetapi pihak Amerika tidak berbuat apa-apa. Pembunuhan itu tidak ada mengena dengan filem dokumentari tersebut. Ia adalah serangan yang disebabkan oleh pembunuhan seorang ketua militan Libya yang pernah disokong oleh CIA sendiri ketika revolusi menjatuhkan Muammar Gadafi.

Analisa ini didedahkan sendiri oleh seorang pakar operasi CIA-Mossad , Thierry Mayssan bahawa pembunuhan duta mungkin diarah oleh Mossad sendiri.

Sebab itu kami percaya kebangkitan ini bukan hanya kerana marah kepada penghinaan terhadap Nabi tetapi adalah kebangkitan menentang kuasa imperialis Barat yang cuba mendominasi kehidupan umat Islam.

Protes yang tercetus mesti dianalisa secara lebih menyeluruh untuk melanjutkan Revolusi Tahrir yang berlaku di dunia Arab.

Kebangkitan ini adalah seruan kepada pembebasan, kemerdekaan dan kedaulatan serta harga diri yang menuntut kepada seluruh rantau dan dunia dibebaskan dari hegemoni kuasa Barat. Dengan itu tanda berakhirnya dominasi Amerika dan Barat ke atas dunia ini telah tiba.

Mencapai ketenangan dengan sifat qana’ah

Wan Aminurrahid

Keimanan berperanan kawal jiwa daripada menurut hawa nafsu

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Apa yang disabdakan Nabi SAW itu memang benar. Kekayaan atau limpahan harta tidak semestinya dapat membeli kebahagiaan atau ketenangan jiwa.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Buktinya ramai manusia yang berharta, menghuni di kediaman mewah dan tersergam indah, namun mereka tidak menemukan rasa bahagia. Sebaliknya, ramai yang tidak berharta, kehidupannya serba sederhana dan kurang tetapi jiwanya tenteram.

Kekayaan tak jamin kebahagiaan

Ternyata kebahagiaan sejati tidak terletak pada harta. Firman Allah bermaksud: “…ingatlah hanya dengan zikrullah (mengingati Allah), hati menjadi tenteram” (Surah ar-Ra’ad: 28).

Qana’ah, reda dan syukur adalah tiga gandingan sifat terpuji yang saling berhubungan. Individu Muslim perlu memilikinya kerana ia adalah kunci ketenangan jiwa yang menjadi unsur utama menggapai kebahagiaan hidup.
Menurut bahasa, qana’ah bererti berasa cukup. Dari segi istilah pula bermakna berasa cukup atau puas dengan apa yang dimiliki. Jelasnya, qana’ah bermaksud mencukupi dan reda atas segala rezeki dan kurniaan Allah SWT.

Allah SWT memandang mulia orang yang reda dengan kecukupan yang dikurniakan-Nya.

Walaupun ia memiliki sedikit harta, tidak menyebabkannya hidup mengemis. Kaya dan miskin adalah pemberian dan ketentuan Allah sekali gus sebagai ujian.
Mukmin sebenar apabila dikurniakan kekayaan dia bersyukur, jika ditakdirkan hidup miskin pula dia bersabar di samping berusaha memperbaiki taraf kehidupannya.

Kekayaan terkadang mengheret manusia menolak kebenaran seperti kemiskinan boleh menjerumuskan manusia ke dalam kehinaan.

Qana’ah beri ketenteraman jiwa

Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta dan Pengurnia nikmat kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, tentulah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Mukmin yang bersifat qana’ah akan berasa tenteram kerana ia dapat mendidik jiwanya menerima segala pemberian dan ketentuan Allah di samping ia terus meningkatkan ketaatan dan keakraban hubungannya dengan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sungguh beruntunglah orang yang telah memeluk Islam dan rezekinya memadai serta Allah memberi kepuasan kepadanya terhadap apa yang dikurniakan itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Namun, makna qana’ah jangan pula disalah fahami. Bukanlah qana’ah itu berasa senang dengan segala kekurangan dan kehidupan yang susah, hilang semangat atau kemahuan untuk mencipta kejayaan dan membina masa depan, tiada keinginan untuk meraih kemajuan baik moral mahupun material atau kelesuan untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kelaparan.

Dengan kata lain, orang yang bersifat qana’ah bukan bererti menerima nasib begitu saja tanpa ikhtiar.

Ia boleh saja memiliki harta yang banyak, namun bukan bertujuan menimbun atau menunjuk kekayaan.

Reda pemberian Allah

Mukmin sebenar akan reda dengan apa jua pemberian Allah dan berasakan bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri, kerana Allah saja yang mengetahui semua kebaikan dan kepentingan hamba-Nya di dunia dan akhirat.

Segala nikmat kurniaan Allah hendaklah diterima dengan penuh rasa syukur, baik syukur secara lisan mahupun perbuatan. Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.
Orang yang bersyukur bererti ia mengenang pemberian Allah yang tidak pernah putus-putus. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Saya telah menanyakan kepada 700 orang alim mengenai lima masalah. Semua mereka memberi jawapan yang sama.

“Satu, siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab: Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan). Dua, siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab: Orang yang tidak tertipu oleh dunia. Ketiga, siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab: Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah. Keempat, siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan kelima, siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”

Iman mampu kawal hawa nafsu

Keimanan sebenarnya yang berperanan besar dalam mengawal atau membatasi jiwa manusia daripada menuruti hawa nafsu seperti bersifat rakus atau tamak haloba yang tiada berkesudahan, tidak cukup dengan yang sedikit dan tidak puas dengan yang banyak.

Hanya kepada Allah SWT sepatutnya manusia mengadu dan memohon pertolongan, kerana hanya Allah yang dapat memenuhi segala hajatnya.

Saling memaafkan amalan mulia

Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain memang dituntut dalam Islam sehingga ia dijanjikan sebagai ganjaran yang begitu besar sekali. Malang sekali apabila perbuatan memohon dan memberi hanya menjadi budaya dan bukannya dihayati semangatnya.

Dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Dan, orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui.

Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal.”

Apakah makna memaafkan?

1. Melupakan hasrat membenci mereka.
2. Membatalkan niat membalas dendam.
3. Membatalkan hasrat menghukum mereka.
4. Membatalkan untuk menyimpan perasaan dendam.

Bagaimanakah cara sebenar memohon dan memberi maaf?

Bagi pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, rendah hati dan penuh kekesalan serta berazam tidak mengulanginya lagi.

Pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, penuh sedar bagi melupakan kesalahan dan tidak lagi mengungkit-ungkit.

Ada yang mengatakan ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya.

Namun, dalam semangat Aidilfitri ini, apabila meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa kita tidak terbuka hati untuk memaafkan silap dan salah seseorang?

Sudah tentu kita juga ada melakukan kesilapan. Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita memilih untuk memaafkan.

Memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan.

Apabila saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam di hati.

Yang lahir dari hati ialah perasaan kasih sayang serta persefahaman sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan permuafakatan yang menguntungkan ummah

Bantah dan kecam filem Hina Nabi Muhammad s.a.w

Penduduk Mesir yang mengadakan tunjuk perasaan mengoyakkan bendera Amerika dari Kedutaan Amerika di Kaherah, kelmarin sebagai membantah filem Innocence of Islam yang menghina Nabi Muhammad. -AP

KAHERAH 12 Sept. – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens terbunuh di Benghazi akibat ditembak dalam insiden bangunan Kedutaan AS di negara itu semalam diserang beribu-ribu penduduk yang mengadakan tunjuk perasaan membantah penerbitan sebuah filem yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Tiga lagi rakyat AS turut terbunuh akibat terkena tembakan.

Di Kaherah hampir 3,000 penunjuk perasaan, kebanyakan mereka penyokong pergerakan Salafis, berkumpul di Kedutaan AS di Kaherah untuk menyuarakan bantahan yang sama.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan memanjat bangunan Kedutaan AS dan menggantikan bendera negara kuasa besar itu dengan kain rentang yang tertulis ‘Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah’ dan membakar bangunan konsulat berkenaan.

Polis Mesir terpaksa campur tangan untuk memujuk penunjuk perasaan beredar dan kini masih terdapat beratus-ratus orang berkumpul di luar kedutaan berkenaan.

Di timur Benghazi, pegawai Kementerian Dalam Negeri Libya, Wanis al-Sharef berkata, Stevens maut bersama tiga pegawai AS lain ketika sekumpulan besar penunjuk perasaan menyerbu pejabat konsulat AS di Benghazi, dengan lelaki bersenjata bertindak melepaskan tembakan.

Katanya, pasukan keselamatan Libya tidak mampu berbuat apa-apa ekoran jumlah penunjuk perasaan yang terlalu ramai.

Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagur mengesahkan kematian Stevens dalam akaun laman web Twitternya.

Seorang saksi berkata, terdapat penunjuk perasaan yang melepaskan tembakan senjata automatik dan roket pelancar grenad ke arah bangunan terbabit ketika mereka bertempur dengan pengawal Libya yang ditugaskan mengawal kedutaan tersebut.

Kejadian itu merupakan yang pertama terhadap bangunan diplomatik AS di kedua-dua negara sejak bekas pemimpin, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan di kedua-dua negara itu pada tahun lalu.

Tunjuk perasaan itu tercetus ekoran sedutan filem, Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California, yang disiarkan dalam laman YouTube dengan menggambarkan Nabi Muhammad pernah tidur dengan ramai wanita, mengisahkan pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones, yang pernah mencetuskan kontroversi cuba membakar al-Quran, untuk berkempen membenci Islam di AS.

Bacile yang berketurunan Yahudi Israel berkata, Islam merupakan ‘kanser’ dan dia berharap filemnya itu dapat menunjukkan kepada dunia mengenai kelemahan Islam. – AP/AFP

Kahwin penawar ‘penyakit barah’

Pesakit dapat sokongan pasangan mampu hidup lebih lama

BALTIMORE: Walaupun ubat dan terapi adalah perkara asas dalam rawatan barah paru-paru, perkahwinan juga menjadi ‘ubat’ mujarab bagi mereka yang menghidap penyakit ini, lapor satu kajian.

Penyelidikan yang dibuat mendapati penghidap penyakit ini boleh hidup lebih lama lagi berbanding mereka bertekad terus membujang.
Malah, pengkaji mendpati perkahwinan boleh menjadi ubat mujarab kepada penyakit lain termasuk barah prostat, sakit kepala dan sakit tengkuk.

Laman web mid-day.com melaporkan, satu kajian yang dijalankan di Universiti Maryland menunjukkan, perkahwinan boleh meningkatkan semangat penghidap barah untuk berjuang melawan penyakit itu.

“Kajian kami menunjukkan pentingnya sokongan sosial dalam proses penyembuhan dan merawat penyakit barah paru-paru,” kata pakar onkologi dan ketua kajian, Elizabeth Nichols yang mengemukakan hasil kajiannya pada satu simposium di Chicago baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan hasil kajian yang dijalankan, pihaknya percaya mekanisma sokongan kepada pesakit barah, mempunyai kesan lebih besar terhadap kelangsungan hidup berbanding teknik atau terapi barah yang baru.

“Kami juga yakin bahawa usaha mencegah barah tidak sewajarnya hanya memberi tumpuan kepada mencari ubat baru dan terapi, tetapi keutamaan perlu diberi kepada kaedah yang dapat menyokong pesakit,” katanya.
Nichols berkata kajian yang dijalankan membabitkan 168 pesakit barah paru-paru tahap lanjut yang sudah menjalani rawatan kemoterapi dan radiasi bagi tempoh satu dekad dari 2000 hingga 20120.

“Kami dapati satu pertiga daripada responden yang masih hidup selepas tiga tahun, berbanding 10 peratus pesakit bujang yang masih hidup dalam tempoh sama,” katanya.

Nichols berkata keadaan ini adalah kerana pesakit barah sentiasa memerlukan sokongan dalam kehidupan harian mereka, terutama ketika tinggal di hospital dan menjalani rawatan kemoterapi. – Agensi