• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Pengajian sesi baru 1433/1434H mulai 16 Syawal

Makluman bahawa pengajian pondok bagi sesi baru 1433/1434H akan bermula pada hari Isnin ini 16 Syawal 1433 bersamaan 3 September 2012.

Pendaftaran pelajar baru pula akan bermula Ahad ini 15 Syawal 1433 bersamaan 2 September 2012

5 Amalan bawa wanita ke Syurga

Laksana kewajipan agama

Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka. Demikianlah, wallahualam

Program Halaqah Ilmu 2012 (sempena cuti sekolah/IPT) – Telah tutup pendaftaran

Istimewa Cuti Sekolah/IPT

Tarikh : 24 November  – 8 Disember 2012

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 80 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon/ sms

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar lelaki berumur 11 – 24 tahun (terhad 80 orang sahaja)
  • RM 245 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

 

Tarikh & Masa Daftar Diri

24 November 2012 (Sabtu) jam 2.30  – 3.15 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Kitab Pelita Penuntut
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
  • Latihan khutbah dan azan
  • Cungkil bakat nasyid, ceramah, marhaban

Pelajar yang lemah jawi dan al-Quran

  • Diletakkan dalam kelas khusus
  • Tekan Fardhu ‘Ain berdasarkan kertas kerja khusus
  • Tekan pembelajaran Iqra’
Keperluan Yang perlu dibawa

Pakaian harian  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Sila hubungi :

Tel :09-7657786 (P) Fax:09-7659099

019- 9388902(Ust. Shairazi ) / 013-2756400 (Hafiz)

e-mail : bakriah1954@gmail.com

Blog : albakriah.wordpress.com

Web : www.al-bakriah.com.my

Isteri Pengasas 1 Pondok Pasir Tumboh meninggal dunia pagi tadi

27 OGOS – Kota Bharu – Syawal sekali lagi menyaksikan kehilangan tenaga penggerak muslimat Pondok Pasir Tumboh dengan pemergian Ustazah Hajah Khadijah iaitu isteri al-Marhum Tuan Guru Hj Mustafa yang merupakan pengasas 1 madrasah ini

Beliau menghembus nafas yang terakhir pada jam 6.50 pagi tadi setelah agak tenat bermula pada hari raya yang baru lalu. Jenazah beliau akan disembahyangkan di Masjid pondok selepas zohor nanti

Semoga beliau ditempatkan bersama para solehin…al-Fatihah

Berhari raya perlu ikut adab Islam

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

SEJARAH hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu.

Apabila Rasulullah bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.

Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: “Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri.” Lalu baginda segera bertanya: “Kenapa wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata: “Kerana saya tidak ada baju baru.”

Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan.

Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita.

Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu. Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan Muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Rahsia puasa kita diterima

Tulisan Ustaz Zainudin Hashim

Diceritakan pada satu hari, seorang Soleh di kalangan salaf berlalu di sebuah perkampungan, terdapat di situ beberapa orang lelaki (selepas Ramadan) ketawa berdekah-dekah dengan membuang masa di kedai kopi, bercerita tentang persoalan dunia yang tiada kaitan dengan alam kubur, akhirat atau di padang MahsyarMaka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata : Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima Allah SWT dengan membuang masa begini?Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadan seperti berpuasa, baca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi Allah.

* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap Allah setiap masa seperti di bulan Ramadan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadis baginda yang bermaksud :

“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.

* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 surah Fatir : “Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya .

* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima Allah.

* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima Allah.

* Mengekal dan memelihara takwa kepada Allah juga menyebabkan amalan diterima Allah.

* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.

* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima Allah.

* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.

Hamba Allah terpilih raih Lailatul Qadar

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan yang menjanjikan pembebasan daripada api neraka. Ini seperti dibahagikan Rasulullah pada 10 hari pertama sebagai bulan penuh kerahmatan dan 10 hari pertengahan Ramadan pula sebagai hari pengampunan segala dosa umat manusia. Lebih penting daripada itu, kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadar dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau.” (Hadis riwayat Muslim)

Ulama bersepakat bahawa malam al-Qadar berlaku pada Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka berselisih pendapat malam yang ke berapa. Pendapat masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27. (Hadis riwayat Ahmad). Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-Nya yang melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan. Mereka yang selalu mengharapkan keredaan Ilahi dan menghiasi setiap detik kehidupannya dengan amalan soleh.

Kelebihan malam al-Qadar tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberikan kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam tertentu pada Ramadan. Fadilat malam itu akan menyinari orang yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam mempertahankan nilai keislaman dalam setiap tutur kata, peri laku, akhlak, ibadat dan kegiatan kehidupan sehariannya. Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga.

Kata Imam al-Qurtubi, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah dan umatnya.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 80 tahun lebih.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan. Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan soleh lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.” Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi Ramadan yang awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan penghujungnya pula adalah bebas daripada api neraka. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal pada kemudian hari.

Rasulullah s.a.w pakai baju indah malam al-Qadar

DALAM satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: “Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu.”

Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

  • Mandi, berpakaian indah dan berharum-harumanDiriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

    Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

  • Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud : “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

    Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

  • Memperbanyak doa.Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

    Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

    Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”

    Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

    Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”

    Demikianlah amalan sebaiknya dilakukan pada malam itu.

    Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.

Khutbah Aidil Fitri 1433H

Khutbah jawi

Khutbah rumi

Bilakah Lailatul Qadar 1433H?

Oleh Karim’s Blog
Dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan malam lailatul Qadr kerana iman dan mengharapkan pahala Allah maka ia diampuni dosanya yang telah lampau”
Hadith Sahih Bukhari

Dari Anas, ia berkata: Ubadah bin Shamit memberi khabar kepadaku bahawasanya pada suatu hari Rasulullah s.a.w. keluar untuk memberitahukan tentang bila berlakunya Lailatul Qadr. Kebetulan Baginda bertemu dua orang muslim yang saling berbantah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda “Saya keluar untuk mengkhabarkan tentang terjadinya Lailatul Qadr. Kebetulan saya melihat dua orang sedang berbantahan, maka saya terjadi lupa. Mudah-mudahan kelupaan tersebut berguna untuk anda sekalian. Carilah Lailatul Qadr tersebut pada hari ketujuh, kesembilan dan kelima” (yakni 27, 29, 25 Ramadan).

Hadith Sahih Bukhari

Dalam banyak kitab-kitab terdapat beberapa jangkaan yang dibuat berhubung tarikh bilanya berlaku Lailatul Qadr. Untuk memudahkan para pembaca, berikut disiarkan gambarajah yang boleh digunakan sebagai panduan. Semoga berguna hendaknya.

Jangkaan Lailatul Qadr

Wallahu ‘alam.

nota: gambarajah ini telah dipetik dari pelbagai laman lain dan diubahsuaikan grafiknya sahaja