2 syarat utama ibadat diberkati

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Buat kebajikan dengan ikhlas, tidak menyekutukan Tuhan

BOLEH dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110).
… Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. – Al-Kahfi, ayat 110
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain.

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).

Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir).

Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah.

Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).

Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.

Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.

Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.

Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: