• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Puasa Syaaban amalan sunnah

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
KINI, kita berada di bulan Syaaban dan bermakna semakin menghampiri Ramadan. Dalam budaya hidup masyarakat Islam, kehadiran Syaaban tidaklah semeriah menyambut Ramadan.

Ramadan dianggap bulan penuh rahmat lagi berkat. Tetapi jangan kita lupa, Syaaban yang bersempadan Ramadan juga mempunyai kedudukan istimewa.

Jangan biarkan Syaaban berlalu begitu saja tanpa diisi dengan amalan sunat seperti berpuasa yang menjadi salah satu amalan yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Amalan itu adalah lambang kita mencontohi Rasulullah s.a.w dalam beramal ibadah. Berpuasa pada bulan Syaaban boleh diibaratkan seperti ‘menghidupkan enjin’ kereta sebelum memandu.

Selain mengikuti jejak sunnah Rasulullah s.a.w, kita juga dapat membiasakan diri dengan amalan berpuasa. Rasulullah menunjukkan kepada kita bagaimana menghidupkan serta meraikan kehadiran Syaaban.

Aisyah melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka puasa.

Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w menyempurnakan puasa sebulan melainkan bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Baginda lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban. (Hadis direkodkan oleh Bukhari).

Dari kenyataan Aisyah itu, jelaslah amalan sunnah yang seharusnya kita tegakkan semasa berada dalam bulan Syaaban ini ialah berpuasa sunat.

Diceritakan Usamah bin Zaid, katanya, “Aku bertanya kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian bulan Syaaban.
Lalu Baginda menjawab, “Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah Tuhan Semesta Alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.’ (Hadis riwayat An-Nasai’).

Kenyataan Rasulullah s.a.w itu menjadi dorongan kepada kita serta ahli keluarga supaya menggerakkan semangat berpuasa. Jangan membiarkan diri kita termasuk dalam kategori golongan mukmin yang melupakan kelebihan bulan Syaaban.

Ulama merumuskan, berpuasa pada bulan Syaaban adalah ibadah puasa terbaik selepas puasa wajib di bulan Ramadan.

Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan, Rasulullah memberitahu, “Allah memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Manakala, Muaz bin Jabal mempunyai maklumat berkenaan fadilat Syaaban. Katanya, Rasulullah pernah mengatakan, “Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hamba-Nya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berasakan dua riwayat hadis itu, Syaaban adalah bulan yang sangat perlu kita manfaatkan kerana ganjaran pahala besar menanti setiap mukmin.

Selain berpuasa, kita juga dianjurkan aktif melakukan gerak kerja amalan hasanah lain. Antaranya membanyakkan bertaubat, berdoa, dan selawat.

Begitu juga amalan bersedekah; jangan hanya tunggu tibanya Ramadan, baru tangan ‘ringan’ untuk bersedekah kerana ingin merebut fadilat Ramadan.

Antara peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban pada zaman Rasulullah antaranya pertukaran kiblat dari Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah.

Kisah perubahan kiblat itu berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Sebelum itu, Rasulullah menunaikan solat menghadap ke Baitul Maqdis selama 17 tahun.

Solat pertama yang didirikan Baginda apabila perintah menukarkan arah kiblat Allah ke arah Kaabah ialah solat Asar sambil diikuti sahabat Baginda.

Sejarah itu menjadi titik penting dalam perkembangan syiar Islam dan wajar sebagai umat masa kini mengingatinya. Baginda berkata, “Kaabah itu kiblat bagi orang di dalam masjid dan masjid itu bagi orang di Tanah Haram (Makkah) dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku.” (Hadis riwayat Al-Qurthubi).

Kerana banyaknya ganjaran pahala pada bulan Syaaban ini, maka hati mesti dididik supaya sentiasa cintakan amalan sunnah yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Manfaatkan Sya’aban sebagai persiapan Ramadhan

Bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mulia di sisi Allah swt. Ia adalah bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Baginda Rasulullah saw banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat. Ini kerana Nabi kita Muhammad saw meningkatkan amal ibadatnya kepada Allah swt pada bulan yang agung ini.

Namun, Rasulullah pernah menegaskan bahawa kedatangan bulan syaaban tidak begitu diraikan dan disambut dengan penuh kesyukuran, ramai Muslim yang begitu leka, lalai dan alpa dalam merebut ganjaran dan kelebihan yang Allah sediakan sepanjang bulan Syaaban ini. Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mana mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah swt pada bulan Ramadan. Ini kerana adat Jahiliyah dahulu orang Mekah lebih mengutamakan dan memuliakan bulan Rejab dan melupakan bulan Syaaban.

Sehubungan itu, Usamah bin Zaid ra berkata: Aku bertanya Rasulullah tentang bulan Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat sebagaimana beliau berpuasa dalam bulan Syaaban. Baginda menjawab: Bulan yang banyak manusia yang lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah swt. Dengan itu aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa. (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Maksud hadis di atas jelas menunjukkan bahawa segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat bulan Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah Yang Maha Besar. Setiap Muslim sewajibnya menginsafi bahawa segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahu pun yang kecil.

Hal ini amat jelas melalui firman Allah taala yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qaf, ayat 16 – 18)

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Ilahi terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah taala, mudah-mudahan manusia akan mempunyai deria rasa kesedaran dan keinsafan yang mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan keburukan yang dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan berbagai amalan kebajikan dan amalan salih yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain .

Oleh kerana Rasulullah merupakan contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban sebagaimana berpuasanya Rasulullah pada bulan tersebut. Ini kerana selepas Syaaban akan dituruti pula oleh bulan Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa pada bulan Syaaban merupakan perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan sepenuhnya. Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kuranglah terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta merasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.

Selanjutnya, terdapat banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunah Rasulullah saw. Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah saw berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali bulan Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan bulan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa bulan Syaaban kesemuanya. (Hadis riwayat Bukhari)

Saidatina Ummu Salmah pula berkata: ”Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali bulan Syaaban dan Ramadan. (Hadis riwayat Nasa’i)

Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menggalakkan umatnya supaya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam bulan Syaaban.  Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam bulan Syaaban. Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat di bulan Ramadan nanti. Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa di bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa di bulan Ramadan.

Berkenaan dengan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Nabi saw bersabda yang maksudnya: Allah swt melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang yang berzina.

Dalam hadis yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud: Allah swt memandang kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Ahmad)

Demikianlah antara himpunan hadis yang menggambarkan secara umum kepada kita berkenaan kelebihan bulan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah yang memperbanyakkan puasa sunat. Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada bulan Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana terdapat hadis yang menyatakan bahawa Allah swt sedia memberi keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang bulan Syaaban yang penuh rahmat tersebut.

Keberkatan dan kemuliaan bulan Sya’aban

Petikan daripada http://madinatulilmi.com

Bulan sya’ban adalah salah satu bulan
yang mulia, penuh berkah dan kebaikan. Ketaatan di dalamnya adalah
perdagangan yang menguntungkan dan amal sholeh pada bulan ini adalah
jalan meraih kesuksesan untuk menghadapi bulan Ramadhan. Sebab disana
ada keterkaitan yang kuat antara Rajab, Sya’ban dan Ramadhan. Sehingga
dikatakan bahwa Rajab adalah bulan menanam benih kebaikan atau amal
sholeh, Sya’ban bulan untuk menyirami dan memupuk dan Ramadhan adalah
bulan untuk memanen tanaman yang tumbuh dari benih itu.

Kebiasaan para pendahulu kita, jika tiba bulan sya’ban mereka
merayakan dan memuliakannya dengan bearaneka macam ibadah dan amal
sholeh, seperti taubat, dzikrullah, ziarah kepada Rasulullah, umrah dan
lainnya. Memang seyogyanya beribadah tidak hanya pada bulan tertentu,
tapi mereka yang memiliki mata hati dan pengenalan hakikat keberadaan
bulan ini lebih mengkhususkan dan menambah porsi dan kualitasnya.
Menilik bahwa bulan sya’ban ini penuh rahasia dan nilai historis
(sejarah) yang sangat berharga yang tidak dapat dilupakan manusia.

Cukup menunjukkan keagungan bulan ini dimana Rasulullah menisbatkannya kepada diri beliau dengan sabdanya :

Sya’ban adalah bulanku “ ( HR. Ad dailami dari Anas bin Malik dan
diriwayatkan juga oleh Al Fath bin Abil Fawaris dari Al Hasan Al Bashri
dengan status Hadits Mursal )
Dalam riwayat Ad dailami dari As Sayyidah Aisyah, Nabi Muhammad saw bersabda (yang artinya):
“ Sya’ban adalah bulanku dan ramadhan bulan Allah, sya’ban adalah penyuci dan Ramadhan adalah penggugur (dosa) “

Maka
dari sinilah kemudian ulama menyebutkan pula bahwa sya’ban adalah bulan
sholawat kepada beliau saw. As sayyid Muhammad Alawy al Maliki al
Hasani berpendapat bahwa rahasia kenapa Nabi saw menisbatkan sya’ban
kepada beliau, karena pada bulan inilah turun ayat sholawat dan salam
kepada beliau saw (surat al Ahzaab ayat 56).

Memang demikianlah
dikatakan sebagian besar ulama bahwa ayat tersebut diturunkan pada bulan
sya’ban, seperti al Imam Ibnu Shoif al Yamani dan al imam Syihabuddin
al Qusthullany. Al Imam Ibnu Hajar al ‘Asqolani menyebutkan bahwa ayat
tersebut diturunkan pada tahun kedua Hijriyah.

Dan begitu pula
bulan ini menjadi begitu mulia karena ternyata dalam beberapa hadits
diterangkan bahwa beliau saw memperbanyak puasa sunnah didalamnya. Maka
kita sebagai umat beliau seharusnya mengikuti langkah beliau, itulah
cerminan mahabbah kita kepada beliau yang akhirnya membuahkan kecintaan
Allah swt.
Suatu ketika Nabi ditanya tentang puasa yang paling utama setelah Ramadhan, beliau bersabda:
“ Puasa di bulan sya’ban untuk memuliakan Ramadhan “ (HR. At Tirmidzi)

Bahkan As Sayyidah Aisyah berkata:

Aku tidak melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali bulan
Ramadhan, dan aku tidak melihat beliau berpuasa (selain Ramdhan) lebih
banyak daripada pada bulan Sya’ban “. (HR. Al Bukhori, Muslim dan Abu
Dawud)
Dalam riwayat Al Bukhori yang lain, As Sayyidah Aisyah berkata:
“ Beliau saw berpuasa pada bulan sya’ban seluruhnya “.

Dalam
kitabnya Maadza fii sya’ban, as Sayyid Muhammad Alawy al Maliki
menyebutkan bahwa beliau saw mengkhususkan sya’ban dengan banyak puasa
sunnah di dalamnya adalah untuk mempersiapkan diri menghadapi dan
menyongsong Ramadhan, sebagaimana sholat sunnah rawatib dilakukan untuk
mempersiapkan diri memasuki sholat fardhu.

Dalam hadits yang
diriwayatkan oleh An Nasai dan ahmad bin Hambal dalam Musnadnya, usamah
bin Zeid RA bertanya kepada Rasulullah SAW kenapa beliau banyak berpuasa
di bulan sya’ban daripada bulan lainnya, Rasulullah menjawab:
“ Itu
(sya’ban) adalah bulan dimana banyak orang lalai di dalamnya, yakni
antara rajab dan ramadhan, bulan ini adalah bulan dimana amal-amal
disodorkan kepada Allah Pencipta sekalian alam, maka aku suka agar
diangkat amalku dalam keadaan berpuasa “.

Hadits ini pula yang
menjadikan bulan sya’ban memiliki keistimewaan tersendiri, yaitu bulan
dimana amal-amal setiap hamba diangkat dan dihadapkan kepada Allah swt.
Dan
ternyata penyodoran amal ini tidak hanya pada bulan sya’ban saja. Hanya
saja di bulan sya’ban ini dikatakan sebagai penyodoran amal tahunan.
Padahal ada pula penyodoran amal mingguan dan harian. Sebagaimana
diriwayatkan oleh al Imam al Bukhori dan Muslim dari sahabat Abu
Hurairah, Rasulullah saw bersabda :
“ Saling silih berganti kepada
kalian malaikat di waktu malam dan malaikat di waktu siang, dan mereka
berkumpul pada sholat subuh dan sholat ashar, kemudian malaikat yang
bermalam bersama kalian naik (ke langit), lalu Allah bertanya kepada
mereka:”Bagaimana kalian meninggalkan hamba-hambaku?” (padahal Dia lebih
mengetahui), malaikat menjawab:”kami tinggalkan mereka dalam keadaan
sholat dan kami datang kepada mereka dalam keadaan sholat”.

Ini adalah penyodoran amal harian, setiap waktu subuh dan asar.
Adapun
penyodoran amal dalam sepekan (sejum’at), yaitu setiap hari Isnin dan
Khamis, seperti dalam hadits yang diriwayatkan oleh imam Muslim dan
Tirmidzi dari sahabat Abu Hurairah RA, Rasulullah saw bersabda:
“ Amal-amal disodorkan kepada Allah swt setiap hari Isnin dan Khamis“
Dalam riwayat at Tirmidzi yang lain Nabi saw bersabda:
“Amal-amal
disodorkan kepada Allah swt setiap hari Isnin dan Khamis, maka aku
ingin agar amalku diangkat dalam keadaan berpuasa“.

Untuk
menunjukkan kemuliaan bulan ini pula, sya’ban dinamakan syahrul quran
(bulan al quran). Memang setiap saat kita sangat dianjurkan membaca al
quran, lebih-lebih di waktu yang mulia seperti ramadhan dan sya’ban dan
di tempat yang terhormat seperti Makkah al Mukarromah, Raudhoh As
Sarifah dan lainnya.

Adalah al Imam ‘Amr bin Qais al Malai jika
tiba bulan sya’ban beliau menutup tempat ibadahnya dan menghabiskan
waktu disana dengan membaca al quran. Maka dikatakan oleh al Imam as
Syeikh Ahmad bin Hijazi bahwa salafussholeh senantiasa menghabiskan
waktu pada bulan sya’ban ini dengan membaca al quran, maka ikutilah
langkah mereka dan berjalanlah di belakang mereka.

Makna Sya’aban dan amalan dalamnya

MENGENALI BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban adalah bulan kelapan menurut kiraan takwim Hijriyyah yang padanya mempunyai 28 hari. Syaaban bermaksud bercerai-berai. Dinamakan Syaaban kerana di dalam bulan ini masyarakat Arab pada ketika itu bertebaran ke merata-rata tempat untuk mencari air disebabkan kemarau yang berpanjangan.

Bulan Syaaban merupakan di antara bulan yang mulia dan mempunyai beberapa kelebihan dan keistimewaan tertentu padanya. Padanya digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat sepertimana di bulan Ramadhan, Rejab, Muharam dll juga. Di samping itu juga bulan Syaaban ini adalah bulan untuk persediaan bagi menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Masyarakat Arab ada menggambarkan kemuliaan bulan Syaaban ini dengan beberapa huruf dan ertinya yang tersendiri antaranya:

1. Kemuliaan darjat Rasulullah S.A.W. di atas kurniaan bulan Syaaban kepadanya sehingga dinamakan bulan ini adalah bulan Nabi S.A.W.

2. Keperkasaan dan ketinggian.

3. Kebaikkan dan kebajikan yang dilakukan pada bulan ini akan mendapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah Taala.

4. Kasih-sayang dan kemesraan.

 

5. Cahaya keimanan dan cahaya ibadat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang bertakwa.

ANTARA PERISTIWA DI BULAN SYAABAN

1. Berkata Imam Nawawi: Hari Nisfu Syaaban pada 15 haribulan tahun kedua Hijrah telah berlaku pertukaran kiblat umat Islam. Iaitu dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah di Masjid al-Haram.

2. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada tahun kelima Hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam.

 

3. Berlaku peperangan Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.

ANTARA AMALAN DI BULAN SYAABAN

Memperbanyakkan Puasa Sunat

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:

Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W. menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan berpuasa sepertimana pada bulan Syaaban.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:

Nabi Muhammad S.A.W. tidak banyak berpuasa melainkan pada bulan Syaaban dan baginda telah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban. Dan adalah baginda bersabda: Lakukanlah amalan yang mana kamu mampu membuatnya maka sesungguhnya Allah tidak membebankan (mewajibkan) kamu sehingga kamu merasa berat dengan bebanan. Dan apa yang disukai oleh Rasulullah S.A.W. adalah sembahyang (sunat) yang sentiasa dibuat sekalipun sedikit. Dan adalah baginda apabila mendirikan sembahyang maka baginda sentiasa berterusan di dalam berbuat demikian.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebuah hadis Nabi S.A.W. yang bermaksud:

Rasulullah S.A.W. telah berpuasa sebahgian besarnya dari bulan Syaaban.

 

(Riwayat Nasaie).

Melazimi Berzikir dan Berdoa

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Allah mencurahkan kebajikan pada empat malam iaitu malam Raya Haji, malam Raya Puasa, malam Nisfu Syaaban dan malam Arafah.

(Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Doa merupakan otak kepada ibadat.

(Riwayat al-Tirmizi).

Saidatina Aisyah RAnha berkata yang bermaksud:

Adalah Rasulullah S.A.W. mengingati Allah (berzikir kepada Allah) setiap masa.

 

(Riwayat Muslim).

Sentiasa Bertaubat dan Beristighfar

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.

 

(Surah an-Nur: Ayat 31).

5 Tips kawal nafsu jahat dalam diri

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Mukmin tak harus biar jiwa dibuai perasaan hingga terjebak ke lembah hina

SEMEMANGNYA sukar untuk membina keseimbangan dalam mengendalikan akal dan nafsu dengan sempurna kerana ada kalanya kita berjaya juga ditakluk nafsu liar yang membawa kita ke kancah bertentangan aturan agama.
Namun, sebagai mukmin tidak seharusnya membiarkan jiwa dan hati terus ‘ditumbangkan’ oleh nafsu yang hina, sebaliknya kita wajib berusaha sedaya upaya demi terbina kehidupan yang diredai Allah.
“Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati, menyinari hidup dan mati, dan memudahkan jalan ke syurga.” – Saidina Ali bin Abi Talib
Analogi kehidupan manusia ibarat berada di satu persimpangan jalan, antara jalan kiri dan kanan. Jalan kanan kita umpamakan akal fikiran dan jalan kiri adalah hawa nafsu. Seandainya kita memilih jalan ke kanan, menggunakan akal dengan maksimum akan menaikkan darjat berbanding malaikat.

Namun jika kita tersalah pilih melalui jalan kiri, iaitu menuruti saja kehendak hawa nafsu bermakna kita menjadi hina.

Dalam mengendalikan diri supaya dapat memerangi nafsu buruk, Saidina Abu Bakar As-Siddiq ada mengemukakan petua cukup efektif buat kita semua. Kata beliau, untuk memerangi nafsu liar atau buruk hendaklah seseorang itu menggunakan lima pendekatan iaitu;

Pertama : n solat Jumaat sebagai pengatur nafsu.
Kata Abu Bakar, sebelum mendirikan solat Jumaat, makmum akan mendengar isi khutbah terlebih dulu yang di awalnya disisipkan nasihat supaya bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kita mati melainkan dalam Islam.

Memang tepat, apa Abu Bakar sarankan itu kerana saban minggu golongan lelaki yang bersolat Jumaat secara berjemaah di masjid mengikuti khutbah. Nasihat khatib sedikit sebanyak akan menginsafkan kita supaya sentiasa bermuhasabah diri.

Rasulullah SAW ada berpesan supaya makmum tidak bercakap ketika khutbah disampaikan. Malah, Rasulullah SAW memberi amaran bahawa amalan solat Jumaat menjadi sia-sia tanpa sebarang pahala jika bercakap semasa khutbah disampaikan.

Jadi, amat malanglah kerana bukan perkara luar biasa yang dapat kita lihat dalam masyarakat, makmum datang lewat ke masjid sedangkan khatib hampir selesai bacaan khutbah. Khutbah Jumaat seharusnya menjadi penyegar motivasi yang menjana keperkasaan iman dan takwa kepada Allah.

Kedua : Membiasakan diri membaca al-Quran dengan memahami dan meyakini ertinya.
Kata Abu Bakar, nikmat membaca al-Quran hanya dapat dirasai mereka yang pernah mengamalkannya, kerana itu jadikanlah amalan membaca al-Quran sebagai sesuatu yang tidak boleh diabaikan.

Melihat kepada petua kedua beliau, jelas kepada kita meninggalkan atau memencilkan amalan membaca al-Quran boleh mengakibatkan seseorang cepat hanyut dibuai kegilaan mengejar duniawi tanpa batasan.

Membudayakan bacaan al-Quran akan mewujudkan keinsafan tinggi ke arah membina gaya hidup murni yang menepati kehendak agama.

Kata Saidina Ali bin Abi Talib, “Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati, menyinari hidup dan mati, dan memudahkan jalan ke syurga.”

Ketiga : Jangan lupa daratan dan jangan sekali-kali mendekati tempat yang mendorong kepada perbuatan maksiat atau kejahatan.

Sesungguhnya mendekati lokasi maksiat akan menjadi penyebab tergelincirnya seseorang ke lembah hina. Pesanan Abu Bakar ini adalah langkah pencegahan berteraskan pemikiran proaktif. Maknanya, kita mengambil langkah awalan agar supaya tidak terjebak maksiat.

Keempat : Tunjukkanlah bahawa kita adalah makhluk sosial harus tunduk kepada kaedah umum yang diciptakan masyarakat dan kaedah ditentukan Allah.

Pesanan Abu Bakar ini mengajar kita supaya tidak menjadi seperti ‘kera sumbang’ yang mengasingkan diri daripada kegiatan bermasyarakat dengan mengikuti segala adat dan norma sosial setempat selagi tidak bertentangan agama.

Kaedah ini sebenarnya mampu membentuk jiwa mengutamakan hubungan ukhwah sesama ummah dan manusia sejagat. Bersosial secara aktif dalam acuan patuh dan taat dengan norma masyarakat serta perintah Allah akan memberikan spektrum kehidupan harmoni dan murni.

Kelima : Sering membaca ayat 6 hingga 7, surah al-Fatihah yang bermaksud, “Tunjuklah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang telah Engkau berikan atas mereka nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan-jalan mereka yang sesat.”

Memang kita sudah biasa sangat membaca ayat Allah ini semasa mendirikan solat, namun persoalannya apakah kita memahami dengan mendalam akan maknanya serta cuba bersungguh membina kehidupan atas landasan yang lurus dan benar di sisi Allah?

Percayalah, seandainya kita dapat hayati dengan teliti dan penuh insaf semasa membaca ayat surah al-Fatihah, tentu kita mengelolakan nafsu supaya tidak tersasar jatuh ke kancah yang hina.

Inilah lima petua untuk mengendalikan nafsu dengan sempurna

Peristiwa penting pada bulan Sya’aban

1. Penukaran Arah Kiblat

Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat. Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.

2. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang putri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

2 syarat utama ibadat diberkati

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Buat kebajikan dengan ikhlas, tidak menyekutukan Tuhan

BOLEH dikatakan semua orang yang beriman mempunyai keinginan dan hasrat untuk mendapatkan ganjaran pahala, balasan yang baik, kebahagiaan pada hari kebangkitan, al-falah (kejayaan) di dunia dan di akhirat, dan yang paling kemuncak ialah keredaan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Esa. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” (Surah al-Kahfi ayat 110).
… Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah menyekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. – Al-Kahfi, ayat 110
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)” (Surah al-Hajj ayat 77).

Berdasarkan kedua-dua ayat ini, jelaslah bahawa untuk mendapatkan semua keinginan yang dinyatakan di atas, ada dua syarat utama yang perlu dilaksanakan oleh seseorang Muslim. Pertama, mengerjakan amal ibadat dan amalan-amalan kebajikan, dan kedua, tidak menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu makhluk yang lain.

Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, kedua-dua perkara ini adalah rukun dalam penerimaan sesuatu ibadat yang dikerjakan itu. Maksudnya, sesuatu amal ibadat itu perlu dilakukan dengan penuh ketauhidan dan keikhlasan kepada Allah SWT. Selain itu, ia juga hendaklah mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sebenarnya, hal ini bertepatan dengan peristiwa yang menjadi sebab penurunan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi. Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Ibn Abi al-Dunya daripada Tawus bahawa seorang lelaki berkata: “Ya Rasulullah! Aku ini seorang yang tabah dalam berperang dan sangat mengharapkan keredaan Allah SWT. Namun pada masa yang sama aku juga ingin kedudukanku dilihat oleh orang lain.” Rasulullah SAW tidak sedikit pun memberikan respons berhubung perkara ini sehingga turunlah ayat 110 daripada Surah al-Kahfi sebagai pegangan kepada orang yang mengharapkan keredaan Allah SWT (Dipetik daripada al-Suyutiy dalam Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul, No. Hadis 590).

Dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abi Salih daripada Ibn ‘Abbas ra ada menyatakan bahawa Jundub bin Zuhayr apabila bersolat atau berpuasa atau bersedekah, dia menginginkan orang lain menyebut dan memujinya. Dalam hal ini, dia lebih mengutamakan pujian manusia daripada mengharapkan keredaan Allah SWT. Berhubung peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat 110 daripada Surah al-Kahfi ini (Dipetik daripada al-Syawkaniy dalam Fath al-Qadir).

Kedua-dua hadis ini menerangkan bahawa ketidakikhlasan dalam melakukan sesuatu amal kebaikan menyebabkan seseorang Muslim itu terhalang daripada mendapat keredaan Allah SWT. Apabila dia tidak mendapat keredaan Allah SWT, maka dia tidak akan mendapat al-falah.

Hal ini dijelaskan juga dalam sebuah hadis lain, iaitu hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT kerana hendak mencari keredaan manusia, Allah SWT akan memurkainya dan menjadikan setiap orang yang meredainya itu benci terhadapnya. Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dibenci oleh manusia, nescaya Allah SWT akan meredainya dan menjadikan setiap yang membencinya itu reda terhadapnya sehingga keredaan Allah SWT itu menghiasi dirinya, percakapannya dan amalannya. Dalam hal ini dia mendapat perhatian Allah” (Riwayat al-Tabrani, No. Hadis 11696).

Sebenarnya hadis ini menerangkan mengenai dua perkara, iaitu keredaan dan kemurkaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT dapat menjamin kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas keredaan itu ialah berdasarkan kepada perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT walaupun ia bertentangan dengan kemahuan manusia. Kemurkaan Allah SWT pula akan mengundang balasan buruk di dunia dan di akhirat. Ia bergantung pada amalan buruk manusia, iaitu perbuatan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis.

Dengan kata lain, sesiapa yang berusaha mendapatkan keredaan Allah SWT, maka Allah SWT akan menolong dan memeliharanya serta mendapat perhatian-Nya. Bagi sesiapa yang mengharapkan keredaan makhluk pula, iaitu dengan membuat perkara yang dimurkai oleh Allah SWT, maka Allah SWT tidak akan memberikannya pertolongan dan perhatian-Nya. Dengan ini, dia tidak akan bahagia di dunia dan di akhirat.

Jelas di sini bahawa setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh ketauhidan, keikhlasan dan mematuhi syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW, maka ia akan diredai Allah SWT. Setelah mendapat keredaan Allah SWT, seseorang hamba itu akan mendapat al-falah di dunia dan di akhirat sebagai hasilnya.

Sebenarnya, keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang boleh menentukan kedudukan seseorang manusia sama ada mulia atau hina. Malah keredaan Allah SWT dan Rasul-Nya itulah keredaan yang hakiki. Ia patut dicari oleh setiap manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Mereka bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredaan-Nya jika mereka adalah orang yang beriman” (Surah al-Tawbah ayat 62).

Panjang angan-angan sifat tercela

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup, manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
Mukmin yang betul-betul beriman tidak akan mudah berputus asa kerana segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Syaitan akan sentiasa mencari ruang untuk menyesatkan manusia.
Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan
Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh mencapai sesuatu dan meminta pertolongan Allah SWT supaya dengan ihsan-Nya, Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha dilakukan kerana sebijak atau sekuat mana manusia, tetap berhajat pertolongan serta pimpinan Allah SWT.

Kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah Maha Berkuasa. Allah menjelaskan, sesuatu yang boleh diusahakan manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

Jika usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan reda, tenang, tenteram kerana hal itu pasti mengandungi hikmah tersendiri yang hanya diketahui Allah.

Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak reda kepada takdir serta ketentuan Allah Yang Maha Esa

10 pesanan jadi isteri solehah

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

HATI ibu mana yang tidak gembira tatkala anak gadisnya dipinang orang. Sukanya hati bukan kepalang lalu pelbagai langkah bersiap untuk melangsungkan pernikahan dijalankan menurut tertib dan adat.

Biasanya ibu dan ayah akan bertungkus-lumus berusaha menjadikan majlis akad nikah puteri kesayangannya dengan penuh komitmen supaya meriah dan ceria.
Adalah wajar ibu bapa pengantin wanita memberikan petua dan nasihat buat anaknya yang bakal melangsungkan pernikahannya. Nasihat supaya anak memelihara dan menjaga alam rumah tangganya sebaik yang terdaya.
Inilah yang pernah dilakukan isteri ‘Auf ibnu Mihlam Asy-Syaibani yang dikatakan ada memberi nasihat kepada puterinya yang akan bernikah dengan Raja Kindah.

Pesan isteri ‘Auf Ibnu Mihlam Asy-Syaibani: “Puteriku, kini engkau meninggalkan tempat kelahiran menuju rumah baru dan orang baru yang belum pernah engkau ketahui keadaan dan wataknya. Maka, jadilah engkau sebagai pengabdi yang baik bagi suamimu, supaya dia menjadi pengabdi yang baik juga bagimu. Perhatikan baik-baik sepuluh perkara daripadaku supaya ia menjadi modal bagi hidupmu.”

Begitulah kasihnya isteri ‘Auf terhadap anak gadisnya, tetapi kasihnya itu bukan mengadakan majlis besar-besaran dan serba mewah, kasih sayang dizahirkan melalui kaedah menyalurkan nasihat berguna buat anaknya melayari alam rumah tangga supaya aman sejahtera dan bahagia.

Pesanan pertama kepada anaknya: “Jadilah engkau sebagai pendamping hidupnya yang selalu menerima apa adanya. Sebenarnya nasihat isteri ‘Auf itu bertepatan kehendak agama kerana sikap qanaah, bersedia dengan hati lapang terhadap kemampuan suami, menu keharmonian rumah tangga.
Erti kata lain, isteri tidak sesekali membebankan suami yang di luar batas kemampuannya. Inilah seharusnya ada pada diri seorang isteri solehah.

Seterusnya pesanan kedua beliau: “Bergaullah engkau bersama suamimu dengan cara mendengar dan mentaatinya.”

Seorang Ulama’ pernah mengatakan: “Seseorang isteri itu hendaklah memberikan layanan pada suaminya, memelihara anak, mengatur urusan rumah tangga sebaik mungkin. Hendaklah dia memberikan layanan pada suami dengan layanan yang wajar dan sesuai keadaan.”

Isteri ‘Auf berkata lagi: “Tunjukkanlah dirimu di hadapan matanya sebagai seseorang yang paling menarik baginya dan tampilkan dirimu di hadapan hidungnya sebagai seseorang yang paling harum.”

Kebijaksanaan dan kesediaan isteri menonjolkan imej peribadi dalam aspek lahiriah dan dalaman mampu mewujudkan hubungan lebih intim pasangan suami isteri. Ia ibarat suatu tembok pengukuh dalam membina keluarga bahagia melalui landasan diredai Allah.

Beliau juga berpesan supaya memperhatikan penjadualan waktu makan yang betul dan tepat serta menjaga ketenteraman masa tidur. Jadi, jika diteliti apa dipesan isteri ‘Auf kepada anak gadisnya, sesuai dan relevan dijadikan sebagai pedoman kita semua.

Pesanan lain, “Sesungguhnya kelaparan seseorang akan menyebabkannya mudah beremosi dan kurang tidur pula menyebabkan seseorang itu mudah melepaskan kemarahan.”

Ini adalah langkah proaktif isteri mengelakkan suasana kurang baik dalam berkomunikasi dan berhubungan dengan suami. Memang lumrah manusia, emosi menjadi kurang stabil dan mudah dibelenggu rasa kurang tenang apabila perut lapar atau kurang tidur.

Lagilah bahaya kerana emosi negatif boleh meletup tanpa disangka. Justeru, apa yang disarankan isteri ‘Auf adalah jalan pintas untuk membendung anasir negatif daripada muncul dalam rumah tangga.

Mengamalkan budaya mencintai kebersihan juga ditonjolkan dalam wasiatnya supaya anaknya menjaga kebersihan tempat tinggal, keamanan harta suami dan berikan perhatian kepada suamimu serta keluarganya.

Jika kita amati pesanan itu, kita akan jumpa peringatan terbaik mengenai penjagaan persekitaran rumah tangga yang ceria dan bersih. Juga terselit ingatan supaya isteri menjadi seorang yang beramanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.

Pesanan beliau selanjutnya dikira penting dipelihara rapi oleh isteri. Kata beliau: “Janganlah engkau membuka rahsia suamimu kepada orang lain dan jangan engkau melanggar perintahnya. Islam menegah isteri menceritakan hubungannya dengan suami atau hal rumah tangga kepada orang lain.

Yang terakhir katanya: “Janganlah engkau berasa susah ketika dia dalam keadaan senang dan janganlah engkau berasa senang ketika dia dalam keadaan susah, kerana yang pertama termasuk moral yang tidak sesuai dan yang kedua termasuk merosakkan suasana. Jadilah engkau orang paling mengagungkan suamimu, agar dia menjadi orang yang paling memuliakanmu.”

Begitulah pesanan bermanfaat dan cukup indah dikemukakan isteri ‘Auf Ibnu Syaibah kepada anak gadisnya. Ibu bapa sewajarnya menitipkan pesanan untuk dijadikan panduan kepada anak yang akan melangsungkan pernikahan demi kesejahteraan rumah tangga mereka.

INFO: 10 pesanan jadi isteri solehah

Sentiasa menjadi pendamping suami, menerima segala kekurangan dan tidak membebankan suami.
Mendengar dan mentaati suami.
Memberi layanan baik kepada suami, pelihara anak dan menjaga rumah tangga.
Sentiasa tampil menarik dan wangi untuk suami.
Mampu mewujudkan hubungan intim yang baik dengan suami.
Menjaga makan minum suami yang betul, tepat serta waktu tidur bagi elak emosi suami terganggu.
Sentiasa menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal.
Amanah menjaga harta benda dalam rumah tangga.
Isteri tidak boleh membuka aib suami dan hal rumah tangga kepada orang lain.
Isteri kena jadi orang yang paling mengagungkan suami.

7 petunjuk kebahagian umat Islam di dunia

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Bersyukur mendapat nikmat, mencari rezeki dari sumber halal antara dituntut agama

IBNU Abbas salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang diberi gelaran Turjumanul Quran yang bermaksud ahli yang pakar dalam menterjemah dan mentafsirkan al-Quran.
Dia sangat tekun menjaga dan melayani Rasulullah SAW sehingga pernah didoakan secara khusus oleh Rasulullah SAW supaya dikurniakan kefahaman mendalam dalam agama dan ilmu takwil al-Quran.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu berdoa dengan doa yang amat baik, namun makanan, minuman, dan pakaian serta tempat tinggalnya diperoleh dari sumber haram, maka bagaimana mungkin doanya akan dimakbulkan Allah SWT?”
Pada usia sembilan tahun, Ibnu Abbas menghafal al-Quran dan menjadi imam di masjid. Sejak kecil, Ibnu Abbas sudah menunjukkan kecerdasan luar biasa dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu.

Pelbagai gelaran diberikan kepada Ibnu Abbas antaranya Faqih al-Ashr (ahli fekah pada zamannya), Imam al-Mufassirin (penghulu ahli tafsir), dan al-Bahr (lautan ilmu).

Pada suatu hari, Ibnu Abbas ditanya oleh seorang tabiin mengenai petunjuk kebahagiaan dunia yang dinikmati oleh Muslim. Lantas, Ibnu Abbas menjawab, terdapat tujuh petunjuk kebahagiaan dunia.

Pertama, hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan.
Kedua, pasangan hidup yang salih akan mewujudkan suasana rumah tangga serta keluarga yang salih pula. Pada hari akhirat kelak, seorang suami yang juga imam dalam lingkungan keluarganya, akan diminta pertanggungjawaban mengajak isteri dan anaknya ke arah kehidupan salih.

Selanjutnya, isteri solihah akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani kerenah suami dan pelbagai ragam tabiat anak-anaknya.

Ketiga, anak yang salih. Anak sebenarnya amanah dan ujian daripada Allah kepada setiap ibu bapa. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam meninggal, maka terputuslah pahala seluruh amalannya kecuali pahala daripada tiga perkara; iaitu amalan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang selalu mendoakan untuk kesejahteraan kedua orang tuanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Ghazali ada menegaskan: “Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Hatinya yang masih bersih adalah mutiara berharga yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap.”

Pernah satu ketika, Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang anak muda yang selalu menggendong ibunya yang uzur. “Ya Rasulullah, apakah aku termasuk
berbakti kepada orang tua?” Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya Allah SWT amat reda kepadamu, kamu adalah anak yang salih dan berbakti kepada dua orang tua, akan tetapi wahai anakku, ketahuilah bahawa cinta orang tuamu itu tidak akan terbalaskan olehmu sampai bila-bila.”

Keempat, persekitaran yang kondusif untuk iman kita. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama orang yang benar.” (Surah al-Taubah, ayat 119)

Justeru, Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf.

Kelima, harta yang halal. Islam mengutamakan kualiti harta, bukannya kuantiti. Diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah bertemu seorang sahabat yang mengangkat tangan lalu berdoa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu berdoa dengan doa yang amat baik, namun makanan, minuman, dan pakaian serta tempat tinggalnya diperoleh dari sumber haram, maka bagaimana mungkin doanya akan dimakbulkan Allah SWT?”

Keenam, semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Semakin lama, mendalam dia belajar dan menuntut ilmu agama, maka semakin tinggi serta mendalam cintanya kepada agama, semakin menebal pula cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya, kerana semangat memahami dan mendalami ilmu agama akan menghidupkan hatinya.

Justeru, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kelebihan seorang berilmu berbanding dengan seorang abid adalah ibarat kelebihan bulan purnama yang terang benderang di sisi gugusan bintang bergemerlapan dan cakerawala yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Ketujuh, umur yang diberkati Allah SWT. Semakin tua seseorang itu, maka dia menjadi semakin salih seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Oleh itu, setiap detik dan saat yang dilaluinya, akan diisi dengan amal ibadah.

Benarlah apabila seorang ahli sufi terkenal berkata: “Wahai anak cucu Adam! Hidup kamu hanyalah himpunan hari-hari yang dapat dihitung. Bila berlalunya satu hari bererti hilanglah sebahagian darimu. Dan jika hilang sebahagian darimu, maka bertambah dekatlah masa matimu. Sekiranya kamu mengetahui dan menginsafi hal ini, hendaklah kamu beramal salih.”