• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,711 orang
  • Kandungan Blog

Semak arah kiblat guna Matahari petang Esok 28 Mei

KUCHING 25 Mei – Umat Islam di seluruh negara berpeluang menyemak arah kiblat menggunakan teknik bayang matahari pada pukul 5.18 petang, Ahad ini.

Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sarawak berkata, peluang keemasan itu tidak wajar dilepaskan kerana fenomena istiwa’ matahari yang menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah di seluruh dunia hanya berlaku dua kali setahun iaitu pada Ahad ini dan 15 Julai depan.

Tambahan pula, katanya, penggunaan teknik bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa itu matahari berada tepat di langit bersamaan dengan latitud Kaabah.

“Fenomena istiwa’ matahari berlaku dua kali dalam setahun iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah utara dalam bulan Mei dan ketika matahari kembali ke ekuinoks dalam bulan Julai.

“Fenomena itu berlaku pada 28 Mei dan 16 Julai setiap tahun kecuali pada tahun lompat. Memandangkan 2012 merupakan tahun lompat, maka tarikh akan berganjak lebih awal iaitu pada 27 Mei dan 15 Julai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bahagian berkenaan berkata, jika berpeluang berada di Masjidil Haram ketika itu, seseorang berpeluang melihat Kaabah serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah tidak ada bayang-bayang.

Katanya, pada saat itu, waktu di Mekah adalah 12.18 tengah hari dan di Malaysia ialah 5.18 petang.

“Jika memandang ke arah matahari (pada waktu itu), bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.

“Istiwa’ matahari di atas Kaabah akan menyebabkan bayang semua objek tegak 90 darjah di seluruh dunia bersamaan dengan arah kiblat dan ini boleh dilihat pada 27 Mei dan 15 Julai ini ketika menghampiri waktu zuhur di Mekah.

“Mengikut pengiraan pada 15 Julai ini pula, istiwa’ matahari di atas Kaabah tepat pukul 12.27 tengah hari waktu Mekah yang bersamaan pukul 5.27 petang waktu Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bahagian berkenaan turut membandingkan ketepatan teknik bayang matahari untuk menentukan arah kiblat berbanding penggunaan teknik lain seperti kompas.

Katanya, kompas berfungsi berdasarkan medan magnet bumi dan jika ada sumber medan magnet yang berdekatan seperti besi, aliran elektrik dan lain-lain, penunjuknya akan terpesong.

“Jika kita tidak berhati-hati ia akan memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.

“Objek-objek di angkasa merupakan sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun,” katanya

Gerhana matahari di rantau Pasifik

KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun semalam.

HONG KONG – Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan beberapa tempat lain di timur Asia semalam untuk melihat fenomena gerhana matahari cincin yang jarang berlaku.

Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat seketika ekoran cuaca mendung.

Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus selepas matahari terbit.

“Awan beredar dan sinaran matahari menyinari permukaan air, ia amat cantik,” kata Kurator Muzium Angkasa Lepas Hong Kong, Chan Ki-hung.

Gerhana berkenaan dapat dilihat dengan lebih jelas di beberapa bahagian lain di China, Jepun dan Filipina apabila matahari kelihatan seperti sebentuk cincin kerana dihalang oleh bayang bulan.

“Ia seperti sebentuk cincin. Gerhana itu menyebabkan saya terkenang saat-saat melamar isteri saya pada suatu masa dahulu,” kata Shigeru Seo yang menyaksikan gerhana itu bersama isterinya di Teluk Shiono, barat Jepun.

Keajaiban alam tersebut dapat dilihat di sepanjang pantai Jepun termasuk Tokyo, Nagoya dan Osaka.

Di kebanyakan kawasan di Jepun fenomena itu mencatatkan sejarah apabila gerhana matahari cincin berkenaan merupakan yang pertama dilihat oleh penduduk tempatan sejak 932 tahun dahulu.

Selain Jepun, keajaiban alam itu turut disaksikan oleh berjuta-juta penduduk di rantau Pasifik dan Amerika Syarikat (AS).

Gerhana cincin berlaku apabila bulan melintasi matahari tetapi berada terlalu jauh dari Bumi untuk ‘menenggelamkan’ keseluruhan bayang matahari.

Kedudukan tersebut menyebabkan matahari kelihatan seperti cincin berapi.

Kali terakhir gerhana matahari cincin yang juga disebut gerhana matahari anulus berlaku di sini adalah pada tahun 1958.

Penduduk di sini ini perlu menunggu hingga tahun 2320 untuk menyaksikan gerhana matahari cincin seterusnya.

Gerhana itu berlaku petang kelmarin mengikut waktu AS.

“Ia mengagumkan,” kata seorang pelajar, Marcos Dopoto di Albuquergue, New Mexico.

Imej seperti cincin itu dapat dilihat selama lima minit di beberapa kawasan di dunia. – Agensi

Majlis Ilmu bersama Kiyai Hj Zezen Zaenal Abidin Selasa ini

Majlis ilmu bersama Kiyai Hj Zezen Zaenal Abidin Zayadi Bazuul Asyhab yang merupakan Ketua Ulama’ Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia dan juga merupakan Mudir Pasentren Sukabumi.

Tarikh : Selasa 1 Rejab 1433H bersamaan 22 Mei 2012M

Masa : Lepas Zohor dan Lepas Asar

Tempat : Masjid Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai dalam memeriahkan lagi majlis ilmu bersama Ulama’ yang terkenal dalam bidang tasawuf ini

Antara kitab yang bakal didiskusi ialah Tafsir al-Jalalain, Sirrul Asror, Miftahus Shudur, al-Hikam dan Tanwirul Qulu

5 kaedah disiplinkan anak

Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan lima panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya.

“Pertama, menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan.

“Kita pernah mendengar orang tua kata, anak adalah cermin ibu bapanya. Kalaulah ibu atau ayahnya seorang yang baik sudah pasti anaknya juga begitu.

“Kedua, memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa.

“Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya.

“Ketiga, menggunakan nasihat dan bimbingan. Anak mana yang sentiasa berdisiplin dan dengar kata. Sudah pasti ada kenakalan atau ragam mereka yang perlu kita tegur.

“Ini selaras dengan dasar pendidikan agama iaitu, nasihat. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka.

“Keempat, pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa.

Apabila anak meningkat remaja ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama.

“Kelima, disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah.

“Ajar anak dengan contoh persekitaran mereka seperti pencuri akan ditangkap polis dan dihukum. Ini satu bentuk gambaran kepada keterbatasan tindak tanduk anak, iaitu mereka boleh bergembira tetapi ada batasannya

Kenangan Majlis Selawat bersama Tuan Guru Hj Hashim

Bersungguh balas jasa ibubapa

Oleh KHAIRIA ISMAIL

KELAHIRAN seorang anak pastinya disambut riang dan penuh kesyukuran oleh ibu dan bapa. Kelahiran si anak itu telah memberi rahmat yang bukan sedikit ke atas sesebuah keluarga.

Untuk membesarkan anak, ibu dan bapa sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk melihat anaknya hidup dalam situasi yang sempurna dan berjaya dalam kehidupan kelak. Jarang sekali ibu dan bapa yang mengungkit dan mengharapkan balasan kebendaan daripada anak-anak yang telah hidup berjaya. Bagi mereka cukuplah dengan ingatan dan kasih sayang yang berterusan.

Dalam meniti usia tua, sesungguhnya ibu dan bapa mengharapkan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak mereka. Itu sudah memadai bagi mereka dan bukannya pemberian emas dan permata. Adakah anak-anak yang telah dewasa dan berjaya dalam hidup akan sedar tentang tanggungjawabnya terhadap ibu dan bapa?

Kita tentu merasa sedih bila membaca dan melihat ada anak-anak yang tidak menghiraukan ibu bapa mereka yang telah tua. Lebih malang, ada yang tergamak menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Tindakan sedemikian merupakan perbuatan yang tidak bertanggung-jawab.

Jelas, ia menampakkan anak-anak yang tergamak berbuat demikian tidak mempunyai perasaan kasih sayang yang mendalam terhadap ibu dan bapa mereka. Anak-anak sedemikian sering memberi alasan bahawa mereka terlalu sibuk dengan urusan mereka sendiri sebagai alasan untuk melepaskan diri dari tanggung-jawab menjaga ibu bapa mereka.

Hakikatnya, menjaga kedua ibu dan bapa bukanlah satu bebanan. Mengapa anak-anak tidak sanggup berkorban sedikit menjaga ibu dan bapa mereka yang sudah tua sedangkan ketika kecil dahulu ibu dan bapa telah begitu banyak berkorban untuk masa depan anak-anak mereka?.

Lebih memilukan masih ada lagi di kalangan anak-anak yang menderhakai ibu dan bapa, melayani mereka seperti hamba atau orang gaji sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, firman Allah SWT (yang bermaksud): Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sudah tua dalam jagaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (al-Isra’: ayat 23)

Ibu dan bapa adalah dua insan yang patut dan mesti di hormati dan dikasihi. Tanpa keduanya siapalah kita. Kedua mereka perlu dijaga dan dihargai terutama di usia tua mereka. Jangan sampai kita terlupa sesuatu di mana dalam mengejar kemewahan hidup, kita telah menyingkir ibu dan bapa kita. Kita terlupa memberi ruang waktu untuk berkhidmat bakti kepada mereka.

Peringatkanlah kepada sesiapa sahaja bahawa sesungguhnya dosa kepada kedua ibu dan bapa akan disegerakan balasannya oleh Allah SWT, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, bermaksud: Semua dosa diakhirkan oleh Allah menurut kehendakNya sehingga hari kiamat kecuali dosa menderhakai ibu bapa kerana sesungguhnya Allah menyegerakan (seksaan) bagi pelakunya sewaktu hidup sebelum dia mati. (riwayat Bukhari, Tabrani dan Hakim daripada Abu Bakr r.a.)

Iktibar berpedoman bagi kita semua ialah supaya kita mengasihi ibu bapa sebagaimana mereka mengasihi, mendidik dan mengasuh kita ketika kecil. Hidup ini hanya sementara. Carilah laluan terbaik agar kita tidak kecundang selamanya. Biarlah pengisian sementara ini bermakna buat kita selamanya. Kasihi dan kasihanilah ibu dan bapa kita setiap detik yang ada.

Insya-Allah hidup kita berkat selamanya sebagaimana yang diajarkan dalam al-Quran doa untuk keduanya: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra’: ayat 24)

Cara untuk khusyu’ dalam solat

1. Mengenal Allah dengan mendatangkan kebesaranNya serta perasaan takut kepadaNya

2. Yakin bahawa solat adalah pertemuan antara hamba dengan Allah serta tempat untuk bermunajat bagi mendekatiNya

3.Ikhlas semata-mata kerana Allah ketika menunaikan solat

4. Mendatangkan hati untuk sentiasa ingat kepada Allah dan mengosongkan hati daripada mengingati perkara selain Allah

5. Menjauhkan daripada memberi tumpuan kepada perkara lain dalam hati dan tidak melakukan pergerakan anggota yang sia-sia

6. Tadabbur dan memerhati dengan cermat terhadap segala perbuatan dan zikir dalam solat

7.Cermat dan beradab ketika solat tanpa sikap gopoh gapah dan terburu-buru semasa menunaikannya

8. Pastikan tubuh badan cergas dan bersemangat ketika menunaikan solat

9. Memilih tempat yang sempurna dan selesa bagi memastikan kita dapat menunaikan solat dalam keadaan kyusu’

10. Mengelak daripada mendirikan solat ketika kita terganggu dengan urusan atau keadaan yang mengurangkan perhatian kita terhadap solat seperti keadaan berikut :

a. Solat ketika makanan telah dihidangkan dan kita pula memang sedang lapar

b. Solat dalam keadaan panas yang membahang

c. Melihat kepada perkara yang melalaikan perhatian terhadap solat

d. Solat dalam keadaan menahan diri untuk membuang air kecil atau besar

11. Menyediakan dinding atau tabir ketika solat agar tidak terganggu oleh perkara lain

12. Memanjangkan bacaan surah dalam solat

13. Merasakan bahawa solat yang mahu ditunaikan itu merupakan solat terakhirnya kerana merasai dia akan mati bila-bila masa

14. Memperbanyakkan solat-solat sunat lain agar ketika mendirikan solat fardhu maka kekyusukan lebih mudah dijaga

15. Mendirikan ibadat sunat pada waktu malam

Peranan besar Tok Kenali dalam perkembangan Islam

TOK KENALI atau Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada tahun 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “balik buka pondok!”

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah seperti berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang masin (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau).

Beliau juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.

Beliau meninggal dunia dalam usia 65 tahun pada 19 November, 1933.

Tenaga penting majalah Pengasuh

Beliau adalah tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahl iMajlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.

Beliau membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. Di sinilah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama, yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di samping mengajar, Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.

Gandingan ulama dan umara

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali juga turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.

Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar) Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara pentadbiran.

Beliau pernah bertanyakan Tok Kenali berhubung cara untuk memajukan bandar Kota Bharu. Tok Kenali mencadangkan agar membina banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.

Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali.

Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.

Mengajar di Masjid Muhammadi

Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi.

Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar).

Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia). Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.