• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu.

 Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.

Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.

Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949

Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950

Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952

Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953

Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers

Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, “kalau menangis pun bukan nak lega”. Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah

Kelas khas Muslimat mula daftar 1 Mei

Terbuka untuk 30 orang muslimat sahaja terutama lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan umum

Tarikh : Mulai Mei 2012 dalam jangkamasa 1-3 bulan

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 30 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

 

 

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 16 tahun ke atas (terhad 30 orang sahaja)
  • RM 10 pendaftaran dan RM 40 per bulan (meliputi penginapan, elektrik dan air)
  • RM 6 – RM9 sehari bagi minggu pertama untuk makan minum manakala urusan makan minum selepas itu akan diurus sendiri oleh pelajar samada masak secara kumpulan atau beli di kedai berhampiran

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Bab Haidh dan Nifas
  • Kitab Penawar Bagi Hati
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : bakriah1954@gmail.com

Kemungkaran dalam harta yang dimiliki

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Dalam harta yang dimiliki pula ada dua kemungkaran iaitu:

  1. Mensia-siakan harta
  2. Terlalu boros dalam membelanjakan harta

Mensia-siakan harta, bererti membelanjakan harta itu tanpa mendapat apa-apa faedah daripadanya, seperti membakar pakaian dan mengoyak-ngoyaknya, atau apa saja yang boleh dikategorikan dalam pengertian mengeluarkan harta ke jalan kemusnahan dan kemungkaran.

Dan terkira kemungkaran juga, bila dibelanjakan harta dalam perkara-perkara yang harus, tetapi amat melampaui batas dan amat keterlaluan. Manakala maksud dari pengertian keterlaluan itu pula berbeda-beda menurut perbedaan keadaan-keadaannya.

Cuba lihat pula firman-firman Allah berikut:

“Janganlah membukakan tanganmu itu seluas-luasnya (terlalu murah hati), maka nanti kamu jadi tercela dan sengsara.” (al-Isra’: 29)

“Janganlah kamu terlalu boros (dalam membelanjakan hartamu), sesungguhnya orang-orang yang boros itu menjadi kawan-kawan syaitan, sedangkan syaitan kufur (ingkar) kepada Tuhan.” (al-Isra’: 26-27)

“Dan orang-orang yang bila membelanjakan hartanya tiadalah terlalu boros dan tiada pula terlalu kikir, bahkan mereka berlaku sederhana dalam kedua hal itu.” (al-Furqan: 67)

Apabila seseorang hanya memiliki RM100.00 misalnya, sedangkan ia mempunyai keluarga yang besar dan anak-anak pun banyak, dan tiada lagi baginya pendapatan selain itu, lalu ia membelanjakan semua wang itu untuk mengadakan suatu jemputan makan, maka ia adalah dicap seorang musrif (boros) yang mesti dan wajib dihalang.

Begitu juga jika ia membelanjakan semua wangnya itu untuk melukis dinding-dinding rumah dan menghiaskannya, maka itu juga dikira boros yang termasuk dalam larangan Allah, seperti tersebut ayat-ayat dia atas tadi.

Tetapi sekiranya ia melakukan yang demikian itu, sedangkan ia seorang yang kaya mempunyai wang yang banyak, maka tiadalah haram baginya dalam melukis dan menghiaskan rumahnya, sebab mencantikkan rumah itu termasuk perkara-perkara yang baik.

Demikian juga menghias diri dengan pakaian, dan memakan makanan-makanan yang lazat termasuk perkara-perkara yang harus pada dasarnya. Tetapi semua itu boleh bertukar menjadi boros yang terlarang dengan menilik keadaan seseorang dan harta yang dimilikinya

Kemungkaran-kemungkaran Umum

Petikan Kitab Bimbingan Mukmin

Ketahuilah bahawa setiap orang yang menganggur duduk dalam rumah saja, tidak sepi dari kemungkaran dalam zaman ini, disebabkan keengganannya untuk mengambil bahagian dalam membimbing orang ramai, mengajar serta mengajak mereka kepada jalan kebaikan.

Dalam zaman ini, kebanyakan orang masih jahil tentang selok-belok syariat Islam di merata negara, terutama sekali di kampung-kampung dan di desa-desa pendalaman. Jadi pada tiap-tiap masjid atau tempat di ceruk-rantau negara, wajiblah ada seorang faqih (ahli agama) yang boleh mengajar orang ramai tentang urusan agamanya, terutama sekali di kampung-kampung.

Demikian juga bagi setiap ahli agama itu, setelah selesai segala kewajiban Fardhu ‘Ainnya dan bila memulakan Fardhu Kifayahnya, hendaklah ia pergi ke daerah-daerah yang berdekatan dengan tempat tinggalnya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang diketahuinya dan menyampaikan pelajaran agama Islam kepada penduduk-penduduknya.

Dalam tugas kewajiban ini, sekiranya seorang telah memikul tanggungjawabnya, maka gugurlah dosanya dari orang lain, kerana tugas mengajar perkara-perkara yang wajib dalam syariat itu adalah Fardhu Kifayah.

Kesimpulannya, patutlah atas setiap Muslim mengajukan dirinya untuk menjadi perintis jalan dalam melaksanakan tugas mengajar ini.

Mula-Mula hendaklah ia menglengkapkan diri sendiri dengan menjaga betul-betul segala-segala yang difardhukan ke atasnya serta meninggalkan segala-gala yang terlarang.

Sesudah itu barulah ia memulakan pula dengan ahli rumahtangganya. Sesudah itu pula, dia berpindah kepada jiran tetangganya, dan seterusnya kepada seluruh penduduk kampungnya.

Kemudian barulah pula kepada seluruh rakyat yang terdekat, mahupun yang tinggal jauh darinya. Akhir sekali, barulah ke penjuru alam semesta ini.

Sebagaimana yang telah ditegaskan di atas, bahawa semua orang Muslim yang berkuasa, wajib menanggung tugas menyebarkan pengajaran agama ini. Tetapi jika salah seorang yang terdekat telah melaksanakan tugas tersebut, maka gugurlah dosanya atas orang yang terjauh. Kalau tidak ada seorang pun melaksanakannya, maka berdosalah semua orang yang kuasa untuk mengerjakannya, sama ada yang dekat mahupun yang jauh.

Syeikh Habib Umar Ulama Masyhur Yaman dan Antarabangsa

Latar Belakang

al-Allamah al-Habib Umar al-HafizAl-Allamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan anak Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya

habib2

Dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M.Mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry.

Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain. Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau.

Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-
1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.
Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.
Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Kemungkaran Menjamu Tetamu

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang terdapat ketika menjamu tetamu, ialah menghamparkan tempat duduk yang terbuat dari sutera bagi kaum lelaki, membakar wangi-wangian di tempat bara yang terbuat dari emas atau perak, atau minum dengan bekas-bekas yang terbuat dari perak.

Demikian juga mendengar nyanyian dari wanita-wanita yang diundang khusus untuk menghiburkan. Kemudian memakan pula makanan-makanan yang haram di tempat-tempat yang dirampas, ataupun di tempat itu ada pula hidangan minuman keras (khamar).

Bagi orang yang benar-benar beriman, janganlah hendaknya ia sampai hadir di dalam majlis-majlis yang ada kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebutkan di atas, meskipun tujuannya semata-mata untuk menghibur diri dengan cerita-cerita yang mengelak-ketawakan, ataupun jenaka-jenaka yang menggelikan hati yang terdapat di dalam, majlis-majlis serupa itu.

Adapun jika yang menggelikan hati itu, ialah cerita-cerita lawak yang lucah, ataupun yang sengaja diada-adakan secara dusta dan bohong, maka menghadirkan diri dalam majlis-majlis serupa itu dihukumkan haram, dan wajib pula diingkari terhadap majlis-majlis yang demikian itu.

Andaikata yang diketawakan itu ialah senda-gurauan yang tiada disertai kata-kata lucah atau bohong, maka hukumnya harus, yakni dengan syarat tiada terlalu melampaui batas, dan tidaklah pula berlaku pada seluruh majlis tersebut.

Begitu juga tiada boleh dijadikan perkara itu semacam kebiasaan yang dilakukan terus-menerus dan jika berlaku terus, maka tiadalah hukumnya menjadi harus lagi.

Seterusnya kemungkaran juga boleh berlaku bila ada israf iaitu berlebih-lebihan dalam menghidangkan berbagai-bagai macam makanan kepada tetamu. Begitu juga dalam menghiaskan bangunan atau rumahtangga secara melampaui batas

Pasangan ‘punk’ dihukum rotan

WANITA 'punk' lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.

WANITA ‘punk’ lengkap berpakaian serba putih menjalani hukuman sebat di Langsa.

Pesalah antara 10 disebat kerana berjudi, peri laku tidak bermoral

LANGSA: Sepasang pengikut punk disebat sembilan kali di khalayak ramai di Aceh, satu-satunya wilayah Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam selepas ditangkap atas kesalahan melakukan hubungan seks luar nikah.

 

Pegawai pejabat pendakwa, Putra Masduri, berkata selain pasangan itu, sembilan lagi yang disabitkan bersalah kerana berjudi dan peri laku tidak bermoral, disebat empat hingga 12 kali.

 
Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah. – Putra Masduri, Pegawai pejabat pendakwa

Masduri berkata, pasangan ‘punk’ berkenaan ditemui dalam keadaan bogel oleh penduduk tempatan.

“Mereka pengikut punk. Mereka ditangkap oleh penduduk ketika melakukan hubungan seks luar nikah dan ditahan polis Syariah,” katanya merujuk kepada pasangan berkenaan yang berusia 21 dan 23 tahun.

Masduri berkata, pasangan itu kerap dilihat berlegar-legar di jalan raya dengan berpakaian punk. Ketika hukuman dijalankan, kedua-duanya berpakaian serba putih.

Meskipun ditahan atas dakwaan melakukan hubungan seks luar nikah, hukuman ke atas mereka dilaksanakan ketika pihak berkuasa melancarkan usaha membanteras budaya punk di wilayah autonomi itu.
Antara langkah diambil ialah serbuan polis terhadap kafe dan taman untuk menahan remaja pengikut budaya ‘punk’ yang digelar sebagai penyakit sosial.

Disember lalu, lebih 60 pemuda yang mengikut budaya punk ditahan di sebuah konsert dan dipaksa mengikuti kem pemulihan moral selama 10 hari yang dikendalikan polis.

Rambut mereka dipotong atau dicukur, dan dipaksa mandi dalam tasik, memakai pakaian konservatif dan bersolat, yang mengundang kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia dan pengikut budaya itu di seluruh dunia.

Aceh, yang terletak di Sumatera, menjadi satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Syariah pada tahun 2001 sebagai sebahagian pakej autonomi bertujuan mengawal sentimen pemisah.

Cuma penduduk Islam didakwa mengikut undang-undang Syariah walaupun komuniti bukan Islam dijangka mematuhi beberapa peraturan atas dasar hormat.

Hampir 90 peratus daripada 240 juta rakyat Indonesia beragama Islam dan majoritinya berpendirian sederhana. – Agensi

Kemungkaran Di Tempat Mandi

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di tempat mandi, ialah membuka aurat dan melihat kepadanya**.

Berlaku juga terkadang-kadang orang yang diupah menggosok badannya. Menyepak paha atau di tempat-tempat di bawah pusat, supaya ia dapat membersihkan kotoran yang melekat di situ. Bahkan lebih dari itu ia memasukkan tangannya ke dalam kain, maka jika ia menyentuh kemaluan orang lain hukumnya haram, seperti juga melihat kepadanya.

Termasuk yang dilarang ialah baring bertiarap untuk membiarkan penggosok itu memicit paha dan punggung maka hukumnya makruh jika bahagian-bahagian itu tertutup (kalau terbuka hukumnya haram – pent) dan tiada menjadi haram, melainkan jika perbuatan itu dikhuatiri akan menimbulkan syahwat keberahian.

Termasuk di antara yang dilarang juga ialah memasang ubin tempat mandi ataupun saluran airnya dengan batu-batu yang licin yang boleh menyebabkan orang mudah tergelincir, kalau tidak berhati-hati. Ini juga suatu kemungkaran dan wajib dilenyapkan dan ditiadakan. Perkara ini patut diadukan kepada penjaga tempat mandi itu kerana kelalaiannya, sebab ia boleh menyebabkan orang terjatuh, dan mungkin salah satu anggotanya akan patah atau rosak, maka siapa yang akan bertanggungjawab ketika itu?

Seterusnya meninggalkan sabun di ubin tempat mandi juga suatu kemungkaran, sebab dikhuatiri orang yang terpijaknya akan terjatuh.

Walhasil dalam tempat mandi itu ada banyak perkara-perkara lain yang harus diperhatikan termasuk hukum makruh telah pun kami huraikan perkaranya di dalam kitab taharah.

* Tempat mandi yang di maksudkan di sini ialah tempat mandi umum.

** Jika ia mandi bertelanjang seorang diri lalu melihat auratnya sendiri hukumnya makruh

Kemungkaran Di Jalan Raya

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Kemungkaran-kemungkaran yang sering terdapat di jalan-jalan orang ramai banyak sekali, antaranya ialah meletakkan kayu-kayuan atau menimbun biji-bijian dan makanan di tempat lalu-lalang orang ramai, ataupun menambah halaman sampai di tengah jalan; semua ini merupakan kemungkaran-kemungkaran, jika ia menyebabkan tempat perjalanan orang ramai menjadi sempit, atau menyukarkan mereka untuk berlalu-lalang di situ.

Jika yang demikian itu tidak sama sekali menimbulkan kesukaran kepada orang ramai disebabkan jalan raya itu amat luas, maka tiadalah terlarang perkara-perkara yang tersebut tadi.

Jika maksud menimbun kayu-kayan dan makan-makanan di jalan raya itu hanya sementara saja, setakat masa hendak memindahkannya ke dalam rumah, maka yang demikian itu adalah diharuskan, kerana semua orang mesti berbuat demikian, maka tiadalah boleh dilarang.

Termasuk kemungkaran lagi ialah menambat binatang di tempat lalu-lalang orang, sehingga jalan raya menjadi sempit dan tahi binatang itu akan menajiskan orang yang berjalan di situ. Perbuatan ini mestilah dilarang, kecuali sekadar hajat, iaitu ketika menunggang atau turun dari binatang itu.

Tegasnya penggunaan jalan raya itu mestilah dikongsi manfaatnya oleh orang ramai, tidak kira siapa pun dia, dan tidak boleh diutamakan seseorang atas yang lain, melainkan sekadar hajat atau yang perlu saja. Jadi yang wajib dijaga ialah keperluan umum orang ramai, yang mana jalan-jalan raya itu biasanya telah dibina untuk kegunaan mereka, bukan kerana keperluan-keperluan yang lain.

Termasuk perkara yang harus dihalang ialah apa yang berlaku di pasar binatang-binatang yang kerap terdapat di situ duri-duri yang banyak, sehingga terkadang-kadang sampai mengoyakkan baju-baju orang yang lalu lintas di situ. Itu juga suatu kemungkaran.

Tetapi jika boleh dicabut dan dikumpulkan di suatu tempat, sehingga orang ramai tiada terancam lagi ataupun kalau boleh dipindahkan binatang-binatang itu ke suatu tempat lain yang lebih luas, maka tiadalah terlarang pula, kerana keperluan orang ramai kepada binatang itu patut diberikan perhatian juga. Dan kalau ada barang-barang yang hendak dipindahkan, tidak boleh dibiarkan terlonggok di jalan raya terlalu lama, melainkan sekadar untuk menaikkan atau menurunkan saja.

Yang lain lagi ialah menimbun barang-barang yang berat ke atas belakang binatang, sehingga binatang itu tiada terdaya untuk memikul. Ini juga suatu kemungkaran yang patut diingatkan kepada tuan punya binatang itu.

Lagi ialah membuang sampah-sarap di tempat-tempat yang bukan disediakan untuknya, mencampakkan kulit buah-buahan atau membuang air sesuka hati saja, sehingga boleh menyebabkan orang tergelincir dan jatuh; semua ini adalah termasuk kemungkaran-kemungkaran yang wajib dilarang.

Termasuk kemungkaran juga memasang saluran-saluran air kotor yang keluar dari rumah terus ke tempat perjalanan orang ramai yang sempit, kerana yang demikian itu akan menajiskan pakaian orang yang lalu-lalang di situ dan akan menyempitkan jalan itu, kerana orang-orang yang berlalu lintas di situ tentu akan mengelakkan tempat-tempat yang basah, dan hanya memilih jalan yang kering saja.

Demikian juga, jika seseorang meletakkan air batu di tengah-tengah jalan orang ramai, ataupun air yang bertakung disebabkan saluran-saluran yang tertentu yang dipasang di jalan, maka dalam kedua hal ini orang yang menyebabkannya harus meratakan jalan itu, supaya airnya dapat mengalir. Adapun air yang bertakung disebabkan hujan, maka kerja membersihkannya adalah tertanggung atas Penguasa Negara.

Termasuk kemungkaran juga, jika seseorang menyimpan anjing buas di hadapan pintu rumahnya yang seringkali menggangu orang yang lalu lintas, maka perkara itu wajib dilarang

Kemungkaran Di Pasar

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Antara kemungkaran-kemungkaran yang biasa berlaku di pasar, ialah berkata dusta semata-mata kerana mencari untung yang lebih dan menutup kecacatan benda-benda yang dijual.

Barangsiapa berkata: Saya beli barang ini dengan harga RM10.00 dan mendapat untung hanya sekian saja, jika berbohong dalam kata-katanya itu maka ia dicap seorang yang fasik.

Begitu juga bagi orang-orang yang mengetahui perkara itu, hendaklah ia menyatakan yang benar kepada si pembeli. Tetapi jika ia berdiam diri kerana hati si penjual, maka ia sama berkongsi khianat dengan si penjual itu dan berdosa kerana mendiamkan diri.

Demikian pula jika ia mengetahui bahawa pada barang jualan itu ada cacat, wajiblah ia memberitahu kepada si pembeli di mana tempat cacat itu, kalau tidak maka samalah seperti dia redha hilangnya harta saudaranya yang Muslim, dan yang demikian adalah haram hukumnya.

Termasuk dalam kemungkaran yang berlaku di pasar ialah pengurangan dalam ukuran, tekaran dan timbangan ketika menjual, maka bagi orang yang mengetahui tentang perkara ini, hendaklah ia cuba mengubahnya. Ataupun jika tiada berdaya maka sepatutnyalah ia mengadukan perkara itu kepada Penguasa negara (Pemerintah), sehingga ia dapat mengubahnya.

Terkira dalam kemungkaran yang berlaku dalam pasar ialah menjual alat-alat hiburan yang boleh melalaikan manusia, mengelabui mata pembeli bagi baju yang koyak dengan tampalan yang halus sehingga tidak ketara tampalan itu dan lain-lain lagi yang boleh menyebabkan pembeli-pembeli terkeliru dan terperangkap ke dalam tipu daya jual-beli, yang kalau hendak dibicarakan secara satu-persatu tentulah akan memakan masa yang panjang. Maka hendaklah anda bandingkan apa-apa yang kami sebutkan di sini dengan lain-lain seumpamanya