• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

Bahaya asyik layan Facebook

BAHRAIN SAMAH, RH (AHG)
facebook

Suatu ketika dulu kompleks membeli-belah merupakan dan tempat awam menjadi lokasi tumpuan melepak remaja. Apabila wujud program Internet Relay Chat (IRC), pengguna internet dari pelbagai peringkat umur mengambil kesempatan perkembangan teknologi tersebut bukan sekadar untuk berinteraksi tetapi sebagai tempat melepak baru.

IRC telah menimbulkan kesan yang besar secara positif atau negatif terhadap hubungan sosial sama ada untuk masyarakat setempat mahupun antarabangsa.

Paling menguja apabila saluran Kampung yang dikendalikan warga Malaysia pernah dikatakan menerima bilangan chatters terbesar di dunia. Namun, perkara yang memburukkan rekod ini apabila IRC disalahgunakan sehingga mencetus jalinan hubungan cinta hingga tahap kekasih gelap, perceraian dan perzinaan.

Dengar-dengarnya fenomena yang serupa berlaku kepada segelintir pengguna jaringan media sosial Facebook (FB). FB mula menjadi kegilaan ramai remaja sejak ia dilancarkan pada 2004.

Sepertimana IRC, FB bukan sahaja digunakan golongan remaja, malah merangkumi pengguna kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Walaupun terdapat khidmat jaringan sosial lain, namun FB merupakan khidmat jaringan sosial terbesar di dalam dunia. Terdapat kira-kira 800 juta pengguna aktif direkodkan sehingga Julai 2004.

Lepak alam maya

Melepak dalam bahasa mudah ialah duduk tanpa melakukan perkara yang berfaedah. Kewujudan khidmat jaringan sosial seperti FB menyediakan pilihan baru kepada golongan remaja untuk melepak. Seseorang yang melepak menggunakan FB kadangkala lebih lama daripada melepak di tempat awam.

Sembang dengan rakan FB yang tidak tentu hujung pangkal bukan mengambil masa sejam dua malah berbelas-belas jam sehari! Apakah bahan sembang golongan kaki lepak FB ini?

Antara lain ialah perkembangan semasa yang menarik perhatian rakan sembang. Mereka bersembang antara lain mengenai muzik, penyanyi dan fesyen. Kepada yang memang memiliki daya tarikan tertentu mungkin dari segi jantina, rupa atau gaya bahasa biasanya mudah dikerumuni rakan sembang. Sekali buat posting, berpuluh-puluh orang tekan butang like. Berpuluh-puluh orang juga memberi komen hanya dalam beberapa minit.

Beberapa kesan negatif hasil penggunaan media sosial berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan Larry D Rosen dari California State University, Dominguez Hill. Kajian yang dibentangkan American Psychological Association di konvensyen tahunan ke 119 mendapati penggunaan FB berpotensi membentuk narcissism pada remaja belasan tahun.

Narcissism ialah istilah psikologi yang merujuk kepada karakter yang memerlukan perhatian dan diminati secara berlebih-lebihan. Remaja awal dua puluhan yang sering menggunakan FB pula menunjukkan tanda beberapa masalah psikologi seperti perangai antisosial, peningkatan mood secara keterlaluan dan berkelakuan agresif.

Keseronokan dunia

Kajian sama juga mendapati penggunaan jaringan media sosial juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak dan remaja belasan tahun. Mereka mudah mengalami keresahan, kemurungan dan masalah psikologi lain. Mereka juga terdedah kepada masalah kesihatan pada masa jangka panjang.

Selain keburukan tersebut, FB juga didapati menyebabkan seseorang hilang fokus. Keadaan ini secara negatif akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran. Beberapa kajian mendapati pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang menjenguk FB sekurang-kurangnya setiap lima belas minit sekali mencapai gred yang rendah.

Kajian Dr Larry R Rosen mendapati beberapa kebaikan penggunaan jaringan media sosial. Ia berupaya menjadikan seseorang secara virtual mengambil tahu terhadap diri rakan atas talian. Ia juga membantu seseorang yang pemalu atau suka memencilkan diri belajar berinteraksi. Jaringan sosial media juga dapat membantu pelajar berinteraksi untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang pendidikan.

Saya ingatkan diri saya dan pengguna khidmat jaringan sosial tersebut menyedari bahawa sesungguhnya masa adalah kurniaan ALLAH yang amat bermakna kepada sesiapa yang benar-benar memanfaatkannya.

Masa tidak akan berundur malah sentiasa bergerak ke hadapan. Umur seseorang diukur menggunakan masa. Mereka yang menggunakan masa untuk perkara bermanfaat akan beruntung di dunia dan akhirat.

Manakala mereka yang mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah akan hanya mengecap keseronokan di dunia tetapi mereka akan rugi di akhirat.

Dilahirkan untuk diuji

ALLAH melahirkan setiap anak Adam ke dunia untuk menjalani ujian-NYA seperti firman-NYA yang bermaksud, “(ALLAH) Yang menjadikan mati dan hidup, agar DIA menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA MAHA PERKASA lagi MAHA PENGAMPUN.” (Surah Al-Mulk: 2).

Sebagai hamba-NYA, sepatutnya merasa sangat kerdil di hadapan Rabb yang MAHA PERKASA. Namun seseorang yang mengaku kesalahan yang dilakukan, bertekad tidak mengulangi lagi serta mohon ampunan daripada-NYA secara bersungguh-sungguh akan diampuni-NYA.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada KAMIlah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya : ayat 35).

Sesungguhnya jaringan media sosial menyediakan kemudahan untuk pengguna berinteraksi. Namun kemudahan yang dicipta dengan izin ALLAH ini sepatutnya digunakan secara berpada-pada.

Penggunaan jaringan media sosial sepatutnya ditumpukan dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti mengerat hubungan silaturahim secara jujur dan ikhlas, menyertai kumpulan forum yang membawa kebaikan, belajar mempromosi produk dan khidmat, serta bertukar-tukar maklumat berguna.

Menyentuh konteks penggunaan masa, hadis yang diriwayatkan Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan ilmunya apa yang telah dibuatnya” – (Riwayat At Tirmidzi)

Keutamaan istighfar (mohon keampunan)

Berfirman Allah azzawajalla:

“Dan mereka pada ketika melakukan keburukan ataupun menganiyai diri, mereka segera mengingati Allah, maka mereka pun meminta keampunan di atas dosa-dosa mereka.” (ali-Imran: 135)

Berfirman Allah lagi:

“Barangsipa yang melakukan kejahatan ataupun menganiayai dirinya, kemudian ia meminta keampunan kepada Allah, niscaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampunan dan Maha Mengasihani.”

(an-Nisa’: 110)

Allah berfirman:

“Maka bertasbihlah dengan kepujian terhadap Tuhanmu dan mintalah keampunan, sesungguhnya Ia Maha Pengampunan.” (an-Nasr: 3)

Berfirman Allah lagi:

“Dan orang-orang yang memohn keampunan pada waktu tengah malam.”

(ali-Imran 17)

Allah berfirman:

“Mereka itu sedikit sekali tidur di waktu malam, dan pada waktu tengah malam itu mereka meminta keampunan.” (adz-Dzariat: 17-18)

Rasulullah s.a.w. sendiri sering memperbanyakkan sebutan:

“Maha Suci Engkau, ya Allah, ya Tuhanku! Aku memujiMu. Ya Allah, ya Tuhanku! Ampunilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun Maha Mengasihani.”

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Barangsiapa memperbanyakkan memohon keampunan, niscaya Allah akan menukarkan segala kesulitannya menjadi kelapangan, dan segala kesempitannya diberikan jalan kelua, dan Dia akan memberinya rezeki tanpa terkira banyaknya”.

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya aku sentiasa memohon keampunan kepada Allah Ta’ala dan bertaubat kepadaNya dalam sehari sebanyak 70 kali.”

Dalam istighfarnya, baginda Rasulullah sentiasa menyebut:

Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku terhadap semua dosa yang telah aku lakukan terdahulu dan kemudian yang tersembunyi dan yang terang, dan juga terhadap semua dosa yang Engkau Amat Mengetahui mengenainya. Engkaulah yang terdahulu dan yang terkemudian dan Engkau Berkuasa di atas setiap sesuatu.”

Dari al-Fudhail r.a katanya: Meminta keampunan tanpa berhenti dan membuat dosa adalah taubatnya para pendusta. Dan dari Rabi’ah al-Adawiah pula, katanya: Permohonan keampunan yang kami lakukan memerlukan kepada permohonan keampunan yang lebih banyak.

Adapun tentang wirid-wirid di pagi hari dan petangnya juga sesudah setiap sembahyang dan di waktu tengah malam, kami telah menyediakan bab yang tersendiri mengenainya. Bagi orang yang ingin mempelajarinya sila rujuk bab tersebut.

Keutamaan tasbih, tahmid dan zikir-zikir lain

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Barangsiapa membaca subhaanallah selepas setiap sembahyang 33 kali, dan membaca Alhamdulillaah 33 kali dan membaca Allahu Akhbar 33 kali, kemudian mencukupkan bilangan 100 dengan Laailaha Illallaahu Wahdahu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul hamdu Wahuwa ‘Alaa Kulli syai’in Qadir diampunkan dosa-dosanya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Barangsiapa yang membaca: Subhaanallahi Wa Bihamdhi sehari 100 kali akan dileburkan segala kesalahan-kesalahannya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Sebaik-baik pertuturan kepada Allah Ta’ala empat: (1) Subhaanallah, (2) Alhamdulilaah, (3) Laa Ilaha Illallaah, (4) Allaahu Akbar. Tidak ada halangannya untuk memmulakan yang mana satu dari empat itu terlebih dulu.”

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Dua kalimah yang ringan disebutkan oleh lidah, tetapi amat berat dalam timbangan, juga amat dicintai oleh yang Maha Pengasih iaitu: (1) Subhaanallaahi Wa Bihamdihi (2) subhaanallahi ‘Azhiim.”

Mencari redha ibu, ayah

ROSHLAWATY RAIEH
Mencari redha ibu, ayah

Ibu bapa merupakan pemimpin dalam kehidupan sesebuah keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga, manakala ibu sebagai pembantunya. Kedua-dua mereka saling bekerjasama demi kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a katanya: Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka.” (Riwayat Muslim).

Bapa yang berkedudukan sebagai ketua bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menyara makan dan minum serta keperluan-keperluan lain isteri dan anak-anaknya. Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, selagi hayat di kandung badan, bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga yang ditanggungnya.

Bagi ibu pula, peranan mereka juga besar, bermula daripada kesusahan mengandung selama sembilan bulan dan bergadai nyawa melahirkan anak, dia juga menguruskan rutin harian rumah tangga seperti mengasuh, memasak, mengemas, membasuh dan sebagainya.

Malah, dalam situasi kos sara hidup sekarang yang semakin meningkat, ibu juga turut keluar bekerja semata-mata untuk meringankan beban yang ditanggung oleh bapa.

Berbakti pada kedua orang tua

Dimaksudkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa ini ialah berbuat baik kepada mereka; mentaati; melaksanakan hak-hak mereka; menjauhi tingkah laku yang boleh menyakiti hati orang tua dan banyak lagi perkara kebaikan yang boleh dilaksanakan untuk mereka.

ALLAH SWT berfirman bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan”. (Surah al-Ahqaf ayat 15).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah lalu bertanya: Siapakah manusia paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah bersabda yang bermaksud: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah bersabda: Kemudian ayahmu”. (Riwayat al-Bukhari).

Terus berbakti seumur hidup

Felo Rancangan Latihan Akademik (RLKA), Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Mohd Shukri Hanapi, berkata berbakti kepada ibu bapa itu sama nilainya dengan pahala jihad.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin ‘Asy katanya: “Pada suatu hari seorang lelaki datang menemui Rasulullah memohon izin untuk ikut berjihad bersama Baginda. Lantas Rasulullah bertanya kepada lelaki itu: “Adakah ibu bapa mu masih hidup?” Jawabnya: “Ya, mereka masih hidup.” Rasulullah bersabda: “Dalam diri orang tuamu itulah terdapat nilai jihad.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Kewajipan berbakti terhadap kedua ibu bapa ini tidak terhenti walaupun mereka telah meninggal dunia.

“Bahkan anak-anak dikehendaki berdoa untuk mereka, menunaikan wasiat (jika ada), menunaikan janji mereka (jika ada), melakukan apa yang mereka sukai, berbuat baik dengan saudara mara dan sentiasa memuliakan sahabat-sahabat mereka.

“Hal ini berdasarkan hadis-hadis Rasulullah yang bermaksud:

Diriwayatkan daripada Abi Usaid Malik bin Rabi’ah bahawa ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata: “Ya Rasulullah, adakah terdapat kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia? Rasulullah menjawab: Ya, ada. Engkau berdoalah untuk keduanya, meminta diampunkan dosa-dosanya, tunaikan wasiat dan janji-janjinya, hubungkan silaturahim dengan saudara dan keluarganya dan hormati serta muliakan kawan-kawannya,” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, dan Ibn Hibban)

Hormat orang tua walau beza agama

”Sebenarnya, perintah Islam supaya menghormati ibu bapa ini berbentuk umum, sama ada mereka beragama Islam atau tidak.

“Cuma bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam, perintah menghormati itu dengan bersyarat iaitu selagi mana ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara-perkara mensyirikkan ALLAH,” tegas Shukri.

Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa’ad adalah seorang kafir. Kerana terlalu benci kepada Rasulullah, suatu hari Ummu Sa’ad berkata kepada anaknya “Bukankah ALLAH menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi ALLAH, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad).” (Riwayat Muslim).

Berikutan peristiwa ini, ALLAH telah menurunkan ayat 8 daripada surah al-‘Ankabut yang bermaksud, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam Ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang telah kamu kerjakan”

”Inilah cara-cara pergaulan dengan ibu bapa yang dianjurkan oleh Islam. Hormat dan taatlah kepada ibu bapa selagi mana suruhan mereka itu tidak melanggar atau bertentangan dengan syariat Islam,” ujarnya.

Pusat jagaan orang-orang tua

Mengulas fenomena anak-anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan orang tua, Shukri berkata, perkara itu tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bergelar anak.

”Alasan menyusahkan, membebankan dan tidak ada masa tidak harus dikeluarkan daripada mulut seorang anak.

”Sepatutnya, ketika usia semakin lanjut sebeginilah mereka amat memerlukan layanan, perhatian, belaian dan kasih sayang anak-anak sebagaimana kita memerlukan kasih sayang dan perhatian mereka semasa kecil,” ujarnya sambil berkata menjaga ibu bapa sakit merupakan khidmat bakti kepada ibu bapa yang tertinggi dan ia merupakan satu jihad.

Dalam pada itu, berbuat baik kepada ibu bapa banyak kelebihannya. Salah satu daripadanya ialah kelebihan yang pernah diterima oleh Uwais al-Qarni-pemuda miskin yang tinggal bersama ibunya yang sangat uzur di Yaman.

“Beliau amat mentaati ibunya dan segala urusan ibunya diuruskan oleh Uwais tanpa sedikit pun mengeluh dan merasa kepayahan.

“Ekoran ketaatannya itu, Rasulullah menjelaskan Uwais al-Qarni seorang yang terkenal di langit dan tidak terkenal di bumi,” katanya.

Nasihat Rehal, bagi mereka yang bergelar anak, segeralah berubah jika merasakan diri sentiasa menggores perasaan mereka. Jangan lagi mengecewakan insan-insan yang telah membesarkan kita dengan sikap tidak elok kerana hidup ini silih berganti dan umur pula semakin meningkat. Masih belum terlambat untuk berubah.

Kelebihan Solat sunat Dhuha

BERKENAAN dengan solat dhuha ada sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah masing-masing setiap pagi bersedekah untuk persendian (ruas tulang) tubuh badannya. Maka setiap kali bacaan tasbih (Subhanallah) itu sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, setiap bacaan tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, setiap takbir (Allahuakbar) itu sedekah, amar makruf nahi mungkar (menyuruh kebaikan dan melarang kejahatan) itu sedekah, dan sebagai ganti itu semua, cukuplah mengerjakan solat dhuha dua rakaat.” 

Solat dhuha waktunya iaitu selepas matahari sudah naik tinggi segalah dan berakhir ketika tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur). Mudahnya solat dhuha bermula setengah jam selepas waktu syuruk. Namun disunatkan melaksanakannya pada waktu matahari naik agak tinggi dan panas agak terik. Hal ini seperti hadis riwayat Ahmad dan Muslim, daripada Zahid bin Arqam RA, beliau berkata: 
“Nabi SAW keluar menuju tempat ahli Quba. Pada ketika itu mereka sedang menunaikan solat dhuha. Baginda bersabda: Ini adalah solat orang yang kembali kepada Allah (Awwabiin), iaitu di waktu anak-anak unta telah bangun kerana kepanasan waktu dhuha. 

Sekurang-kurangnya solat dhuha ini adalah dua rakaat seperti hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA berkata yang bermaksud: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepada saya supaya berpuasa tiga hari tiap-tiap bulan dan solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur.” 
Boleh juga dibuat empat rakaat seperti hadis riwayat Muslim, daripada Aisyah RA beliau berkata: “Rasulullah SAW biasa melaksanakan solat dhuha empat rakaat, dan kadang-kadang melebihi dari itu sekehendak Allah”. 

Boleh juga dibuat lapan rakaat dan setiap dua rakaat satu salam seperti hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud: “Bahawa Nabi SAW mengerjakan solat dhuha sebanyak lapan rakaat dan tiap-tiap dua rakaat bersalam. Sehinggalah kepada 12 rakaat dan sesiapa yang mengerjakan solat dhuha 12 rakaat, nescaya dia akan mendapat istana di syurga”. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, daripada Anas r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dhuha 12 rakaat, nescaya Allah dirikan untuknya istana di syurga.” 

Dalam kitab fiqah I’aanatuth Thalibin, jilid 1 muka surat 225 dinyatakan bahawa jika dikerjakan dua rakaat, disunatkan pada rakaat pertama sesudah membaca surah al-Fatihah, membaca surah “Wasy-Syamsi waduhaaha..” dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah “Wadhuhaa wal-Laili izaa saja.” 

Jika dikerjakan lebih daripada dua rakaat, maka disunatkan tiap-tiap dua rakaat salam. Surah yang dibaca adalah seperti yang telah disebutkan, manakala rakaat selebihnya membaca surah al-Kafirun (Qul yaa ayyuhal kafirun) dan surah al-Ikhlas (Qul huwallahu ahad). 

Cara yang terbaik apabila mengerjakan solat dhuha dua rakaat ialah pada rakaat pertama sesudah membaca al-Fatihah, membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali dan pada rakaat kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali juga. Hal ini seperti hadis daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melaksanakan solat dhuha, bacalah pada rakaat pertama surah al-Fatihah dan ayat Kursi 10 serta pada rakaat yang kedua sesudah membaca al-Fatihah, membaca surah al-Ikhlas 10 kali, pasti ia mendapat keredaan yang terbesar daripada Allah

Sebab Kenapa Golongan Wanita Ramai Menghuni Neraka

Oleh: sangkancil

“Mungkin ramai golongan wanita tidak senang bila membaca tajuk di atas. Tetapi itulah realiti. Memang itulah kenyataannya kerana Rasulullah saw tidak pernah berdusta. Hadis nabi saw bertaraf sahih menjelaskan perkara ini. Iaitu Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.

 

 
 
 
Sekiranya anda seorang perempuan, anda tidak perlu risau. Ramai tidak bermaksud tidak berpeluang langsung untuk masuk syurga. Hadis ini hanya menerangkan majoriti penghuni neraka, bukan tiada langsung golongan lelaki. Oleh itu berusahalah agar anda menjadi golongan yang berhak menghuni syurga.
 
Apakah sebab?
 
Persoalannya apakah sebab ramai wanita jadi penghuni neraka? Rasulullah saw ada bersabda dalam beberapa hadis yang menyatakan punca-punca permasalahan ini. Antara penyebab-penyebabnya ialah :
 
1. Tidak bersyukur dan tidak menghargai kebaikan suami
 
Dalam sebuah kisah ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya melakukan solat gerhana, Rasulullah S saw melihat Surga dan neraka.
 
Ketika beliau melihat neraka beliau bersabda kepada para sahabatnya , “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita. Shahabat pun bertanya, “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Beliau saw menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”
 
Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Beliau menjawab, “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” ( Imam al-Bukhari)
 
 
2. Mendedahkan aurat
 
Dalam hadis lainnya, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam menjelaskan tentang wanita penduduk neraka, beliau bersabda, “ … dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya mereka telanjang, melenggak-lenggokkan kepala mereka kerana sombong dan berpaling dari ketaatan kepada Allah dan suaminya, kepala mereka seakan-akan seperti bonggol unta. Mereka tidak masuk Surga dan tidak mendapatkan wangian syurga padahal wangiannya dapat dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Imam Muslim)
 
Jalan Penyelesaian
 
1. Untuk selamatkan diri dari tergolong dalam penghuni neraka maka anda (para isteri) hendaklah berusaha untuk mengenang jasa dan berterima kasih terhadap kebaikan suami. Taatilah mereka dan bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan menafikan beribu kebaikan suami hanya kerana satu kekurangan yang ada pada dirinya.
 
2. Tutuplah aurat dengan sempurna. Jangan jadi seperti dalam hadis, ‘berpakaian tetapi bertelanjang’. Pada hari ini ramai yang menutup kepala tetapi memakai pakaian yang nipis, ketat sehingga menampakan susuk tubuh dan macam-macam lagi fesyen yang tidak memenuhi konsep menutup aurat yang sebenar.
 
3. Jaga solat, puasa dan kehormatan diri.
 
Terdapat satu hadis yang menerangkan berita baik bagi wanita iaitu hadis yang bermaksud :
 
“Perempuan apabila solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka masuklah dia akan syurga mana-mana pintu yang dikehendakinya.”( Ibn Hibban,disahihkan oleh al-Albaniy)
 
4. Perbanyakkan bersedekah
Ini berdasarkan hadis yang bermaksud :
 
Ketika beliau selesai khutbah hari raya yang menyuruh untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan anjuran untuk mentaati-Nya. Beliau pun bangkit mendatangi kaum wanita, beliau menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian beliau bersabda, “Hendaklah kamu bersedekah! Kerana kebanyakan kamu adalah kayu bakar neraka Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, dia bertanya, “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Kerana kamu banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” (Imam al-Bukhari)
 
Dalam hadis yang lain baginda saw bersabda :
 
Selamatkanlah diri kamu dari neraka walaupun hanya ( bersedekah) dengan secebis kurma. (Imam al-Bukhari)
 
Semoga kita semua dirahmati oleh Allah dan ditempatkan di syurgaNya di akhirat kelak.