Tahun 2011 dan cabaran terhadap aqidah dan akhlak umat Islam

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Foto

MEMURTADKAN UMAT ISLAM….gerakan dan misi giat dilakukan oleh mubaligh Kristian yang menjadikan bantuan kewangan serta bimbingan sebagai strategi utama
HARI INI genap setahun kita pada 2011. Sepanjang tempoh itu, pastinya pelbagai kisah suka duka mewarnai kehidupan kita.

Diharapkan kedatangan tahun baru 2012, kita menggunakan seluas-luasnya peluang yang terhidang bagi melunaskan impian yang belum terlaksana serta membaiki kelemahan ke tahap yang lebih membanggakan.

Jika menyorot kembali, 2011 ditinggalkan dengan beberapa peristiwa yang perlu dijadikan pedoman buat kita semua.

Peristiwa paling mengejutkan berlaku di negara ini ialah pada Ogos lalu (Ramadan) apabila 12 individu Islam hadir dalam majlis di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya.
Bayangkan, ketika umat Islam sedang menyambut bulan paling mulia ada dalam kalangan orang Islam sanggup hadir dalam acara yang boleh mengancam akidah serta memurtadkan mereka.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan mereka diarah hadir di Bahagian Penguatkuasaan Jais untuk siasatan. Serbuan ke atas gereja itu dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam menghadiri majlis di situ.

Ketika serbuan pada jam 9 malam itu, ada seorang sedang mengadakan pengucapan awam yang diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.

Kebanyakan mereka yang hadir pada malam itu mendakwa mereka mempunyai masalah kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga selain gagal mendapat bantuan daripada pihak berkuasa.

Malah, gerakan seperti itu didakwa sedang berkembang ke seluruh negara secara ‘bawah tanah’.

Cara yang dilakukan cukup lembut dan halus iaitu dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.

Jelas kepada kita itu semua ancaman kepada akidah umat Islam. Mereka perlu berasa bimbang kerana murtad adalah jenayah yang cukup berat.

Sememangnya kita mengetahui gerakan dan misi memurtadkan umat Islam sedang giat dilakukan yang menjadikan bantuan kewangan serta bimbingan sebagai strategi utama.

Oleh itu, umat Islam perlu berhati-hati serta menjauhi daripada menerima pujukan dan apa saja bentuk bantuan yang diberi kerana ia mempunyai misi tersembunyi.

Jelas kepada kita, Artikel 3(1) iaitu status agama Islam sebagai agama rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan larangan menyebarkan agama lain kepada umat Islam negara dilihat sudah dicabuli dan diperlekehkan.

Selain itu, kes pembuangan bayi dilihat terus ‘mengungguli’ carta gejala sosial dalam kalangan umat Islam negara ini.

Jika tidak dibendung punca kepada kelahiran bayi hasil hubungan luar nikah itu, struktur dan institusi kekeluargaan pastinya kian bercelaru.

Bayangkan, bulan pertama 2011 saja sudah menunjukkan bilangan yang mengejutkan apabila terdapat 34 kes pembuangan bayi dicatatkan.

Kini pelbagai cara pembuangan bayi dilakukan dengan harapan ia dapat disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai selain memastikan perbuatan itu mampu ‘menutup’ malu atas perbuatan keji yang mereka lakukan.

Mungkin dulu, kita mungkin berdepan penemuan bayi masih hidup yang ditinggalkan di masjid, tempat pembuangan sampah, dalam tandas awam dan longkang.

Namun akhir-akhir ini, fenomena itu bertambah buruk apabila bayi yang langsung tidak berdosa ditemui sudah tidak bernyawa lagi malah dibuang dan dicampak dalam keadaan sungguh tragis.

Benarlah, si penzina itu apabila sudah mati hatinya sanggup melakukan apa saja. Jelas kepada kita, tiada manusia yang sempurna akalnya sanggup bertindak membuang serta membunuh dengan kejam bayi dalam kandungan mereka melainkan anak itu hasil hubungan haram.

Antara kes paling menyayat hati ialah yang berlaku pada Oktober lalu apabila seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang belum berkahwin tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan dari tingkat dua flat kediamannya di Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru, Gombak.

Mayat bayi yang lengkap sifatnya itu ditemui jiran di dalam longkang dalam keadaan tertiarap dengan kecederaan teruk di bahagian kepalanya.

Remaja itu mengaku bayinya itu sudah tidak bernyawa selepas dilahirkan lalu dia membuangnya ke dalam longkang. Sebelum itu, dalam kejadian yang lebih kejam berlaku pada Jun lepas apabila seorang bayi lelaki ditemui mati dengan kepala berkecai dipercayai akibat dicampak dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Sentul Utara, Kuala Lumpur.

Lebih mengharukan, bayi itu dipercayai masih hidup sebelum dicampak ke bawah. Sememangnya tindakan dan perbuatan terkutuk mereka itu mendapat balasan setimpal kelak.

Namun, kita mengharapkan sebahagian cerita itu mampu memberi keinsafan dan kesedaran kepada yang lain tidak bertindak sedemikian rupa.

Mungkin dari satu sudut lain, jika individu itu berjaya mengekang nafsu syaitan daripada bermaharajalela sudah pasti kejadian itu tidak akan menimpa dirinya.

Didiklah nafsu sebaiknya, berkawanlah dengan mereka yang boleh membawa kita dekat dengan pencipta dan pastikan mereka yang belum mempunyai ikatan sah sebagai suami isteri terhindar daripada melakukan perkara sedemikian sebelum pada waktunya.

Sebagai ibu bapa, pantaulah anak sekerap mungkin dengan mengetahui ke mana dan dengan siapa anak mereka berkawan. Walaupun tugas itu agak sukar tetapi buatlah sesuatu yang boleh membuatkan diri mereka dan anak sentiasa bertaut.

Jika terlepas hukuman dunia jangan rasa kita mampu hidup senang dan tenang kerana detik hitam itu akan sentiasa menghantui diri dan menjadikan kita jadi serba tidak kena dan hilang arah tujuan.

Namun jika ada rasa penyesalan, segeralah bertaubat dengan sebenar-benarnya supaya dosa terdahulu diampunkan Allah s.w.t. Tanamkan tekad untuk mengubah kesilapan yang dilakukan itu supaya tidak berulang kembali.

Didikan agama yang kukuh dan mantap teguh sejak kecil akan dapat membantu menghalang anak daripada melakukan perkara yang tidak baik apabila mereka dewasa.

Begitu juga dengan episod hitam apabila golongan yang mendakwa mereka perlu diberikan hak asasi benar-benar menyentap perasaan seluruh umat Islam di negara ini malah turut ditolak banyak pihak yang melihat tindakan mereka berlebihan dan menyalahi tatacara, budaya masyarakat di negara ini.

Umat Islam di negara ini menerima ancaman daripada golongan yang mendesak untuk mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dengan penganjuran Program Seksualiti Merdeka 2011.

Program itu diadakan kononnya memperjuangkan kesamarataan dalam pengamalan seks dan menentang diskriminasi ke atas golongan LGBT.

Program itu mendapat sokongan golongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Mereka membuat tuntutan itu untuk mengadakan perhimpunan serta kempen kesedaran mengenai LGBT kepada masyarakat.

Malah, kumpulan itu dilihat turut mengadakan gerakan sulit bagi mempromosi aktiviti di kediaman tertutup dan kondominium di sekitar Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang serta Damansara.

Bagaimanapun, tindakan yang tidak memikirkan sensitiviti masyarakat itu mendapat bantahan keras daripada badan bukan kerajaan (NGO) selain membuat laporan polis selepas mereka terus mendesak mengadakan perhimpunan itu.

Semua pihak tanpa mengira ideologi dan agama bersatu menentang tuntutan berkenaan. Perhimpunan itu jelas memperlihatkan minda masyarakat yang tidak bertamadun dan tersasar daripada norma hidup manusia.

Polis mengharamkan semua aktiviti dalam penganjuran program berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada 4 hingga 13 November itu dengan amaran akan mengambil tindakan tegas termasuk menahan penganjur dan peserta.

Pastinya imej Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati akan terjejas jika barah baru masyarakat itu tidak dibanteras serta ditangani secara bijaksana.
Jika tidak dikawal ia boleh meruntuhkan sistem kekeluargaan dalam masyarakat di negara ini dan boleh melemahkan jati diri seseorang apabila sanggup memilih pasangan sejenis sebagai teman hidup.

Di Barat memang sudah ada yang memilih berkahwin dengan pasangan sejenis. Hak itulah yang sedang dituntut di seluruh dunia dan jika berjaya, runtuhlah institusi keluarga yang mahukan manusia mengembangkan zuriat dengan cara yang betul

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: