Beberapa kisah kewara’an para siddiqin

Sedutan Kitab Bimbingan Mukmin

Diceritakan suatu peristiwa dari Ibnu Sirin, bahawasanya ia telah menolak untuk menerima dari kongsinya wang sebanyak 4,000 dirham, kerana terlintas di dalam hatinya bahawa orang itu tidak bersih, meskipun para alim ulama dalam zamannya telah bersepakat mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang harus diragukan tentang wang tersebut.

Peristiwa lain yang diceritakan oleh setengah orang, bahawa seorang ahli salaf harus menerima wang yang diberi pinjam sebanyak 100 dirham dari seseorang yang berhutang. Apabila hutang itu mahu diselesaikan, dia hanya menerima 99 dirham saja, dibiarkan satu dirham yang baiki pada si putang, kerana dikhuatiri barangkali dengan menerima secukupnya 100 dirham itu nanti terdapat kelebihan dari hak yang mesti diterimanya.

Ada setengah mereka pula, bila dalam perniagaan, mereka sentiasa menerima kurang sebutir dalam timbangan dan bila menjual mereka sentiasa melebihkan sebutir pula.

Di antaranya ada pula yang menjaga betul-betul tentang barang-barang yang direlakan oleh orang, sama ada yang berupakan kelebihan atau kekurangan, kerana jika telah direlakan memanglah halal hukumnya. Tetapi dikhuatiri cara begitu akan membuka pintu, atau menjadi tabiat baginya untuk membuat perkara yang serupa kepada orang lain, sehingga tabiat itu menjadi biasa pula; iaitu bila memberi suka mengurangkan dan bila menerima suka dilebihkan. Dengan begitu, tidak dapat tidak jiwanya akan jauh dari bersifat wara’.

Membicarakan tentang kewara’an lagi, ada setengah orang sampai enggan mengambil debu dari tembok rumahnya sendiri, bila rumah itu disewakan, kerana dikhuartiri dia tiada berhak di atas debu itu.

Pernah diceritakan dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz, pada suatu masa ketika beliau menyukat minyak wangi bagi kaum Muslimin, beliau menutup hidung supaya tidak tercium baunya. Setelah selesai menyukat, beliau lalu berujar kepada orang ramai di situ: Ya bukankah minyak wangi itu tidak ada manfaatnya selain dari baunya saja.

Cerita yang lain tentang kewara’an ialah ada seorang yang sedang menunggu orang yang sakit tenat, lalu pesakit itu pun meninggal dunia pada malamnya. Maka berkatalah orang yang menunggu itu tadi: Kini matikanlah lampu-lampu yang ada, kerana lampu-lampu dan minyaknya sekarang telah berpindah milik kepada para waris.

Yang lain lagi ialah mengenai peristiwa al-Hasan bin Ali r.a. ketika masih kecil, telah memakan sebiji kurma sedekah, maka Rasulullah s.a.w. pun mengorek mulutnya seraya berkata: Kakh…Kakh, yakni keluarkan ia… keluarkan ia!

Pernah diceritakan sebelum ini bahawa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq telah memuntahkan susu yang diberi minum oleh hamba sahayanya, semata-mata kerana ia hasil upah dari ramalan yang dibuatnya oleh hamba sahayanya itu.

Beliau telah melakukan itu kerana takut perutnya dimasuki sesuatu yang haram, ataupun yang haram itu akan menambah kekuatan dalam badannya, padahal bila meneguknya beliau tiada mengetahui sumber minuman itu dari mana, dan menurut hukum tidak wajib memuntahkannya semula. Akan tetapi membersihkan perut dari segala yang jelek itu adalah suatu sifat wara’ para siddiqin.

Sebagai kesimpulan mengenai perkara yang dibicarakan ini maka setiap kali seseorang hamba itu menjaga diri dengan tegas dari yang diragukan kebersihannya, setiap itulah bebanannya akan menjadi ringan kelak di Hari Kiamat, dan ia akan terjauh dari neraca kejelekan, manakala neraca kebajikannya akan menjadi lebih berat pula.

Kini anda telah mengetahui kedudukan yang sebenarnya, maka terserahlah kepada anda untuk membuat pilihan. Anda boleh mengambil sikap berhati-hati dan memelihara diri, ataupun boleh juga mengambil sikap mempermudah dan meringankan.

Tetapi sebaliknya hendaklah anda berjaga-jaga kalau perkara itu bagi kepentingan diri sendiri dan tidak mengapalah dipermudahkan kalau perkara itu menyentuh kepentingan orang lain.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: