• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Sebab yang memudahkan beribadat di tengah malam

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Di antara sebab-sebab yang boleh menggalakkan seseorang untuk beribadat di tengah malam ialah:

(1) Jangan mengenyangkan sangat perutnya, sehingga ia tidak banyak minum pula. Kerana yang demikian itu akan menyebabkan ia terlalu mengantuk dan akan menjadi beratlah baginya untuk bangun beribadat di tengah malam.

(2) Hendaklah ia melazimkan tidur sebentar di siang hari, kerana yang demikian itu dapat menolong ia bangun di tengah malam.

(3) Hendaklah ia memahamkan dirinya tentang keutamaan beribadat di tengah malam dengan mempelajari ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadi yang menerangkan peri keutamaannya, sehingga keazaman menjadi kuat dan kecenderungan untuk mendapatkan pahalanya tersemat di dalam hati. Di waktu itu tentulah keinginan bangun di tengah malam akan berlonjak-lonjak untuk menuntut kelebihan pahala dan untuk mencapai tingkatan-tingkatan syurga yang tinggi.

(4) Beribadat di tengah malam itu adalah suatu pertanda yang mulia, kerana ia menunjukkan kecintaan hati terhadap Allah dan membuktikan betapa kukuh keimanannya. Sebab kerjanya di waktu malam itu tiada lain melainkan semata-mata kerana bermunajat kepada Tuhan, sedangkan Allah menyaksikan segala gerak-lakunya dan menyingkap segala isi hatinya. Dan ketahuilah, bahwa segala gerak-laku hati di waktu itu adalah datangnya dari Allah Ta’ala, seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya. Andaikata ia tergolong orang yang dikasihi Allah Ta’ala, tentulah dia akan berminat untuk berkhalwat ditengah malam dengan Tuhannya, dan ia akan merasa amal lazat bermunajat, manakala kelazatan bermunajat itu akan menyebabkan ia semakin cenderung dan kuat untuk bangun beribadat di tengah malam.

Kenikmatan bermunajat dengan hukum akal dan naqal

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Tiada syak lagi orang yang bermunajat itu merasakan sepenuh kelazatan dan kenikmatan dalam munajat-munajatnya, kerana yang demikian itu dapat dibuktikan dengan hukum-hukum akal dan naqal.

Adapun dengan hukum akal dapat diumpamakan seorang yang mencintai seorang lain kerana kecantikannya, ataupun terhadap seorang raja kerana kemurahan hatinya dan kerana banyak harta yang dibelanjakannya. Dalam kedua-dua misal tadi, dapat dibayangkan betapa orang yang tercinta itu merasa nikmat bila dapat bertemu dan berkhalwat dengan orang yang dikasihinya dan tidak mustahil juga, dia akan merasa redha untuk bercumbu-cumbuan dengannya sepanjang malam, tanpa tidur oleh kerana terlalu mendalam cintanya terhadap orang itu.

Andaikata ada orang berkata: Memang benar itu, tetapi jika orang yang cantik atau kekasihnya itu dapat dilihat dengan mata secara berhadapan-hadapan, bagaimana pula dengan Zat Allah yang tidak boleh dilihat itu?

Ketahuilah, bahwasanya jika kekasihnya itu memang benar-benar dicintai, tidak mengapa walaupun ia berada di balik tabir. Ataupun jika ia berada di tempay yang gelap-gelita. Namun orang yang mencintainya itu tetap merasakan kenikmatan dengan semata-ata berada dekat dengannya, meskipun tanpa dapat melihat kekasihnya itu. Manakala hatinya akan merasa puasa  dengan yang demikian itu dan tiada mengharapkan selain dari itu. Memadalah merasa kenikmatan dengan melahirkan cintanya itu terhadap kekasihnya dan cukuplah menyebut-nyebutkan dengan lidah ketika berdekatan dengannya sehingga perkara itu menjadi termaklum.

Andaikata orang itu berkata lagi: Mungkin orang yang bercinta itu menunggu jawaban kekasihnya, dan tentu seklai dia akan merasa senang bila mendengar jawabannya itu, sedangkan orang yang mencintai Allah, tidak mungkin mendengar percakapan (firman) Allah Ta’ala?

Ketahuilah, kiranya ia mengetahui bahwa kekasihnya itu (Allah) tidak akan memberi jawaban dan akan terus berdiam diri, tentulah ia masih merasa nikmat juga dengan mendedahkan segala hal-ehwalnya serta membukakan segala rahsia hatinya kepada Allah yang dikasihiNya itu. Betapa tidak! Kerana orang yang hatinya penuh kayakinan terhadap Allah Ta’ala akan merasa sesuatu perasaan tindak balas di dalam sanubarinya di waktu bermunajat kepada Allah, maka tentulah ia akan merasa nikmat itu.

Contohnya yang semisal ialah orang yang berkhalwat dengn raja di waktu malam seraya mendedahkan segala hajat dan keperluannya kepada raja itu, tentulah ia akan merasa gembira kerana dapat berdua-duaan bersamanya, dengan berharap pula akan mendapat pengurniaan daripada raja itu.

Ini adalah satu harapan kepada seorang raja akan memberinya pengurniaan secara terbatas saja. Apatah lagi jika harapan itu ditujukan kepada Allah Ta’ala tentulah tiada terbatas sama sekali, kerana apa yang diberikan oleh Allah itu lebih kekal dan lebih banyak manfaatnya daripada yang diberikan oleh manusia. Jadi bagaimana boleh dikatakan seseorang itu tidak akan merasa nikmat dengan mendedahkan segala keperluannya kepada Allah di dalam khalwat dan munajatnya?

Adapun menurut hukum naqal, maka halnya dapat disaksikan oleh orang-orang yang bangun di tengah malam itu sendiri, betapa mereka merasa nikmatnya beribadat di waktu itu. Betapa pula mereka merasakan malam yang panjang itu menjadi pendek, laksana seorang yang bercinta bertemu dengan kekasihnya di tengah malam, sehingga setengah mereja berkata kepada kekasihnya setangahnya: Bagaimana anda dengan malam anda? Dijawabnya: Tak pernah dapat aku meraikannya sama sekali. Ia menunjukkan mukanya sekejap lalu pergi semula, sehingga tak sempat aku hendak memerhatikannya sama sekali.

Berkata Ali bin Bakkar: Selama 40 tahun tak pernah ada sesuatu yang menyedihkan aku selain daripada terbitnya fajar.

Berkata al-Fudhail bin Iyadh: Setiap kali matahari terbenam aku merasa gembira dengan tibanya kegelapan malam, kerana ketika itu ake dapat berkhalwat dengan Tuhanku. Kemudian apabila matahari itu terbit semula, berdukacitalah aku kerana aku terpaksa berhadapan dengan orang ramai.

Berkata Abu Sulaiman: Orang-orang yang beribadat di tengah malam lebih menikmati dengan waktu malamnya daripada orang yang bersukaria dengan alat- alat yang memerdukan jiwa. Dan kalaulah tidak kerana adanya malam, niscaya aku tiada ingin hidup di dunia ini.

Yang lain pula berkata: Tiada sesuatu barang di dunia ini yang dapat menyerupai kenikmatan ahli syurga, kecuali apa yang dirasakan oleh orang yang menggantungkan hatinya dengan waktu malam, disebabkan kelazatan bermunajat kepada Allah.

Yang lain lagi berkata: Kelazatan bermunajat itu bukanlah berasal dari duni, tetapi ia berasal dari syurga yang dirasakan Allah kepada para walinya, dan tiada seorang pun selain mereka yang dapat merasakan keindahan bermunajat itu.

Berkata Ibnul Munkadir pula: Tiada lagi yang tinggal dari kelazatan dunia melainkan tiga saja:

  1. Bangun kerana beribadat di tengah malam,
  2. Bertemu dengan sahabat, dan
  3. Bersembahyang dengan berjemaah.

Ada yang bertanya pula, dan aku menggunakan kesempatan dengan fajarnya bila ia terbit dan kini aku masih belum penuh gembira dengannya sama sekali.*

_________________________

*           Untuk menguatkan perbahasan yang dibicarakan oleh pengarang dalam pelajaran-pelajarannya untuk umum kamu suka menyebutkan apa yang dikutip oleh pengarang dalam karangannya yang lain dari Ibnul Qaiyim ad-Dimasyqi dalam kitab “Ighatsatul-Lahfaan” bunyinya: Berkata Ibnul Qaiyim: Hakikat manusia itu adalah hatinya dan rohnya dan tiada sempurna bagi manusia itu melainkan sengan mentauhidkan Tuhannya, beribadat kepadaNya, takut kepada sisksaNya serta berharap penuh kepada rahmatNya. Itulah kemuncak kelazatan manusia. Kebahagiaannya dan kenikmatannya, kerana tiada sesuatu benda pun di dalam alam ini selain Allah azzawajalla, yang mana hati akan merasa tenang dan tenteram kepadaNya manakala diri akan merasa senang dan nikmat bila menuju kepadaNya. Hakikat iman dengan Allah itu sendiri serta kecintaan, peribadatan, kebesaran dan berzikir kepada Allah itu adalah makanan jiwa bagi manusia. Disitulah terletaknya kekuatan, kebaikan dan ketulusan hati, sebagaimana yang telah ditunjuk oleh Hadis dan al-Quran serta disaksikan oleh fitrah manusia sendiri. Bukan seperti yang didakwakan oleh orang yang kurang penelitannya, bahwasanya beribadat dan berzikir itu adalah suatu perintah yang berat untuk tujuan menduga manusia, ataupun untuk tujuan memberi pahala, ataupun kerana mendidik jiwa dan membiasakannya, agar ia dapat meningkat daripada darjat kebinatangan. Oleh itu dikatakan, bahwa beribadat kepada Allah, mengenal dan mentauhidkan ZatNya serta mensyukuriNya diumpamakan sebagai cahaya mata manusia dan sebaik-baik nikmat yang boleh dirasakan oleh roh dan seluruh anggota. Bukanlah maksud dari ibadat dan perintah itu untuk menyusahkan dan memberatkan, sebagaimana yang diambil dari maksud pertama tadi, walaupun sebenarnya dalam menjalankan terdapat semacam keberatan, tetapi itu sudah menjadi semacam kelaziman. Oleh kerana itu maka segala perintah Allah s.w.t. dan kewajiban-kewaiban yang dibebankan ke atas hamba-hambaNya, dan juga syariat-syariatNya yang ditentukan ke atas mereka itu adalah sebagai cahaya mata dan kelazatan hati serta kenikmatan roh dan kegembiraannya. Padanya terselit kebahagian dan kemenangan serta kesempurnaan manusia dalam urusan dunia dan akhiratnya. Malah tiada kebahagiaan dan tiada kenikmatan yang hakiki, melainkan dengan semua itu sebagaimana Allah telah berfirman:

“Wahai sekalian manusia, sesunguhnya telah datang kepada kamu nasihat daripada Tuhan kamu serta penawar bagi hati yang di dalam dada, juga petunjuk dan rahmat bagi orang-orang Mu’minin. Katakanlah: Dengan kurnia Allah dan rahmatNya hendaklah dengan itu mereka bergembira. Hal itu adalah lebih baik dari (harta) yang mereka kumpulkan.” (Yunus: 57-58)

Berkata Abu Said al-Khudri: Yang dimaksudkan dengan kurnia Allah itu ialah al-Quran dan rahmatNya, bahwa Dia (Allah) telah menjdikan kamu dari ahli al-Quran. Demikianlah kebanyakan pendapat para ulama yang lain, kesemuanya telah menafikan bahwa perintah-perintah Allah, kewajiban-kewajiban serta syariat-syariatNya sebagai bebanan ke atas manusia, sebab Allah Ta’ala telah berfirman:

“Allah tiada membebankan ke atas diri manusia, melainkan sekadat keampunannya. (al-Baqarah: 286)

Firman Allah ini telah membuktikan penafian bebanan ke atas manusia dan Allah tiada menamakan perintah-perintah wasiat-wasiat dan syariat-syariatNya, sebagai bebanan, malah dinamakannya sebagai rohani, nurani, penawar dan ubat, petunjuk, rahmat, kehidupan, perjanjian wasiat dan sebagainya dalam firman-firmanNya.

Hormati guru raih keberkatan ilmu

Menuntut ilmu merupakan suatu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam.  Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai material dan kemanusiaan. Melalui al-Quran banyak ditekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis nabi yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan. Apa yang mesti kita sedar dalam menimba ilmu pengetahuan ialah mengenai adab yang mesti kita jaga agar kita menjadi orang berilmu dan beradab. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk menerima ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain. Kita dapat lihat bagaimana sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri melalui sebuah kisah sebagai renungan bersama di mana Khalifah Harun al-Rasyid yang amat masyhur ketika datang ke Mekah untuk menunaikan haji maka baginda tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Madinah. Setelah tiba di Madinah baginda ingin bertemu dengan imam Malik untuk belajar secara langsung daripada beliau berkenaan kitabnya yang paling masyhur iaitu Muwatta’. Ketika pesuruh khalifah datang menemui imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau dengan tegas menjawab : “ Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang”. Akhirnya khalifah datang sendiri berkunjung ke rumah imam Malik untuk belajar. Semasa berada di rumah imam Malik lalu disampaikan maksud kedatangannya itu iaitu untuk belajar kitab Muwatta’. Ketika mahu belajar maka didapati hanya satu kerusi sahaja yang ada di ruangan tempat belajar lalu imam Malik dengan tegas menyatakan :” Kerusi itu untuk guru dan jika engkau datang untuk belajar maka duduklah bersama dengan murid yang lain”. Maka dengan hati terbuka khalifah pun duduk bersama dengan murid imam Malik yang lain untuk belajar kitab Muwatta’.Jika rasa rendah diri dan menghormati guru tidak ada maka sudah tentu khalifah Harun al-Rasyid tidak mampu menimba ilmu pengetahuan daripada imam Malik.Baginda telah membuang rasa megah dengan kedudukan sebagai khalifah dengan duduk bersama murid imam Malik yang lain untuk sama-sama belajar. Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik disamping mendapat keberkatan hasil keredhaan guru.

        Pelajar juga mesti duduk dalam keadaan beradab apabila belajar dan jangan lakukan sesuatu perkara yang boleh menyentuh hati guru. Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.

        Pelajar juga tidak boleh berdendam kepada gurunya sehingga hilangnya perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa dalam mendidiknya. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk kita jadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya. Tegurlah guru dengan cara yang sopan jika dia tersilap. Kita pernah mendengar kisah bagaimana ada seorang Putera Mahkota seorang khalifah yang bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai khalifah telah dibawa kepada seorang guru yang alim untuk belajar ilmu pengetahuan. Putera Mahkota ini merupakan seorang yang cerdik dan elok budi pekertinya. Pada suatu hari gurunya telah merotannya tanpa sebab tetapi beliau tidak terus bertanya kepada gurunya itu mengenai perkara tersebut. Setelah beliau besar dan dilantik menjadi khalifah lalu dipanggilnya gurunya itu serta disoal tentang sebab beliau dirotan sedangkan beliau tidak membuat apa-apa kesalahan. Lalu dengan tegas gurunya menyatakan bahawa perbuatannya itu merupakan suatu pengajaran agar anak muridnya itu tidak menyakiti hati rakyat jelata walau pun dengan perkara yang kecil setelah menjadi khalifah nanti kerana doa orang yang dizalimi merupakan doa yang maqbul.Sebagaimana khalifah itu boleh mengingati tindakan gurunya itu maka begitulah juga dengan rakyat yang dizalimi akan mengingati kezaliman khalifah walau pun kecil. Mendengar penjelasan gurunya itu lalu khalifah itu mengucapkan terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberi selama ini

Rasulullah s.a.w bongkar Lalat antara Penyakit dan Penawar

Oleh: zharifjenn

Dari Abi Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Apabila lalat jatuh ke dalam minuman salah seorang di antara kamu maka rendamkanlah lalat itu kemudian buanglah. Kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit dan pada sayap yang lain terdapat ubat.

Hadis ini benar-benar pelik. Bolehkah lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor mempunyai penawar kepada penyakit yang dibawanya?

Secara Logik
Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas ‘sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit’. Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, iaitu merujuk kepada pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat ini tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri?
Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut.
Secara Saintifik
Islam menghendaki kita supaya menjaga kebersihan bukan sahaja pada pakaian dan tempat tinggal malah pada makanan dan juga minuman. Rasulullah SAW amat menitikberatkan hal ini sehinggakan apabila seekor lalat pun yang memasuki makanan atau minuman, baginda menyuruh kita berwaspada terhadap penyakit yang bakal menimpa seperti keracunan makanan dan sebagainya.
sitoplasma dapat membunuh kuman dari lalat
Apa yang disebutkan di dalam hadis di atas telah pun dibuat kajian oleh para saintis pada zaman kemudiannya. Contohnya pada tahun 1871, Prof. Brefild, Ilmuwan Jerman dari Universiti Hall menemui mikroorganisma jenis Fitriat yang diberi nama Ambaza Mouski dari golongan Antomofterali. Mikroorganisma ini hidup di bawah tingkat zat minyak di dalam perut lalat. Ambaza Mouski ini berkumpul di dalam sel-sel sehingga membentuk kekuatan yang besar. Kemudian sel-sel itu akan pecah dan mengeluarkan sitoplasma yang dapat membunuh kuman-kuman penyakit. Sel-sel tersebut terdapat di sekitar bahagian ke tiga dari tubuh lalat, iaitu pada bahagian perut dan ke bawah. 
Kemudian pada tahun 1947, Ernestein seorang Inggeris juga menyelidiki Fitriat pada lalat ini. Hasil penyelidikannya menyimpulkan bahawa fitriat tersebut dapat memusnahkan pelbagai bakteria. 
Tahun 1950, Roleos dari Switzerland juga menemui mikroorganisma ini dan memberi nama Javasin. Para peneliti lain iaitu Prof. Kock, Famer (Inggeris), Rose, Etlengger (German) dan Blatner (Switzerland) melakukan penyelidikan dan membuat kesimpulan yang sama tentang mikroorganisma pada lalat sekali gus membuktikan bahawa pelbagai penyakit dan bakteria pada lalat hanya terdapat pada hujung kakinya saja dan bukan pada seluruh badannya. Justeru mikroorganisma yang dapat membunuh kuman itu tidak dapat keluar dari tubuh lalat kecuali setelah disentuh oleh benda cair. Cairan ini dapat menambah tekanan pada sel-sel yang mengandungi mikroorganisma penolak kuman sehingga pecah dan memercikkan mikroorganisma istimewa ini. 
Maka adalah ternyata bahawa apa yang dikatakan oleh Rasulullah adalah benar iaitu saranan baginda kepada kita agar menenggelamkan lalat terlebih dahulu ke dalam air bagi mengeluarkan mikroorganisma penolak kuman dari badan lalat tersebut, dalam erti kata bahawa badannya harus dibasahkan sebelum membuangnya dan air yang menjadi tempat pendaratan lalat tadi dapat diminum dengan selamat. Subhanallah betapa hebatnya junjungan kita, Nabi Muhammad SAW.

Pengenalan Hukum Hudud

SIRI AN-NAIM (28)  

Disusun oleh :
Haji Daud B. Haji Muhammad,
Ketua Penyelia Agama, Kelantan.
Terbitan : Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan.

  بسم الله الرحمن الرحيم

HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM            

Anggapan setengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang terkandung dalam hukum dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari segi alat pemukul (rotan) cara-cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh penerimanya dan berbagai-bagai lagi.             Dalam risalah yang kecil ini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh ugama Islam terutamanya yang berhubung dengan alat sebat, cara-caranya dan anggota-anggota yang boleh dipukul (sebat).

Hukuman sebat yang dikenakan sebagai siksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan :

 واما الجلد فجعله عقوبة الجناية على الأعراض ، وعلى العقول ، وعلى الابضاع

 (Mengikut Istilah Fuqaha’)  Ianya bertujuan diantara lainnya. :  

1. Supaya sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.

2. Membersihkan masyarakat dari perbuatan tabiat yang keji dan hina.

3. Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah

4. Untuk menjadi contoh teladan yang paling berguna untuk mengatasi perbuatan-perbuatan jenayah. 

 HUKUMAN SEBAT :

Hukuman sebat itu terbahagi kepada dua bahagian :

 1. Sebat dalam masalah hudud iaitu siksaan yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah Subhanahu wataala

.2. Sebat dalam masalah Ta’zir iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan dengan satu atau lebih daripada siksaan-siksaan ta’zir, selain daripada siksaan hudud, qisas, diat dan kafarat, dan erti ta’zir itu ialah denda yang menjadi pengajaran.Syarak tidak menetapkan sesuatu siksaan atau hukuman tertentu bagi kesalahan Ta’zir dan cukup serta memadai dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada seberat-beratnya  dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan keadaan masalah itu sendiri.

JENIS-JENIS KESALAHAN  HUDUD.

Jenis-jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah :

1. ZINA.

Firman Allah Taala :

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ

Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat. (Surah An-Nur : 2)

Yang dimaksudkan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum kahwin

 (Ghaira Muhsin) Ertinya yang belum merasai persetubuhan halal, iaitu dengan cara berkahwin, adapun penzina yang telah berkahwin (Muhsin) hukumnya ialah rejam. Ini adalah berdasarkan kepada hadis berikut : 

عن أبي هريرة قال : اتى رجل رسول الله (ص) وهو في المسجد فناداه فقال يارسول الله اني زنيت فاعرض عنه حتى ردد عليه أربع مرات فلما شهد على نفسه أربع شهادات دعاه النبي (ص) فقال : ابك جنون ؟قال : لا قال : فهل أحصنت ؟ قال نعم. فقال النبي (ص) اذهبوا فارجموه .

Maksudnya : Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW. semasa baginda berada di dalam masjid lalu beliau memanggil Rasulullah seraya berkata : Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali. Maka apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah SAW. pun memanggilnya lalu bersabda : Adakah engkau gila ? Jawab lelaki itu : Tidak. Nabi bersabda lagi : Adakah engkau telah kahwin ? Jawab lelaki itu : Ya. Maka Nabi bersabda : Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam. (Muttafaq ‘Alaih)

2. QAZAF (MENUDUH ZINA)

Firman Allah : وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً  

Maksudnya: Orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat. (Surah An-Nur : 4)

Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram, tertanggung ke atasnya (wajib) membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan siksaan. Melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah perbuatan yang menyentuh maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu tuduhan zina yang melulu ke atas seseorang. Perbuatan itu akan melahirkan kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan rumahtangga dan masyarakat. Anak-anak yang lahir dari seseorang yang tertuduh zina akan menjadi mangsa. Kerukunan dan kebahagiaan suami isteri akan roboh dan hancur berkecai.Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat dengan lapan puluh kali sebat. 

   مدمن الخمر كعابد وثن

Ertinya : Orang yang ketagihan arak itu adalah seperti penyembah berhala. Oleh kerana minum arak itu adalah dari perbuatan dan pekerjaan syaitan yang amat keji maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan empat puluh kali sebat sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.

KESALAHAN TA’ZIR

Firman Allah :وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ 

MAKSUDNYA : Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). (Surah An-Nisa’ : 34)

Ayat tersebut merupakan hujjah dan dalil bagi ahli-ahli perundangan Islam bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahn ta’zir dan sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan ta’zir yang serius untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu. Keistimewaan hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa (kerajaan) dan tidak menghalang pesalah sesudah menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai-bagi kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya seperti mana dalam kes hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta-merta setelah disabitkan kesalahannya dan sesudah itu dibebaskannya untuk membolehkan meraka menjalani kehidupan biasa bersama-sama keluarganya.

KADAR HUKUMAN SEBAT

Ulamak Syafie berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan rotan “Sebat” ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang daripada empat puluh kali sebat.

Sabda : من بلغ حدا في غير حد فهو من المعتدين

Maksudnya : Sesiapa yang melebihi had “Sekatan” dalam kesalahan bukan hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas.

ALAT SEBAT

Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja sebat bolehlah dijalankan dengan menggunakan rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu ataupun hujung kain bahawa untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksudnya dengan menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya maka itu hendaklah sederhana ukurannya jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku atau pecah-pecah atau seumpamanya supaya tidak boleh mencederakan atau menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang serta memberi pengajaran kepadanya.

روى مالك عن زيد بن أسلم أن رجلا اعترف على نفسه بالزنى على عهد رسول الله (ص) ، فدعاله رسول الله (ص) بسوط ، فاتي بسوط مكسور ، فقال : “فوق هذا ” فاتي جديد لم تقع ثمرته ، فقال : “دون هذا” فاتي بسوط قد ركب به ولان فأمر به رسول الله (ص) فجلد ..

Maksudnya : Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya, seorang lelaki telah mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan kepada baginda Rasulullah SAW. didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta tongkat yang lain, apabila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong, Rasulullah SAW menolaknya lagi dan meminta tongkat yang sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah SAW menerimanya dan memerintahkan supaya disebat dengannya.  

CARA MELAKSANAKAN SEBAT

Ketika melaksanakan hukuman sebat hendaklah dengan cara sebatan yang sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya sehingga ke paras kepalanya atau dengan lain perkatan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya.

ANGGOTA-ANGGOTA YANG BOLEH DIPUKUL

Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-merata anggota tubuh badan pesalah itu kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali  memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.

KEADAAN PESALAH

Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakain yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.

PESALAH MENGANDUNG

Dan jika pesalah mengandung hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak sama ada anak kandungan itu dari perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini berdasarkan kepada hadis berikut :

عن علي رضي الله عنه أنه قال : أن امة لرسول الله (ص) زنت فامرني أن أجلدها فاذا هي حديته عهد بنفاس فخشيت ان انا جلدتها ان اقتلها فذكرت ذلك لرسول الله (ص) فقال : دعها حتى ينقطع عنها الدم ثم أقم عليها الحد

Maksudnya : Dari Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata : Bahawa seorang Amah ‘Hamba’ Rasulullah SAW telah berzina maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW , maka sabda Rasulullah “Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya kemudian boleh sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya”.

PESALAH SAKIT

Jika didapati pesalah dalam keadaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta-merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah menggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pun pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpulkan seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seseorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

روى من أن رسول الله (ص) امر بضرب رجل مرض حتى صنى ضربة واحدة شمراخ لانه زنى

Maksudnya : Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah menyuruh supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat “seikat” kerana lelaki itu telah melakukan perbuatan zina.

Ini kerana pesalah yang sakit merana tidak mempunyai harapan untuk sembuh sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya akan membawa maut kepadanya dan di dalam keadaan begini diambil jalan, tengah iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar seumpamanya yang diikat dengan satu ikatan sahaja.

Firman Allah : وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَاضْرِبْ بِهِ وَلاَ تَحْنَثْ

Maksudnya : Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu. (Surah Sod : 44)

Dengan cara yang demikian adalah lebih baik dari biarkan tanpa menjalani hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang wajib dibunuh.

PELAKSANAAN HUKUMAN SEBAT DIHENTI ?

Hukuman sebat dihenti dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan berbangkit sesuatu yang boleh menggugurkan hukuman hudud iaitu :

1.       Apabila pesalah menarik balik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman jika hukuman sebat kerana zina dijatuhkan berikutan pengakuannya samada pengakuannya itu dibuat secara langsung atau tidak.

2.       Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka sebelum dilaksanakan hukuman samada secara beramai-ramai atau sebahagian darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari empat orang.

 MASA DAN TEMPAT MELAKSANAKAN HUKUMANT

idak boleh dijalankan hukuman sebat dalam masa dan keadaan cuaca yang sangat panas atau terlalu sejuk jika dibimbang boleh membawa kebinasaan kepada pesalah dan bagi kesalahan hudud adalah dikehendaki supaya dijalankan hukuman sebat di hadapan orang-orang mukmin.

Firman Allah :وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya : Dan hendaklah pelaksaan hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. (Surah An-Nur : 2)

Yang dimaksudkan dengan sekumpulan itu mengikut pendapat Mujahid “Seorang lelaki dan ke atasnya sehingga sampai kepada seribu orang.Manakala Ibnu Zaid pula berkata “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri sekurang-kurangnya oleh empat orang dari kalangan orang-orang yang beriman sebagai qias dengan empat orang saksi dalam kes zina. Dan pendapat Ibnu Zaid ini adalah selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafie.

Akhirnya dengan terlaksana hukuman sebat tercapailah kebaikan dan kepentingan umum (orang ramai) kerana Islam memandang kebaikan dan muslahat orang ramai itu lebih utama dari maslahat perseorangan dan dengan itu juga terhindarlah kerosakan , keruntuhan moral dan sebagainya dan seterusnya tercapailah kemuliaan dan kebahagian serta sentiasa mendapat Inayah, rahmat dan pertolongan Allah.

Amin.Sekian

5 Prinsip perundangan Islam

HUKUMAN hudud, qisas, diyat dan ta’zir dalam Kanun Jenayah Syariah bertujuan menjaga prinsip perundangan Islam yang tertakluk kepada lima perkara :

1. Menjaga agama – Iaitu menjaga akidah supaya tidak terpesong, tidak menjadi orang murtad yang wajib dijatuhkan hukuman bunuh ke atas mereka, jika mereka enggan bertaubat setelah disuruh bertaubat lebih dulu sebelum mereka dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menukarkan agamanya (murtad) maka bunuhlah dia. (Bukhari)

2. Menjaga nyawa – Iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuk juga menjaga anggota tubuh badan seseorang, iaitu memberi seseorang manusia hak hidup dan selamat anggota tubuh badan mereka dari dicederakan dan dirosakkan. Mereka yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh badan orang lain, tertuduh wajib dijatuhkan hukum qisas atau diyat. Firman Allah Taala: “Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 179)

3. Menjaga akal fikiran – Menjaga akal fikiran manusia dari kerosakan disebabkan minum arak atau minuman memabukkan, mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukum sebat tidak lebih dari 80 kali sebatan dan tidak kurang dari 40 kali sebatan. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Ali: “Rasulullah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar menyebat 40 kali sebat juga dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini yang lebih aku sukai. (Riwayat Muslim)

4. Menjaga keturunan – Menjaga seseorang manusia dari melakukan perzinaan supaya nasab keturunan, wali dan warisan anak-anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak, mereka yang melakukan perzinaan itu wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam. Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Ubaidah bin Al-Somit: “Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada aku. Sesungguhnya Allah memberi jalan untuk mereka. Perawan sama jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda (duda) sama janda berzina hukumannya disebat sebanyak 100 kali sebat dan direjam.” (Muslim dan Abu Daud)

5. Menjaga harta benda – Menjaga harta benda manusia dari dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak. Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan, sebagaimana firman Allah Taala: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maidah: 38)

“Hanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan membunuh orang di jalan) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka membunuh saja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan berselang (kalau mereka merampas saja) atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksaan yang amat besar.” (Al-Maidah: 33)

Sumber buku Qanun Jenayah Syariah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis oleh Said Ibrahim, Bekas Mufti Sabah

5 Ubat penyakit hati mati

Syeikh Ibrahim Adham berpesan tentang 5 cara untuk ubati penyakit hati mati.

[1]

Memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian.

[2]

Banyakkan puasa sunat disamping menjaga yang wajib

[3]

Latih diri untuk bangun beribadat pada malam hari yang merupakan antara waktu dimaqbulkan doa dan tenang untuk bermunajat kepada Allah.

[4]

Sentiasa hadir ke majlis ilmu dalam menambah apa yang kurang, memperingat semula apa yang lupa, mempebetulkan kembali apa yang tersalah serta sentiasa mendampingi orang yang soleh.

[5]

Banyak berfikir tentang hubungan kita dengan Allah diwaktu sunyi agar kita dapat menghitung diri dari segi amal ibadat dan taubat atas segala dosa yang dilakukan.

Ingatlah bahawa manusia yang beruntung ialah manusia yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Manakala manusia yang paling rugi ialah manusia yang hari ini lebih teruk daripada semalam dan hari esok lebih teruk daripada hari ini

10 Tanda hati mati

Syeikh Ibrahim Adham menyatakan 10 tanda hati mati iaitu :

1. Mengaku kenal Allah s.w.t tetapi tetapi tidak menunaikan hak- haknya.

2. Mengaku cinta pada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menunaikan Sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengan hukum- hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat- nikmat Allah s.w.t  tetapi tidak mensyukuri atas pemberiannya.

5. Mengaku syaitan itu musuh tetapi tidak berjuang menentangnya

6. Mengaku adanya nikmat syurga tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka  tetapi tidak berusaha untuk menjahinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri  membuka keaiban orang lain tetepi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantarkan dan menguburkan jenazah/ mayat saudara seIslam tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Doa ibu bapa diterima Allah SWT tanpa sekatan

DOA mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah dan Allah menyukai orang yang berdoa kepada-Nya. Doa juga menjadi senjata orang mukmin yang sentiasa mengharapkan reda Allah serta mengimpikan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi; doa orang yang sedang musafir dan doa orang tua ke atas anaknya.” (Hadis hasan al-Tirmizi)

Berdasarkan hadis itu, beruntunglah mereka yang ibu bapanya mendoakan kebaikan kepadanya. Rugilah mereka yang menyebabkan ibu bapa murka sehingga mendoakan sesuatu yang buruk.

Berlaku hari ini kejadian anak derhaka kepada ibu bapa hingga sanggup membiarkan mereka ditempatkan di rumah perlindungan. Malah, ada yang sanggup meninggalkan ibu bapa di tepi jalan.

Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina! Baginda ditanya: Siapakah wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” (Sahih Muslim)

Malangnya, ada anak yang tidak takut dengan balasan terhadap perbuatan mereka membiarkan ibu bapa tanpa penjagaan rapi.

Anak-anak wajib diberi kesedaran tentag betapa tinggi kedudukan ibu bapa hingga Allah memberi kurnia doa yang mustajab kepada kedua-duanya.

Dahsyatnya doa ibu bapa dirakamkan dalam pertemuan Umar al-Khatab dengan Uwais bin Amar yang meminta Uwais meminta ampun untuknya, maka Uwais meminta ampun untuk Umar.

Umar mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kalian Uwais bin Amar bersama pasukan bantuan dari Yaman. (Dia) daripada Murod, kemudian daripada Qarn. Dia dulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham.

“Dia memiliki seorang ibu yang selalu dia berbakti kepadanya. Jika dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan makbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya dengan memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.”

Riwayat ini menunjukkan kedudukan ibu bapa terhadap anak dan kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa. Doa ibu bapa diterima Allah tanpa sekatan demikian pula besarnya darjat anak yang berbuat baik kepada ibu bapa hingga sumpahnya dibenarkan Allah.

Bagi anak yang tidak menghormati ibu bapa, jangan sampai ibu bapa berdoa keburukan untuk mereka. Ketahuilah, doa ibu bapa memiliki tenaga yang dahsyat sehingga ketaatan kepada Allah dikaitkan dengan ketaatan kepada ibu bapa.

Misteri Binaan Piramid Dijawab Oleh Al-Quran

Oleh: zharifjenn

Sudah sekian lama para saintis kebingungan tentang bagaimana sebuah piramid yang merupakan salah satu binaan ajaib di dunia ini dibina. Terdapat pelbagai teori yang dikemukakan untuk mengetahui teknologi yang digunakan dalam pembinaan piramid ini kerana teknologi untuk mengangkat batu-batuan besar yang beratnya mencapai ribuan kilogram ke puncak bangunan belum memungkinkan di zamannya. Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid ini?

 

Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan satu berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah dari tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.

Al-Quran Telahpun Mempunyai Jawapan
Jika dikaji lebih mendalam, ternyata Al-Quran telah mendedahkan perkara ini 1400 tahun sebelum kajian saintifik dijalankan. Perhatikan sebuah ayat Al Quran yang berikut:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَلْ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ 
“Dan berkata Fir’aun: ‘Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah Hai Haman untukku TANAH LIAT kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa Dia dari orang-orang pendusta.”
(Al-Qasas: 38)
Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir di dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan adalah sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.
Profesor Gilles Hug, dan Dr. Michel Barsoum menegaskan bahawa Piramid yang paling besar di Giza, dibuat dari dua jenis batuan yang terdiri dari batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil dari olahan tanah liat.
Gilles Hug (duduk kiri) dan Dr. Michel Barsoum (berdiri)

Artikel kajian yang diterbitkan oleh majalah “Journal of the American Ceramic Society” menegaskan bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Kerana tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu berat ribuan kilogram. Sebaliknya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi.

Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan ini akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Ringkasnya lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki tersebut dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.
Profesor Davidovits
Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, Davidovits menegaskan bahawa batu itu diperbuat dari lumpur. Selama ini, tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam dengan batu buatan manusia.
Sebelumnya, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan dari pembuatan batu besar di puncak-puncak piramid. Guy Demortier berkata, “Setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan dan kajian, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat.”
Piramid Bosnia

Penemuan oleh Dr Perancis Joseph Davidovits ini adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira dua puluh tahun. Sebuah kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, “Piramid Matahari” dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat dari tanah liat. Ini memperkuatkan lagi bahawa kaedah ini tersebar luas di masa lalu.

Gambar di atas menunjukkan kaedah tuangan batu berasal dari tanah liat telah dikenali sejak ribuan tahun yang lalu dalam tamadun yang berbeza baik Rom ataupun Firaun.
Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita semua bahawa bangunan bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman dahulu, juga dibina dari tanah liat. Al-Quran adalah kitab pertama yang mendedahkan rahsia bangunan piramid, bukan para Ilmuwan Amerika, mahupun Perancis.
Kita tahu bahawa Nabi saw tidak pernah pergi ke Mesir dan tidak pernah melihat piramid, bahkan mungkin tidak pernah mendengar tentangnya. Kisah Firaun, terjadi sebelum masa hidupnya Nabi saw ribuan tahun yang lalu, dan tidak ada satu pun di muka bumi ini pada masa itu yang mengetahui tentang rahsia piramid. Sebelum ini, para saintis tidak pasti bahawa Firaun menggunakan tanah liat yang dipanaskan untuk membina monumen tinggi kecuali beberapa tahun kebelakangan ini.
Ajaib, 1400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad saw, beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang kini dikenali sebagai Piramid menggunakan tanah liat.
Kenyataan ini sangat jelas dan kuat untuk membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan petunjuk dari Allah swt yang menciptakan Firaun dan menenggelamkannya, dan Dia pula yang menyelamatkan nabi Musa. Dan Dia pula yang memberitahu kepada Nabi terakhir-Nya akan hakikat ilmiah ini, dan ayat ini menjadi saksi kebenaran kenabiannya di kemudian hari.