Merebut Keistimewaan Lailatul Qadar

Ramadhan  kini menjelang lagi bagi menemui kita semua samada kita telah berusaha di dalam menggunakan segala kelebihannya atau pun tidak. Kita beruntung jika mampu memanfaatkan segala peluang yang terbuka ini dengan pelbagai ibadah yang mampu mengubah diri kita ke arah yang lebih baik dari masa yang lalu dan rugilah bagi mereka yang hanya mampu melihat kedatangan Ramadhan tanpa ada di sana usaha yang sepatutnya dilakukan untuk memanfaatkannya. Kita masih mempunyai peluang lagi untuk bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan dalam beribadat kepada Allah terutama kita sekarang berada dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan yang mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadis memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Kita lihat pelbagai cara samada berbentuk ibadat atau pun berbentuk perkara yang melalaikan dilakukan oleh umat Islam apabila tibanya penghujung musim puasa. Jika kita lihat terutama di negara arab yang mana sebagai contohnya Arab Saudi dan Jordan, para ulama’ mereka menghidupkan malam bermula malam ke 20 Ramadhan dengan mengadakan qiamullail secara berjemaah di masjid yang dimulakan jam 1 malam sehingga 3 pagi sebelum bersahur. Amalan ini akan lebih hidup dan meriah apabila tibanya malam 27 Ramadhan yang dijangka malam lailatul qadar. Amalan sunat yang dilakukan secara terbuka ini mampu menarik lebih ramai masyarakat sekeliling untuk bersama-sama melakukannya. Program yang penuh manfaat ini memang perlu dicontohi agar Ramadhan yang datang tidak disia-siakan terutama dengan kesibukan untuk menyambut hari raya Eidil Fitri pada penghujung bulan Ramadhan samada dengan membeli belah atau menyediakan kuih muih. Perkara tersebut tidak bercanggah dengan Islam jika kita tidak boros dan membazir serta melupakan ibadat fardhu. Kadang-kadang kita terpengaruh dengan adat seperti malam 7 likur yang hanya diisi dengan memasang pelita atau lampu di sekitar rumah tanpa memeriahkannya dengan ibadat sunat seperti qiamullail, tadarrus al-Quran, berzikir dan juga menambah seri dengan majlis ilmu serta tazkirah yang mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita sebagai hambaNya.

Di sini diselitkan beberapa hadis yang dikutip daripada sohih imam Bukhari untuk renungan kita bersama tentang kelebihan malam lailatul qadar dan juga beberapa amalan yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W untuk kita laksanakan pada sepuluh malam terakhir daripada bulan Ramadhan.

Daripada Abu Hurairah daripada nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil daripada malam-malam sepuluh akhir daripada Ramadhan.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah Rasulullah S.A.W telah beriktikaf pada malam- malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan dan baginda S.A.W bersabda yang bermaksud : Carilah malam lailatul qadar pada malam sepuluh terakhir daripada Ramadhan.

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah telah berkata : Adalah nabi S.A.W apabila telah masuk sepuluh malam terakhir akan bertambah kerap baginda S.A.W menjauhi isteri, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya.

Kesimpulan yang boleh diambil daripada mafhum hadis-hadis tersebut yang mana secara tidak langsung memberitahu kita bahawa malam sepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan merupakan malam yang dijangka malam lailatul qadar yang mesti kita merebut peluang yang ada dengan amalan-amalan sunat. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W ialah menghidupkan malamnya dengan solat sunat, berzikir terutama membaca al-Quran serta banyakkan beristighfar dengan penuh keinsafan dan keikhlasan serta beriktikaf di masjid.Daripada hadis-hadis yang lain turut memberitahu kita bagaimana baginda S.A.W mengerjakan solat sunat sehinggalah waktu sahur iaitu dekat dengan waktu Subuh. Jika Rasullah S.A.W begitu menitik beratkan mengenai kelebihan lailatul qadar sedangkan baginda S.A.W merupakan nabi lagi rasul yang memang dijauhkan daripada melakukan dosa, bagaimana dengan kita yang sememangnya tidak terlepas daripada belenggu maksiat yang melata disekeliling kita. Kesemua amalan yang dilakukan oleh baginda S.A.W dan para solihin agak mudah untuk kita contohi jika kita mahu berbuat demikian. Jadikanlah bulan Ramadhan sebagai kilang yang memproses diri ke arah lebih berkualiti yang mana apabila kita meninggalkan Ramadhan nanti, pada diri kita sudah ada perubahan ke arah yang lebih baik dan soleh walau pun sedikit.

Sama-samalah kita berdoa agar Allah menerima segala ibadat kita terutama puasa kita yang mana ia dijauhkan daripada puasa yang disifatkan oleh Allah dan rasulNya sebagai puasa yang sia-sia dan tidak lebih daripada menahan makan dan minum sahaja sedangkan anggota yang lain tidak turut berpuasa. Kita juga mengharapkan agar Allah meletakkan diri kita dalam golongan mereka yang terus istiqomah dan tetap dalam melakukan amalan soleh bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi berterusan pada bulan-bulan yang lain. Kita tidak mahu menjadi mereka yang hanya banyak beribadat dalam bulan Ramadhan sahaja tanpa dapat meneruskan amalan yang soleh itu selepas berlalunya Ramadhan. Tidakkah kita menitiskan air mata apabila mengenangkan masa yang begitu pantas berlalu sehingga Ramadhan kini sudah tiba ke penghujungnya sedangkan kita tidak tahu samada amalan kita diterima atau pun tidak.Muhasabahlah diri kita yanbg serba kedhaifan ini agar kita menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan tidak tamak dengan apa yang tiada.Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai pencetus kepada reformasi diri ke arah yang lebih baik dan jangan jadikan ia sebagai sesuatu yang biasa dan diri kita terus berada pada keadaan yang sama selagimana sebelum ini.

Rujukan

Fathu al-Bari syarah Sohih al-Bukhari, imam Ibnu Hajar al-Asqolani

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: