• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio

  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 1,202,374 orang
  • Tetamu Online

Doa Hari Kedua Belas

اَللَّهُمَّ زَيِّنِّيْ فِيْهِ بِالسِّتْرِ وَ الْعَفَافِ وَ اسْتُرْنِيْ فِيْهِ بِلِبَاسِ الْقُنُوْعِ وَ الْكَفَافِ وَ احْمِلْنِيْ فِيْهِ عَلَى الْعَدْلِ

وَالإِنْصَافِ وَ آمِنِّيْ فِيْهِ مِنْ كُلِّ مَا أَخَافُ بِعِصْمَتِكَ يَا عِصْمَةَ الْخَائِفِيْنَ

Ya Allah, Hiasilah Diriku Dengan Penutup Dan Kesucian. Tutupilah

Diriku Dengan Pakaian Qana’ah Dan Kerelaan. Tempatkanlah Aku Di Atas

Jalan Keadilan Dan Sikap Tulus. Amankanlah Diriku Dari Setiap Yang

Aku Takuti Dengan Penjagaan-Mu, Wahai Penjaga Orang-Orang Yang Takut.

Galakan merdu suara alunkan bacaan al-Quran

Tulisan ZUARIDA MOHYIN
 
SESUNGGUHNYA nasihat ini amat berguna kepada setiap daripada kita yang pada hakikatnya sentiasa menerima ujian Allah SWT, sama ada secara kita sedar ataupun tidak, kecuali bagi mereka yang sentiasa muhasabah diri.
 

Kitab suci al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi orang mukmin, sama ada di kala senang mahupun di waktu susah, di saat gembira ataupun ketika dirundung duka.

Hakikatnya, membaca al-Quran, sama ada kita mengetahui maksudnya ataupun tidak, adalah termasuk dalam ibadah, amal soleh dan memberi rahmat serta manfaat bagi yang melakukannya; memberi cahaya ke dalam hati yang membacanya sehingga terang benderang, juga memberi cahaya kepada keluarga dan rumah tangga tempat al-Quran itu dibacakan.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Kepada kaum yang suka berjemaah di rumah-rumah ibadat, membaca al-Quran secara bergiliran dan mengajarkannya terhadap sesama, akan turunlah kepadanya ketenangan dan ketenteraman, akan terlimpah kepadanya rahmat dan mereka akan dijaga oleh malaikat, juga Allah akan selalu mengingati mereka. (riwayat Muslim).

Justeru, bukan sahaja membaca al-Quran yang menjadi ibadah dan amal yang mendatangkan pahala dan rahmat, tetapi mendengarkannya juga besar manfaatnya.

Surah al-A’raaf ayat 204 menjelaskan tentang pahala orang yang sekadar mendengarkan bacaan al-Quran yang bermaksud: Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah (baik-baik) dan perhatikanlah tenang, agar kamu mendapat rahmat.

Ini kerana, mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras, serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberi kepada orang yang mendengarkan bacaan al-Quran dengan baik.

Demikianlah besarnya mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan dibaca dan didengari. Sehinggakan semakin kerap orang membaca dan mendengarkannya, semakin terpikat hatinya kepada al-Quran.

Apatah lagi apabila al-Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara yang baik dan merdu, ia akan lebih memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarkannya dan bertambah kukuh imannya.

Bagaimana keadaan orang mukmin tatkala mendengarkan bacaan al-Quran itu digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakal. (al-Anfaal: 2)

Diriwayatkan pada suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengarkan Abu Musa Al-Asy’ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Setibanya baginda di rumah, baginda ditanya oleh Aisyah r.a., apa sebabnya baginda pulang sehingga lewat malam. Rasulullah menjawab, bahawa baginda terpikat oleh kemerduan Abu Musa Al-Asy’ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud a.s.

Malah di dalam riwayat, banyak sekali disasterakan, betapa pengaruh bacaan al-Quran pada zaman Rasulullah terhadap hati orang-orang kafir yang setelah mendengarkan bacaan al-Quran itu.

Tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi SAW serta pengikut-pengikutnya, berbalik menjadi lunak dan mahu mengikuti ajaran Islam

22 Adab dan Petua Membaca al-Quran

Berikut adalah adab membaca al-Quran dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi yang saya dapat senaraikan kepada 22 perkara, iaitu:

 

  • Berniat ikhlas kerana Allah SWT.
  • Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca al-Quran.
  • Membaca dalam keadaan berwuduk. 
  • Mengadap ke arah kiblat.
  • Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
  • Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
  • Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin. 
  • Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
  • Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah SWT menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah SWT seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah SWT tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
  • Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
  • Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
  • Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
  • Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi SAW mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.” – (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)
  • Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
  • Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
  • Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
  • Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
  • Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah SWT.
  • Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
  • Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
  • Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
  • Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Rahsia ibadat puasa

Puasa Ramadhan merupakan antara ibadat khusus yang termasuk dalam rukun Islam yang wajib ditunaikan. Antara tujuan kewajipan berpuasa adalah bagi melahirkan umat Islam yang bertaqwa kepada Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

 

يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

 

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Taqwa merupakan suatu kalimah yang mudah disebut dimulut tetapi susah untuk dilaksanakan dalam diri. Maksud taqwa sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu

Antara ciri orang bertaqwa ialah sentiasa melakukan apa yang diperintah oleh Allah dan dalam masa yang sama sentiasa menjauhi segala tegahanNya. Ingatlah kita bagaimana orang Mukmin sentiasa melihat dosa seumpama gunung yang mahu menghempap diri sehingga dia bimbang untuk mendekatinya sedangkan orang munafik sentiasa melihat dosa sebagai suatu yang kecil tidak lebih seperti lalat yang hinggap di atas hidungnya di mana ia boleh dihalau dengan mudah.

Bagi melahirkan umat yang bertaqwa maka antara usaha yang terbaik ialah melalui ibadat puasa di mana ia boleh melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan namun sahabat karibnya terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita sentiasa ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.

 

عن صفية : قال النبي

 

e :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ – رواه البخاري ومسلم

 

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

Umat Islam yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sentiasa menunaikan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan kepada Allah tanpa ada rasa keinginan untuk menunjuk-nunjuk bahawa dia berpuasa apatah lagi ibadat puasa susah untuk dizahirkan dan ibadat puasa juga ada keistimewaannya tersendiri dari sudut ganjarannya daripada Allah.

 

عن أبي هريرة : قال النبي

 

e :

كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ أَمْثَاِلهَا إِلىَ سَبْعِمِائَةٍ ضِعْفٍ إَلا الصِّيَامُ فَإِنَّهُ لِىْ وَأَناَ أَجْزِي بِهِ – رواه البخاري ومسلم

 

Maksudnya : Setiap amalan baik pahalanya 10 kali sampai kepada 700 kali selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagiku dan aku sendiri akan membalasnya

Islam sentiasa menganjurkan umatnya agar menjaga kesihatan bagi memastikan setiap gerak kerja dapat dilaksanakan dengan baik terutama ibadat khusus. Oleh itu kewajipan puasa antaranya bagi mememastikan kesihatan umat Islam dapat dijaga dengan baik.

 

قال النبي

 

e :

صُوْمُوْا تَصِحُّوْا

 

Maksudnya : Berpuasalah nescaya kamu sihat.

Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.

 

عن أبي هريرة: قال النبي

 

e :

الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ- رواه ابن ماجه

 

Maksudnya : Puasa itu sebahagian daripada sabar

 

عن ابن مسعود: قال النبي

 

e :

الصَّبْرُ نِصْفُ الإْيمَانِ- رواه أبو نعيم

 

Maksudnya : Sabar itu sebahagian daripada iman

Umat Islam yang bertaqwa turut menjaga kualiti ibadat puasanya agar ia diterima oleh Allah. Kita tidak mahu menunaikan ibadat semata-mata menahan diri daripada makan minum serta perkara yang membatalkan puasa sahaja sedangkan anggota lain seperti hati, mata, lidah, telinga terus bergelumang dengan maksiat yang menggugat kesempurnaan ibadat puasa itu sendiri. Ingatlah kita kepada peringatan Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang berbunyi

 

عن أبي هريرة: قال النبي

 

e :

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صَوْمِهِ إِلا الْجُوْعُ وَالْعَطَشُ- رواه النسائي وابن ماجه

 

Maksudnya : Betapa ramai orang yang berpuasa yang tiada baginya daripada hasil puasanya itu selain lapar dan dahaga