Gambar hari al-Marhum Tuan Guru Hj Hashim meninggal dunia

 
Advertisements

Mudir Pondok Pasir Tumboh hingga 30 Ogos 2011

PENGUASA 1 / MUDIR

Biodata :

Nama      : Tuan Guru Hj Hashim b. Hj Abu Bakar

Tempat lahir : Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah.

Tahun lahir    : 1923M

Pendidikan :

  1. Belajar di Darul Ulum ad-Diniah, Mekah dari tahun 1936 hingga 1939
  2. Belajar di Madrasah Irsyadiah Tuan Guru Hj Abdul Rahman Hj Abdullah, Merbuk, Sungai Petani,Kedah pada tahun 1942
  3. Belajar di Pondok al-Marhum Tuan Guru Hj Ghazali Batu 26, Bagan Datoh,Perak pada tahun 1940
  4. Belajar di Pondok Lebai Idris Hitam, Kampung Air Hitam, Jetra, Kedah pada tahun 1944 selama 2 tahun
  5. Pada tahun 1946 belajar di Pondok Bunut Payong dengan Tuan Guru Hj Abdullah Tahir sehingga tahun 1953

-Pada tahun 1953 beliau berkahwin dengan adik Tuan Guru Hj Mustafa dan Tuan Guru Hj Abdul Aziz bin Abu Bakar pengasas Pondok Pasir Tumboh.

Perkhidmatan :

1. Mengajar di Pondok Pasir Tumboh bersama 2 orang iparnya dan menggantikan tempat sebagai Penguasa I atau Mudir  setelah kematian keduanya sehingga sekarang.

2. Beliau juga menjawat jawatan sebagai Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad mulai 1995

3. Tokoh Hijraturrasul 1428H peringkat Kelantan

4. Menerima anugerah gelaran Dato’ Paduka daripada Pemangku Sultan Kelantan pada tahun 2010

 

Meninggal dunia

Kembali ke rahmatullah pada 1 Syawal 1432H bersamaan 30 Ogos 2011M pada jam 1.10 tengahari dan disemadikan di tanah perkuburan Islam Pondok Pasir Tumboh pada jam 6.30 petang

Biodata lebih lengkap

Tuan Guru Hj Hashim Pondok Pasir Tumboh meninggal dunia

Tuan Guru Hj Hashim baru meninggal dunia jam 1 tengahari tadi dan akan disembahyangkan lepas asar nanti…al-fatihah

Manfaat tidur siang sekejap untuk beribadat malam

Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

TIDUR seketika pada tengah hari disebut qailulah dalam bahasa Arab, afternoon nap dalam bahasa Inggeris atau siesta dalam bahasa Latin yang diamalkan di Sepanyol dan Mexico.

Tidur siang sebegini adalah kebiasaan bagi orang yang mementingkan kesihatan, kesegaran dan produktiviti. Ia adalah budaya baik, apatah lagi Rasulullah pernah mengamalkannya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih disebutkan: “Tidur sekejap pada waktu tengah hari (qailulah) bukanlah perbuatan keji kerana Rasulullah pernah melakukannya.” Amalan ini semakin dilupakan dan tidak diambil perhatian, kalaupun dibuat, tidak mengikut spesifikasi sunnah.

Dalam masyarakat Inggeris, amalan ini menjadi kebiasaan. Saya melihat ia diamalkan di Britain, terutama di kalangan kanak-kanak prasekolah dan peringkat rendah. Saya teringat anak saya ketika di prasekolah di London mempunyai jadual tidur pada waktu tengah hari. Mungkin ini adalah mekanisme atau langkah membiasakan mereka supaya menghargai ‘makna’ tidur tengah hari apabila dewasa kelak.

Mereka mempunyai falsafah sendiri. Di kalangan masyarakat Sepanyol dan Mexico, mereka mesti melakukan siesta (tidur siang) kerana keadaan cuaca pada siang yang terlalu panas dan tidak membolehkan mereka keluar melakukan kegiatan luar.

Tidur seketika pada siang hari atau qailulah adalah kebiasaan masyarakat Arab, beberapa orang soleh dan ulama terdahulu. Mereka melakukannya tidak hanya pada Ramadan, tetapi pada hari biasa, khususnya pada musim panas.

Ulama soleh terdahulu menjadikan tujuan qailulah ini agar pada malam harinya mereka boleh bangun untuk mendirikan solat tahajud. Jadi tidur siang atau qailulah ini hanya kebiasaan atau budaya orang Islam terdahulu.

Saya agak terkejut mendengar keterangan bahawa tidur sebentar waktu siang adalah suatu hal yang dianjurkan hanya kerana syaitan tidak pernah tidur siang. Ini terutama apabila saya melihat orang berpuasa menggunakan tidur siang sebagai alasan untuk melayan rasa malas dan letih mereka. Sebenarnya banyak keterangan lain yang menganjurkan tidur seketika terutama bagi orang berpuasa.

Dalam sebuah riwayat, Imam Abu Hanifah selama 40 tahun tidak pernah tidur malam kerana malamnya dipenuhi dengan solat malam. Beliau tidur hanya sebentar pada waktu siang hari, iaitu qailulah. Waktu qailulah adalah selepas solat Zuhur hingga Asar selama beberapa minit saja iaitu antara 20 hingga 30 minit. Jika memang untuk membolehkan bangun malam untuk solat tahajud, tentu ini adalah sunnah Rasulullah. Kalau tidur siang ini hanya untuk bermalas-malasan, dan malam harinya tidak solat tahajud, Tarawih dan solat sunat lain, apakah nilai sunnah daripada tidur siang ini?

Khalifah Umar bin Khattab pernah suatu hari melakukan lawatan rasmi ke Iskandariah, ketika Muawiyah bin Khudaij menjadi gabenor di kota itu. Umar sampai ke kota itu pada waktu siang ketika kebanyakan orang melakukan qailulah. Umar menemui Muawiyah yang tidak tidur sekejap pada siang, lalu berkata: “Saya fikir kamu tidur pada siang ini, kalau kamu tidur siang hari, maka akan melalaikan hak rakyat, kalau kamu tidur malam, kamu melalaikan hak Allah, jadi bagaimana kamu mengatur tidur antara dua hak ini wahai Muawiyah.” Umar seolah-olah mengingatkan bahawa manfaat waktu itu lebih penting daripada sekadar tidur siang. Intinya, harus mengimbangi dalam menggunakan waktu tidur siang (yang hanya seketika bukan sepanjang hari) meskipun pada Ramadan.

Hadis ada menyebut bahawa: “Tidurnya orang puasa adalah ibadah.” Seperti penjelasan Iraqi dalam Takhrij Hadis-Hadis Ihya, bahawa hadis ini diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr dan Abdullah bin Abi Aufa, namun semua sanadnya antara dha’if (lemah) dan maudhu’ (palsu).

Jadi di mana kita harus melihat ‘kekuatan’ maksud hadis ini? Kita perlu melihat secara positif, pengertian hadis itu harus dimaknai bahawa tidurnya orang puasa adalah terjaganya (terpelihara) diri orang yang puasa daripada setiap perbuatan maksiat dan mungkar, dari situlah wujud makna ibadah itu. Kalau tidur hanya untuk bermalas-malasan dan meninggalkan kewajiban serta melalaikan tugas, tentulah ini sangat bertentangan dengan makna ibadah puasa itu.

Sahabat Rasulullah menjalani puasa Ramadan dengan tugas yang cukup berat seperti Perang Badar dan penaklukan Makkah. Ini semua petunjuk bahawa puasa bukan untuk menjadikan kita bermalas-malasan, tetapi pencetus semangat agar memberikan yang terbaik meskipun dengan keterbatasan kecerdasan fizikal sebagai orang berpuasa. Malah, tidur seketika pada siang umpama mengecas semula bateri kehidupan untuk beramal pada malam hari.

Tengah hari adalah masa paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan manusia secara biologi bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai midafternoon quiescent phase atau a secondary sleep gate. Antara tokoh yang menggalakkan tidur seketika pada tengah hari ialah Dr William A Anthony, (PhD) dan Camille W. Anthony, pengarang buku The Art Of Napping At Work.

David F Dinges and Roger J Broughton dalam bukunya, Sleeps and Alertness: Chronological, Behavioral and Medical Aspects of Napping juga bersetuju dengan pendapat ini. Kajian itu menunjukkan mereka yang secara rutin tidur 30 minit pada waktu tengah hari mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30 peratus lebih rendah berbanding mereka yang lain.

Tazkirah Ramadhan 8 – Ustaz Hj Ahmad Naim

Hiasi Aidilfitri Dengan Ibadat Hindari Maksiat

Oleh Idris Musa

1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.

1 Syawal bakal bertamu menggantikan Ramadan yang melabuhkan tirainya sehari dua lagi, sekali gus mengisytiharkan hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpantang daripada makan minum dan kehendak nafsu.

Hari kebesaran itu disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran.
Bagi masyarakat kita, hari raya itu digelar Aidilfitri atau Hari Raya Puasa. Dalam istilah Arab ‘Idulfitri’ iaitu rangkai kata ‘id dan al-fitr. Kata ‘id’ (hari raya) berasal daripada perkataan ‘aud’ ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang pada setiap tahun membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala ‘fitr’ bermakna fitrah atau semula jadi.

Semuanya termasuk bukan Islam bergembira kerana dapat menyambut hari raya, malah sebelum ketibaannya sudah ada yang bersiap sedia dalam segala aspek, tidak sabar menanti fajar heningnya menyinsing.

Dalam Islam cara untuk menyambut 1 Syawal juga diterangkan dengan menyeluruh sebagai panduan kepada umatnya, seperti menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran.

Satu hadis, daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda, maksudnya: “Hiasilah hariraya kamu dengan takbir.” (Riwayat Tabrani)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumiddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat.

Malam raya adalah antara malam yang diberkati. Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: “Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)

Doa pada malam raya diperkenankan, sebagaimana jelas Imam Syafie dalam kitab Al-Umm: “Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban.”

Pada hari yang mulia itu Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah.

Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi’ dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.

Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.

Begitulah caranya yang boleh dijadikan panduan bagi mereka yang menyambut hari raya sebagai ibadat. Tetapi yang mengikut adat, warna sambutannya sungguh berlainan sekali kerana yag penting ialah asalkan ‘beraya sakan’.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim), Zamihan Mat Zin, berkata beliau mengakui trend beraya sekarang ini lebih mirip kepada trend jahiliyah tanpa panduan ilmu.

Menurutnya, apabila ramai orang jahil, mereka memperlakukan sesuatu itu mengikut selera bahkan tiba saja Syawal diri merasakan sudah bebas daripada disiplin sebulan Ramadan.

“Bagi orang seperti ini dia berasakan puasa adalah sebulan, jadi raya juga sebulan dan kerana itu mereka beraya sakan,” katanya.

Jika mengikut ibadat, pada hari raya, umat Islam dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan segala salah dan silap.

Seorang tabi’in, Jubair bin Nufair berkata: “Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda.”

Umat Islam digalakkan ziarah kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.

Rasulullah bersabda, bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam.”

Zamihan berkata, tidaklah salah untuk bergembira, berhias dan berbelanja pada hari raya, sesuai dengan hari kebesaran dan kemenangan, cuma bairlah ia secara sederhana.

“Sesiapa boleh berbelanja untuk menyambut raya, tetapi ukurlah kemampuan diri dan jangan sampai berhutang sehingga hari raya yang dinanti menjadikan suatu beban pula.

“Berbelanja jangan sekali-kali mengikut nafsu, kerana buruk akibatnya manakala peniaga mulalah ambil kesempatan dengan pelbagai bentuk jualan murah,” katanya, menasihati masyarakat Islam.

Katanya, trend apabila hari raya semuanya mesti baru, bermula daripada aksesori pakaian sehinggalah kain langsir dan perabot yang baru juga sewajarnya dihentikan kerana merugikan sahaja.

“Baju baru itu sunat sahaja. Yang penting bersih dan kebersihanlah yang dianjurkan Nabi s.a.w.

“Demikian juga warna putih dan hijau adalah sunat dan jika tiada tidak mengapa, boleh beraya dengan gembira, tidak perlu bersedih dan rendah diri kerana yang penting bersih.

“Tetapi bagi orang yang beraya mengikut adat, tiada baju baru dan perabot baru seperti tiada makna raya baginya, malah berasa malu pula kerana pengaruh material dan tiada ilmu.

“Sedangkan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabat, mereka tidak memandang material iaitu harta benda, namun mereka kaya dengan hati dan spritual.

“Contohnya Saidina Ali, pada pagi raya menangis kerana insaf dan bersyukur, tetapi kita bermegah-megah dengan harta benda baru pula, manakala spritual kita begitu sempit dan miskin.”

Menyambut raya sebagai ibadat bukanlah bermaksud bersolat dan berzikir sepanjang hari, seolah-olah Islam menutup rapat pintu untuk berhibur. Sesiapapun boleh bergembira dan berhibur pada hari raya asalkan tidak terkeluar dari batas syariat. Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya, seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud:

“Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu’ats (lagu Arab). Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya.

“Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad.

“Rasulullah s.a.w menghadap Abu Bakar, kemudian berkata, `biarkan mereka berdua.” Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah: “Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita.”

Jadikan hari raya hari jauhi maksiat

Oleh Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa

TENANGKAH perasaan ketika menjalani kehidupan pada Ramadan. Adakah kita masih ada perasaan resah, gelisah, khuatir dan risau? Jika ya, maka itu juga tanda gagal Ramadan.

Pesan Rasulullah: “Sesungguhnya telah datang Ramadan yang penuh barkah. Allah telah memfardukan atas kamu berpuasa dalamnya. Dibuka semua pintu syurga, dikunci semua pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa tiada diberikan kebajikan malam itu, maka sungguh tidak diberikan kebajikan atasnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i, Baihaqi daripada Abu Hurairah)

Apabila seseorang meraih barkah bulan suci ini, jiwanya mantap, hatinya tenteram dan perasaannya tenang dalam menghadapi apa juga keadaan.

  • Keazaman meningkatkan syiar Islam.Salah satu ciri utama alumni Ramadan yang berjaya ialah semakin tinggi ketakwaannya. Tanda ketakwaan yang meningkat ialah semakin kuat semangat dan keazamannya meninggikan syiar Islam.

    Pelbagai kegiatan amar makruf nahi mungkar dilakukannya kerana ingin sebanyak mungkin orang merasakan kelazatan iman seperti yang alaminya. Jika semangat ini tidak ada, gagallah Ramadan kita. Atau kita berasa malas membela dan menegakkan kebenaran. Walhal sejumlah peperangan dilakukan kaum Muslimin melawan tentera kafir berlangsung pada Ramadan.

     Kemenangan Badar dan penaklukan Makkah (Futuh Makkah) berlaku pada Ramadan. Di tengah gelombang kebatilan dan kemungkaran yang semakin berani menunjuk taring, kita sebagai alumni akademi Ramadan seharusnya semakin gigih dan berstrategi dalam membela dan menegakkan kebenaran.

    Jika bulan suci ini tidak memberi bekal perjuangan baru cemerlang, maka kemungkinan besar kita sudah kecundang.

     

  • Motivasi untuk berjemaah.Ramadan seharusnya menguatkan motivasi untuk kita semakin rajin berjemaah di masjid. Semakin rajinkah kita?

      

  • Mencintai fakir miskin dan mereka tertindas.Adakah kita menghayati maksud Syahru Rahmah, bulan kasih sayang atau Ramadan. Ini kerana pada bulan ini, Allah melimpahi hamba-Nya dengan kasih sayang yang berlebihan. Siyam Ramadan menanam benih kasih sayang terhadap orang yang paling lemah di kalangan masyarakat. Fakir miskin, anak yatim dan mereka yang hidup dalam kemelaratan.

    Rasa cinta kita terhadap mereka seharusnya bertambah. Jika cinta jenis ini tidak bertambah selepas bulan suci ini, bererti kita wajib bersegera memeriksa semula diri.

  • Menghidupkan hari terakhir Ramadan.Adakah kita benar benar memahami makna ‘hari-hari terakhir Ramadan’? Khalifah Umar ibn Abdul Aziz memerintahkan seluruh rakyatnya supaya mengakhiri puasa dengan membanyakkan istighfar dan memberikan sedekah. Ini kerana istighfar dan sedekah dapat menampal amalan puasa kita yang berlubang atau pecah. Menapak hari-hari berlalunya Ramadan, semestinya kita semakin kerap melakukan muhasabah diri.

    “Wahai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang diperbuatnya untuk hari esok dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

    Marilah kita bandingkan ‘kemeriahan’ anak kita dengan kesayuan anak di Iraq, Chechnya dan Palestin yang dikejutkan dengan bunyi dentuman roket, bom dan rempuhan kereta kebal. Anak-anak dan ibu dikejut dengan rempuhan pintu askar penceroboh pada waktu sahur, tangan mereka diikat, hanya atas nama memerangi keganasan dan mengembalikan keamanan. Apakah yang membezakan kita dengan mereka?

    Kita turut tumpang seronok melihat anak bermain mercun dan bunga api hingga berbelanja puluhan, malah ratusan ringgit? Sedangkan Rasulullah menyeru umatnya merebut 10 malam terakhir Ramadan dengan banyak beribadat.

    Semakin akhir Ramadan seharusnya kita semakin bersedih kerana sebenarnya tidak layak untuk syurga, tetapi kita tidak sanggup melihat api neraka. Rasulullah menyuruh umatnya melipatgandakan amalan menjelang akhir Ramadan.

    Rebutlah peluang beristighfar dan memohon kelepasan daripada api neraka pada Ramadan ini.

  • Kita lebih sibuk dengan sambutan raya.Adakah kita seperti orang lain? Semakin disibukkan oleh urusan lahiriah persediaan menyambut kedatangan Aidilfitri? Hingga lupa bahawa 10 malam terakhir adalah saat genting yang menentukan nilai akhir kita pada mata Allah pada bulan mulia ini. Adakah kita menjadi pemenang sejati atau kecundang yang kecewa?
  • Kefahaman makna Aidilfitri.Adakah kita menganggap Aidilfitri adalah ‘kebebasan’. Secara harfiah makna Aidilfitri ialah hari kembali ke fitrah. Kebanyakan orang memandang Aidilfitri laksana hari pembebasan daripada ‘penjara’ Ramadan.

    Jadikanlah Aidilfitri kali ini hari raya tanpa maksiat. Sambutlah kedatangan 1 Syawal dengan takbir dan tahmid sebanyak-banyaknya. Semoga Allah menerima puasa kita dan menjadikan kita orang bertakwa agar termasuk dalam golongan insan berjaya di sisi Allah.