Hikmah di sebalik wuduk

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

SOLAT adalah tiang agama dan menjadi
‘penangkis segala maksiat’. Solat wajib  dilaksanakan sebagai usaha
membentuk kebahagiaan jasmani dan rohani.

Sebelum melaksanakan tuntutan solat, umat Islam perlu  berwuduk
sebagai lambang penyucian zahir dan batin. Ia bukan sekadar pembersihan
dan penyucian tertentu anggota daripada segala kekotoran tetapi ia
mengandungi  hikmah lain yang memberi makna mendalam.

Berwuduk menepati kehendak ilmu kesihatan moden yang memperakui
ia adalah  kaedah perubatan berkesan. Ibnu Qaiyyim al-Jauzi pernah
berkata: “Mandi dan  wuduk itu mendatangkan kesegaran badan dan
kesedapan jiwa serta menghilangkan  sebarang kekotoran yang diperoleh,
antaranya yang disebabkan jimak.” Justeru,  wuduk adalah sebahagian
rawatan kesihatan kepada umat manusia. Memetik kata  pakar kesihatan
dari Akademi Perubatan Daghestan, Dr Magomed Magomedov, wuduk  dapat
merangsang pusingan biologi manusia dengan merangsang kawasan tertentu
yang dikenali sebagai ‘Kawasan Aktif Biologi’.

Beliau berkata, bangsa Cina banyak mengkaji kaedah ilmu sains
refleksologi dan mereka yakin kawasan aktif biologi akan merangsang
sistem saraf  dalam tubuh manusia. Ia mampu memberi kesan positif
terhadap tahap kesihatan  seseorang. Dr Magomed melaporkan, apabila
seseorang menyentuh muka ketika  berwuduk, ia akan merangsang saraf
untuk menyalurkan kekuatan baru kepada organ  lain seperti usus, perut,
pundi kencing dan sistem peranakan. Apabila kita  membasuh kaki kanan
sambil menggosok, ia akan merangsang sistem saraf bagi  memulihkan
sistem tulang, usus, pankreas, hempedu serta kawasan pinggang.

Apabila membasuh kaki kiri, sains perubatan mengakui ia
menyihatkan  kelenjar dan kawasan otak yang mengawal sistem endoktrin.
Maha Suci Allah!  Ibadah yang selalu kita laksanakan selama ini
sebenarnya terangkum 1001 macam  manfaat. Justeru, kepentingan wuduk
sebagai satu ibadah dan alternatif rawatan  kesihatan sepatutnya menjadi
amalan kepada kita.

Tidak semestinya kita mengambil wuduk ketika hendak menunaikan
solat atau  ketika hendak membaca al-Quran saja. Wuduk boleh dilakukan
sebagai amalan untuk  membina jiwa yang suci.

Kita dinasihatkan berwuduk apabila marah. Perasaan marah
seseorang pasti  menurun apabila berwuduk. Cuba kita bayangkan ketika
kita menuju ke tempat  berwuduk, badan kita dalam keadaan panas dan
kurang bertenaga. Bagaimanapun,  apabila selesai berwuduk dengan
serta-merta anggota tubuh tenteram. Pada suatu  hari, Junaid al-Baghdady
menghidap penyakit mata. Lalu, dia berubat dengan  seorang tabib
Nasrani. Tabib itu menilik keadaan mata Junaid, kemudian  menasihatkan
supaya matanya jangan terkena air. Pada mulanya, dia tidak  keberatan
mengamalkan petua tabib itu. Namun, di rumahnya, Junaid teringat  bahawa
setiap kali bersolat, seseorang itu mestilah berwuduk sedangkan
berwuduk  mesti membasahi muka.

Junaid yakin Allah menjadikan setiap penyakit dan setiap penyakit
itu  pasti ada ubatnya. Nabi Muhammad s.a.w bersabda bermaksud: “Allah
tidak akan  menurunkan penyakit kecuali menurunkan ubatnya, maka
berubatlah.” (Hadis riwayat  Ibnu Majah). Tanpa ragu-ragu Junaid pun
berwuduk dan membasuhi mukanya. Kemudian  selesai melakukan solat, dia
tidur. Kejadian aneh terjadi padanya, matanya  sembuh.

Tabib yang memberi petua penyembuhan pada Junaid menjadi sangat
hairan  apabila melihat mata Junaid kembali sembuh. Yang dia hairankan
ialah mengapakah  begitu cepatnya mata Junaid sembuh. Kata tabib itu,
“Mengapakah tiba-tiba sahaja  matamu menjadi baik? Jawab Junaid: “Aku
hanya berwuduk, aku membasuh muka dan  mataku.’ Kesan peristiwa itu
tabib yang beragama Nasrani itu akhirnya memeluk  Islam. Dia mengucap
dua kalimah syahadah lalu berkata: “Itu adalah ubat dari  Tuhan yang
menciptakan penyakit itu. Dia yang memberikan penyakit dan Dia  jugalah
yang menciptakan ubatnya. Aku juga sebenarnya menderita penyakit, iaitu
penyakit hati (rohani), dan Junaidlah yang menjadi tabibnya.” Dengan
berkat  berwuduk, ia mengandungi banyak manfaat terutama menyembuhkan
pelbagai penyakit.  Itulah yang diperintahkan Allah pasti mempunyai
hikmah dan kebaikannya kepada  manusia.” “Sesungguhnya umatku datang
pada hari kiamat dalam keadaan  bersinar-sinar daripada kesan wuduk.
Sesiapa yang berupaya untuk melebihkan  basuhan wuduknya, maka
lakukanlah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: