Gerhana ikut kepercayaan agama dan budaya

Oleh Nurul Farina Nazlan

Murray1

Pelbagai kepercayaan mengenainya mengikut bangsa

GERHANA bulan yang berlaku pada tengah malam 20 Disember dan berlarutan sehingga dinihari pada 21 Disember lalu mungkin tidak dihiraukan sesetengah orang berbanding gerhana matahari kerana ia tidak mengubah situasi dunia yang terpaksa bergelap.

Sungguhpun demikian, gerhana bulan pada kali ini istimewa kerana pertama kali terjadi pada pertengahan musim sejuk, satu kali dalam tempoh 300 tahun, selain yang terakhir terjadi pada 1638 dan tidak akan terjadi lagi hingga 2094 nanti.

Apabila terjadi gerhana bulan dan matahari, masyarakat sering melihat daripada aspek astronomi sedangkan hakikatnya, kedua-dua kejadian ini juga boleh ditinjau dari sisi kebudayaan kerana ia juga ada kepelbagaian berdasarkan kepada kepercayaan masing-masing.

Masyarakat India umpamanya mempercayai bahawa kemunculan gerhana matahari menyebabkan mereka bakal ditimpa bala dan memperoleh sesuatu yang tidak bertuah hingga mereka tidak mahu keluar rumah.

Orang Cina pula percaya bahawa gerhana matahari berlaku disebabkan naga menelan matahari hingga mereka melakukan perarakan menghalau naga dengan harapan matahari dimuntahkan semula agar cahaya menyinari dunia seperti kebiasaannya.

Bangsa Melayu menggelarkan gerhana bulan sebagai bulan sakit dan gerhana matahari pula terjadi dipercayai kerana matahari sedang marah atau menangis.

Bagi masyarakat Arab kuno pula, mereka percaya bahawa kemunculan gerhana adalah tanda kelahiran atau kematian orang terkenal, tetapi Islam pula memperincikan tabiat bulan dan matahari beredar di atas paksi tersendiri sebagai tanda kebesaran Allah SWT.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Sastera dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohamed Anwar Omar Din, berkata sememangnya wujud pelbagai kepercayaan dalam masyarakat berkenaan kewujudan gerhana.

“Bagaimanapun faktor itu semakin berubah mengikut peredaran zaman dan tahap pendidikan masyarakat. Mengikut kepercayaan silam gerhana jika terjadi mendatangkan masalah dan perkara buruk.

“Kepercayaan yang sedemikian disebabkan pengaruh keluarga atau masyarakat dulu, namun umat Islam perlu menjauhi kepercayaan seumpama itu, lebih-lebih lagi yang menjurus kepada perbuatan bertentangan dengan hukum syarak,” katanya kepada Sastera ketika ditemui di Bangi, baru-baru ini.

Dr Mohamed Anwar menjelaskan, bukan saja masyarakat Melayu, bahkan masyarakat lain juga mempercayai kemunculan gerhana membawa maksud kurang baik dengan istilah tertentu mengikut kebiasaan mereka.

“Bagi saya semua itu hanya kepercayaan dan kurang tepat kerana gerhana berkait rapat dengan aspek astronomi dan sains, bukannya disebabkan malang atau keburukan. Setiap individu perlu ada pengetahuan berhubung fenomena alam,” jelasnya.

Pakar motivasi, Mohd Zawawi Yusoh pula memperingatkan masyarakat agar melihat aspek ilmu sebelum membuat sebarang tafsiran berkenaan alam kerana tindakan membelakangkannya akan menyebabkan berlakunya pemikiran dan tindakan tidak benar.

“Kemunculan Islam adalah untuk membimbing manusia dari perkara sekecil-kecilnya yang berlaku di bumi hingga ke langit. Kita perlu ingat kejadian gerhana adalah satu tanda kebesaran Allah SWT dan membuktikan bahawa bumi juga mempunyai peraturannya sendiri.

“Umat Islam khususnya tidak boleh melihat kejadian alam seperti gerhana itu membawa kepada keburukan atau malapetaka kerana Rasulullah SAW juga menegaskan tidak ada kaitan antara kejadian alam dan bumi.

“Hal itu berlaku ketika Rasulullah SAW kehilangan putera baginda, Ibrahim yang kebetulan berlaku pada waktu gerhana matahari hingga disifatkan ramai orang sebagai tanda kesedihan, namun dibantah oleh baginda,” katanya.

Mohd Zawawi berkata, umat Islam perlu patuh kepada apa yang digariskan oleh syarak dan perlu mendapat ilmu serta panduan yang tepat berkenaan kejadian alam, bahkan tidak perlu mengaitkannya dengan kepercayaan yang bercanggah dengan akidah.

“Ada sesetengah membuat tafsiran berasaskan ilmu, tetapi tidak mengaitkannya dengan akidah. Pengkaji bukan Islam sendiri sebenarnya sedar bahawa ada pencipta alam melalui penyelidikan yang dilakukan, tetapi mereka tidak terbuka hati untuk menganuti Islam,” jelasnya.

Pensyarah Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya (UM), Obaidellah Mohammad pula menjelaskan, tamadun Cina antara yang terawal mencatatkan kewujudan gerhana bulan dan matahari, bahkan ada kepercayaan tertentu dalam diri masyarakat ketika itu berhubung gerhana.

Obaidellah berkata, masyarakat Cina percaya kewujudan gerhana memberi petanda kepada jatuh bangunnya sesebuah dinasti dan pemerintah mengadakan pelbagai upacara bagi mengelakkan perkara buruk seperti yang diramalkan daripada menjadi kenyataan.

“Raja zaman dulu amat percaya kepada ramalan berhubung perubahan fenomena alam seperti gerhana. Pelbagai upacara pemujaan dilakukan bagi menghalangnya. Hal ini berbeza dengan masyarakat kini yang lebih intelektual seiring dengan kemajuan ekonomi serta teknologi.

“Masyarakat Cina silam juga percaya bahawa kejadian alam akan memberi kesan kepada manusia itu sendiri. Malah, mereka sering memberi fokus bahawa alam adalah contoh terbaik untuk manusia dalam memperbaiki diri mereka,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: