• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Subur Hati, Makmur Masjid antara pengajaran Israk Mikraj

PEMBEDAHAN dada Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa Israk memberi pengajaran bahawa umat Islam perlu membuat persiapan diri untuk ke tempat yang amat tinggi iaitu menghadap Allah SWT.

“Justeru, umat Islam perlu mempersiapkan diri antara dengan membersih atau menyucikan jiwa sebelum kita bertemu dengan Allah kelak,”

Satu lagi falsafah peristiwa belah dada itu adalah kepentingan menjaga hati daripada perkara-perkara maksiat. Sebabnya, setiap maksiat yang dilakukan akan mendatangkan satu titik pada hati.

Akhirnya, orang yang bergelumang dalam dosa dan maksiat tidak lagi berasa bersalah atas maksiat yang dilakukan sebab hati mereka telah mati.

Antara ramuan cara menjaga hati agar umat Islam tidak termasuk dalam golongan orang yang hatinya mati.

“Antaranya, amal dan budayakan membaca al-Quran setiap hari, sentiasa mengingati mati dan membanyakkan zikir,”

Peristiwa bersejarah itu berlaku antaranya untuk menghiburkan hati Nabi SAW selepas kematian isteri tercinta, Saidatina Khadijah dan juga bapa saudara, Abu Talib.

Ini juga membuktikan bahawa untuk meletakkan Islam ke tempat yang lebih tinggi, ia turut perlu disokong oleh orang bukan Islam. Sebagaimana Abu Talib ketika itu.

“Hal ini juga mengajar kita bahawa Allah akan uji sesiapa yang disayanginya waima Rasulullah SAW sendiri. Antaranya, dibaling batu sewaktu berdakwah di Taif dan juga pemulauan penduduk Quraisy di Mekah.

“Sebab itu, kalau kita sayangkan anak dan isteri, kejutkan mereka untuk solat Subuh. Jangan tersalah sayang hingga kasihan untuk mengejutkan mereka. Ini sudah silap,”

Israk Mikraj turut menekankan kepentingan mengimarahkan masjid agar fungsinya dapat dipertingkatkan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

Ayat pertama dalam surah al-Israk yang menyebut tentang Masjid Aqsa dan Masjid Haram, membuktikan bahawa masjid adalah elemen penting dalam memperkukuhkan umat.

Memetik kata-kata Dr. Mustafa Sibaie tentang pentingnya masjid menjadi tempat mencegah kemungkaran.

“Masjid akan jadi dayus jika tidak tegakkan kalimah Allah. Ia akan jadi seperti gereja di mana orang datang hanya untuk mengadu dan minta ampun,”.

Begitu penting masjid memperkenalkan insentif kepada golongan pelajar yang cemerlang dalam pendidikan.

Katanya, hal sedemikian sudah lama dipraktikkan oleh golongan di gereja dan ia nampaknya berjaya mendekatkan golongan sasaran kepada institusi itu.

Untuk itu, adalah baik untuk ahli jawatankuasa masjid merencana insentif yang serupa agar anak-anak ahli kariah dibiasakan menjejak kaki ke masjid.

“Jangan pula berlaku, duit sumbangan datuk kita kepada masjid dulu pun masih belum dibelanjakan sampai hari ini.

“Selain itu, masjid mestilah mesra pelanggan atau jemaah terutama kanak-kanak dan remaja

8 hadiah berharga untuk orang tersayang

Pemberian material belum mampu tambat kasih

KITA sering merasakan ingin dihargai tetapi pernahkah kita menghargai orang
yang disayangi. Oleh itu, marilah kita menghargai saudara seagama menurut
perspektif Islam tanpa menilai rupa, harta dan jagalah adab apabila bersama
mereka.

Ada beberapa kepentingan yang harus kita pelihara supaya ukhuwah kekal dalam
dakapan menuju reda Allah seperti menjaga sikap, saling menasihati, memahami dan
bantu-membantu.

Tiap yang asas itu ada perhiasannya, begitu juga ukhuwah, ada perhiasan yang
sesuai. Perhiasan bukanlah sesuatu kewajipan tetapi ia seolah garam dalam
makanan dan gula dalam minuman. Apabila dipraktikkan, kekuatan ukhuwah itu makin
terasa dan tembok perbalahan tidak akan terbina.

Cara kita menghargai saudara kita ialah dengan memberi hadiah dan antara
hadiah itu ialah:

Kehadiran

Kehadiran orang yang dikasihi adalah hadiah yang tidak ternilai harganya.
Memang kita boleh hadir dengan menghantar surat, e-mel, laman facebook, telefon,
foto dan banyak lagi dengan teknologi canggih kini.

Namun, dengan berada di samping mereka kita akan dapat berbagi perasaan,
perhatian dan kasih sayang secara lebih utuh. Oleh itu, jadikan kehadiran anda
sebagai pembawa kebahagiaan.

Mendengar

Sedikit orang yang mampu memberikan hadiah seperti ini, kerana kebanyakan
kita lebih suka dirinya didengari berbanding dia mendengar. Keharmonian hubungan
antara manusia amat ditentukan oleh kesediaan saling mendengar.

Dengan mencurahkan perhatian pada segala ucapannya, secara tidak langsung
kita juga menumbuhkan kesabaran dan kerendahan hati. Untuk mendengar dengan
baik, pastikan anda dalam keadaan tenang supaya dapat memahami apa yang
disampaikan.

Diam

Dalam diam juga ada kekuatan. Diam boleh digunakan untuk menghukum, mengusir
atau membingungkan orang. Tetapi lebih dari segala-galanya, dia boleh
menunjukkan kecintaan kita pada seseorang kerana memberi ruang.

Kebebasan

Mencintai seseorang bukan bererti memberi kita hak penuh untuk memiliki atau
mengatur kehidupan orang disayangi. Bolehkah kita mengaku mencintai seseorang
jika kita selalu mengekangnya? Memberi kebebasan adalah salah satu bukti
cinta.

Makna kebebasan bukanlah bebas berbuat sesuka hati tetapi memberinya
kepercayaan penuh untuk bertanggungjawab atas segala hal yang diputuskan atau
dilakukan.

Keindahan

Siapa yang tidak bahagia, jika orang yang disayangi tiba-tiba tampil lebih
kacak atau cantik? Tampil indah dan rupawan juga adalah hadiah. Bahkan tidak
salah jika anda tampil cantik tiap hari begitu juga memastikan kediaman juga
indah.

Tanggapan positif

Sedar atau tidak, kita sering memberi penilaian negatif terhadap fikiran,
sikap atau tindakan orang yang kita sayang. Kali ini cuba hadiahkan tanggapan
positif, nyatakan dengan jelas dan tulus. Cuba ingat berapa kali dalam seminggu
anda mengucapkan terima kasih terhadap apa yang dilakukannya demi anda. Ingat
pula, pernahkah anda memujinya. Ucapan terima kasih, pujian dan permintaan maaf
adalah hadiah cinta yang sering dilupakan.

Kesediaan mengalah

Tidak semua masalah layak menjadi bahan pertengkaran, apalagi hingga menjadi
perbalahan yang hebat. Semestinya anda pertimbangkan apakah ia perbalahan itu
berbaloi dan apabila ini berlaku, mungkin ada baiknya anda mengalah.

Kesalahannya mungkin terlewat tiba untuk temu janji dan itu adalah kali
pertama, jadi perlukah pertengkaran dibiarkan berlanjutan. Kesediaan untuk
mengalah boleh menghilangkan perasaan sakit hati dan menyedarkan kita bahawa
manusia tidak sempurna.

Senyuman

Kekuatan senyuman amat luar biasa lebih-lebih lagi senyuman diberi dengan
tulus, boleh menghangatkan hubungan yang dingin dan menjadi semangat kepada yang
berputus asa. Senyuman juga isyarat untuk membuka diri kepada dunia sekeliling
kita. Senyum itu juga ibadah.

Mari bersama menilai hadiah apakah yang sudah kita beri kepada yang tersayang
dan mana yang belum. Jadikan pemberian hadiah sebagai pengikat kasih sayang yang
memperkukuhkan ukhuwah.

Pecahlah batu dipukul besi, berubah hanya dititis air, mana mungkin jiwa
pendakwah dapat merubah sekeping hati melainkan ia bertakhtakan
kasih.

5 adab, kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam

Azan, akikah antara amalan tanda syukuri kehadiran orang baru

Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;

Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.

Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”

Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.

Hendaklah ditahnikkan bayi itu. Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).

Mencukur rambut bayi.

Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”

Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing

seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.”

Allah Hairan Dengan 3 Jenis Manusia

Daripada
Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t.
merasa hairan kepada seseorang yang meminta, tetapi tidak meminta
syurga, dan kepada seseorang yang memberi tetapi bukan memberi kerana
Allah, serta kepada seseorang yang meminta perlindungan, tetapi tidak
meminta perlindungan daripada neraka..”(Riwayat Al-Khatib)

1. Tidak Meminta Syurga.

Permintaan
untuk memasuki Syurga adalah permintaan yang paling tinggi kerana ia
adalah tempat yang paling hebat yang dimiliki Allah s.w.t yang maha
hebat.

Ali-Imran
[133] Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.

Syurga adalah tempat Allah s.w.t. melahirkan sifat Rahim iaitu kasih
sayangnya. Ahli syurga diberi apa saja yang dikehendaki “wa lahum fii
masytahat anfusuhum khooliduun”.

Anbiya [102] …. mereka akan kekal selama-lamanya didalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Pohon di syurga boleh melentur bagi memudahkan ahlinya makan:

Al-Insan
[14] Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan
buah-buahannya pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan
semudah-mudahnya.

Daripada Jabir r.a katanya, dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”sesungguhnya
penduduk syurga makan dan minum di dalamnya. Tetapi mereka tidak
meludah, tidak kencing, tidak membuang air besar dan tidak membuang
hingus.” Para sahabat bertanya:”Bagaimana makanan yang mereka makan?
Jawab baginda:”Keluar dari sendawa yang baunya harum seperti bau kasturi
. Mereka selalu membaca tasbih dan tahmid sebanyak tarikan nafas mereka.” (Muslim)

2. Memberi tetapi bukan memberi kerana Allah.

Setiap
pemberian yang diberi semata-mata kerana walaupun sedikit atau hanya
sebesar zarah ianya tetap akan diberi ganjaran dan mendapat keredhaan
Allah. Sebaliknya Allah melarang pemberian yang dilakukan bukan kerana
Allah misalnya sembelihan yang tidak dilakukan kerana Allah:

Al-Maidah [3] ….dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga)

Al-Anam
[121] Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang
halal) yang tidak disebut nama allah ketika menyembelihnya, kerana
sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa)

3.Meminta perlindungan tetapi bukan meminta perlindungan daripada neraka.

Neraka
adalah tempat Allah s.w.t melahirkan kegarangannya. Neraka adalah
tempat yang panas. Kepanasan api neraka itu adalah 69 kali kepanasan api
di dunia. Para sahabat pernah mengatakan bahawa cukuplah kalau api
neraka itu sepanas api dunia. Jawab Rasulullah “Kalau api neraka itu
sepanas api dunia, ahli neraka masih boleh tidur di dalamnya“..

Dari
Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya:“Kepanasan api kamu yang
digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh
kepanasan api Neraka Jahanam.” Sahabat-sahabat Baginda berkata: “Demi
Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. ”Baginda
s.a.w., bersabda: “Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam
ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan
bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini
. “

Neraka
juga adalah tempat yang gelap walaupun ia adalah daripada api. Api dan
asapnya gelap gelita dan tiada cahaya (neraka berlapis-lapis, namun
telalu gelap sehingga tidak boleh melihat antara setiap lapisan). 3000
tahun dibakar, 1000 tahun api merah, 1000 tahun api putih, 1000 tahun
api hitam. Apabila apinya betul-betul semarak ia menjadi keras sehingga
tidak nampak antara setiap lapisan.

Menghayati pengajaran Isra’ Mikraj

Memahami Israk dan Mikraj

Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad SAW pada peristiwa Israk Mikraj. – Gambar hiasan

SEPERTI yang telah kita mukadimahkan pada minggu lepas, untuk beberapa waktu kita akan memanfaatkan ruangan ini untuk menggali mutiara-mutiara hikmah daripada kitab Mafahim Yajib an Tusohhah (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) tulisan al-Allamah al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki.

Oleh kerana kita sedang melalui bulan-bulan dan hari-hari yang istimewa dalam Islam, eloklah kita meneliti beberapa isi buku ini yang bertujuan memperbetulkan kefahaman kita tentang perbuatan menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam.

Kita sedang berada dalam ‘musim’ Israk dan Mikraj. Kefahaman dan sikap masyarakat dalam melalui hari-hari ini memang berbeza malah mungkin juga bercanggah. Ada yang langsung tidak menyedari datang dan perginya 27 Rejab kerana terlampau sibuk dan kurang peka pula pada perjalanan kalendar Islam.

Tidak kurang yang menyambut kedatangannya dengan penuh gembira dan bersemangat dengan mengadakan pelbagai majlis sambutan. Ada pula yang mempertikaikan kewajaran menyambutnya, seperti mana mereka menolak sambutan hari-hari kebesaran Islam yang lain.

Di akhir-akhir kitab Mafahim ini, pengarangnya ada menyentuh isu sambutan hari-hari kebesaran Islam. Di situ beliau berkongsi keyakinannya tentang kesepakatan ulama bahawa perbuatan ini jika dianggap sebagai suatu adat dan tradisi untuk menghimpunkan orang ramai bagi mendekatkan diri dengan agama tanpa dianggap sebagai suatu pensyariatan khusus adalah suatu amalan yang terpuji dan tidak bercanggah dengan mana-mana usul agama.

Beliau menghuraikan lagi, “Bagi saya, memanfaatkan peluang berkumpul bersama umat Islam dengan berdoa, bertawajjuh kepada Allah SWT, menagih limpahan anugerah, kebaikan dan keberkatan daripada-Nya adalah lebih besar daripada faedah hanya mengingati atau mengenang peristiwa tersebut.

Menggunakan kesempatan berkumpul bersama orang ramai dengan memberikan peringatan, petunjuk, nasihat dan dorongan kepada mereka ke arah kebaikan, adalah lebih utama daripada menegah, menolak dan mengingkari perkumpulan mereka dengan alasan yang tidak mendatangkan sebarang faedah.

Apa yang dapat disaksikan, penolakan dan pengingkaran mereka itu tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Setiap kali bertambah kuat pengingkaran dan penolakan terhadap perbuatan mereka, semakin bertambah kuat pula penerimaan mereka dan semakin tegas pegangan mereka terhadapnya hinggakan seolah-olah orang yang melarang perbuatan mereka merupakan pendorong dan penggalak untuk mereka melakukannya tanpa disedari.

Para cendekiawan dari kalangan ahli fikir dan pendakwah sangat berkeinginan untuk mendapatkan sebuah tempat mengumpulkan orang ramai bagi menyebarkan pandangan-pandangan mereka dan mengajak untuk menyertai barisan mereka.

Oleh kerana itulah, kamu dapat lihat, mereka selalu datang ke taman, kelab dan tempat-tempat umum yang biasa terdapat banyak perkumpulan orang untuk melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Kami lihat, umat Islam sering berkumpul di dalam majlis-majlis bersempena hari kebesaran Islam dengan penuh minat, keazaman dan kesungguhan. Justeru, apakah yang wajib kita lakukan terhadap mereka?

Sesungguhnya menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengingkari dan menolak hukum perkumpulan mereka dan sebagainya adalah sia-sia sahaja, bahkan merupakan suatu kebodohan dan kejahilan. Ini kerana, kita hanya mensia-siakan peluang besar dan melenyapkan kesempatan yang tidak mungkin menjadi baik sesuatu masa dengannya, kecuali dalam kesempatan seperti ini. Justeru, manfaatkanlah perhimpunan besar ini.” (H. 961-963, edisi terjemahan Yayasan Sofa)

Sikap yang disarankan oleh pengarang kitab ini adalah lebih selamat dan selari dengan sangka baik terhadap Islam dan umatnya berbanding sikap menentang atau membidaahkannya. Beliau turut menulis khusus tentang keistimewaan Israk dan Mikraj bertajuk al-Anwar al-Bahiyyah min Isra’ wa Mi’raj Khayr al-Bariyyah (edisi terjemahannya ada dikeluarkan oleh murid kanannya di Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan).

Buku ini menyarankan agar menggunakan semaksima mungkin peringatan terhadap Israk dan Mikraj itu untuk meningkatkan makrifah dan kasih terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Apakah ada perkara yang lebih baik bagi kita selain daripada itu? Dan betapa banyakkah rahsia-rahsia agung dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berpotensi membantu kita menggapainya.

Berkongsi keriangan dan kenangan manis Israk dan Miraj dengan insan yang paling kita kasihi ini terlebih wajar kita amalkan apabila mengenang bahawa anugerah Allah SWT kepada Baginda SAW juga adalah kurniaan bagi kita sebagai umatnya. Kefarduan solat yang dianugerahkan kepada Nabi pada malam tersebut juga adalah bagi kita dan merupakan keizinan untuk kita umat Muhammad SAW untuk turut berhubung dan berbicara dengan Allah SWT pada setiap hari.

Kemuliaan dan keutamaan Nabi SAW di sisi Allah SWT yang terzahir di malam itu tidaklah terbatas kepada diri Baginda SAW malah melimpah kepada kita umatnya sehingga kita dinobatkan sebagai umat yang paling mulia dan akan lebih dahulu memasuki pintu Syurga berbanding umat Nabi-nabi yang lain. Allahu akbar wa lillahil hamd!

Menginsafi betapa banyaknya faedah, rahsia, cahaya dan hikmah di sebalik sambutan hari-hari kebesaran Islam seumpama Israk dan Mikraj ini, tidak hairanlah jika Allah SWT sendiri telah menyenaraikannya sebagai antara tugas utama pengutusan para Rasul seperti yang tergambar dalam firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 5.

Semoga kita semua tersenarai di kalangan mereka yang benar-benar menunaikan hak peristiwa yang agung ini.

Rasulullah s.a.w lihat pelbagai perkara dahsyat semasa Mikraj

Oleh Mohd Fadly Samsudin
PENUH dengan iktibar. Itulah yang dapat diterjemahkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui pemimpin agung, Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘perjalanan’ yang penuh dengan pengajaran.
Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh menyimpang daripada agama Allah.
Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia yang membongkar kelebihan terutamanya martabat Rasulullah s.a.w di sisi Allah.
Dalam ‘pengembaraan’ luar biasa itu, Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan serta seksaan yang diterima manusia lantaran melakukan kemungkaran di dunia.
Antaranya, Nabi Muhammad s.a.w melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana mereka tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.
Ada pula wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.
Baginda turut melihat bagaimana wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
Manakala ada wanita diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking kerana mereka yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub.
Terdapat wanita yang memakan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.
Selain itu, ada wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah wanita yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.
Ada wanita menyerupai anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke mulutnya dan keluar melalui duburnya kerana mereka suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.
Begitulah antara seksaan yang menimpa kaum wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad s.a.w melakukan Israk dan Mikraj. Ini membuatkan Baginda sedih setiap kali mengenangkan peristiwa itu.
Allah berfirman yang bermaksud: “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Israak ayat 1).
Peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab berkenaan adalah peristiwa yang membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah.
Bukti paling nyata terhadap kekuasaan Allah adalah Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.
Ia berlaku setahun sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah iaitu bersamaan dengan tahun 721 Masihi. Peristiwa berkenaan berlaku ketika Rasulullah dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.
Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda dicuci dengan air Zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was wasnya.
Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq.
Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa itu, Rasulullah s.a.w diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.
Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, Malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat.
Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w melakukan hijrah, Bukit Tursina, dan Baitul-Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan).
Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.
Menurut sarjana, kecepatan Buraq membolehkan Nabi pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata. Ia menyamai kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer sesaat.
Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit kemudian kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.
Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.
Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam. Daripada Anas katanya: “Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: …(Selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang… lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).
Baginda akhirnya mendapat keringanan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam.
Ia menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian Muhammad.
Justeru, bulan Rejab adalah di antara bulan yang mulia dalam Islam. Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun kesebelas dari kerasulan Nabi Muhammad berada di puncak kesedihan.
Baginda menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Tahun itu juga dikenali sebagai `Aam al Huzni atau tahun berduka cita.
Kemudian, giliran Abu Talib meninggalkan dunia. Bapa saudaranya itu sanggup berkorban serta melindunginya daripada ancaman orang kafir Quraisy.
Abu Talib adalah individu yang sangat disegani dan di hormati dikalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Nabi.
Begitu juga dengan kewafatan isteri kesayangannya yang di sifatkan sumber inspirasi dalam perjuangan Rasulullah.
Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata peristiwa Israk dan Mikraj adalah perjalanan ‘mencari’ Tuhan.
“Ia peristiwa hebat menuju akhirat. Sebelum Nabi melakukan Israk dan Mikraj, terlebih dahulu hati Baginda dibersihkan.
“Bukan bermakna hati Nabi Muhammad kotor tetapi ia adalah simbolik kerana sebelum apa saja bentuk ibadat kita serahkan kepada Allah ia perlu dimulakan dengan hati yang bersih,” katanya.
Beliau berkata, peristiwa itu satu isu yang tidak akan selesai sehingga hari kiamat dan memerlukan umat Islam melakukan perubahan untuk menjadi umat cemerlang.
“Peristiwa yang digambarkan Nabi Muhammad ketika Israk Mikraj adalah perbuatan dan tindakan yang tidak mampu dilakukan manusia biasa.
“Peristiwa itu benar, tepat dan menjangkaui sempadan masa. Ia relevan sehingga ke hari ini di mana berlaku pelbagai salah laku yang membabitkan moral masyarakat Islam seperti rogol, tidak membayar zakat, berebut kuasa, rasuah, zina, curang dan pecah amanah,” katanya.
Mohd Zawawi berkata manusia perlu sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah sama ada ketika ditimpa kesusahan atau dalam kesenangan.
“Hanya Allah mampu memberikan pertolongan dan menghilangkan segala kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia.
“Sebelum Israk, Mikraj Nabi Muhammad ditimpa musibah. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah jika diuji dengan musibah,” katanya.
Beliau berkata ketika peristiwa Israk Mikraj, Nabi ‘dihiburkan’ dengan nikmat syurga sehingga Baginda lupa perjalanan yang ditempuhinya pada malam itu.
“Kita perlu sentiasa beringat bahawa tujuan kita hidup di dunia ini tidak akan terhenti di sini saja. Kehidupan yang kekal abadi adalah di akhirat sana yang menjanjikan balasan syurga buat mereka yang beramal soleh.
“Selain itu, Nabi juga mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril. Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lainnya,” katanya.

Pengajaran peristiwa Israk dan Mikraj

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PERISTIWA Israk dan Mikraj merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.

Dalam perjalanan tersebut diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan dan kehidupan para hamba

Peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.

Pengajaran Tentang Solat

Antara pengajaran terpenting yang diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj al Ruhi.

Apabila Mikraj Nabi kita SAW dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi ini.

Kemuliaan yang diperolehi bukan dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.

Tidaklah solat itu sekadar robot atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan, kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan kejahatannya.

Solat merupakan sebesar-besar amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan memperolehi kecelakaan dan kerugian.

Allah SWT telah memfardukan solat ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya atas nikmat yang dicurahkan-Nya.

Ia merupakan asas bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: “Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat. Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain”. (Diriwayatkan oleh al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma’ al Zawaid (1/291)).

Tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu’ kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.

Sesiapa yang telah mencapai muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara, menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan solatnya.

Seorang hamba yang memelihara solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh Tuhannya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di hadapannya”. (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).

Sabda Baginda SAW lagi: “Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk syurga”. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).

Sesiapa yang tidak memelihara solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan, taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan kepalanya ke batu.

Setiap kali kepalanya itu pecah, akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab, kehinaan dan kerendahan.

Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.

Bermujahadahlah sehingga kalian tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.

Berhati-hatilah kalian agar harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak menyibukkan kalian dari menunaikan solat.

Jadilah kalian dari kalangan mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung. (al-Nur: 37 dan 38)

Daripada Abdullah ibn Amru berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya: “Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman dan Ubai ibn Khalaf”. (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)

Daripada Abi Hurairah r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Apakah pandangan kalian, jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada suatu kotoran yang tinggal pada badannya?” Sahabat menjawab, “Tidak ada suatu kotoran pun yang tinggal”. Sabda Baginda SAW, “Begitu jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)

Banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang ketinggian martabat Baginda SAW.

Semoga kita digolongkan di kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj

Sakitnya sakaratul maut

Sakitnya sakaratul maut, tak seorang pun dapat mengetahui dan menceritakannya kecuali dirinya sendiri, yang langsung merasakan.

Aisyah ra.berkata, ‘Di hadapan Nabi saw. terdapat gayong berisi air. Lalu beliau memasukkan tangannya ke dalam air, kemudian membasuh wajahnya seraya bersabda: “Tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Allah… Sesungguhnya kematian itu ada sakaratnya.”

HR. Al-Bukhari

Dalam lafaz lain diriwayatkan, bahawa ketika menjelang wafatnya, beliau berdoa: “Ya Allah, tolonglah aku ketika sakaratul maut.”

HR. Ahmad dan Tirmidzi, dihasankan oleh Hakim

Yang dimaksud dengan sakarat yaitu kengerian dan kedahsyatan saat menjelang kematian.

Antara tanda sebelum datangnya Qiamat

Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b. Malik r.a., katanya, “Rasulullah s. a. w. telah bersabda: “Aku menghitung enam perkara menjelang hari kiamat. “Baginda menyebutkan salah satu di antaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis. ” Sahih Bukhari

Zina bermaharajalela.
“Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang.” – Sahih Muslim

Bermaharajalela alat muzik.
“Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. “Ada yang bertanya kepada Rasulullah; “Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?” Baginda menjawab; “Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita” – Ibnu Majah

Menghias masjid dan membanggakannya.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegah-megahan dalam mendirikan masjid” – Riwayat Nasai.

Munculnya kekejian, memutuskan kerabat dan hubungan dengan tetangga tidak baik.
“Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan dan perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim dan sikap yang buruk dalam tetangga.” – Riwayat Ahmad dan Hakim

Ramai orang soleh meninggal dunia.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang ma’ruf dan tidak mengingkari kemungkaran – Riwayat Ahmad

Orang hina mendapat kedudukan terhormat.
“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka'(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” -Riwayat Thabrani

Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalinya sahaja.
“Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya saja.” – Riwayat Ahmad

Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang.”

Bulan sabit kelihatan besar.
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit.” – Riwayat Thabrani

Banyak dusta dan tidak tepat dalam menyampaikan berita.
“Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar dan belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu dan memfitnahmu” – Sahih Muslim

Banyak saksi palsu dan menyimpan kesaksian yang benar.
“Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu dan disembunyikan kesaksian yang benar” – Riwayat Ahmad

Negara Arab menjadi padang rumput dan sungai.
“Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput dan sungai-sungai. ” – Sahih Muslim”

10 Pintu masuk Syaitan

Kata Salafussoleh :

“Ku renung dan ku fikir, dari pintu manakah syaitan itu memasuki hati manusia, tiba-tiba aku mendapati syaitan masuk dari sepuluh pintu iaitu:

Pertama: Tamak dan jahat sangka, lantas aku menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan yang ada sesudah berusaha dan berikhtiar.

Kedua: Cintakan hidup dan panjang angan-angan, lalu aku menghadapinya dengan rasa takut dengan kedatangan mati yang tiba-tiba.

Ketiga: Cintakan kerehatan dan nikmat, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa nikmat itu akan hilang dan meyakini balasan buruk.

Keempat: Kagum pada diri sendiri (ujub), lalu aku menghadapi dengan mensyukuri nikmat pemberian Allah dan takutkan balasan seksaan.

Kelima: Pandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka, lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak dan kehormatan mereka.

Keenam: Hasad dengki, lalu aku menghadapinya dengan sifat qanaah (iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar) dan reda terhadap pemberian Allah kepada makhluknya.

Ketujuh: Riak dan sukakan pujian manusia, lalu aku menghadapinya dengan sifat ikhlas.

Kelapan: Kedekut atau bakhil, lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa apa yang di tangan makhluk itu akan binasa sedangkan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.

Kesembilan: Takbur atau sombong, lalu aku menghadapinya dengan sifat tawaduk.

Kesepuluh: Tamak, lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesuatu yang ada pada manusia.

Antara arahan yang dituntut oleh Islam sebagai suatu jalan untuk mengelak diri daripada panah dan tipu daya Iblis ialah mengingati Allah sewaktu mula melakukan semua kerja. Dalam hubungan ini Abu Hurairah sudah meriwayatkan bahawa syaitan bagi orang mukmin telah bertemu syaitan bagi orang kafir.

Didapati bahawa syaitan bagi orang kafir itu dalam keadaan gemuk sedangkan syaitan bagi orang mukmin kurus kering dan dalam keadaan duka cita. Lalu syaitan orang kafir bertanya kepada syaitan orang mukmin: “Kenapa kamu kurus kering dan duka cita. Syaitan orang mukmin menjawab: Aku mendampingi seorang lelaki untuk menggodanya. Apabila lelaki itu hendak makan, dia menyebut nama Allah. Jadi aku terus lapar.

Apabila minum dia menyebut nama Allah. Jadi aku kehausan. Apabila dia memakai pakaian dia menyebut nama Allah dengan itu aku terus bertelanjang. Apabila dia memakai minyak rambut, dia terus menyebut nama Allah. Dengan itu rambutku terus kusut kering.”

Syaitan yang kafir pula berkata: “Tetapi aku mendampingi seorang yang sedikit pun tidak melakukan daripada apa yang engkau sebutkan tadi. Oleh itu aku berkongsi dengannya pada makanan, minuman dan pakaiannya.”