Syukur diutuskan nabi Muhammad s.a.w

Kelahiran Rasulullah s.a.w merupakan suatu penerusan kepada usaha dakwah dan pelaksanaan Islam setelah begitu lama bumi ini terhenti daripada pengutusan kenabian dan kerasulan sehingga hanya tinggal segelintir umat manusia sahaja yang masih berpegang teguh dengan ajaran nabi-nabi sebelum ini. Usaha dalam menyebarkan dakwah Islam dan pelaksanaan syariatnya bukanlah suatu yang baru dan asing atau hanya dimulai oleh nabi Muhammad s.a.w sebaliknya kedatangan baginda adalah bagi meneruskan perjuangan dan tugasan para nabi dan rasul sebelumnya. Baginda juga merupakan pelengkap dan penyempurna kepada tugasan para nabi dan rasul sebelum ini  bertepatan dengan pengutusan baginda sendiri sebagai penutup segala nabi dan rasul yang diutuskan bukan sahaja untuk sesuatu bangsa tertentu malah meliputi seluruh umat akhir zaman. Kehadiran baginda begitu ditunggu-tunggu setelah begitu lama bumi yang gersang daripada siraman iman. Ketibaan baginda begitu dinanti-nanti setelah bumi ini hampir mati akibat begitu lama tidak diisi dengan ruh Islam. Kemunculan baginda begitu dirindui setelah dunia dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan akibat manusia sudah lama tidak disuntik dengan ubat mujarab keadilan Islam. Kelahiran baginda disambut penuh gembira oleh seluruh alam buana di mana kesesatan jahiliah mula berlalu digantikan dengan kebenaran Islam, kegelapan akibat kekufuran yang mencengkam mula beransur hilang diganti dengan sinaran cahaya keimanan. Benarlah janji Allah bahawa kedatangan baginda adalah untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.

           Manusia tidak mampu hidup dalam kebenaran tanpa ada petunjuk daripada Allah. Manusia memang memerlukan kehadiran seorang nabi dan rasul bagi menerangkan segala suruhan dan larangan Allah agar kehidupan mereka sentiasa terjaga serta hak mereka terbela. Sesungguhnya Allah tidak akan mengazabkan sesuatu kaum sehinggalah mereka bertindak melawan dan menderhaka Allah setelah diutuskan kepada mereka nabi atau rasul berserta wahyu dari langit. Sebagaimana manusia tidak menafikan keperluan mereka terhadap makanan, air dan udara bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini maka begitulah juga mereka perlu yakin bahawa kehadiran nabi dan rasul berserta wahyu adalah lebih penting dalam memastikan mereka beroleh petunjuk yang sebenar sehingga mampu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita sudah maklum bahawa hidayah atau petunjuk ada 4 jenis. Hidayah Pertama ialah hidayah ilham di mana ia bukan sahaja dianugerahkan kepada manusia malah turut diberi kepada binatang sehingga jika kita hanya ada hidayah jenis ini maka kita belum mampu mengetahui yang hak dan batil. Kadang-kadang melalui hidayah ilham maka binatang lebih hebat daripada manusia di mana burung mampu keluar jauh pada waktu pagi dan boleh pulang semula ke sarangnya tanpa ada ilmu tetapi sekadar ada ilham. Begitu juga penyu boleh berenang begitu jauh tetapi apabila tiba masanya ia dapat datang semula ke tepian pantai tempat biasanya ia bertelur tanpa perlu ada tanda jalan sebagaimana manusia.  Hidayah Kedua ialah hidayah pancaindera termasuk sentuhan, rasa, pendengaran, penglihatan tetapi melalui hidayah ini juga manusia belum mampu mengetahui tentang hakikat kebenaran dan kesesatan ditambah lagi binatang turut dianugerahkan juga dengan hidayah jenis ini. Banyak keadaan jika ada ada hidayah pancaindera maka binatang lebih hebat daripada manusia sebagaimana deria bau seekor anjing yang dilatih khas dapat menghidu bau pencuri dan dadah sedangkan manusia belum tentu mampu berbuat demikian. Hidayah Ketiga ialah hidayah akal di mana manusia memilikinya tetapi binatang tidak. Namun begitu jika setakat ada hidayah akal maka manusia belum mampu mencapai tahap makrifat tentang agama dan ajarannya kerana akal itu terbatas sedangkan agama bukan suatu yang boleh direka oleh akal kerana dalam banyak keadaan arahan dan larangan Allah tidak mampu difikir oleh akal manusia yang serba lemah. Oleh itu seluruh manusia yang inginkan kehidupan berlandaskan kebenaran Islam mestilah dianugerahkan dengan hidayah keempat iaitu wahyu barulah mereka dapat mengenali dengan cara yang betul tentang hakikat Islam.

          Setelah mengetahui secara lebih jelas tentang pentingnya hidayah wahyu maka kita wajib bersyukur kepada Allah yang mengutuskan nabi Muhammad s.a.w yang datang bersama wahyu al-Quran yang merupakan yang mukjizat paling besar dan kekal sehingga hari qiamat walau pun baginda telah wafat begitu lama meninggalkan kita. Sebab itulah kita sentiasa berselawat dan juga mengingati baginda terutama apabila tibanya bulan Rabiul Awwal yang diserikan dengan pelbagai majlis dalam menyuburkan lagi rasa kasih dan sayang kita kepada baginda. Kadang-kadang kita lebih mengingati hari lahir baginda berbanding dengan tarikh lahir ayah dan ibu kita sebagai tanda kita menyanyanginya. Kita lebih membesarkan baginda dengan sentiasa menyambut hari lahirnya walau pun baginda telah wafat lebih 1400 tahun yang lalu berbanding kita menyambut hari lahir ibubapa kita sendiri walau pun mereka masih hidup bersama kita. Walau pun kita bukan berketurunan nabi, bukan sebangsa dengan nabi, bukan senegara dengan baginda namun kita tetap mengingati baginda kerana baginda adalah nabi bukannya manusia biasa serta jasanya terhadap umat manusia begitu besar sehingga tidak terbalas. Ini semua adalah antara tanda kasih dan cintanya kita kepada manusia agung yang membawa sinar bahagia kepada umat manusia walau pun terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, dugaan dan cabaran dalam mengembangkan dakwah Islam. Semoga kita menjadi umat yang banyak menyebut nama dan jasa Rasulullah s.a.w serta dalam masa yang sama kita bersungguh dalam mengikuti segala jejak langkah baginda sehingga Islam kembali merajai dunia.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: