• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Adab makan bersama

Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan perkara-perkara yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara:

1.       Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang  yang lebih utama daripadanya. Tetapi jika mengambil makanan itu mengikut giliran dan sudah sampai pula gilirannya untuk mengambil, maka ketika itu janganlah ia melambat-lambatkan sehingga orang lain terpaksa menunggu lama, padahal mereka itu telah berkumpul untuk makan bersama-sama.

2.       Janganlah sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-baiknya hendaklah berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.

3.       Janganlah makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan yang makan bersama-sama dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang ditetapkan baginya kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak mendapat keredhaan kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan. Sebaik-baiknya ia melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula memakan dua butir kurma sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit, hendaklah ia menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya untuk makan. Jika kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih dari itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai memaksanya.

Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang. Berkata al-hasan bin Ali r.a: Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang bersumpah untuk memjuk kawannya supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya — pent).

4.       Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya ketika sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti seorang yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan. Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di rumah. Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi kalau, ia mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap yang demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.

5.       Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu telah bersih dari makanan — pent)

Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engakau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya. Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Mu’awiyah menjawab: Tidak! Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mu’minin (yakni dirinya sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.

Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Imam-imam besar Malik dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka berkata: Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.

6.       Janganlah tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika sedang makan, jangan mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu, Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula berhenti dulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka itu.

7.       Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan, tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan itu, kemudian diambil dengan tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain. Demikian pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke dalam lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan atau memuakkan ketika sedang makan.

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Adab setelah selesai makan

1.       Hendaklah berhenti makan, sebelum merasa terlalu kenyang.

2.       Membasuh tangan, kemudian membersihkan celah-celah gigi dari makanan yang terselit.

3.       Hendaklah ia bersyukur kepada Allah dengan sepenuh hati terhadap makanan yang telah direzekikan, dan menganggap makanan itu sebagai nikmat dari Allah. Allah telah berfirman:

Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan dan bersyukurlah kepada Allah atas kurniaanNya.”  (al-Baqarah: 172)

Sekiranya memakan makanan yang dijamu oleh orang lain, maka hendaklah ia mendoakannya:

“Ya Allah! Ya Tuhanku Perbanyakkanlah kebaikannya dan berkatilah ia dalam rezeki yang Engkau kurniakan kepadanya dan jadikanlah kami sekalian tergolong orang-orang yang mensyukuriMu.”

Sekiranya berbuka puasa di tempat orang, hendaklah ia mendoakan pula:

Telah berbuka di tempat kamu orang-orang yang berpuasa dan telah makan makanan yang kamu hidangkan tadi orang-orang yang baik, dan moga-moga para Malaikat akan mendoakan bagi kamu dengan cucuran rahmat Allah”.

“Sekiranya diketahuilah bahwa ia termakan barang-barang yang ada syubhat, maka hendaklah ia memperbanyakkan memohon keampunan dan menunjukkan kesedihan atas ketelanjurannya itu.

Sesudah makan, disunnnatkan pula membaca:

Segala kepujian bagi Allah yang telah memberi kamu makan dan minum dan telah mencukupi kami serta melindungi kami”

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Adab di waktu makan

1.       Hendaklah memulakan dengan membaca Bismillah pada mula menyuap makanan, dan bila selesai makan, dia mengucapkan dengan Alhamdulillah pula. Ucapan ini lebih baik jika dibaca dengan suara tinggi untuk mengingatkan orang-orang yang makan bersama-samanya.

2.       Hendaklah ia menggunakan tangan kanan.

3.       Hendaklah sedaya upaya, ia memperkecilkan suapannya.

4.       Hendaklah ia mengunyah makanan yang dimakan itu baik-baik dan selagi makanan itu belum di telan, janganlah pula ia mengambil yang lain. Kerana yang demikian itu dikira gelojoh.

5.       Jangan sekali-kali mencela makanan yang terhidang. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mencela sebarang makanan yang dihidangkan kepadanya, tetapi jika suka dimakannya; kalau tidak ditinggalkannya saja.

6.       Hendaklah ia memakan makanan yang ada berhampiran dengannya saja, kecuali jika makanan itu merupakan buah-buahan maka bolehlah ia menghulurkan tangannya.

7.       Jangan letak piring atau sebagainya di atas roti atau lain-lain makanan, melainkan jika barang-barang itu memang mahu digunakan untuk memakan.

8.       Jangan mengesat tangannya dengan roti atau dengan makanan yang lain. Jangan meniup makanan yang masih panas, tetapi hendaklah ia bersabar, sehingga makanan itu sejuk dan mudah untuk dimakan.

9.       Kalau memakan kurma, jangan diletakkan bijinya dengan kurma itu dalam satu bekas, ataupun dikumpulkan bijinya dalam genggaman tangan, tetapi biji yang dikeluarkan dari mulutnya itu diletakkan di belakang tapak tangannya lalu dibuang. Demikian pula caranya dibuat pada buah-buahan yang lain yang berbiji atau berkulit.

10.     Janganlah dibiarkan makanan yang sudah basi bercampur dengan makanan yang baik, atau diletakkan bersam dalam satu piring, tetapi hendaklah mengasingkannya pada bekas yang lain, supaya tidak mengelirukan orang lain yang ingin memakannya.

11.     Jangan terlalu banyak minum ketika makan, kecuali kalau tercekik oleh makanan itu, ataupun jika ia memang betul-betul dahaga.

Adapun ada orang yang minum, di antaranya lain ialah:

1.       Hendaklah ia mengambbil tempat air atau gelas dengan tangan kanan, kemudia membaca Bismillah  bila mahu meminum.

2.       Bila minum, jangan meneguk sekaligus tetapi meneguknya seteguk demi seteguk

3.       Bila minum berdiri ataupun berbaring

4.       Sebelum minum, sebaiknya diperhatikan dulu gelas atau bekas air.

5.       Jangan bersendawa atau bernafas di dalam gelas tetapi jauhkan sedikit gelas itu dari mulut. Apabila habis saja meminum, bacalah Alhamdulillah. Tetapi jika mahu minum lagi, bacalah pula Bismillah lagi.

6.       Bila menyampaikan gelas atau bekas air kepada orang ramai, hendaklah dimulakan dari kanan. Pernah Rasulullah s.a.w. minum susu sedangkan Abu Bakar r.a. berada di sebelah kirinya dan seorang dusun di sebelah kanannya. Sesudah minum baginda menghulurkan bekas air itu kepada orang dusun itu terlebih dulu seraya berkata: Yang kanan dulu, kemudian yang kanan darinya pula.

7.       Sebaik-baik minum dengan tiga nafas dimulakan dengan membaca Bismillah dan mengakhirinya dengan membaca Alhamdulillah.

Petikan Kitab Bimbingan Mukmin

Adab orang yang mahu memulakan makan

1.       Makanan itu mestilah dari yang halal dan cara memperolehinya juga harus secara halal, menurut petunjuk syariat dan wara’, tidak boleh diusahakan  dengan cara yang dilarang di dalam syariat, ataupun dengan cara menurutkan hawa nafsu ataupun dengan cara penipuan. Dan Allah Ta’ala telah pun memerintahkan kita suapa memakan makanan yang baik, yakni secara halal, sebagaimana Dia telah mengutamakan larangan makanan secara batil (haram) daripada larangan membunuh jiwa tanpa hak, iaitu untuk mengeraskan lagi larangan memakan yang haram dan membesarkan keberkatan memakan yang halal. Allah Ta’ala telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan harta-harta sesama kamu dengan jalan kebatilan, melainkan dengan perniagaan secara sukarela satu sama lain dan janganlah kemu membunuh dirimu” (an-Nisa’: 29)

Maksud yang pertama dari makanan mestilah ia dari yang baik atau yang halal dan ini  adalah dikira sebagai kewajiban dan perkara pokok dalam agama.

2.       Membasuh tangan sebab tangan ini tidak sunyi dari kotoran kerana seringkali ia digunakan untuk membuat pekerjaan yang berbagai-bagai. Oleh itu membasuh tangan adalah lebih dekat kepada kebersihan dan kesucian.

3.       Bila memakan sesuatu makanan, sayugialah diniatkan memakan kerana bertaqwa kepada Allah dan kerana menguatkan badan untuk menjalani ketaatan kepada Allah Ta’ala supaya dengan yang demikian, dia boleh menjadi seorang yang taat pada mengerjakan ibadat. Untuk menjamin niatnya atas dasar ini, hendaklah jangan sampai tangannya mencapai makanan, melainkan setelah benar-benar lapar. Jadi kelaparan yang merupakan satu-satu sebab yang menjadikannya memakan makanan itu. Kemudian hendaklah ia mengangkat tangannya dari makanan itu sebelum benar-benar kenyang. Barangsiapa yang menurut petunjuk ini, niscaya ia tidak perlu lagi kepada pertolongan doktor.

4.       Hendaklah ia sentiasa redha dengan makanan yang terhidang di hadapannya, yakni rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah kepadanya.

5.       Sebaik-baiknya, makanan yang terhidang itu dijamah (dimakan) oleh tangan yang banyak, walauoun dari ahli rumahtangga dan anak-pinak, sebab sebaik-baik makanan ialah yang disentuh oleh tangan yang banyak. Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah memakan sendirian.

Petikan kitab Bimbingan Mukmin

Rombongan Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas

Syeikh Asyraf Hamed Hasani Al-Husaini, imam Masjid Al-Azhar ziarah Pondok Pasir Tumboh

6 Cara Suburkan Semangat Istiqamah Tarbiah Ramadhan

RAMADAN sudah meninggalkan kita. Namun, apakan daya, begitulah putaran hidup kita di dunia ini yang sentiasa beredar mengikut ketentuan Allah.

Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita diberi kesempatan untuk bertemu Ramadan tahun depan dan tahun berikutnya. Besar harapan kita supaya segala pengabdian dan pengajaran yang berlaku sepanjang Ramadan lalu menjadikan kita seorang yang lebih berkualiti di hadapan Allah.

Kita bukan saja sedih dengan pemergian Ramadan tetapi yang perlu sangat disedihkan ialah apa saja yang kita dapat dan pelajari semasa beribadat sepanjang tempoh bulan Ramadan sebulan lalu. Perkara pertama dan paling susah untuk dilakukan ialah bagaimana hendak menjadi istiqamah dengan amalan kita. Ada orang sepanjang Ramadan ke masjid tidak pernah tinggal tetapi selepas Ramadan, dia tidak lagi ke surau dan masjid. Itu tidak istiqamah namanya. Ketika Ramadan baca al-Quran tidak henti-henti tetapi selepas Ramadan dia berhenti membaca al-Quran. Sedekah bukan main, bersedekah umpama dermawan namun apabilau Ramadan berlalu, dia kembali kedekut. Itu juga tidak istiqamah namanya. Ada yang membantu anak yatim sepanjang Ramadan. Segalanya diberi untuk anak yatim namun apabila Ramadan berlalu, anak yatim ditinggalkan. Sebenarnya bantuan kepada anak yatim mesti berterusan sebab anak yatim bukan hanya hidup 30 hari setahun, mereka hidup macam kita juga sebanyak 365 hari setahun.

Istiqamah adalah sifat Muslim sejati. Ia ada pada orang yang kuat mujahadahnya. Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Rambut aku menjadi uban kerana surah Nuh.” Ayat yang sangat banyak Nabi fikirkan ialah ayat yang berbunyi maksudnya: “Hendaklah kamu beristiqamah terhadap apa yang aku perintahkan.” Kerana terlalu banyak memikirkan ayat itu hingga al-Rasul menjadi beruban. Maksud ayat itu ialah Rasul berfikir bagaimana hendak melaksanakan perintah Allah dan pada masa yang sama bagaimana juga hendak menanggung risiko tindak balas dan ancaman daripada kaum musyrikin kota Makkah.

Ada baiknya kalau kita lihat sedikit panduan untuk mendapat istiqamah.

Pertama, banyakkan berdoa. Doa khusus ialah minta Allah anugerahkan pada kita supaya sentiasa beristiqamah. Doa sebenarnya satu visi. Jika di minda ada tergambar untuk mendapatkan istiqamah sudah tentu jadi pendorong, apabila malas akan teringat pada visi.

Kedua, berkawanlah dengan mereka yang komited dengan kebaikan. Kawan baik ialah kawan yang membantu kita berbuat baik. Kawan baiklah kawan yang mendorong kita ke syurga. kawan yang baik ialah kawan yang menghalang kita daripada terjerumus ke neraka.

Ketiga, untuk beristiqamah ialah dengan menulis matlamat yang kita nak capai dan lekatkan di mana-mana tempat di rumah atau pejabat serta mudah dilihat. Ia bertujuan supaya kita tidak mudah lupa maklumlah Ramadan datang setahun sekali.

Keempat, apabila sudah dapat kita tunaikan amalan yang kita nak beristiqamah, iaitu apabila amalan itu sudah mula sebati dengan jiwa kita buatlah kenduri iaitu raikanlah kejayaan kita itu dengan doa selamat dengan menjemput sahabat terdekat.

Kelima ialah dengan berdialog dengan diri sendiri. Biar diri kita yang memujuk diri sendiri dengan membandingkan istaqamah orang-orang dulu. Sekiranya mereka dapat melakukannya kenapa kita tidak? Mereka juga manusia seperti kita.

Keenam, bayangkan pahala besar yang menanti kita apabila kita dapat beristiqamah. : ‘Semoga Allah menerima amalan kita dan amalanmu’”.

 

Bakar dan koyak al-Quran cemari Aidil Fitri

Oleh Azman Abdul Hamid
 

 
Ulang tahun 9/11 jadi alasan hina al-Quran, protes bina masjid dekat Ground Zero
KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri di kalangan umat Islam di seluruh dunia sedikit sebanyak terjejas kerana isu mengoyak dan membakar kitab suci al-Quran oleh pelampau kulit putih dan penyokong mereka atas alasan tidak bersetuju dengan pembinaan sebuah pusat Islam mengandungi ruang masjid dekat dengan lokasi serangan 11 September 2001.

Islamofobia atau perasaan takut kepada Islam sekali lagi meledak dibantu corak liputan negatif terhadap umat Islam. Ia mengembalikan ingatan kepada tindakan pelukis Denmark menghina Nabi Muhammad menerusi karikaturnya, beberapa tahun lalu.

Bibit-bibit gelombang Islamofobia sudah dirasai awal Ramadan lagi pada tahun ini apabila tinjauan mendapati semakin ramai penduduk Amerika Syarikat percaya bahawa Presiden mereka, Barack Hussein Obama, adalah seorang Muslim, meskipun itu tidak benar.

Obama tidak menghiraukannya. Mungkin kerana beliau sudah beberapa kali menghadapi tanggapan itu sejak berkempen dalam pilihan raya hingga berjaya menjadi lelaki kulit hitam pertama menjadi Presiden Amerika dan menginap di Rumah Putih.

Pada minggu ketiga Ogos lalu, New York dikejutkan dengan tindakan seorang pemuda kulit putih menikam seorang pemandu teksi Muslim.

Penyerang, Michael Enright, 21, dilaporkan mabuk ketika menjerit ‘Assalamualaikum, anggap ini sekatan’ dan menikam Ahmad Sharif, 43, selepas mengetahui mangsa beragama Islam.

Media di Amerika menjelaskan bagaimana Enright baru pulang dari kerja amal di Afghanistan dan bekerja dengan sebuah pertubuhan pro dialog antara agama, Intersections International dan menyokong pembinaan pusat budaya mengandungi masjid itu atau ‘Park51.’

Ahmad yang sudah memandu teksi selama 15 tahun di New York, percaya Enright melakukan serangan kerana isu pembinaan Park51 menjelang ulang tahun 9/11.

Kejadian itu diambil kesempatan oleh media tempatan termasuk ahli politik Demokrat dan Republikan Amerika untuk meluahkan tentangan terhadap pembinaan Park51 dengan merujuknya sebagai ‘Masjid dekat Ground Zero.’

Keesokannya, seorang lelaki dikenali sebagai Omar Rivera, memasuki sebuah masjid di Queens, mengeluarkan kata-kata kesat anti-Muslim dan memanggil jemaah yang bersedia untuk menunaikan sokat Isyak dan Tarawih sebagai ‘pengganas.’

Seorang saksi memberitahu akhbar New York Post bahawa Rivera kelihatan mabuk dan memegang botol arak sambil memberi isyarat lucah sebelum buang air kecil pada sejadah masjid.

“Dia gelar kami pengganas tetapi dia yang masuk ke masjid dan mengganas,” kata seorang jemaah, Mustapha Sadouki. Rivera kemudian dituduh melakukan jenayah menceroboh.

Momentum anti Islam, anti masjid dan anti al-Quran meningkat dengan pengumuman Terry Jones, paderi Gainsville, Florida, untuk membakar kitab suci Islam pada sambutan 9/11.

Malah, pengumuman itu dibuat di Twitter dan Facebook menggunakan tajuk ‘International Burn a Koran Day’ (Hari Bakar al-Quran Antarabangsa).

Di kalangan ahli politik kanan yang mengulas tidak menyokong pembinaan Park51 termasuk bekas calon Naib Presiden Amerika dari Parti Republikan, Sarah Palin.

Dalam mesej di Twitter sebelum Ramadan bermula, Palin berkata: “Orang Islam yang sukakan keamanan, harap faham. Masjid Ground Zero adalah provokasi tidak perlu, pembinaannya umpama menikam jantung. Tolong tolak pembinaannya bagi membantu proses pemulihan.”

Meskipun Jones membatalkan majlis membakar al-Quran diikuti kenyataan Obama bahawa Islam bukan musuh Amerika, tetapi al-Qaeda, pemimpin Kristian lain meneruskan pembakaran kitab suci itu.

Malah, satu daripada tindakan menghina al-Quran berlaku dekat Rumah Putih yang mengoyak muka surat kitab suci itu sambil menjerit: “Atas nama Islam agama yang palsu, antara sebab kami lakukannya ialah mesej Islam sebagai agama keamanan mesti dihentikan.”

Ini diikuti kejadian membakar al-Quran di Springfield, Tennessee, oleh paderi Bob Old dan Danny Allen, sempena 9/11.

“Ini adalah mengenai kepercayaan, cinta tetapi anda perlu menggunakan kitab yang betul. Kitab ini membenci, bukan mengajar kasih sayang,” dakwa paderi itu.

Di New York, seorang lelaki mengoyak al-Quran dan membakarnya dekat lokasi pembinaan Park51 sambil berkata: “Jika mereka boleh bakar bendera Amerika, saya boleh bakar al-Quran.”

Jumaat lalu, Jones yang ditanya sekali lagi sama ada sedia meminta maaf tetapi menolak berbuat demikian dan terus menyalahkan orang Islam.

“Kami tidak membakar al-Quran tetapi keganasan terus meletus di seluruh dunia.

Inilah wajah Islam radikal iaitu keganasan bagi menakut-nakutkan orang lain.”

Kata-kata Jones itu patut diterbalikkan kerana beliaulah wakil Kristian radikal yang cuba menakutkan orang Islam di Amerika.

Ustaz Hj Abdullah dimasukkan wad HUSM

PASIR TUMBOH- Ustaz Hj Abdullah b Ali yang merupakan antara tenaga pengajar utama Pondok Pasir Tumboh telah dimasukkan ke wad Hospital Universiti Sains Malaysia cawangan Kubang Kerian dekat sini bermula 3 hari sebelum Aidil Fitri. Beliau didapati menghadapi masalah darah rendah dan kini dirawat di wad 8 hospital tersebut

Beliau merupakan generasi pertama madrasah ini dan sempat belajar dengan pengasas pondok bermula di Pondok Bunut Payung, Kota Bharu lagi. Usia beliau hampir sama dengan Tuan Guru Hj Hashim iaitu hampir menjangkau 90 tahun. Semoga Allah sembuhkan pernyakit beliau

Ustaz Abdul Rahim Kedah meninggal dunia

PASIR TUMBOH- Ustaz Abdul Rahim Kedah yang merupakan mantan kepada Lajnah Ekonomi Pondok Pasir Tumboh telah meninggal dunia pada malam 9 September yang lalu iaitu sehari sebelum sambutan Aidil Fitri akibat serangan jantung. Menurut isterinya puan Rahimah, al-marhum pernah beberapa kali mengalami sakit dada sebelum ini dan tidak menyangka kesakitan kali ini merupakan yang terakhir  selepas selesai berbuka puasa di kedai mereka.

Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Pondok Pasir Tumboh selepas solat Subuh dan seterusnya dikebumikan di sini. Semoga rohnya dimasukkan dalam kalangan orang yang soleh, Al-Fatihah