• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,715 orang
  • Kandungan Blog

Kebakaran pondok kelamin di Pondok Pasir Tumboh

PASIR TUMBUH – Seorang ibu sanggup menggadaikan nyawanya meredah asap tebal untuk menyelamatkan anak bongsunya yang berusia tiga tahun dalam kebakaran yang membabitkan lapan rumah di Pondok Terosan di sini, semalam.

Kebakaran kira-kira jam 12 tengah hari itu berlaku ketika, Jamilah Jusoh, 47, sedang menjahit pakaian untuk hari raya di tingkat bawah rumah dua tingkatnya itu.

“Pada waktu itu, saya bersama dua anak lelaki yang mana berumur lapan tahun ada bermain di luar, manakala yang bongsu baru keluar tandas,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang tiba-tiba terdengar bunyi letupan di tingkat atasnya cuba naik ke tingkat atas untuk melihat apa yang berlaku, dan alangkah terkejutnya beliau apabila melihat api mulai marak.

Jamilah makin panik apabila anak bongsunya, Mohd Ashraf Ahmad, 3, yang ketika itu bertelanjang bulat selepas keluar dari tandas, cuba menyorokkan diri di dalam salah satu bilik tidur rumah tersebut kerana ketakutan.

“Masa itu saya tidak fikirkan tentang apa-apa walaupun api sedang marak dan asap tebal, saya beranikan diri mencari anak di dalam bilik dan sebaik sahaja menjumpai Ashraf, kami terus melangkah keluar perlahan-lahan dalam keadaan pandangan yang tidak jelas kerana asap yang tebal.

“Saya fikir kami anak-beranak sudah tidak ada harapan untuk hidup kerana asap tebal dan api merebak dengan cepat,’’ katanya yang turut sama mengalami kecederaan kecil di mana bahagian tangan dan kakinya melecur akibat terkena bara api.

Beliau berkata, nasib baik anaknya yang seorang lagi, Mohd Arif, 8, sempat lari keluar dari rumah kerana pada waktu kejadian lapan lagi anaknya tidak berada di rumah kerana ke sekolah, manakala suaminya pula keluar bekerja di Kota Bharu.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Raihanah Mustapa, 27, berkata, ketika kejadian dia bersama dua lagi anaknya yang berumur empat dan dua tahun serta seorang bayi yang dijaganya sedang lena tidur.

“Tiba-tiba saya terjaga kerana terdengar bunyi bising dan melihat api sudah marak. Tanpa berfikir panjang saya terus bangun dan menyelamatkan anak-anak saya,’’ katanya yang juga tinggal sehelai sepinggan.

Dalam kejadian tersebut, tiada barang yang dapat diselamatkan daripada lapan buah rumah itu kerana api merebak dengan cepat disebabkan kedudukan rumah yang rapat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Azmi Osman berkata, seramai 36 anggota terlibat dan lima jentera iaitu tiga dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, satu dari Kota Darul Naim dan satu dari Pengkalan Chepa telah terlibat di dalam operasi tersebut.

Katanya, pihak bomba mengambil masa selama setengah jam bagi memadamkan kebakaran tersebut dan puncanya masih disiasat

Sebarang sumbangan boleh disampaikan kepada mangsa kejadian yang terlalu mengharapkan bantuan terutama dalam menunaikan ibadat puasa dan persiapan hari raya. Sumbangan juga boleh disalurkan melalui 

Tabung Kebajikan Guru & Pelajar

BIMB 3018010063003

Selepas masukkan sumbangan sila mesej jumlah kepada Setiausaha madrasah di talian 019-9388902 bagi memudahkan urusan pengagihan

9 buah pondok kelamin Pondok Pasir Tumboh Terbakar

KOTA BHARU- 23 Ogos – 9 buah rumah kelamin kawasan Pondok Pasir Tumboh hangus dijilat api lebih kurang pukul 12 tengahari tadi namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Kebanyakan mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila api marak dengan begitu cepat di mana taksiran kerugian belum dipastikan lagi setakat ini. Kebakaran yang berpunca daripada litar pintas begitu cepat merebak sehingga gagal diredakan dengan puluhan semburan daripada alat pemadam api dan juga air sehinggalah pihak bomba dari Kota Bharu tiba.

Suasana pengajian pondok yang sedang bercuti sempena Ramadhan menyebabkan bantuan agak terbatas. Namun begitu dengan bantuan pelajar yang masih ada yang dengan bantuan penduduk tempatan memainkan peranan masingmasing seperti menyiram kebakaran dengan air, menyembur dengan alat pemadam api disamping menyelamatkan barangan dari rumah mangsa kebakaran dan yang berhampiran. Tidak kurang yang berperanan melaungkan azan secara bergilir-gilir samada di masjid mahu pun berhampiran kawasan kebakaran. Sekumpulan pelajar berkubu di rumah salah seorang tenaga pengajar iaitu Ustaz Hj Abdul Rahim yang turut dijilat api sebahagian kecil bumbungnya memandangkan rumah yang mula-mula terbakar hanya bersebelahan sahaja dengan rumah beliau

Ramai kenamaan termasuk Menteri Besar Kelantan, Exco kerajaan negeri Dato’ Husam Musa dan ramai lagi yang lain meluangkan masa bagi melihat dan mendapat maklumat secara lebih dekat daripada mangsa terbabit selepas dari solat Zohor

Kebakaran kali ini merupakan suatu bencana yang paling teruk selepas daripada kebakaran yang meranap hampir 15 buah rumah kelamin pada tahun 2000 yang lalu iaitu kira-kira 10 tahun lalu yang turut melibatkan kematian seorang kanak-kanak.

Pihak kami memerlukan bantuan dan sumbangan orang ramai bagi meringankan bebanan mangsa kebakaran terutama ketika masih berada dalam bulan Ramadhan dan hampir menyambut kedatangan hari raya Aidil Fitri. Semoga sumbangan daripada semua pihak dibalas dengan ganjaran besar di sisi Allah.

Sebarang sumbangan boleh hubungi Setiausaha Agong Ahmad Shairazi b Atiqullah ditalian 019-9388902








Al-Quran tenangkan jiwa


Oleh – Hashim Ahmad

Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci Allah yang diturunkan kepada setiap insan yang mengaku dirinya beragama Islam. al Quran mengandungi syariat-syariat dan garis-garis perundangan yang harus dipatuhi – diikuti dan ditinggalkan oleh setiap orang Islam. Mempercayai kitab Allah – al-Quran, termasuk daripada salah satu Rukun Iman.

Al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Tempat tumpuan al-Quran ialah pada hati baginda.

Al-Quran yang dibawa dari langit oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad dituju kepada hati baginda. Kini Nabi Muhammad SAW sudah wafat.

Apabila kita mendengar seseorang membaca al-Quran atau pun kita sendiri membacanya, pada zahirnya ia masuk ke dalam telinga ke dalam tubuh orang yang mendengarnya. Pada hakikatnya ia masuk ke dalam hati. Tetapi apakah ia betul-betul sampai ke dalam hati.

Sekiranya ia sampai ke dalam hati, maka nyatalah ia benar-benar sampai kepada kita. Tetapi jika sebaliknya, maka nyata bahawa al-Quran masih belum sampai kepada kita.

Untuk mengetahui sama ada al-Quran sampai kepada hati maka lihatlah gerak geri dan peri laku seseorang. Hati adalah raja bagi tubuh badan. Segala anggota yang lain adalah bala tenteranya. Bala tentera akan bertindak laku mengikut apa yang diarah oleh ketua atau rajanya. Inilah yang lumrah terjadi dalam mana-mana angkatan perang.

Apabila hati telah diresapi oleh al-Quran maka segala tubuh badan pun akan bergerak laku sesuai dengan ajaran dan suruhan Al-Quran. Ia bercakap mengikut kehendak al-Quran, melihat mengikut kehendak al-Quran, berjalan, makan, minum dan segala-gala perlakuannya adalah mengikut kehendak al-Quran.

Apabila terjadi keadaan yang demikian – bergerak laku mengikut kehendak al-Quran maka jelaslah bahawa al- Quran telah menyerap masuk ke dalam hatinya. Sekiranya seseorang itu telah belajar hingga ke Makkah dan membawa balik serban dan jubah penuh beg, namun gerak lakunya masih tidak mengikut al-Quran maka al-Quran hanya sampai ke telinganya sahaja.

Al-Quran tidak sampai ke hati orang berkenaan kerana hatinya masih melakukan sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran.

Dalam kehidupan kita seharian, keadaan ini dapat diumpamakan seperti kita pergi ke kedai kerana hendak membeli sesuatu barang. Mengapakah kita melewati beberapa buah kedai dan berhenti di kedai yang di hujung sekali sedangkan barang yang kita hendak beli itu terdapat juga di kedai yang pertama yang mula-mula kita tempuhi tadi.

Jawapannya ialah kerana hati dan jiwa kita adalah sesuai dengan penjualnya.

Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.

Pahala orang mendengar bacaan al-Quran dengan jelas disebut Allah dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.”(Surah al-A’raaf, ayat 204).

Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang mendengar bacaan al-Quran dengan baik.

Demikian besar mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarnya. Malah, semakin sering orang membaca dan mendengarnya, semakin terpikat hatinya kepada al- Quran. Apabila al- Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara baik dan merdu, ia akan memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya.

Keadaan orang mukmin tatkala mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh Firman Allah sebagai berikut: “Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayatNya, bertambahlah iman mereka keranaNya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Surah al-Anfaal, ayat 2).       Diriwayatkan bahawa suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengar Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Sepulang ke rumah, baginda ditanya oleh isterinya, Aisyah: “Apa sebabnya pulang sampai jauh malam ? Rasulullah menjawab bahawa: “Baginda terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud.”

Dalam riwayat, banyak diceritakan, betapa kuatnya kesan bacaan al-Quran terhadap hati orang kafir. Selepas mereka mendengar bacaan al-Quran, tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad serta pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain. Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut: “Rasulullah berkata kepadaku: “Hai Ibnu Mas’ud, bacakanlah al-Quran untukku !” Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?”

Rasulullah menjawab “Aku senang mendengar bacaan al-Quran itu daripada orang lain.”

Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surat an-Nisaa. Rasulullah sangat terharu tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi: “Maka bagaimanakah halnya orang kafir nanti, apabila kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu).”        Rasulullah lalu berkata: “Cukuplah, sekian saja, ya Ibnu Mas’ud!” Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.

MB Kelantan ziarah Tuan Guru Hj Hashim sedang uzur

17 OGOS- YAB Dato’ Menteri Besar Kelantan meluangkan masa untuk solat Zohor di Masjid Pondok Pasir Tumboh hari ini. Kemudian beliau serta rombongan yang turut disertai oleh YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dr Fadzli Hassan Exco kerajaan dan beberapa orang lagi menziarahi Tuan Guru Hj Hashim, Mudir Pondok Pasir Tumboh yang sedang uzur





Program penghayatan Ramadhan Pondok Pasir Tumboh

Pihak madarasah menganjurkan beberapa program bagi menghidupkan suasana Ramadhan

1. Tazkirah subuh sepanjang pagi Ramadhan

2. Tazkirah 20 minit sebelum azan solat Jumaat

3. Pengajian kitab Minhaj as-Salam dan Penawar Bagi Hati dari jam 9 hingga 11 pagi dan 3 hingga 4 petang setiap hari kecuali Jumaat

4. Majlis tahlil dan berbuka puasa di perkarangan masjid setaip hari

5. Tadarrus al-Quran

6. Qiamullail mengejar lailatul Qadar 10 malam terakhir Ramadhan

Rukyah, hisab asas justifikasi Ramadan

 

Oleh Ahmad Taufan Abdul Rashid

Ilmu falak hasilkan rumusan efemeris serta cerapan lebih baik kenampakan anak bulan

PERISYTIHARAN awal Ramadan atau tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu adalah detik ditunggu-tunggu untuk mendapatkan keputusan muktamad bermulanya puasa dan Aidilfitri.

Pengisytiharan permulaan bulan Islam di negara ini berdasarkan rukyah iaitu aktiviti melihat anak bulan pada hari ke 29 setiap bulan hijrah. Hari ini, bersamaan 29 Syaaban 1431 hijrah, pihak berkuasa membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan.

Rukyah turut dilakukan pada hari ke 30 jika anak bulan tidak kelihatan hari sebelumnya bagi tujuan analisis dan rekod kerana tarikh awal bulan ditetapkan berdasarkan rukyah hari ke-29. Ada kalanya rukyah dilakukan pada petang 1 hari bulan baru jika anak bulan masih gagal dikesan hari sebelumnya kerana masalah cuaca.

Hisab menurut pelaksanaan di Malaysia adalah aktiviti menghitung ‘efemeris’ bulan dan matahari serta elemen berkaitan dan seterusnya melakukan analisis bagi membuat justifikasi sama ada anak bulan pada hari ke 29 suatu bulan hijrah itu, kelihatan atau sebaliknya.

Hitungan hisab adalah berasaskan aktiviti cerapan (rukyah) yang dilakukan sekian lama sejak sebelum kedatangan Islam. Hasil cerapan ini dicatat dalam banyak manuskrip, disusun menjadi rumusan sains mengenai kenampakan anak bulan dan jangkaan mengenainya.

Ini turut tercatat dalam manuskrip hasil tulisan saintis atau ulama Muslim terdahulu. Apa yang dibuat hari ini adalah meneruskan kesinambungan usaha pengumpulan maklumat dan analisis kenampakan untuk menghasilkan rumusan hisab yang lebih baik mengenai kenampakan anak bulan.

Aktiviti rukyah, analisis hasil dan pembentukan rumusan (hisab) adalah komponen saling berkait dalam bidang ilmu yang dinamakan sebagai Ilmu Falak iaitu ilmu mengkaji objek angkasa melalui cerapan secara sistematik dan dihimpun dalam bentuk hukum umum (hisab).

Berdasarkan definisi itu, apabila menyebut mengenai ilmu falak, ia membabitkan rukyah dan hisab sekali gus iaitu bidang ilmu yang terpisah daripada aspek hukum dan amalan.

Justeru, menyebut penentuan awal bulan berdasarkan ilmu falak agak kabur maksudnya berbanding menggunakan istilah rukyah dan hisab seperti digunakan sekarang.

Imkanurrukyah bermaksud ‘kebolehnampakan’ merujuk kepada faktor fizikal bulan dan matahari yang memenuhi syarat kebolehnampakan atau tidak. Syarat kebolehnampakan ini dibangunkan berdasarkan analisis dan rekod hasil aktiviti rukyah yang dilakukan selama ini.

Ini menjadikan aktiviti rukyah adalah aktiviti saintifik kerana membabitkan teori dan cerapan, seterusnya pembinaan justifikasi atau hukum umum berkaitan kenampakan anak bulan. Justifikasi atau syarat ini seterusnya membolehkan kenampakan anak bulan seterusnya dijangkakan kenampakannya dan takwim boleh disusun dengan baik bagi satu tahun akan datang.

Sains sifatnya tidak mutlak kerana hukum sains adalah jumpaan atau hasil kajian yang dilakukan. Hasil kajian bergantung kepada metodologi digunakan. Justeru, sains terdedah kepada ralat, modifikasi, pembetulan malah penolakan.

Sifat tidak mutlak ini menyebabkan aktiviti rukyah menjadi asas justifikasi atau syarat imkanurrukyah tetap menjadi tunjang utama dilakukan hingga hari ini. Mengenepikan rukyah bererti mengangkat sains menjadi mutlak, mengenepikan hisab bererti menolak aspek saintifik rukyah.

Penggunaan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan awal bulan membolehkan takwim negeri diterbitkan seawal mungkin, tarikh awal bulannya tidak bersalahan dengan perisytiharan dibuat kemudian.

Apabila tarikh awal bulan tidak bersalahan dengan perisytiharan, bermaksud tidak berbeza dengan hasil aktiviti rukyah itu sendiri, ini tidak bermakna rukyah sudah tidak relevan atau perisytiharan itu boleh dilakukan lebih awal.

Walaupun sains falak boleh menjangkakan tarikh awal bulan, pengesahannya hanya boleh dibuat selepas rukyah dilakukan. Apabila ia membabitkan ibadat khusus seperti puasa dan dua hari raya, maka rukyah menjadi penting dan perisytiharan khas dilakukan berbanding bulan lain.

Analisis terhadap rekod terdahulu menghasilkan justifikasi mengenai sifat fizikal bulan paling minimum boleh kelihatan. Had minimum ini dijadikan syarat untuk menetapkan anak bulan pada Maghrib hari 29 suatu bulan hijrah itu boleh nampak atau tidak.

Pelaksanaan di Malaysia, kuantiti syarat digunakan adalah ketinggian (altitud) dengan jarak lengkuk (elongasi) dan tempoh dari waktu ijtimak ke waktu bulan terbenam (umur). Justeru, ilmu falak digunakan untuk menjangkakan kenampakan anak bulan bulan hijrah berdasarkan syarat diguna pakai.

Kaedah guna pakai syarat adalah ketika matahari terbenam pada hari ke-29 bulan hijrah, anak bulan disabitkan ada dan boleh nampak apabila memenuhi syarat. Sekalipun bulan altitudnya 1 di atas ufuk sebenarnya ‘ada’ secara teknikal, tetapi ‘tidak boleh nampak’ berdasarkan analisis rukyah lampau, maka ia tetap tidak memenuhi syarat dan anak bulan disabitkan ‘tidak boleh kelihatan’.

Jika pada situasi seperti itu anak bulan dilaporkan nampak, siasatan akan dilakukan terhadap orang yang mendakwa bagi memastikan kesahihan yang dilihat adalah anak bulan sebenar, bukan disebabkan kekeliruan atau sebagainya.

Di Malaysia, rukyah rasmi hanya membabitkan anggota rombongan rukyah dilantik jawatankuasa negeri dan dilakukan di tempat rasmi seperti di Terengganu di Bukit Besar, Kuala Terengganu (stesen utama negeri); Balai Cerap KUSZA, Merang, Setiu; Pulau Perhentian, Besut dan Bukit Kemuning, Kemaman.

Setiap tempat rukyah diketuai Pegawai Agama Daerah itu, manakala di Bukit Besar diketuai oleh mufti. Setiap tempat dibekalkan data efemeris bulan matahari yang diterbitkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Rukyah secara rasminya dimulakan kira-kira 10 minit sebelum matahari terbenam sebagai persediaan dan berterusan hingga waktu bulan terbenam. Jika bulan terbenam lebih awal daripada waktu matahari terbenam, anggota rukyah tetap meneruskan rukyah sehingga beberapa ketika selepas matahari terbenam bagi memastikan tiada apa-apa yang boleh disamakan sebagai anak bulan.

Kaedah penentuan awal bulan hijrah yang diamalkan sekarang sudah memenuhi kehendak syarak daripada aspek pelaksanaannya. Sekalipun ada beberapa kelemahan, itu adalah kelemahan justifikasi sains disebabkan kemampuan manusia.

Rukyah sebenarnya turut dilakukan pada bulan lain namun ia tidak diisytiharkan kepada umum sebaliknya hanya untuk analisis dan pengesahan peringkat pihak berkuasa saja.

Pembaziran ancam hajat hidup sejahtera

BERUSAHA mencari rezeki halal dan membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang selesa dan sempurna antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan seseorang Muslim.

Kehidupan yang baik dan selesa kadangkala dikurniakan Allah sebagai balasan awal terhadap keimanan dan ketaatan hamba-Nya.
Demikian juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadangkala adalah balasan yang disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.
Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.” (Surah Al-Taha: ayat 123-124) Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Empat perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang solihah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan: isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit.” Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarkannya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.
Antara tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah gemar berfoya- foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
Al-Quran mengingatkan manusia dua perkara penting menerusi dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa.” (Surah Al-Hud: ayat 116) Jelas dalam hadis ini, manusia yang mensia-siakan hartanya adalah saudara syaitan berasaskan beberapa persamaan, antaranya sama-sama kufur nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada hamba-Nya dan tidak mempergunakannya untuk faedah umum bagi perkara kebajikan.
Pembaziran harta disebut juga dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan harta benda yang nyata termasuk amalan yang dibenci Allah.
Mensia-siakan harta adalah sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuk membiarkan bumi kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah menghidupkan buminya, perusahaan yang tidak dipertingkatkan produktivitinya walaupun ia masih boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang berfaedah terbuang seperti kulit, bulu dan seumpamanya.
Jadi, pembaziran bertentangan dengan budaya Islam di mana Rasulullah SAW pernah menegur seorang lelaki yang mengheret bangkai kambing untuk dibuang, dalam sabda baginda: “Mengapa kamu tidak buang kulitnya terlebih dulu?” Jawab mereka: “Kulit kambing ini bangkai yang tidak berguna lagi.” Lantas baginda bersabda: “Bangkai itu hanya haram dimakan tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan.” Justeru, harta benda tidak boleh disia-siakan dan sebagai umat Islam, manusia hendaklah memikirkan sebarang kegunaan benda yang dirasakan tidak perlu itu supaya ia boleh memberi kebaikan dan digunakan terhadap perkara lain yang tidak bertentangan dengan hukum Allah SWT.

Isu kalimah ALLAH bukan bahan mainan

Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) menyeru semua pemimpin politik khususnya pemimpin Islam agar merujuk kepada Mufti, Majlis Fatwa atau musyawarah di kalangan ulama bagi hal-hal berkaitan agama Islam.

Setiausaha PUMPP, Mohd Nizam Mahshar dalam kenyataannya hari ini, menyelar kenyataan bersama oleh MCA dan DAP yang menuntut kalimah Allah dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam untuk tujuan agama mereka.

“PUMPP ingin mengingatkan kepada semua pihak bahawa setakat ini Majlis Fatwa dari 10 buah negeri telah memutuskan dengan hujah dan ilmiah, dan jelas bahawa kalimah Allah serta 20 hingga 40 kalimah Islam lain hanya boleh digunakan oleh Islam bagi tujuan keagamaan,” katanya.

Katanya konvensyen itu telah diadakan pada 11 Julai lalu.

Sehubungan itu, PUMPP menyeru semua pihak terutama pemimpin politik supaya menghormati keputusan majlis fatwa kerana perbahasan di media akan hanya menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat serta merendahkan kreadibiliti fatwa yang sepatutnya dihormati oleh umat Islam.

“Perbezaan pandangan haruslah disalurkan secara hormat tanpa menimbulkan perpecahan dan bukan untuk tujuan populariti peribadi dan sokongan politik,” katanya.

–Bernama

Kefahaman dan keprihatinan berhubung isu halal – haram

Oleh – Dr Aminudin Mansor

Dalam menangani isu halal, setiap umat Islam harus menanamkan kefahaman dan keprihatinan dalam hati dan diri seseorang. Jika umat Islam kuat dan mantap dari segi akidah, ibadah dan akhlak, isu halal dan haram ini tidak timbul.

Melalui pendidikan akidah akan dapat membersihkan rohani dan hati membentuk peribadi agar sentiasa memilih dan berkelakuan baik dalam kehidupan. Dari segi ibadah jika semua umat Islam faham dan prihatin tentang isu halal, iaitu dari segi penyediaan makanan, siapa yang memasak; tuan punya kedai, sama ada orang Islam atau bukan Islam harus diteliti. Umat Islam yang berakhlak tidak mudah terpedaya dengan pekerja kedai, dan terpengaruh dengan logo palsu halal. Jauhi perkara meragukan.

Usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menyeragamkan hanya logo halal Jakim sahaja dibenarkan adalah sangat digalakkan dan memudahkan umat Islam dalam soal makan dan minum. Cadangan menaikkan kadar denda ke atas individu serta syarikat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal yang sah juga perlu dikuatkuasakan.

Dilaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meminda Akta Perihal Dagangan 1972 bagi menaikkan kadar denda kepada individu atau syarikat korporat yang gagal mempamerkan sijil dan logo halal. Penguatkuasaan ini mestilah dilaksanakan dengan denda secara terus supaya lebih berkesan.

Logo dan sijil halal yang sah perlu dipamerkan di hadapan kedai dan mudah dilihat pada kaunter pembayaran supaya mudah dilihat dan memudahkan pelanggan beragama Islam mengenal pasti restoran makanan halal. Jakim juga wajar menguatkuasakan penggunaan logo tidak halal. Seperti, “makanan tidak halal bukan untuk orang Islam”. Juga wajar dipamerkan di kedai yang tidak halal.

Isu halal haram ini sebenarnya sudah berlanjutan dan masih belum mendapat keputusan jelas dan muktamad jalan penyelesaiannya. Sikap, kefahaman dan keprihatinan masyarakat Islam adalah sangat penting. Tanpa sikap ini sampai bila pun isu ini akan terus berlanjutan. Halal dan haram dalam Islam sangat jelas.

Dalam Islam, sesungguhnya yang halal itu jelas dan haram itu jelas. Di antara keduanya ada perkara-perkara yang meragukan dan tidak diketahui kebanyakan orang. Barang siapa menjauhi perkara-perkara diragukan (hukumnya) maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.

Sesungguhnya makanan yang dimakan itu akan menjadi darah dan daging. Apabila gumpalan darah itu baik, maka baiklah seluruh tubuhnya. Begitulah juga tiap tubuh yang tumbuh dari (makanan) yang haram maka api neraka lebih utama membakarnya. Ini semua diketahui umat Islam beriman.

Oleh itu, dalam hal makanan ini waspada dan jagalah supaya tidak terjebak dalam memakan makanan haram. Itulah sebabnya isu logo halal ini sangat penting dan begitu sensitif dalam kalangan umat Islam. Umat Islam juga harus saling memberitahu dan menyelamatkan saudara seagama tentang restoran yang tidak halal dan makanan haram ini.

Banyak lagi makanan halal yang boleh dimakan. Restoran Muslim juga menghidangkan pelbagai hidangan enak dan lazat terutama pada Ramadan. Jika di bulan yang mulia umat Islam menjaga makan dan minum, ia seharusnya dapat diteruskan sehingga ke bulan-bulan berikutnya dan mempraktikkan dalam kehidupan seharian.

Gereja rancang ‘Hari Bakar al-Quran’

NEW YORK – Sebuah gereja di Gainsville, Florida merancang untuk menganjurkan upacara ’Hari Membakar al-Quran’ sempena ulang tahun ke-9 serangan 11 September 2001.

Promosi upacara itu turut dimuat turun ke dalam laman sosial Facebook dan menjemput penganut Kristian untuk bersama-sama memperingati mangsa yang terkorban dalam kejadian 11 September lalu.

Paderi Terry Jones menulis sebuah buku bertajuk :Islam is of the Devil: yang memburuk-burukkan agama Islam dan turut disiarkan di dalam laman sosial Youtube.

Konsul Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengumumkan, kempen itu akan memberikan 100,000 salinan al-Quran kepada seluruh penduduk dan pemimpin kebangsaan negara itu.

CAIR juga meminta penganut agama Islam untuk mengadakan majlis makan malam “berkongsi al-Quran” sepanjang Ramadhan bermula pada bulan ini.

Persatuan Kebangsaan Agama Kristian (NAE) mendesak gereja itu untuk membatalkan upacara tersebut kerana ia boleh menimbulkan ketegangan di antara kedua-dua agama tersebut.

NAE turut meminta penganutnya untuk mempercayai dan menghormati serta tidak merendahkan martabat penganut agama lain