• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,720 orang
  • Kandungan Blog

Persediaan fizikal dalam belajar

KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan.  Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan.  Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi.  Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

  • Tidur yang cukup.  Tidur yang cukup ialah diantara 6 – 7 jam sehari.  Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit.  Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.  Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang. 
  • Jaga pemakanan.  Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya “Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57).  Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).  Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal.  Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
  • Riadah.  Jangan beriadah sehingga meletihkan badan.  Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran.   Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu.  Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.  Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya.  Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

 

KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan.  Elakkan diri dari sebarang kecederaan.  Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital.  Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan.  Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada dirumah.

Mengurus Masa Belajar yang baik

Masa bukanlah emas sebab masa tidak boleh dijual beli seperti emas.  Masa sebenarnya ialah degupan jantung anda.  Masa adalah nyawa anda, kehidupan anda.  – Dr. T. Asmadi

Pelajar perlulah bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulangkaji dengan aktiviti-aktiviti lain.  Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam pelajaran.  Sebagai pelajar anda mestilah:

  1. Pastikan waktu mengulangkaji anda lebih daripada 3 jam sehari.  Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar sehingga 5 – 7 jam sehari.  Jangan pula salah faham, maksud 5 – 7 jam ini bukanlah belajar secara berterusan.  Anda mungkin belajar 1 jam di waktu subuh, 2 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam.  Ini menjadikan masa belajar anda 6 jam sehari.
  2. Tahap konsentrasi atau tumpuan belajar adalah berbeza.  Ada pelajar yang boleh tumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20 minit.  Jangan paksa diri anda.  Sekiranya anda rasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika.  Iaitu lebih kurang 5 minit.  Selepas itu sambung semula belajar.  Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang telah anda ketahui sebelumnya.  
  3. Dalam satu sessi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu.  Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang telah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.
  4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar.  Jumlah bahan yang mahu diulangkaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar yang telah ditetapkan.  Misalnya, meletakkan matlamat untuk membaca 100 muka surat dalam masa 1 jam adalah tidak realistik.  Sebaliknya, matlamat untuk menghabiskan dan memahami 20 mukasurat lebih munasabah dan boleh dicapai.
  5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan tetang bahan-bahan yang mahu diulangkaji.  Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan.
  6. Sediakan senarai tugas harian (“TO DO” lists) pada malam sebelumnya.  Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari.  Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan.  Seperti yang dikatakan oleh Stephen Covey “Put first things first”.
  7. Rekodkan progress anda pada sehelai kertas.  Setakat mana telah anda jayakan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai “to do” anda.
  8. Ganjari diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.
  9. Gunakan teknik membaca yang berkesan.  Membaca 1 jam penuh tumpuan lebih baik dari membaca 3 jam dengan fikiran melayang.

10.  Fokus sekurang-kurangnya 50% daripada masa belajar anda terhadap proses “RECALL”.  Iaitu proses memanggil semula maklumat.

11.  Gunakan Kad Kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil diantara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas, dan lain-lain.  Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya 1 – 2 jam dalam sehari.  Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil.

12.  Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten 1 jam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun?  Kemana perginya lagi 350 hari masa anda?

TAHUKAH ANDA?

Kalau anda ditakdirkan hidup selama 90 tahun, anda menghabiskan 30 tahun dari usia anda hanya untuk tidur

Petua Memberikan Tumpuan

Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:

  • Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan kelas.  Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut.  Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.
  • Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti.  Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh guru kelak.  Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat. 
  • Cuba duduk di barisan depan dalam kelas.  Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika guru mengajar.
  • Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.
  • Tunjukkan minat yang mendalam.  Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda.  Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar.  Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas.  Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.
  • Pasang telinga.  Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan.  Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.
  • Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.
  • Catat setiap perkara yang anda tidak faham.  Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda.  Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?
  • Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan.  Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru.  Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik.  Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU. 
  • Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan.  Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.
  • Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam.  Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila guru keluar dari kelas

Mengapa Mengantuk Apabila Belajar?

Ramai pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk.  Ada pula yang tak sampai 10 minit berada depan buku mata terasa berat.  Tidak tahu apa yang dibaca dan ini merugikan diri pelajar itu sendiri.  Kali ini saya mahu membincangkan faktor-faktor menyebabkan mengantuk ketika belajar dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Tidak cukup tidur.   Ini memanglah punca utama ramai pelajar mengantuk ketika guru mengajar disekolah.  Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul 1.00 pagi.  Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal.  Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran.  Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan ber-IRC (chit chat) di internet sehingga pagi.

Kalaulah ini masalah anda maka nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda.  Pelajar yang bermatlamat tidak buang masa dengan urusan yang sia-sia.  Kalau anda tidur lewat kerana mengulangkaji pelajaran maka anda juga perlu ubah tabiat buruk ini.  Ingat pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang ‘study smart’ bukan semata-mata ‘study hard’.

Tidur yang berlebih-lebihan. Tidur yang terlalu lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk.  Tidur yang mencukupi ialah sebanyak 6-8 jam sehari.  Pastikan anda tidak tidur lebih dari tempoh waktu ini.

Makan terlalu banyak. Ini juga merupakan satu tabiat buruk.  Apabila anda kuat makan maka perut anda terpaksa bekerja kuat memproses makanan tersebut.  Proses ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga.  Ini membuatkan anda akan mudah mengantuk waktu dalam kelas dan ketika mengulangkaji.

Badan terlalu letih.  Ada ketikanya anda mengantuk disebabkan badan anda terlalu letih dengan aktiviti sepanjang hari.  Kalau anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda.   Ada ketikanya andabersukan atau beriadah secara keterlaluan.   Bermain bola diwaktu petang secara berlebih-lebihan.  Berbasikal keliling kampung berjam-jam.  Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan. 

Beriadah dan senaman memang baik untuk kesihatan tetapi tujuannya kena betul.  Perbaiki matlamat anda beriadah.  Anda beriadah untuk membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran.  20 – 30 minit sehari adalah mencukupi.

Ada pula sesetengak pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan.  Anda tidak perlu terlalu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum hinggakan tiada masa untuk mengulangkaji dan sehingga memenatkan badan.  Terlibat secara ala kadar.  Pilih aktiviti yang paling anda minati.   Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang.  Tidak ada gunanya menjadi olahragawan/olahragawati sekolah tapi akhirnya bekerja hanya sebagai budak kilang.

Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan ko-kurikulum.  Pastikan anda tidak kesuntukan masa.  Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk dimalamnya.

Tiada minat belajar. Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar.   Sebelum saya pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah yang wujud terlebih dahulu?  Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda.  Ia sesuatu yang wujud disebabkan pengaruh-pengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya

Pernahkah anda dengar adanya pelajar yang dapat markah 90% dalam sejarah berkata yang dia tak minat sejarah?  Tidakkk!  Oleh itu minat timbulnya apabila anda lihat dalam diri anda ada potensi untuk pergi lebih jauh.  Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.

Oleh itu yang perlu anda perbaiki ialah cara belajar anda dan kegigihan anda sendiri.  Anda pelu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi agar mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari. 

Berikut adalah beberapa saranan apabila anda membaca buku-buku pelajaran:

  • Lihat seimbas kesemua muka surat yang anda akan baca.   Dapatkan rangka kasar tentang teks yang bakal anda baca.  Dapatkan satu gambaran yang menyeluruh terlebih dahulu.

Perhatikan perkara-perkara yang berikut:

  •  
    • Tajuk-tajuk kecil – dapatkan perkaitan antara satu tajuk dengan tajuk yang lain.
    • Rajah-rajah.
    • Jadual.
    • Carta.
    • Peta.
  • Baca perenggan bahagian pendahuluannya. 
  • Baca perenggan bahagian penutup atau kesimpulannya.
  • Yang terakhir barulah baca ayat demi ayat dan perenggan demi perenggan secara terperinci.

Membaca hanya satu hala.  Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan ‘input’ semata-mata.  Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda.  Proses membaca begini ialah proses sehala dan ia cukup menjemu dan membosankan.  Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca.  Untuk menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut:

  • Dapatkan 10 – 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya.  Fahami kehendak soalan ini.  Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda.
  • Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana?  Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia untuk anda.
  • Selepas satu perenggan atau satu muka surat…. berhenti sejenak.  Tanyakan diri anda sekali lagi tentang apa yang telah anda ketahui sebentar tadi.  Cuba lakar-lakarkan pada sehelai kertas rajah atau fakta-fakta penting yang anda ketahui.  CUba ceritakan semula pada diri anda apa yang telah anda baca.  Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri.   Dengan cara ini anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.

Buat nota ringkas.  Jangan sekadar membaca sahaja.  Cuba kenal pasti kata kunci (lihat artikel terdahulu) dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas.  Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satu-satu proses membaca membuatkan anda rasa seronok.  Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda.  Kalau sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata.   Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda terhadap apa yang anda pelajari.

Suami, isteri perlu bergerak seiring bentuk keluarga bahagia

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

 

TIADA siapapun yang mahu anak-anak menjadi liar dan membelakangi ajaran agama. Tentu mengaibkan dan menyedihkan hati ibu bapa seandainya ada di kalangan anak-anaknya tempang perjalanan hidup di dunia tanpa suluhan cahaya agama yang luhur.

Tambahan pula, dewasa ini kita sedang berhadapan dengan gejala sosial yang amat gawat melanda remaja dan belia. Pelbagai langkah dan pendekatan sudah dan sedang diambil bagi menanganinya, namun yang jelas semuanya seakan-akan tidak berkesan dalam membetulkan keadaan.

Orang pertama yang mesti memegang tanggungjawab sepenuhnya dalam memberikan pendidikan dan asuhan agama kepada anak-anak ialah ibu bapa. Mungkin selama ini kita banyak membebankan golongan ibu dalam memikul amanah sebagai pembimbing dan pengasuh utama mendidik anak-anak. Bagaimana dengan peranan ayah atau bapa?

Dalam hal ini Saidina Ali bin Abi Talib ada meninggalkan pesanan bernas dan bermanfaat kepada kita berhubung pendidikan kepada anak-anak. Kata Ali kepada anaknya Hasan: “Aku segera mengajarmu adab sebelum hatimu menjadi keras dan fikiranmu menjadi sibuk memikirkan pelbagai perkara yang lain.” Begitulah kesungguhan Saidina Ali dalam membentuk peribadi anaknya dan kata-kata beliau itu sewajarnya menjadi panduan kepada kita untuk tidak meremehkan tanggungjawab menyalurkan asuhan akhlak yang mulia kepada anak-anak.

Imam Jaafar asy-Shafiq ada mengatakan: “Sesungguhnya sebaik-baik wasiat yang diwariskan oleh ayah untuk anak-anak mereka ialah adab dan bukannya harta.”

Selama ini kita memikirkan bagaimana untuk menghimpunkan seberapa banyak harta benda sebagai harta untuk ditinggalkan kepada anak-anak apabila kita sudah tiada di alam maya ini, namun sebenarnya ‘harta’ paling bernilai yang semestinya ditinggalkan buat anak-anak kita ialah sahsiah peribadinya, akhlaknya, kekuatan ilmu pengetahuannya dan kesolehan beragama. Inilah yang seharusnya kita tinggalkan buat mereka. Imam Ali Zainal Abidin as-Sajjad pula menegaskan: “Adapun hak anak-anakmu atas dirimu, ketahuilah ia berasal daripadamu, baik dan buruknya bergantung padamu. Sesungguhnya engkau bertanggungjawab untuk mengasuhnya, mendidiknya, mengenalkannya kepada Tuhannya dan membantu untuk taat kepada-Nya. Dan engkau mesti melaksanakan urusan ini dengan keyakinan bahawa jika berbuat baik kepadanya akan mendapat pahala dan jika berbuat buruk kepadanya akan mendapat dosa.”

Dalam usaha kita mendidik dan mengasuh anak-anak mengerjakan segala suruhan agama dan membentuk adab, jangan lupa seringlah berdoa kepada Allah agar kita dipermudahkan dan anak-anak akan dapat mengikutinya dengan sempurna. Imam Ali Zainal Abidin dikatakan selalu berdoa ketika mendidik anak-anaknya dengan doa ini: “Dan tolonglah kami dalam mengasuh, mendidik dan memperbaiki anak-anak kami.” Insya-Allah dengan iltizam yang kukuh dan semangat padu kita sebagai seorang bapa mampu membentuk peribadi anak-anak dengan berkesan dan menjadikan mereka anak-anak yang soleh.

Seorang penyair dari Mesir iaitu Ahmad Syauqi melalui syairnya ada mengatakan: Anak yatim bukanlah yang diterlantarkan oleh kedua-dua ibu bapa dalam kesusahan hidup dan ditinggalkan oleh keduanya dalam keadaan hina. Anak yatim itu seorang anak yang berada dalam asuhan ibu yang mengabaikan norma dan ayah yang penuh kesibukan.

Justeru, dalam keadaan apapun, kita sebagai bapa tidak boleh meremehkan tanggungjawab kepada anak-anak. Fungsi seseorang bapa bukan sekadar mencari nafkah dan memberikan kemewahan hidup, namun agenda yang mesti diutamakan ialah memastikan kita berganding bahu seiring dan senada dengan isteri kita dalam mem-bahterakan alam rumah tangga dengan memberikan pendidikan paling sempurna yang kita termampu. Ingatlah ibu bapa akan dipersoalkan di hadapan Allah nanti segala amanah terhadap anak-anak

Bapa bertanggungjawab tak abai anak

Oleh Mohd Isa Abd Ralip

 

Tuntutan nafkah tetap menjadi tanggungan ketua keluarga walaupun selepas bercerai

KITA baru saja menyambut Hari Bapa beberapa hari lalu. Tidak salah menyambut Hari Bapa sempena memberi penghormatan kepada bapa yang membesarkan kita dari kecil hingga dewasa sehinggalah kita menjadi insan berguna. Jasa dan pengorbanan bapa haruslah dikenang kerana tanpa bapa kita tiada di dunia.

Seorang bapa yang baik adalah bapa yang bertanggungjawab terhadap anak-anaknya serta memandu anak-anaknya ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memberi pengiktirafan lima bintang kepada bapa di negara ini kerana sikap bertanggungjawab terhadap keluarga masing-masing.

Menurutnya kebanyakan bapa di Malaysia bertanggungjawab, prihatin, penyayang dan sedia berkorban untuk keperluan keluarga. Peratusan kecil kes berkaitan bapa tidak bertanggungjawab tidak memberi kesan kepada nama baik seseorang bapa.

Apabila saya membaca kenyataan ini saya berfikir sejenak dan bersetuju dengan kenyataan Shahrizat itu. Ketika cuti sekolah lalu saya sempat berkunjung ke tempat peranginan dan dapati ramai keluarga bercuti dengan membawa anak masing-masing. Cuti sekolah menjadi masa yang sesuai untuk bapa membawa anak-anak mereka bercuti dan ini menggambarkan ba hawa ikatan kukuh di antara seorang bapa dan anak yang sanggup meluangkan masa mereka untuk menggembirakan anak-anak.

Tidak hairanlah sektor mana sekalipun sama ada swasta mahupun kerajaan yang menggunakan peluang ini untuk membawa anak-anak mereka bercuti sehinggakan masa baik ini digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Hakim Syarie serta Peguam-Peguam Syarie untuk bercuti membawa keluarga masing-masing demi memenuhi tuntutan keluarga atas dasar sifat penyayang tadi. Seorang bapa penyayang akan dapat meluangkan masanya untuk anak-anak dan keluarganya.

Bercerita mengenai tanggungjawab seorang bapa, ia mengingatkan saya kepada anak guam saya, seorang bapa yang tidak berjumpa dengan tiga anaknya setelah bercerai lima tahun lalu. Bekas isterinya membawa ketiga-tiga anaknya ke tempat yang tidak diketahuinya sejak dari tarikh perceraian sehinggalah ke hari ini.

Puas beliau mencari anak-anaknya di merata tempat dengan bertanyakan kawan-kawan serta sanak saudara bekas isterinya, namun beliau menemui kegagalan kerana semua orang yang ditemui tidak mengetahui di manakah anak-anaknya berada.

Walaupun beliau tidak berjumpa dengan anak-anaknya dari tarikh selepas bercerai sehingga ke hari ini, beliau tetap memasukkan ke dalam akaun bekas isterinya RM800 sebulan sebagai bayaran nafkah untuk anak-anaknya tanpa gagal.

Walaupun hanya bergaji RM1,400 sebulan sebagai pemandu, beliau tetap meneruskan pembayaran nafkah bagi anak-anaknya walaupun beliau tidak menemui anak-anaknya.

Pada setiap hujung tahun beliau akan memperuntukkan lebih kurang RM1,000 sebagai perbelanjaan tambahan persediaan persekolahan anak-anaknya.

Saya sungguh terharu dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh beliau kerana tidak ramai bapa yang sanggup berkorban sedemikian di samping bertanggungjawab, prihatin serta sanggup berkorban untuk keperluan keluarga. Perceraian bukan penghalang baginya menunaikan tanggungjawab beliau sebagai bapa untuk menyediakan nafkah kepada anak-anaknya kerana beliau sedar bahawa memberi nafkah kepada anak-anak adalah wajib dan dia sedar dengan memberi nafkah lebih separuh daripada gajinya tidak mengurangkan rezeki Allah kepadanya, beliau merasakan rezekinya tidak pernah putus dengan dia membayar nafkah anak-anaknya.

Ini adalah segelintir kisah bapa bertanggungjawab yang dapat saya paparkan semoga ia menjadi iktibar kepada lelaki bergelar bapa. Namun demikian ada juga segelintir bapa sengaja cuai membayar nafkah anak-anak mereka sehingga dengan kegagalan itu menjejaskan kehidupan seharian serta per-sekolahan anak-anak.

Bapa tidak bertanggungjawab ini tidak menghiraukan keperluan anak mereka serta membiarkan ibu anak terbabit menyara keperluan nafkah anak-anaknya. Lebih malang lagi apabila bapa ini mengabaikan nafkah anak mereka walaupun adanya perintah berkaitan dengan pembayaran nafkah anak. Perkara ini sering juga kita dengar dan ia memberikan suatu persepsi buruk kepada lelaki bergelar bapa.

Sewajarnya perkara ini tidak berlaku, bak pepatah Melayu mengatakan ‘akibat nila setitik habis susu sebelanga’ dan ‘seekor kerbau yang membawa lumpur habis semua terpalit’. Disebabkan segelintir bapa tidak bertanggungjawab ini merosakkan nama baik seorang bapa. Tanggungjawab bapa adalah besar kerana ia amanah Allah. Setiap amanah yang Allah berikan akan disoal di akhirat kelak. Barang siapa memikulnya dengan penuh tanggungjawab akan mendapat balasan syurga dan barang siapa tidak menunaikan tanggungjawab itu akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak.

Kita tidak mahu melihat segelintir bapa tidak bertanggungjawab ini membantutkan perkembangan persekolahan anak-anak disebabkan kegagalan bapa memberikan nafkah sewajarnya kepada anak-anak mereka. Atas dasar bagi mengelakkan kezaliman serta fungsi bapa sendiri sebagai ketua keluarga itulah Islam menetapkan seorang bapa bertanggungjawab untuk menyediakan nafkah kepada anak-anaknya meliputi makan minum, pakaian tempat tinggal perubatan serta keperluan pendidikan anak-anak berkenaan. Ini adalah keperluan asas yang perlu dipenuhi oleh seorang bapa bagi anak-anaknya.

Semua Enakmen Keluarga Islam negeri di Malaysia menetapkan bahawa bapa bertanggungjawab membayar nafkah anak-anaknya dan ia selari kepada hukum syarak. Kegagalan membayar nafkah oleh bapa tadi sekiranya ada perintah daripada Mahkamah Syariah bagi pembayaran nafkah boleh menyebabkan seorang bapa diambil tindakan pelaksanaan perintah termasuk potongan gaji mahupun penyitaan harta dan sebagainya bagi memastikan pelaksanaan perintah terhadap anak-anak tadi dapat dilaksanakan. Selain itu mahkamah boleh mengarahkan pihak yang ingkar membayar nafkah ke penjara sekiranya bapa gagal atau cuai membayar nafkah kepada anak-anaknya.

Rumahtangga markas memancar cahaya

Rumahtangga muslim yang sejati menurut tabiat dan

lojiknya mesti menjadi markas dakwah Islam. Setiap

anggota keluarga yang aqil baligh wajib menjadi

sahibud-dakwah, pendukung dakwah, menyeru rumahtangga

dan keluarga di sekitarnya kepada Allah dengan penuh

kesabaran, dengan hikmah dan nasihat yang baik.

Isteri yang salihah berkemampuan menarik hati

jiran-jiran dengan dakwah kepada Allah. Kehadiran

mereka merubah majlis-majlis yang dikuasai oleh umpat

mengumpat dan sia-sia menjadi majlis-majlis ilmu dan

pelajaran dan ke arah memahami urusan agama.

Bidang dakwah Islamiah sangat memerlukan saudari

muslimat yang menyeru manusia kepada Allah, supaya

memainkan peranannya di kalangan puteri bangsanya.

Sesungguhnya wanita hari ini, kecuali yang telah

mendapat taufik Allah, telah dijadikan boneka oleh

musuh-musuh Islam untuk meruntuhkan dirinya dan

memusnahkan manusia. Tetapi kita hendaklah

menjadikannya sebagai wanita yang salihah yang turut

bersama kita untuk memperbaiki yang rosak dan

membangunkan yang maaruf dan merobohkan yang mungkar

dan menghapuskan yang batil menyokong kemuliaan dan

memerangi kehinaan.

Kita menghendaki rumahtangga muslim itu sebagai rumah

cahaya yang memberi hidayah dan petunjuk kepada

orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. la

menghapuskan, memusnahkan segala kegelapan di

sekelilingnya dan menyinari jalannya untuk di lalui

oleh mereka. Maka dengan bertambahnya rumah-rumah

muslim seperti ini akan sambung menyambunglah

daerah-daerah dan bercahaya dan bercantum di antara

satu sama lain sehingga mampu menyinari masyarakat.

Maka dengan demikian keperibadian Islam berkemampuan

menyinari masyarakat dan memimpin nya di bawah naungan

Islam. Lantaran itu kemuliaan mudah dikembang-biakkan

dan kejahatan mudah dihapuskan. Baharulah mudah

dibentuk dasar dan asas keimanan, yang bersih yang

mantap sebagai asas bangunan Islam dan pemerintahan

Islam dan seterusnya al-khilafah-al- Islamiah alamiah.

 

Untuk itu, saudara saudari putera puteri Islam harus

dan patut bersungguh-sungguh dan bersegera

membangunkan rumahtangga muslim yang misali yang

menjadi model Islam yang sejati untuk menjadi contoh

teladan kepada generasi baharu. Ini adalah satu

langkah yang penting dan asasi di jalan dakwah Islam.

Mohonlah pertolongan dari Allah supaya Allah mudahkan

dan jangan menyusahkan.

Perkahwinan ibarat syarikat yang dipimpin suami

Apabila kehidupan rumahtangga suami isteri dibangunkan

di atas dasar kerjasama, di atas syura’, tolong

menolong, cinta mencintai, di bawah pimpinan suami

sebagai pihak yang bertanggungjawab, yang mempunyai

kata dan kuasa pemutus. Inilah yang mendorong dan

menolong melahirkan kemantapan, keteguhan, kerukunan

dan kebahagiaan rumahtangga dan keluarga yang selama

ini diimpikan dan diidamkan oleh manusia di seluruh

dunia. jika masih terdapat kepincangan di dalam

pertimbangan ini, maka tidak akan wujud satu

kemantapan dan kebahagiaan. Benarlah Allah Taala di

dalam firmanNya:

`Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan

kewajipannya menurut cara yang maaruf akan tetapi para

suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada

isterinya”. (Al-Baqarah : 228)

” Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita,

oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka

(lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan

kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian

dari harta mereka”. (An-Nissa’: 34)

Lantaran itu sempurnalah pentadbiran urusan

rumahtangga dan pertimbangannya di dalam suasana penuh

kerjasama, tanggungjawab dan syura di dalam

batas-batas ajaran Islam.

Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana

semuanya berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati

dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini

bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga

Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi

sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak

ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun

demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap

menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada

tolok bandingnya himgga ke hari ini.

G: Perkahwinan Adalah Tanggungjawab Dan Amanah

Suami isteri mestilah menyedari dan merasai bahawa

mereka memikul amanah dan tanggungjawab. Tiap-tiap

orang dari kamu adalah pemimpin, dan tiap-tiap

pemimpin bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Maka

hendaklah kamu bertakwa kepada Allah di dalam perkara

yang dipertanggungjawabkan dan diamanahkan kepada

kamu. Benarlah Allah yang berfirman:

‘Hai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan

keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah

manusia dan batu” (At Tahrim : 6)

Rasulullah s.a.w bersabda:

¡§ Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah yang

paling baik kepada ahlinya dan akulah yang paling baik

di kalangan kamu terhadap ahlinya”.

Kita sentiasa memerlukan pertimbangan yang waras demi

pemeliharaan itu, sebagai contoh, kita biasa memberi

perhatian yang berlebihan apabila salah seorang dari

anggota keluarga kita jatuh sakit. Tetapi perhatian

yang sewajarnya tidak diberikan terhadap salah seorang

anggota keluarga yang mencuaikan hak Allah ataupun

menyalahi ajaran Islam padahal itulah yang paling

utama diperhatikan dan diubati.

H: Rumahtangga Muslim Merupakan Risalah:

Sebagaimana kita menghendaki bentuk yang benar dan

hidup bagi Islam dari seorang muslim yang benar

aqidahnya, yang benar ibadatnya, yang benar akhlaknya,

yang benar sikap dan yang benar segala tindak tanduk

dan perkataannya, demikian juga kita menghendaki

rumahtangga muslim itu supaya menjadi pusat

perlaksanaan segenap ajaran Islam di dalam hidup

berkeluarga dengan perlaksanaan yang selamat sejahtera

dan teliti.

Kita ingin melihat suami muslim yang memikul

tanggungjawabnya terhadap rumahtangganya menurut

ketentuan Islam. Kita mahu melihat bapa muslim yang

memelihara anak-anaknya dengan adab-adab Islam,

memberi kefahaman Islam yang sejati kepada mereka dan

mengawasi mereka di segala peringkat hidup mereka.

Kita hendak melihat isteri yang muslimah yang

menjadikan rumahtangga sebagai taman sari yang

memuaskan dan menggembirakan suaminya.,

Di dalamnya terdapat hiburan dan keberkatan jauh dari

kepayahan dan penat lelah perjuangan dan menolong

suaminya mentaati Allah Ta’aala. Alangkah indah dan

hebatnya kata-kata yang diucapkan oleh seorang isteri

kepada suaminya tatkala dia keluar dari rumahnya waktu

pagi:

” Bertaqwalah kepada Allah di dalam urusan kami dan

janganlah kekanda memberi kami makanan kecuali yang

halal dan baik-baik sahaja”.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim ini,

ibu muslim yang memelihara anak-anaknya dan membentuk

mereka menurut bentuk Islam kerana dialah yang

sentiasa berdamping dengan mereka. Inilah risalah,

amanah dan tugas para wanita dan isteri yang paling

penting yang selama ini cuba dihapuskan oleh

musuh-musuh kemanusiaan. Mereka cuba menyelewengkan

fakta-fakta ini dari para isteri dengan berbagai-bagai

pembohongan dan penipuan dengan tujuan untuk

merobohkan bangunan masyarakat.

Kita ingin melihat di dalam rumahtangga muslim itu,

putera puteri Islam yang sejati yang memperhambakan

diri mereka kepada. Tuhan. Mereka taat setia kepada

Allah, berbuat baik dan berjasa kepada ibu bapa.

Mereka bergaul dengan sahabat-sahabat mereka menurut

adab-adab Islam dan tidak lahir dari mulut mereka

sepatah perkataan dan sebarang perbuatan yang

bertentangan dengan Islam.

Kita mengingini rumahtangga muslim yang memelihara

hubungan silaturahim, yang sentiasa mengambil berat

urusan kerabat dan menyempurnakan hak-hak mereka. Kita

hendak melihat rumahtangga dan keluarga muslim menjadi

satu bentuk yang ulung di mana Islam telah terpahat

kukuh di dalam diri mereka. Mereka bergaul baik dengan

khadam mereka, di mana khadam mereka makan apa yang

mereka makan dan berpakaian seperti apa yang mereka

pakai dan tidak membebankan sesuatu bebanan di luar

kemampuannya. Apabila mereka membebankan sesuatu di

luar kemampuannya, mereka menolongnya.

Kita ingin melihat dari rumahtangga muslim itu satu

bentuk yang unik sebagaimana yang telah digariskan

oleh Islam tentang berbuat baik di dalam bermuamalah

dengan jiran. Mereka menyempurnakan hak jiran

sebagaimana peranan Rasulullah s.a.w.

Kita menghendaki rumahtangga muslim yang melahirkan

contoh teladan yang baik di segala jurusan hidupnya.

Dengan fesyen pakaiannya yang Islami, makanan yang

halal, minuman yang halal, akhlak yang mulia, sikapnya

yang Islami, gaya yang Islami di segala adat dan

tradisi di waktu suka dan duka Mereka menjauhi segala

unsur-unsur jahiliah, adat-adat dan tradisi jahiliah

yang di import dari luar.

Kita tidak mahu melihat dari golongan sahib-ad-dakwah

yang menyeru manusia kepada Allah, yang berjalan di

atas jalan dakwah melakukan sebarang kecuaian atau

kelalaian di dalam melahirkan serta membina

anggota-anggota keluarganya dengan ajaran Islam di

dalam sebarang jurusan hidup keluarganya. Sesungguhnya

orang yang lemah dalam memimpin rumahtangganya, tidak

akan mampu memimpin orang lain apatah lagi rumahtangga

orang lain.

Asas perkahwinan saling mempercayai

Apabila telah wujud suasana saling percaya

mempercayai, cinta mencintai, di antara suami isteri,

lahirlah kebahagiaan dan kepuasan jiwa di dalam

rumahtangga mereka. Rumahtangga mereka menjadi

rumahtangga muslim yang bahagia dalam kebahagiaan yang

sejati selagi ianya diatur menurut peraturan syariat

Islam. Hapuslah segala prasangka hilanglah segala

keraguan. Tidak ada lagi kata mengata, tuduh menuduh

dan ke pura-puraan.

Kebahagiaan yang sedemikian rupa tidak akan wujud

kecuali di bawah naungan takwa kepada Allah dan

mencintai Allah di waktu terang-terangan dan rahsia di

waktu ghaib dan waktu syahadah. Lantaran itu

tenteramlah jiwa suami dan ia berpuas hati kepada

isterinya dan yakinlah ia bahawa isterinya hanyalah

untuk dirinya sendiri sahaja, yang memelihara diri

walaupun beberapa lamanya ia terpisah dari isterinya.

Demikian juga sikap isterinya terhadap suaminya

dibaluti dengan sepenuh kepercayaan itu. Di dalam

suasana bahagia yang demikian, syaitan dari bangsa jin

dan manusia tidak mempunyai jalan untuk mengganggu dan

menggoda keduanya.

Perkahwinan itu ibadat bukan adat

Risalah dan tugas kita di dalam hidup ini ialah

beribadat kepada Allah Taala. Jadi kita mestilah

berusaha menjadikan segala urusan hidup kita sebagai

ibadat kepada Allah Taala. Kita jadikan segenap

kehidupan hidup sebagai alat untuk kita menghampirkan

diri kepada Allah. Kita pergunakan hidup kita dengan

segala kemudahan yang ada untuk menolong kita

beribadat kepada Allah.

Amal dan nikah kahwin dan mendidik anak-anak dan

lain-lain lagi yang merangkumi segala kegiatan hidup

kita semuanya itu merupakan ibadat kepada Allah, untuk

menghampirkan diri kepada Allah, selagi dibuat kerana

mengharap keredhaan Allah dan menjauhi apa yang

dimurkai Allah.

Oleh itu putera puteri Islam, mestilah memandang

urusan perkahwinan mereka sebagai ibadah mereka kepada

Allah apabila diurus menurut hukum Allah. Kedua-dua

pihak mengharap keredhaan dan ganjaran Allah. Oleh

kerana itu kedua belah pihak mestilah mengetahui

ajaran-ajaran dan adab-adab Islam, hak-hak dan

kewajipan suami-isteri rumahtangga dan keluarga,

bersungguh-sungguh melaksanakan tugas masing-masing

dan beriltizam dengan adab-adab itu. Tolong menolong

ke arah kebaikan, menuju takwa dan ke arah taat kepada

Allah di dalam pergaulan mereka. Harga menghargai,

hormat-menghormati dan kasih sayang di antara keduanya

Semuanya itu mesti di atur menurut syariat Islam.

Benarlah Rasulullah s.a.w tatkala bersabda yang

bermaksud:

” Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki

yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan

membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga

bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke

mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada

wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang

dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia

merenjiskan air ke mukanya.”

(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)