• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.albakriah.nas.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,210,714 orang
  • Kandungan Blog

Sunat Dhuha Murah Rezeki Tolak Papa

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat  Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :      ” Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .” ( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya aku segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :

“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi  wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”

(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :

Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,”

( Riwayat At-Thabarani )

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Faatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan rakaat kedua selepas membaca al-Faatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :

Ertinya : ” Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala “

Doa’ sembahyang Dhuha ialah:

اللَّهُمَّ اِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ وَالبَهَاءَ بَهَائُكَ وَالجَمَالَ جَمَالُكَ وَالقُوَّةَ قُوَّتُكَ وَالقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ وَالعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ اللَّهُمَّ اِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّماَءِ فَاَنْزِلْهُ وَ اِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي الاَرْضِ فَاَخْرِجْهُ وَ اِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ وَ اِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ بِحَقِّ ضَحَاءِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِيْ مَا آتَيْتَ بِهِ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya : ” Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindungan Mu. Ya Allah jika rezekiku masih diatas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, Keagungan, Keindahan, Kekuatan dan Kekuasaan Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba Mu yang saleh .”

Kuliah Maghrib Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Pondok Pasir Tumboh malam esok

YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ahli Parlimen Marang akan mengadakan kuliah maghrib di Masjid Pondok Pasir Tumboh malam esok 30 April 2010. Muslimin muslimat dijemput hadir dalam memeriahkan lagi majlis ini

Selepas itu beliau akan menziarahi Tuan Guru Hj Hashim selaku mudir Pondok Pasir Tumboh yang sedang uzur

Pemangku Raja Kelantan ke Pondok Pasir Tumboh esok

YTM Pemangku Raja Kelantan akan berangkat solat Jumaat di Masjid Mukim Terusan Limbat, Pondok Pasir Tumboh esok 30 April 2010 dan seterusnya menziarahi Tuan Guru Hj Hashim, Mudir Pondok Pasir Tumboh yang sedang uzur.

Selepas itu baginda akan santap bersama rakyat di Dewan Hj Abu Bakar

Mahu Anak Lelaki atau Perempuan?

Artikel ini dihasilkan oleh ainolyaqin

Para ahli bahasa Arab menafsirkan ayat Mafatihul Ghaib yang terkandung alam surah Al-An’am 6 Ayat 59 yang bermaksud, “Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri.”

Terbuktilah dengan hasil kejadian janin dalam rahim ibu yang hamil. Siapakah yang menentukan jantina janin itu, sedang bentuk dan rupa benih adalah sama dan serupa. Mereka merumuskan pengertian “Mafatihul Ghaib” tersebut dengan pengalaman dan penyelidikan sebab terjadinya jantina, lelaki dan perempuan.

Kesimpulannya: “Sel telur yang menghamilkan kerana masuknya ke dalam rahim dengan sperma lelaki bergerak dan berpindah randah. Kekadang letaknya disebelah kanan, kekadang di sebelah kiri. Bila sel telur terletak pada lambung kanan, maka akan lahir bayi lelaki dan sekiranya terletak pada sebelah kiri, rahim akan lahir bayi perempuan.”

Menurut keterangan Dr. Muhammad Abdul Hamid (Mesir), pendapat ini diadakan percubaan oleh doktor-doktor Arab dan Inggeris. Hasilnya adalah 97% dari percubaan itu, hanya 3% yang gagal. Itu disebabkan kerana ketidak mampuan pihak wanita dalam melakukan secara teliti dalam mengetahui masa subur dan bulan kelahiran.

Teori pembentukan jantina anak adalah seperti berikut.

Caranya:

1. Waktunya : Pada masa subur isteri kerana pada masa itu sel kelamin wanita dapat dibuahi sel kelamin lelaki.

2. Caranya : Lakukan persetubuhan dengan sebaik-baik dan sempurna. Setelah selesai, isteri hendaklah tidur miring sampai bangun pagi. Jangan tidur telentang supaya letak air mani jatuh miring.

3. Hasilnya : Bila ingin anak lelaki, miring ke kanan dan jika ingin anak perempuan miring ke kiri.

Teori ini juga merupakan daya usaha dalam mencari sesuatu yang diingini, namun hasilnya di luar batas kemampuan manusia. Semuanya ditentukan Allah s.w.t. Namun kita digalakkan berikhtiar.

Ada teori lain, satu pendapat Dr. M. Zaky Syafi’i Beyk dari Iskandariah (Mesir) yang menyatakan dalam bukunya “Al Azmatus Zaujiyah wa’ilajuha” – “Berilah isteri makan vitamin B semenjak mula hamil hingga 8 bulan setiap hari 3 kali – 2 biji sekali.

Memakan vitamin B akan menambah kesihatan dan kesuburan apalagi bagi ibu yang mengandung. Bila isteri makan vitamin B sebagai penambah zat makanannya yang biasa setiap hari, maka bayi yang akan lahir kelak, insyaAllah lelaki. Teori ini amat praktis dan mudah dilakukan. Ianya bergantung kepada kita. Hasilnya akan dapat dirasai apabila telah mencuba

Hubungan Dengan Allah Mesti Utuh

Berdoa minta pertolongan hendaklah sepanjang masa bukan ketika berdepan musibah

RAMAI yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah SWT. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah SWT. Mereka bergantung kepada manusia dan berharap mendapat manfaat daripadanya sehingga melupakan kuasa Allah SWT yang memberi manfaat dan mudarat. Perbuatan sebegini boleh menyebabkan iman seseorang terjejas. Seolah-olah mereka hilang kepercayaan kepada Allah SWT, padahal Dialah yang menggenggam ubun-ubun setiap makhluk.

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berjumpa dengan cucunda Umar bin Al-Khattab, seorang warak, zuhud lagi alim bernama Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab. Kedua-duanya berada di Baitullah. Khalifah bertanya: “Apakah kamu mempunyai hajat kepadaku, wahai Salim?” Salim menjawab: “Wahai Sulaiman tidakkah engkau malu mengatakan itu padahal engkau berada di Baitullah? Kemudian Salim keluar dan Sulaiman menunggunya di luar Baitullah dan kembali bertanya: “Apakah kamu mempunyai keperluan kepadaku?” Salim bertanya juga: “Keperluan dunia atau akhirat, wahai khalifah?” Sulaiman menjawab: “Keperluan dunia.” Salim berkata: “Adapun tentang keperluan dunia, kepada yang memilikinya pun aku tidak pernah meminta, bagaimana mungkin aku memintanya kepada yang tidak memilikinya?

Kepada Allah SWT yang memiliki dunia dan segala isinya pun beliau tidak meminta kecuali untuk kepentingan akhiratnya saja, apatah lagi kepada manusia yang hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Begitu kuatnya hubungan orang mukmin kepada Allah SWT melebihi hubungan sesama manusia di dunia ini. Keyakinannya kepada Allah SWT terpacak kukuh dan tidak mungkin digoyah oleh kuasa apapun. Orang mukmin berpegang kepada satu keyakinan, iaitu hanya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’am: 17)

Apabila syaitan pernah meminta kepada Allah SWT dan permintaannya dimakbulkan, mengapa ramai manusia tidak yakin dengan doanya kepada Allah SWT seterusnya berhenti berharap, berputus asa daripada rahmat-Nya dan mencabut akar keyakinan daripada hatinya kepada Allah SWT? Sedangkan iblis diberi peluang, inikan pula manusia makhluk pilihan paling mulia.

Sebagaimana yang terakam di dalam surah Al-A’raf: 14-15, maksudnya: “Iblis berkata: Beri tangguh kepadaku sampai waktu mereka (manusia) dibangkitkan”. Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh.”

Sehebat dan sekuat apapun, manusia tetap makhluk yang tidak berupaya melawan takdir-Nya. Dia memerlukan pertolongan Allah SWT, menyandar pada rahmat-Nya, bergantung hidup kepada limpah kurnia-Nya dan mengharapkan belas kasihan ketika menghadapi sebarang musibah.

Namun begitu, ada juga yang bergantung kepada Allah SWT ketika susah saja, jika sudah berakhir kesusahannya dia kembali berpaling. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya, begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus: 12)

Mengapa cepat sekali hati berubah? Sekejap ingat sekejap lupa, iman dan kufur bertukar-tukar seperti baju yang dipakai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kalian mengerjakan amal soleh. Kerana akan terjadi bencana yang menyerupai malam yang gelap, iaitu seseorang yang pada waktu pagi beriman tetapi pada waktu petang dia kafir atau sebaliknya pada waktu petang dia beriman dan pada pagi harinya dia kafir. Dia menukar agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (Hadis riwayat Muslim)

Perubahan iman yang berlaku sebegini pada asasnya disebabkan renggangnya hubungan manusia dengan Allah SWT, lemahnya keyakinan mengenai sifat-Nya dan kejahilan yang disengajakan. Secara sengaja mereka menolak kebenaran al-Quran dan Sunnah, berdolak-dalih mencari alasan untuk meninggalkan agama ke tepi. Pandai berputar belit menafikan ayat-ayat Allah dan semua itu dilakukan kerana mereka lupa siapa diri mereka sebenarnya.

Jika mereka berpijak pada bumi nyata, mereka akan menghayati kelemahan diri. Mereka memerlukan Allah SWT untuk selamat sampai ke tujuan. Jika mereka diliputi kesulitan hanya kepada Yang Maha Kuasa saja tempat bergantung. Apabila tiada lagi kekuatan dalam diri yang boleh menyelamatkan maka mereka menjerit mencari Tuhan Yang Maha Perkasa. Sebagaimana jeritan Qarun dan Firaun, kaum ‘Ad dan Tsamud. Sedangkan Nabi Musa merayu kepada Bani Israil setelah berkali-kali dikecewakan dengan kekufuran mereka:

Walau diri pernah ternoda oleh dosa dan maksiat, tetaplah berharap kepada Allah SWT. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan Allah maka dia akan terputus daripada kesenangan dunia dan di akhirat pula menanti azab yang kekal selama-lamanya. Doa dan harapan kepada Allah adalah senjata yang paling tajam untuk membunuh iblis dan syaitan. Doa seorang hamba melemahkan semangat iblis untuk menyesatkannya dari jalan Allah. Disebabkan tangisan, ketakutan, harapan dan cemas mengiringi doa seorang hamba membuat iblis berputus asa seketika.

Apatah lagi mendengar ketulusan seorang yang menyerahkan segala permintaannya menurut ilmu Allah SWT bukan menurut kehendak diri sendiri. Sebagaimana doa Nabi Nuh AS saat melihat darah dagingnya sendiri tenggelam ditelan banjir besar. Firman Allah yang bermaksud; “Nuh berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui (hakikat)nya dan sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku, dan (tidak) menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku termasuk orang-orang yang merugi.” (Surah Hud ayat: 47)

Bolehkah kita menghadirkan sangka baik kepada Allah SWT dalam keadaan seteruk apapun dan mempersembahkan doa yang paling tulus? Belum terlambat untuk mengetuk pintu langit dengan bahasa yang paling indah dan lembut diiringi dengan harapan dan keyakinan kepada janji Allah SWT. Sesungguhnya tidak akan ditolak doa orang yang berpuasa. Amin ya Allah, ya rabbal ‘alamiin.

Amal jariah perkukuh ekonomi umat

SUATU ketika Abdul Rahman bin Auf menghadap Rasulullah SAW sambil membawa 4,000 dirham untuk disedekahkan. Abdul Rahman berkata: “Aku mempunyai 8,000 dirham, aku simpan 4,000 dirham daripadanya untuk diriku dan keluarga, 4,000 lagi aku pinjamkan untuk Tuhanku”.

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Semoga Allah memberkati kamu pada apa yang kamu simpan dan apa yang kamu berikan.”

Firman Allah bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai; setiap tangkai mengandungi 100 biji dan ingatlah setiap tangkai pula mengandungi 100 biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya lagi meliputi ilmu pengetahuannya.” (surah al Baqarah: 261)

Ayat ini diturunkan dengan memfokuskan kelebihan dan ganjaran infak di jalan Allah. Ia boleh dianggap amal yang bakal menjadi pertimbangan pada hari kebangkitan nanti.

Ada banyak kupasan kebaktian yang boleh dikategorikan ‘pada jalan Allah’ seperti disebutkan dalam ayat berkenaan antaranya menyebarkan ilmu, usaha membasmi kejahilan, kemiskinan dan penyakit.

Tahap tertinggi ialah jihad memartabatkan kalimah Allah (agama Islam). Sesiapa yang berjihad selepas mengenal pasti dalil seperti ditunjukkan Nabi SAW, ia akan mendapat ganjaran besar.

Al-Quran berkali-kali menggalakkan melakukan infak kerana ia wasilah bagi menghimpun kekayaan dan menjamin kesenangan untuk semua. Ia satu-satunya cara untuk memelihara kekuatan dan kemuliaan umat, di samping mengalahkan musuh.

Jika umat bakhil, pasti dicengkam kehinaan dan kemelesetan. Ibn Umar berkata: “Tatkala ayat di atas diturunkan, Rasulullah SAW bersabda: ” Ya Allah, tambahkanlah untuk umatku.”

Susulan itu diturunkan firman Allah bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda banyaknya? (surah al Baqarah: 245)

Infak iaitu mengeluarkan harta pada jalan kebajikan mempunyai kedudukan dan peranan yang penting dalam sistem ekonomi, ia termasuk zakat, sedekah dan perbelanjaan untuk jalan kebajikan.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menerusi misi besarnya ‘Membangun Ummah Melalui Budaya Beramal Jariah’ mempunyai peranan besar membudayakan amalan sedekah jariah ini.

Di negara kita, amalan ini dipraktikkan secara meluas sama ada menerusi saluran diinstitusikan atau saluran tidak rasmi. Ada banyak institusi ibadat, pendidikan dan kebajikan didirikan atas asas amal jariah ini.

Semangat beramal jariah ini jika digerakkan secara bersungguh-sungguh dan melalui penyediaan prasarana beramal jariah secara profesional (seperti di YaPEIM) dan didukung semua lapisan masyarakat berdasarkan tahap keupayaan masing-masing, dapat mewujudkan dana besar serta boleh berperanan lebih berkesan bagi membantu pembangunan sosioekonomi umat dan negara.

Pelaksanaan Program Amal Jariah berdasarkan tafsiran yang luas, memungkinkan kita menyelesaikan sebahagian permasalahan masyarakat di samping mempamerkan keindahan Islam sebenar.

Firman Allah bermaksud: “Kebaktian itu bukan hanya menghalakan mukamu ke timur atau barat, tetapi kebaktian ialah mereka yang beriman kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab suci, nabi dan memberi harta yang disayanginya kepada kaum kerabat, anak yatim, fakir miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, orang meminta bantuan, membebaskan hamba abdi, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan janji apabila mereka berjanji. Merekalah orang yang benar-benar berbakti dan merekalah orang yang benar-benar bertakwa.”

Infak di jalan Allah tanpa mengungkit dan menyakiti si penerima menjadi sebab penerimaan Allah seperti Rasulullah SAW bersetuju dengan Uthman yang meletakkan 1,000 dirham di depan Baginda untuk tujuan membeli kelengkapan perang Tabuk.

Allah memberikan ganjaran infaq di jalan-Nya dengan tiga perkara iaitu jaminan syurga, menghilangkan rasa takut selepas mati dan menghilangkan rasa sedih atau kemurungan atas apa yang berlaku termasuk musibah.

Allah berfirman: “Mereka mendapat pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (surah al-Baqarah: 262)

Cicak berkepala dua ditemui

GAMBAR menunjukkan seekor cicak yang berkepala dua di Henley Brook, Australia.

 


 

PERTH – Seekor cicak berkepala dua ditemui di Coogee, New South Wales, Australia oleh beberapa pekerja taman reptilia, lapor sebuah akhbar semalam.

Reptilia dari spesies yang dikenali sebagai Shingleback itu kini ditempatkan di sebuah taman reptilia di Henley Brook, di sini.

Cicak itu bukan sahaja mempunyai dua kepala tetapi juga mempunyai dua pasang kaki depan di sisi setiap kepalanya.

Pergerakan cicak itu tidak lincah kerana ia mempunyai dua kepala dan kedua-dua mulutnya boleh memakan makanan.

Salah satu kepala itu didapati lebih besar.

Keadaan itu menyebabkan cicak yang mempunyai kepala lebih besar suka menyerang kepala ‘kembarnya’ yang lebih kecil. – Agensi

8 cara makmurkan masjid

Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga setiap kali beliau berkunjung pada waktu pagi dan petang. (riwayat Bukhari)

Para Ahli Jawatankuasa masjid boleh memain peranan lebih mengimarahkan masjid. Untuk tujuan itu, kita perlukan penambahbaikan keseluruhan organisasi masjid. Antaranya:

1. Kepemimpinan masjid perlu diwakili sekurangnya-kurangnya seorang yang berkelayakan dan mempunyai idea-idea bernas yang boleh dipraktikkan oleh semua.

2. Menubuhkan Biro Pengimarahan Masjid untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid.

3. Menubuhkan Jawatankuasa Pemantau dan Penilai aktiviti pengimarahan masjid untuk mengesan kepincangan dan kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan, penambahbaikan dan tindakan pencegahan.

4. Menyediakan prasarana, infrastruktur dan kemudahan di masjid dengan lebih menarik dan mesra-jemaah untuk penggalakkan aktiviti pengimarahan masjid.

5. Aktiviti pengimarahan masjid perlu diperbanyakkan dan lebih berfokus agar berlaku peningkatan jemaah sekali gus memeriahkan masjid.

6. Mempelbagaikan aktiviti pengimarahan masjid untuk menarik minat para remaja, belia dan golongan muda agar mendekati masjid.

7. Menjalin hubungan dan jaringan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun serta NGO untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid sama ada dari sudut pengimarahan ataupun penajaan dan penganjuran bersama.

8. Memberi sokongan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid.

Masjid juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan untuk memantapkan modal insan, pembangunan sosial, menyemarakkan semangat keusahawanan, pengumpulan dana infak dan wakaf untuk membasmi kemiskinan sama ada di peringkat kampung, daerah, wilayah dan negeri.

Masjid dapat merealisasikan agama Islam sebagai agama kesejahteraan dan keharmonian sejagat tanpa mengira darjat, keturunan dan status.

Usaha pengimarahan masjid melibatkan banyak perkara seperti aktiviti kerohanian, keagamaan, pembangunan sahsiah, kecemerlangan akademik komuniti serta pembangunan dan kemajuan agama dan masyarakat Islam setempat.

Masjid juga seharusnya dipergunakan untuk kemajuan sosial, komuniti, masyarakat dan ekonomi ummah. Imej masjid mestilah sentiasa dipelihara secara bersistematik. Inisiatif dan kreativiti diperlukan dalam menjana usaha pengimarahan masjid. Pengurusan dana dan tabung secara profesional, telus, cekap dan berintegriti agar dapat memantapkan kekuatan ekonomi ummah dan mengelakkan pergantungan kepada pihak yang tidak berkaitan.

Masjid perlu secara kolektif bersama-sama masyarakat setempat mengamalkan konsep satu masjid satu produk secara strategic alliance dengan agensi kerajaan. Bantuan agensi-agensi kerajaan lain perlu dilakukan untuk khidmat nasihat, bantuan kewangan dan seumpamanya.

Pihak berkuasa perlu mengadakan kempen besar-besaran seperti ‘Cinta Masjid’, ‘Jom ke Masjid’ dan ‘Sayang Masjid’ untuk menggalakkan kehadiran beramai-ramai ke masjid dengan kerjasama media cetak dan media elektronik.

Sabar hasilkan kejayaan gemilang

Muhasabah diri cari punca kegagalan, kesilapan sebelum merancang azam baru

TAHUN silih berganti, hari-hari yang berlalu memberi pengalaman berharga kepada insan yang mahu belajar daripada kesilapan. Semakin matang dan bermanfaatnya ilmu semakin cerahlah pandangan seseorang dalam memahami jalan hidupnya. Tentulah ilmu dan hidayah Allah saja menunjukkan perbezaan di antara al-Haq dan bathil.

Memahami jalan sulit menembusi cabaran duniawi, mengenal makna hidup dan arah tujuan, apa diperjuangkan dan impian yang dikejar selama ini. Namun, sering muncul persoalan, mengapa kita selalu gagal mencapai azam dengan sempurna?

Alangkah eloknya sebelum merancang azam baru, seseorang itu mencari dan meneliti sebab kegagalannya pada masa lalu, supaya tidak mengulangi lagi kesilapan lama dan tidak kembali jatuh ke dalam lubang sama. Di antara sebab kegagalan seorang mukmin dalam mencapai azam hidupnya ialah:

  • Perasaan aman berada dalam zon selesa
  • Manusia sering berasa megah dengan dirinya, rasa sudah banyak amalnya dan melupakan dosanya. Dia begitu selesa, gembira dan yakin dengan keadaannya sekarang. Padahal ibadatnya tidak sempurna, ilmunya cetek, hatinya keras, akhlaknya bermasalah, hubungannya dengan Tuhan terputus-putus, kesibukannya hanya pada aktiviti keseronokan mengikuti kemahuan hawa nafsu. Tetapi, nikmat duniawi mencurah-curah dalam pelukannya sehingga menenggelamkan ingatan mengenai akhiratnya. Dia berasa sungguh selesa dan lupa kepada dosa-dosanya, kurang sensitif ketika menilai kesilapan diri dan menganggap ibadat yang sedikit boleh menghapuskan dosa besar. Maka itu, dia sembahyang tetapi makan harta riba.

    Dia berpuasa tetapi memfitnah dan menyebarkan kebatilan, dia pergi haji tetapi menderhaka kepada ibu bapanya, dia melakukan sembahyang malam tetapi memenuhi siangnya dengan tidur dan tidak bertanggungjawab dengan tugasnya, dia berdakwah ke merata tempat tetapi tidak peduli dengan keluarganya. Jika dia menuntut ilmu maka ilmunya itu menyebabkannya takbur dan memandang rendah orang lain.

    Jika seseorang berasa sempurna, suci tanpa dosa sebenarnya dia melakukan dosa dengan perasaan sebegitu. Kerana sikap ini menunjukkan kelalaian, ujub dengan dirinya sendiri dan tidak mengaku hakikat bahawa Allah saja yang Maha Sempurna.

    Bahkan ada yang sanggup mengkembarkan pahala dan dosa sekali gus. Tangan kanan memegang tasbih, tangan kiri memegang cawan arak. Adakalanya matanya jinak membaca al-Quran dan suatu ketika liar dalam tontonan cabul. Hari ini menerima duit rasuah esok pula bersedekah, ada masanya pergi umrah tetapi masih juga terpalit dosa berzina. Bagaimana mungkin mereka sanggup menipu Allah, membohongi diri mereka sendiri dan lebih teruknya mereka selesa dengan kehidupan yang sebegini.

    Allah SWT berfirman: “Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar.” (Surah Al-Baqarah ayat: 9) Dan firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu sedang kamu Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat: 42)

    Jika mereka menganggap baik perbuatan dosa kerana selesa dengan amal ibadatnya maka susahlah menaruh harapan untuk berjaya meningkatkan prestasi iman di sisi Tuhan.

  • Disiplin untuk dunia, tidak untuk akhirat
  • Kejayaan manusia bergantung dengan disiplin diterapkan dalam hidupnya. Kita melihat orang yang begitu hebat mencari harta, menaikkan pangkat dan memuja kuasanya sehingga sanggup bergadai nyawa, menyeksa diri, mengharamkan rehat, meletihkan jasadnya, menghiris perasaannya demi dunia. Mereka begitu disiplin untuk dunia tetapi tidak untuk akhirat.

    Allah berfirman yang bermaksud: “Itulah orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan seksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.” (Surah Al-Baqarah ayat: 86)

    Betapa kita melihat manusia yang sanggup menghabiskan sepenuh harinya untuk duit akhirnya mati sebelum dapat menikmati hasil titik peluhnya sendiri. Kita melihat mereka kelelahan dengan beban tugas dan tanggungjawab demi wang ringgit hingga tidak cukup masa untuk mengenal Tuhan. Ada pula yang dikongkong oleh anak dan isteri sampai melupakan soalan apabila maut akan datang sudahkah cukup bekalan?

    Mengapa kita yang percaya kepada akhirat tidak dapat berdisiplin mematuhi Allah sebagaimana mereka berdisiplin menghambakan diri kepada dunia? Jika mereka sangat menjaga masa mengapa pula kita selalu bersungut bosan dan jemu dengan kehidupan ini? Bukankah al-Quran menjadi penawar, al-Sunnah menjadi pencerah wajah, ilmu dan hidayahnya menjadi teman sepanjang masa, kerja-kerja dakwah, amal dan ibadah juga tanggungjawab yang pasti melebihi masa yang kita ada?

    Jika untuk dunia mereka sanggup berdisiplin, mengapa kita tidak mahu berdisiplin untuk akhirat, tempat terakhir dan kekal yang tiada penghabisannya, sedangkan dunia hanya sementara. Bagaimanakah seseorang boleh sampai ke akhirat jika ia menangguhkan perjalanan dan hanya suka bermain-main saja, adakah mungkin dia akan sampai ke tujuan itu?

  • Kurang sabar dalam beramal
  • Untuk dunia, manusia sanggup menitiskan air mata, menumpahkan darah, menghiris kalbunya dan memenjarakan kebebasannya. Akan tetapi berapa ramaikah yang sanggup bersabar dalam mentaati Allah, membela agamaNya, dihina kerana iman dan perjuangannya?

    Daripada Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, beliau berkata: “Aku mendengar ayahku, imam Ahmad bin Hanbal berkata: Moga-moga

    Allah merahmati Abul Haitham! Lalu aku bertanya: Siapakah dia Abul Haitham itu? Ayahku bercerita: Dulu apabila aku diheret untuk disiksa dan aku dibawa keluar untuk disebat, tiba-tiba seseorang menarik tanganku dan berkata: Akulah Abul Haitham Al-Ayyar seorang penipu terkenal. Aku sudah merasai 18,000 sebatan dalam beberapa masa dan aku bersabar mentaati syaitan kerana inginkan dunia. Dan Engkau wahai syeikh hendaklah bersabar mentaati Tuhan kerana agamamu.”

    Sebuah kisah menjadi pegangan dalam memperjuangkan iman, ujian dan dugaan sentiasa datang supaya kita benar-benar cekal dan tangguh, kerana sesungguhnya pemenang adalah mereka yang sabar menghadapi musuh bukannya mereka yang kuat semata-mata. Kesabaran adalah senjata ampuh saat menempuhi ranjau dan Allah tidak menguji hamba-Nya melainkan menurut kemampuannya.

    Mee segera bawa penyakit kronik: CAP

     

    GEORGETOWN – Senang didapati, mudah disediakan pada bila-bila masa dan harga murah antara faktor mi segera menjadi pilihan khususnya pelajar apabila lapar di waktu malam ketika mengulang kaji pelajaran.

    Bagaimanapun, masih ramai yang tidak menyedari makanan segera ini boleh memudaratkan kesihatan dan kajian mendapati ia boleh menyebabkan penggemarnya mendapat pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanser.

    Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris berkata, kajian CAP ke atas 10 sampel mi segera mendapati tiga daripadanya mengandungi natrium melebihi 1,000 miligram sedangkan saranan untuk orang dewasa dan kanak-kanak berusia empat tahun adalah 2,400 miligram sehari.

    “Pengambilan mi segera boleh menyebabkan pengambilan garam yang berlebihan kerana natrium sering ditambah dalam makanan harian kita dan mi segera adalah makanan yang menjalani pelbagai peringkat pemprosesan tanpa sebarang khasiat makanan.

    “Mi segera adalah makanan remeh yang mengandungi karbohidrat, natrium dan pelbagai penambah perisa selain rendah khasiat seperti serat, vitamin dan galian. Perisa sup juga mengandungi ‘Monosodium Glutamate’ (MSG) yang berperanan menjadikan perisanya benar-benar tulen,” katanya pada sidang media semalam.