Tuan Guru Hj Hashim dapat anugerah Dato’ Paduka

KOTA BHARU, 30 Mac:  Mudir Pondok Pasir Tumboh, Tuan Guru Hashim Abu Bakar menerima gelaran Ahli Yang Kehormat Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) dalam senarai darjah kebesaran negeri pada pengurniaan kehormatan negeri Kelantan hari ini.

Beliau dianugerah gelaran oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra pada istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini pagi ini.

Ini merupakan suatu penghormatan atas jasa beliau dalam mengembangkan ilmu Islam kepada masyarakat sehingga ramai anak murid beliau yang kini membuka pondok sendiri disamping berkecimpung dalam bidang yang lain. Beliau kini masih dalam keadaan uzur namun terus menyumbangkan khidmat setakat termampu terutama dalam perubatan Islam

Beliau terus diberi mandat sebagai Mudir atau Penguasa 1 Pondok Pasir Tumboh disamping pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) walau pun dalam keuzuran

Berhati Pada Pintu Zina

Siri Ketujuh / Akhir     

Setelah menerangkan beberapa pintu zina yang mesti ditutup rapat agar kita tidak terkena dengan  percikan api zina yang merbahaya dan boleh membakar kita di dunia apatah lagi di akhirat maka kali ini diterangkan pintu zina ketujuh untuk kita semua berwaspada dengannya. Mulut mudah mengatakan bahawa betapa mudahnya mahu lari daripada zina sedangkan tindakan kita sentiasa terdedah untuk menghampiri mana-mana pintu zina. Takutlah Allah sentiasa agar kita tidak menyesal dan menderita akibat bergelumang dengan dosa. Mencegah jauh lebih baik daripada berubat. 

7. Larangan menunjukkan perhiasan

Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nur yang bermaksud : Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.
 

    Kita lihat bagaimana hebatnya perancangan musuh Islam dalam turut menghancurkan muda mudi yang mengaku beragama Islam tetapi cara hidup dan berpakaian menyimpang jauh daripada ajaran Islam yang sebenar. Semakin ketat pakaian semakin hebat untuk dipakai sehingga bukan sahaja perhiasan yang ditonjolkan malah bentuk badan turut didedah. Diri rasa megah apabila tubuh badan dapat perhatian ramai sehingga lupa batasan agama. Tidak kurang yang bersolek agak melampaui batas apabila keluar dari rumah. Tidak cukup dengan gincu yang berwarna warni ditambah dengan minyak wangi yang semerbak baunya sehingga bukan mata orang ramai sahaja yang tertarik melihat tayangan percuma malah hidung turut tumpang tertarik sama. Mengapa manusia suka mencari cara bagaimana mahu menarik perhatian manusia lain agar terpesona dengan perhiasan diri sehingga lupa akibat buruk di dunia lagi apatah lagi bila di negeri akhirat ketika dihitung di hadapan Allah Rabbul ‘Izzati. Insaflah kita sebelum terlambat selagi pintu taubat masih terbuka luas. 

Selesai…..


Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01

Kenali Pintu Zina dengan ilmu agama

Siri Keenam

Islam telah meletakkan kedudukan wanita di tempat yang mulia. Allah tidak akan menurunkan azab kepada seseorang melainkan setelah turunnya wahyu yang diterangkan oleh para nabi dan rasul tentang isi kandungannya. Setelah jelas tentang iman dan kufur, halal dan haram, hak dan batil maka umat manusia diberikan pilihan yang sepatutnya mereka pilih dengan cermat berdasarkan neraca wahyu bukannya nafsu bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Bagi memahami kehendak wahyu dengan menolak hasutan nafsu maka perlunya di sana ilmu pengetahuan. Oleh itu Islam mewajibkan setiap umatnya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin. Malah Islam bukan sahaja menyuruh dan membenarkan kaum lelaki sahaja untuk menuntut ilmu malah kaum wanita turut digalakkan terutama mereka ini bertanggungjawab dalam masalah mendidik anak-anak. Pengabaian terhadap ilmu menyebabkan wanita boleh menjadi mangsa kezaliman termasuk dalam rumah tangga akibat jahil tentang haknya. Tanpa ilmu juga boleh membuka pintu zina akibat kejahilan tentangan hukum pengharamannya serta tidak tahu hakikat zina yang sebenarnya yang mesti dijauhi. Sehubungan dengan itu maka Islam menitik-beratkan ilmu pengetahuan untuk ditimba oleh umatnya tanpa mengira jantina.

6. Hak pendidikan

Kata Abu Said r.a : Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata : Wahai Rasululllah! Orang-orang lelaki telah dapat pengajaran dengan hadis (sabda) engkau maka dengan demikian itu jadikanlah bagi kami golongan wanita dari engkau suatu hari yang kita dapat datang kepada engkau agar engkau memberikan pengajaran atas kami daripada apa yang telah Allah berikan atas engkau. Maka Rasulullah s.a.w bersabda : Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di tempat ini. ( Riwayat imam Bukhari ) Masyarakat yang menghidupkan ilmu serta berlumba untuk beramal dengannya maka kurang menghadapi masalah keruntuhan akhlak terutama zina. Manakala masyarakat yang hidup dalam kegelapan jahiliah dan tidak beramal dengan segala ilmu yang diperolehi maka banyak masalah sosial yang timbul di dalamnya. Bagi menahan gelora nafsu yang berusaha menghakis keimanan seseorang maka perlu kepada ketaqwaan hasil daripada ilmu yang mampu menjadi benteng yang kukuh dalam diri. Oleh itu hidupkan budaya ilmu agar diri kita tidak hanyut dek ombak nafsu Bersambung…..

 ——————————————————————-

Petikan :

 1. Al-Quran al-Karim

2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01

Hindari Pintu Zina

Siri Kelima  
    Islam merupakan agama langit yang menggariskan ajaran yang menyeluruh dan lengkap. Setiap gerak laku manusia telah diletakkan garis panduan dan adab tertentu agar manusia tidak meraba-raba mencari formula yang terbaik untuk diikuti. Setiap kesalahan dan penyelewengan yang berlaku bukanlah disebabkan kesilapan wahyu sebaliknya akibat daripada kedegilan umat manusia yang lebih suka mengikut hasutan nafsu. Kesempatan kali ini akan dijelaskan serba sedikit mengenai pintu zina yang kelima yang kurang diambil perhatian sewajarnya oleh umat Islam sendiri samada disebabkan kejahilan tentangnya atau sengaja mahu membukanya yang menyebabkan banyak berlakunya kes zina, pelacuran, perkosa dan sebagainya.

5. Adab bermusafir

Tidak halal bagi seseorang perempuan yang beriman kepada Allah dan hari akhirat jika hendak pergi musafir sejauh perjalanan sehari dan semalan melainkan jika bersama seorang mahramnya. ( Riwayat imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dari Sh Abu Hurairah )
 

    Atas beberapa alasan maka adab bermusafir kurang dijaga menyebabkan berlakunya kes yang kurang sihat yang mencemarkan maruah. Perjalanan yang jauh biasanya menghadapi pelbagai risiko dalam perjalanan termasuk gangguan seksual terutama dalam kenderaan awam. Oleh itu dari awal lagi Islam telah menggariskan adabnya yang bertujuan menjaga maslahat dan kepentingan pelbagai pihak. Betapa malangnya adab ini dilanggar sesuka hati atas alasan kebebasan dan kemodenan. Umat Islam mengenepikan adab yang diajar oleh agamanya sendiri menyebabkan mereka mengeluh bila sudah menerima padahnya di mana penyesalan yang tidak bermakna lagi apabila maruah sudah rosak dan tercemar. Siapa yang mahu disalahkan jika diri sendiri yang menempahnya. Kepentingan dalam menjaga adab yang digariskan oleh agama hanya mampu dilihat dan dirasai oleh umat Islam yang benar-benar beriman serta patuh kepada seluruh ajaran Islam bukan sebaliknya. Bagi umat Islam yang memandang ringan tentang dosa pahala serta tidak begitu yakin tentang hari akhirat maka kebanyakan mereka menganggap agama adalah suatu yang mengongkong kebebasan bergerak dan bertindak tanpa merasai bahawa agama itu merupakan suatu peraturan yang bertujuan menjaga kebaikan kita di dunia dan akhirat. Jarang manusia boleh menjadi umat yang baik tanpa sebarang peraturan yang mengawal tindak tanduknya.Oleh itu patuhilah ajaran agama agar kita tidak menjadi umat yang menangis kerana menyesal di dunia dan akhirat.

Bersambung…..


Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01 

Kunci Pintu Zina

Siri Keempat  
    Setelah mengupas beberapa pintu zina yang mesti dikunci agar tidak dimasuki secara mudah samada dalam keadan sedar atau tidak sehingga meluasnya perzinaan suatu perbuatan yang terkutuk maka kali ini dikupaskan satu lagi pintu zina yang mesti dikawal rapi daripada dibuka.

4. Pakaian di luar rumah

Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nur yang bermaksud : Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka melainkan barang apa yang telah tampak daripadanya dan hendaklah mereka itu menghulurkan tudung kepala mereka atas leher dan dada mereka

    Islam merupakan agama fitrah yang begitu bersesuaian dengan manusia tanpa mengira tempat dan masa. Islam merupakan suatu agama yang mudah dan tidak membebankan. Cuma yang menjadi masalahnya ialah sikap umatnya dalam tunduk dan patuh kepada setiap arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya di mana bagi hamba Allah yang taat maka mereka tidak merasa berat untuk mematuhinya manakala umatnya yang degil sentiasa merasakan bahawa Islam itu mengongkong kebebasan mereka.

    Kedegilan dalam mematuhi penutupan aurat atau cara berpakaian yang mengikut lunas Islam bergantung kepada tahap keilmuan tentang takrif aurat yang sebenar kerana ramai di kalangan umat Islam hanya tutup sekadar rambut sedangkan badan terus terbuka. Kedua daripada ilmu berpindah kepada sifat patuh terhadap arahan penutupan aurat berdasarkan kepada tahap keimanan dan kepatuhan terhadap ajaran Islam di mana ada yang  sanggup bermatian mempertahankan aurat, ada yang buat sambil lewa dan ada yang menentangnya.

    Ketiganya kerana umat Islam terkeliru antara tuntutan wahyu dengan hasutan nafsu sehingga mereka sanggup gadai maruah untuk mengejar glamour dan menunjuk-nunjuk kecantikan badan untuk dipertontonkan sebagaimana sikap binatang yang menunjukkan betapa cantik dan segarnya badan mereka untuk menarik pembeli. Apabila manusia hilang rasa malunya maka mereka menjadi haiwan yang suka bertelanjang daripada menutup auratnya. Aurat dan kehormatan dirasakan boleh membeli dunia sehingga mereka sanggup menggadainya sehingga mereka termasuk umat yang rugi di dunia dan akhirat.

    Jika dulu ramai yang tidak cukup bahan untuk membuat pakaian atau wang untuk menutup badan dengan sempurna tetapi kini bahan tersebut dan wang bukan menjadi masalah tetapi yang menjadi masalahnya ialah kurangnya iman menyebabkan semakin seksi pakaian maka semakin tinggi nilainya.  Selagi membuka aurat menjadi budaya dan tidak dianggap suatu jenayah besar serta tiada undang-undang keras dalam membendungnya maka pintu zina ini terus terbuka untuk dimasuki bila-bila masa sahaja tanpa sekatan.Oleh iyu hargailah aurat dan maruah kita agar keburukan kita ditutup oleh Allah di dunia dan akhirat.
 

Bersambung…..


Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01

Magnet cinta Allah

ISLAM adalah agama yang hakiki dan realiti, bukannya agama khayalan atau melawan arus fitrah insan. Oleh yang demikian, Islam tidak menafikan terdapat di sana perkara-perkara yang dikasihi, disukai dan dicintai oleh manusia kerana ia sememangnya merupakan kecenderungan dan fitrah setiap insan.

Maka seorang manusia itu akan mengasihi keluarga, harta dan tempat kediamannya. Namun, tidak sepatutnya terdapat sesuatu di dunia dan akhirat lebih dikasihi daripada kecintaan terhadap Allah dan Rasul. Jika berlaku sedemikian, maka dia adalah orang yang kurang imannya dan wajib dia berusaha untuk menyempurnakan keimanannya. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Orang-orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah. (al- Baqarah: 165)

Dunia hari ini menyaksikan umat Islam tidak lagi menjulang cinta kepada Allah sebagai cinta yang utama, tidak lagi mahu bermujahadah mengejar cinta Khaliqnya. Sebaliknya, sentiasa bersemangat dan memperjuangkan cinta kepada dunia dan hamba-hamba dunia.

Saban waktu sang kekasih berusaha mengenali hati kekasihnya tetapi tidak pernah sesaat sang hamba berusaha mengenali Khaliq dan kekasihnya yang sepatutnya menjadi cinta awal dan akhirnya.

Menyebut cinta kepada Allah atau menyebut nama Allah terasa tawar dan hambar, tetapi menyebut cinta kepada manusia terasa sungguh bahagia dan menyeronokkan. Kenapa tragedi ini boleh berlaku, sedangkan Allah itu bersifat Maha Sempurna, manakala manusia bersifat dengan segala kekurangan.

Mencintai Allah tidak akan pernah ada erti kecewa atau dikhianati. Allah memiliki kemuncak segala kecantikan, keagungan dan kebaikan. Cinta kepada-Nya pasti dibalas dengan pelbagai curahan nikmat dan rahsia yang seni.

Pendek kata, akal yang singkat turut mengatakan, Allah paling layak dicintai kerana Dia memiliki segala ciri-ciri yang diingini oleh seorang kekasih.

Perkara paling pantas untuk menarik seseorang mencintai Allah ialah dengan merenung kemuliaan dan kemurahan Allah yang sentiasa mencurahkan segala nikmat-Nya pada setiap masa dan ketika, pada setiap hembusan nafas dan degupan jantung.

Allah berfirman sebagai mengingatkan hamba-hambaNya dengan nikmat-nikmat ini: Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nahl: 18).

Hanya dengan merenung sejenak, kita akan mendapati bahawa Allah adalah paling layak bagi setiap cinta dan pujian. Dia lebih utama untuk bertakhta di jiwa setiap insan daripada kecintaan kepada kedua ibu bapa, anak-anak dan diri sendiri yang berada di antara dua rongga.

Saban hari, kita memerlukan Allah untuk hidup dan menikmati segala kejadian-Nya; cahaya yang terang, nikmat siang dan malam dan sebagainya. Namun, kenapa masih tidak terkesan di hati kita menyaksikan limpahan nikmat dan ihsan-Nya, kekuasaan-Nya yang menghairankan orang-orang yang melihatnya, keagungan-Nya yang tidak mampu diungkapkan oleh orang-orang yang cuba mengungkapkannya, dan segala sifat keindahan dan kesempurnaan-Nya?

Punca bagi segala permasalahan ini ialah butanya mata hati, ceteknya tauhid dan pengetahuan manusia tentang Allah. Tidak mungkin seseorang itu mengasihi sesuatu jika dia tidak mengenalinya. Cinta hanya akan datang setelah didahului dengan pengenalan.

Pada hari ini, manusia lebih mengenali dunia daripada Pencipta dunia. Oleh kerana itu, hati mereka gersang dari cinta ilahi, cinta yang hakiki. Kejadian Tuhan terlalu dicintai tetapi Pemiliknya yang mutlak dilupai sehingga segala suruhan dan larangan-Nya tidak dipeduli.

Agama Tuhan hendak ditegakkan tetapi Tuhan Pemilik agama itu tidak dipasak di dalam hati. Tauhid tidak dihayati, maka bagaimana tuhan hendak dikenali, apatah lagi dicintai.

Kecintaan kepada Allah adalah suatu kedudukan yang istimewa. Allah mengangkat kedudukan hamba yang mencintai-Nya kepada setinggi-tinggi darjat. Bagi manusia yang mengutamakan kecintaan kepada selain Allah, Allah meletakkannya di kedudukan yang hina; menjadi hamba kepada dunia sepanjang hayatnya.

Tanda cinta kepada Allah

Ramai manusia yang mengaku mencintai Allah tetapi kebanyakan kata-kata mereka tidak melepasi kerongkong-kerongkong mereka. Cinta itu ada tandanya untuk dikenal pasti yang manakah cinta palsu dan yang manakah cinta yang hakiki.

Ketahuilah cinta itu seperti magnet yang akan menarik kekasih kepada kekasihnya. Orang yang mencintai seseorang akan suka bertemu dengan kekasihnya. Orang yang kasihkan Allah tidak merasa berat untuk bermusafir dari tanah airnya untuk tinggal bersama Kekasihnya menikmati nikmat pertemuan denganNya.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.” Sebahagian salaf berkata: “Tidak ada suatu perkara yang lebih disukai Allah pada seseorang hamba selepas hamba tersebut suka untuk bertemu dengan-Nya daripada banyak sujud kepada-Nya, maka dia mendahulukan kesukaannya bertemu Allah dengan memperbanyakkan sujud kepada-Nya.”

Sufyan al Thauri dan Bisyr al Hafi berkata: “Tidak membenci kematian melainkan orang yang ragu dengan tuhannya kerana kekasih itu pada setiap masa dan keadaan tidak membenci untuk bertemu dengan kekasihnya.

Allah SWT berfirman: Maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar. (al-Baqarah: 94)

Seseorang itu tidak suka kepada kematian kadang kala disebabkan kecintaannya kepada dunia, sedih untuk berpisah dari keluarga, harta dan anak-anaknya. Ini menafikan kesempurnaan kasihnya kepada Allah kerana kecintaan yang sempurna akan menenggelamkan seluruh hatinya.

Namun, ada kalanya seseorang itu tidak suka kepada kematian ketika berada pada permulaan makam Mahabbatullah. Dia bukan membenci kematian tetapi tidak mahu saat itu dipercepatkan sebelum dia benar-benar bersedia untuk bertemu dengan Kekasihnya. Maka dia akan berusaha keras bagi menyiapkan segala kelengkapan dan bekalan sebelum menjelangnya saat tersebut. Keadaan ini tidak menunjukkan kekurangan kecintaannya.

Orang yang mencintai Allah sentiasa mengutamakan apa yang disukai Allah daripada kesukaannya zahir dan batin. Maka dia akan sentiasa merindui amal yang akan mendekatkannya kepada Kekasihnya dan menjauhkan diri daripada mengikut nafsunya.

Orang yang mengikut nafsunya adalah orang yang menjadikan nafsu sebagai tawanan dan kekasihnya, sedangkan orang yang mencintai Allah meninggalkan kehendak diri dan nafsunya kerana kehendak Kekasihnya.

Bahkan, apabila kecintaan kepada Allah telah dominan dalam diri seseorang, dia tidak akan lagi merasa seronok dengan selain Kekasihnya. Sebagaimana diceritakan, bahawa setelah Zulaikha beriman dan menikahi Nabi Yusuf a.s, maka dia sering bersendirian dan bersunyi-sunyian beribadat serta tidak begitu tertarik dengan Yusuf a.s sebagaimana sebelumnya.

Apabila Yusuf AS bertanya, maka dia berkata: “Wahai Yusuf! Aku mencintai kamu sebelum aku mengenali-Nya. Tetapi setelah aku mengenali-Nya, tidak ada lagi kecintaan kepada selainNya, dan aku tidak mahu sebarang gantian”. (Ihya’ Ulumiddin, Imam al Ghazali Jilid 5 H: 225)

Kecintaan kepada Allah merupakan sebab Allah mencintainya. Apabila Allah telah mengasihinya, maka Allah akan melindunginya dan membantunya menghadapi musuh-musuhnya. Musuh manusia itu ialah nafsunya sendiri.

Maka Allah tidak akan mengecewakannya dan menyerahkannya kepada nafsu dan syahwatnya. Oleh yang demikian Allah berfirman: Dan Allah lebih mengetahui berkenaan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka). (al-Nisa’: 45)

Orang yang mencintai Allah, lidahnya tidak pernah terlepas dari menyebut nama Kekasih-Nya dan Allah tidak pernah hilang dari hatinya. Tanda cinta kepada Allah, dia suka menyebut-Nya, suka membaca al Quran yang merupakan kalam-Nya, suka kepada Rasulullah SAW dan suka kepada apa yang dinisbahkan kepada-Nya.

Orang yang mencintai Allah kegembiraan dan keseronokannya bermunajat kepada Allah dan membaca Kitab-Nya. Dia melazimi solat tahajjud dan bersungguh-sungguh beribadah pada waktu malam yang sunyi dan tenang. Sesiapa yang merasakan tidur dan berbual-bual lebih lazat daripada bermunajat dengan Allah, bagaimanakah hendak dikatakan kecintaannya itu benar? Orang yang mencintai Allah tidak merasa tenang melainkan dengan Kekasihnya. Firman Allah: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (al Ra’d: 28)

Orang yang mencintai Allah tidak merasa sedih jika kehilangan sesuatu dari dunia ini tetapi amat sedih jika hatinya tidak lagi memiliki cinta kepada Allah. Besar kesalahan baginya jika ada saat-saat yang berlalu tidak diisi dengan zikrullah dan ketaatan kepadaNya, apatah lagi jika melakukan larangan Allah.

Orang yang mencintai Allah juga, merasa nikmat dan tidak berasa berat melakukan ketaatan. Dia tidak merasa ketaatan yang dilakukan semata-mata kerana tunduk dengan perintah-Nya tetapi dilakukan kerana kecintaan terhadap Kekasihnya. Imam al Junaid r.a berkata: “Tanda orang yang cintakan Allah, sentiasa bersemangat dan cergas melakukan amal ibadah dan hatinya tidak pernah lalai dan letih daripada mengingatiNya.”

Dia tidak pernah merasa sakit menghadapi cercaan orang-orang yang mencercanya kerana melaksanakan perintah Allah. Semua yang datang dari Kekasihnya sama ada suka atau duka diterima dengan hati yang gembira dan reda.

Orang yang telah mengenal dan mengecapi cinta Allah tidak akan tertarik dengan cinta yang lain. Itulah magnet cinta Allah. Alangkah ruginya orang yang hatinya tidak ingin mengenal cinta Allah, cinta yang hakiki dan sejati. Wallahua’lam.

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Jangan putus asa daripada rahmat Allah

Dunia hari ini tidaklah keterlaluan jika ia disifatkan sebagai dunia yang liar atau asing. Liar dan asing kerana ia tampak begitu berjaya mengasingkan rasa kasih dan cinta kepada al-Khaliq dari benak hati manusia hingga tidak lagi gemar berjinak-jinak dengan Allah SWT.

Akhirnya, segala bentuk cinta dunia yang bersifat sementara pantas mengambil alih takhta di hati manusia. Sehingga cinta palsu menyumbang kepada segala kejahatan dan kerosakan di muka bumi.

Dalam mengingatkan kita mengenai fenomena ini, Sheikh Abu Madyan r.a ada menyatakan yang bermaksud: “Barang siapa yang sibuk dengan tuntutannya terhadap dunia, nescaya dibalakan dengan kehinaan di dalamnya”. (Lata’if al Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan).

Maka di antara bentuk kehinaan itu ialah dipalingkan hati dari merasakan dirinya mendapat bahagian cinta dari Allah SWT dan menyebabkan hilangnya rasa baik sangka terhadap-Nya.

Namun, sejauh manapun manusia itu memalingkan hatinya dari mengingati Pencipta-Nya, tetap jua Pencipta itu mencurahkan belas rahmat, ihsan dan kasih-Nya yang tidak berbelah bahagi. Walaupun pada setiap saat dan waktu hamba-hamba-Nya berterusan melakukan maksiat dan mengingkari suruhan-Nya.

Hal ini, menunjukkan kehebatan dan kebesaran kasih dan cinta Allah SWT terhadap kita semua.
Walau demikian, sehebat manapun cahaya cinta ilahi di sekeliling kita, ia tidak akan menyinari kehidupan mereka buta mata hatinya. Inilah yang menjadikan jiwa insan kosong dan sunyi walaupun dikelilingi harta kemewahan, anak-pinak dan sahabat handai.

Situasi ini menjadikan dirinya berasa terbeban menunaikan pentaklifan syarak lantaran jiwanya yang kosong dari nikmat bermesra dan bermunajat ke hadrat Allah SWT. Situasi malang ini mungkin turut melanda para agamawan jika sentuhan manhaj atau madrasah cinta ilahi ini tidak mereka temukan dan terapkan dalam perjalanan mereka.

Pelbagai Jelmaan Cinta al-Khaliq

Di antara kunci menemukan sentuhan cinta Ilahi adalah dengan kita bertafakur tentang pelbagai hakikat keluasan cinta-Nya itu. Sesungguhnya seluas mana pun rasa cinta dan kasih yang dipersembahkan oleh makhluk kepada al-Khaliq tidak sedikit pun mampu menyaingi setitis kasih Allah terhadap hamba-Nya.

Yang demikian itu adalah sifat Allah Yang Mulia di mana rahmat dan kasih sayang-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya.

Keharuman kasih Allah SWT kepada manusia turut tersebar wangiannya melalui perutusan Sayyid al-Mursalin Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman, maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan kurniaan-Nya ke atas orang-orang beriman tatkala mengutuskan buat mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. (ali-‘Imran: 164)

Baginda SAW adalah makhluk yang menyebarkan rasa kasih dan kerahmatan ini melalui mutiara kalam, perilaku dan akhlaknya. Maha Suci Allah yang telah mengutus Baginda SAW sebagai penyempurna bagi kemuncak akhlak yang mulia. Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Walaupun Allah SWT berhak menzahirkan kedudukan-Nya sebagai Khaliq dan Rabb dengan apa cara yang dikehendai-Nya, kita akhirnya menerima risalah-Nya melalui sentuhan cinta makhluk pilihan-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Melalui risalah rahmat dan mahabbah (kasih sayang) itu, segala makhluk di muka bumi ini dapat menadah titis-titis rahmat dan kasih Allah SWT mengikut sekadar mana yang diizinkan oleh-Nya. Mereka yang kafir tetap diberi peluang mendengar, meneliti, merenung dan mencari jalan hidayah serta tidak terus diazab berdasarkan kekufurannya.

Kaum munafik tidak diperintahkan agar dibunuh. Bahkan selagi lidahnya menyaksikan “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, maka darah dan hartanya terpelihara di sisi Islam walaupun hakikat kesudahan mereka adalah di tingkat terbawah dari tingkatan neraka.

Demikian juga bagi kaum yang fasiq. Mereka diberi ruang dan peluang mencari jalan hidayah sepanjang kehidupannya dan bertaubat membersihkan diri daripada dosa-dosa lalu, tanpa diturunkan azab secara terus seperti mana yang melanda umat nabi-nabi terdahulu.

Inilah sikap pemurah dan belas ihsan Allah SWT kepada makhluk-Nya, sedangkan Allah SWT tidak sedikitpun berkehendak atau perlu kepada makhluk-Nya seperti firman-Nya dalam hadis qudsi yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku, kalian tidak akan dapat menggunakan sesuatu kemudaratan untuk memudaratkan-Ku dan tidak akan dapat menggunakan sesuatu yang bermanfaat untuk memberikan sesuatu manfaat kepada-Ku”.

Melalui hadis qudsi ini Allah SWT menerangkan bahawa setiap maksiat hamba-Nya itu tidak sedikitpun dapat menggoncang kerajaan dan kekuasaan-Nya atau mengurangkan kehebatan-Nya. Dan setiap ibadat hamba-Nya itu tidak sedikitpun memberi manfaat kepada-Nya.

Bahkan kekallah kerajaan Allah SWT gagah perkasa dan berdiri dengan sendiri-Nya tanpa memerlukan bantuan makhluk-makhluk-Nya.

Maka hakikat sebenar Allah SWT memerintahkan hamba beribadat dan menunaikan perintah-Nya serta meninggalkan larangan-Nya ialah demi kasih sayang dan rahmat-Nya. Ia agar manfaat semua itu kembali kepada para hamba-Nya, juga untuk faedah dan kebaikan mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Peringatan inilah yang zahir dalam firman Allah, Dan sesiapa yang berjihad sesungguhnya dia berjihad untuk dirinya sendiri, sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya daripada (memerlukan) sekelian alam. (al-Ankabut: 6)

Di antara tanda cinta Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya juga, Dia sentiasa membuka pintu keampunan-Nya kepada mereka yang melampaui batas dan menzalimi diri sendiri dengan melakukan dosa dan maksiat.

Malah, Allah SWT melarang para hamba-Nya berputus asa dari rahmat dan kasih sayang-Nya walau sebesar mana pun dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas (melakukan dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah… (al-Zumar: 53)

Allah SWT dengan sifat Pengasih dan Penyayang-Nya membuka seluas-luasnya pintu keampunan buat mereka dengan pelbagai jalan. Di antara jalannya adalah memperbanyakkan amal kebajikan kerana ia adalah penghapus kejahatan.

Selain itu, memperbanyakkan istighfar memohon keampunan kepada-Nya sebagaimana dalam maksud sebuah hadis qudsi: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kalian melakukan kesalahan (dosa) pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan dosa keseluruhannya, maka pohonlah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan kalian”.

Memperbanyakkan istighfar dan taubat juga adalah tanda seorang mukmin yang benar dan sempurna dalam keimanannya. Oleh kerana itulah, sekalipun Baginda SAW terpelihara daripada melakukan dosa dan maksiat, Baginda melazimi istighfar dengan jumlah yang banyak setiap hari.

Menurut Sheikh al Islam Imam al Akbar Dr. Abdul Halim Mahmud r.a, Nabi SAW beristighfar bukan kerana melakukan dosa dan kelalaiannya sebab adalah mustahil bagi kedudukan dan darjat Baginda SAW. Sebaliknya, istighfar Baginda SAW adalah istighfar ibadah sebagai suatu munajat dan berlazat-lazat dalam pengabdiannya kepada Allah SWT.

Inilah suatu sisi daripada gambaran keistimewaan dan kesempurnaan Rasulullah SAW bagi sesiapa yang telah dibukakan oleh Allah SWT pintu untuk mengenali-Nya.

Cinta al-Khaliq terhadap makhluk juga, seperti yang dipetik dari kalam Nubuwwah, lebih hebat daripada kasih seorang ibu yang sentiasa bersungguh-sungguh menjaga, mempertahankan dan menjamin keselamatan bayinya yang masih kecil.

Jika kasih ibu dipuja dan dinobatkan begitu tinggi oleh manusia tanpa mengira agama, maka seharusnya cinta dan kasih Tuhan itu lebih dipuji, dipuja dan didaulatkan. Justeru, wajarlah cinta ilahi itu dibalas dengan rasa pengagungan, taat setia dan menjunjung perintah dengan penuh keikhlasan, keazaman dan keluhuran budi.

Para penghulu salafussoleh yang telah sekian lama meninggalkan kita telah pun mengecapi nikmat ini. Nikmat berlazat-lazatan dalam mencintai Allah SWT dan Allah SWT pula mencintai mereka.

Munajat dan rintihan mereka menjadi perhiasan malam hari dalam usaha mendamba kasih-Nya. Mereka benar-benar telah mendambakan cinta dan kasih al-Khaliq. Cahaya kasih itu pula terpancar dari kalam nasihat dan bicara mereka buat umat.

Bicara, nasihat dan pedoman mereka terbit dari hati yang telah disirami dengan cinta al-Khaliq. Lantas apa yang disampaikan benar-benar membekas di hati para pendengarnya. Lalu diamalkan dan dijadikan sebagai manhaj ikutan dalam kehidupan sehingga ke hari ini.

Demikianlah keistimewaan dan keajaiban bagi hati yang telah disinari cahaya kasih dan cinta Allah SWT.

Maka tiada lagi pilihan bagi golongan beriman selain berusaha mencari jalan memburu kasih dan cinta-Nya. Terdapat pelbagai jalan melalui amal kebajikan dan peribadatan untuk meraih kasih-Nya, sebanyak nafas yang keluar masuk di jasad insan.

Memburu cinta Allah juga bererti memburu cinta para kekasih Allah yang boleh menyampaikan kita kepada Allah. Apabila kita dihimpunkan bersama para kekasih Allah SWT yang benar-benar mendapat pandangan khusus dan inayah-Nya, pada saat itulah segala kalam bicara, tindak-tanduk dan seruan kita menjadi cerminan bagi sunnah Penghulu Segala Rasul, Sayyiduna Muhammad SAW.

Semoga kita semua benar-benar dapat mengecapi nikmat cinta ilahi. Cinta Tuhan Yang Maha Tinggi, yang menyifatkan sifat cinta, kasih dan rahmat pada diri-Nya melalui firman-Nya yang bermaksud: Dialah Tuhan Yang telah menurunkan hujan setelah mereka (manusia) berputus asa dan Dia sentiasa menyebarkan rahmat-Nya serta Dialah Tuhan yang mengurniakan pertolongan dan Tuhan Yang Maha Terpuji. (asy-Syura: 28). Wallahua’lam.

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

Jauhilah Pintu Zina

Siri Ketiga
 
      Setelah menerangkan dua pintu zina yang sentiasa dibuka oleh umat Islam dalam keluaran sebelum ini maka kali ini akan dikupaskan pintu zina ketiga untuk renungan bersama agar kita dapat menghindari daripada mendekatinya.
 
      3. Berjabat tangan atau bersentuhan dengan mereka yang halal kahwin

Siti Aisyah r.a berkata : Tidak! Demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain. Baginda hanya melakukan bai’ah ( janji setia) dengan mereka (perempuan)  dengan percakapan ( Riwayat imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi )

    Ada ulama’ yang mengatakan bahawa : Tersentuh kulit babi boleh disamak sedangkan menyentuh kulit perempuan halal kahwin tidak boleh hilang dosanya dengan samak.
 

    Jika memandang dengan mata pun boleh menaikkan ghairah nafsu apatah lagi dengan bersentuhan dengan mereka yang halal kahwin. Akibat tidak menghirau larangan agama telah menyebabkan berleluasanya masalah zina. Nafsu seumpama api ketika kecil ia sudah boleh membakar dan apabila marak menjulang maka ia akan membinasakan manusia. Jika api ada umpan yang boleh memarakkannya begitulah juga nafsu di mana apabila ada umpan yang terhidang maka ia akan membakarnya.
 

    Sebab itulah antara hikmah batal wudhu’ apabila bersentuh dengan kulit mereka yang halal kahwin tanpa berlapik adalah bagi menyedarkan umat Islam agar menjaga tindakan mereka untuk tidak menyentuh mereka yang halal kahwin kerana ia boleh merangsang nafsu yang seterusnya boleh membuka luas pintu zina.

Bersambung…..


Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01 

Tutuplah Pintu Zina

Siri Kedua     

Seterusnya diterangkan pula mengenai pintu zina kedua yang sentiasa dibuka oleh umat Islam yang menyebabkan masalah ini bukan sahaja tidak berkurang malah semakin bertambah.   

2. Bertemu muka bersendirian tanpa mahram

Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia bertemu bersendirian di suatu tempat dengan seorang wanita yang tiada sertanya mahram daripadanya kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.  ( Riwayat imam Ahmad dari Sh Jabir r.a )

Janganlah seseorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan kecuali jika dengan mahramnya. ( Riwayat imam Ahmad dari Sh Amir bin Rabie’ah r.a )

    Islam mengajar bagaimana jika bertemu dengan tunangan  pun mesti ditemani mahram apatah lagi selain mereka daripada yang halal kahwin. Akibat terbukanya amalan pergaulan bebas tanpa sempadan agama atas alasan kemodenan telah menyebabkan pintu zina ini semakin luas terbuka. Akhirnya ramai gadis yang tertipu dan dijadikan pelacur begitu juga cara ini dilakukan oleh pendakwah Kristian atas alasan mahu peluk Islam untuk bertemu dengan gadis Islam yang terpedaya dan seterusnya dijebakkan ke lembah zina. Jika berhubung melalui telefon dengan mendengar suara atau internet telah pun merangsangkan nafsu apatah lagi bila bertemu muka tanpa ditemani oleh mahram.Mulanya bertemu di tempat terbuka disusuli dengan tempat tertutup yang mendedahkan lagi kepada penzinaan. Oleh itu janganlah terlalu membuka pintu zina atas apa alasan sekali pun. Cinta sebelum kahwin yang tidak dibatasi dengan garisan syarak lebih banyak membawa mudharat daripada manfaat. Cinta sebelum kahwin lebih banyak dikawal oleh nafsu berbanding cinta selepas kahwin yang dihujani rahmat wahyu. Jangan cuba melampaui batas agama yang menyebabkan kesesalan yang tidak berkesudahan. Nafsu seumpama harimau dalam zoo yang nampak jinak tetapi jika dilepas ia akan membaham sesiapa sahaja. Begitulah nafsu apabila dikawal dengan baik maka ia terjaga tetapi jika dilepaskan maka akan membawa kerosakan diri.
 

Bersambung…..


Petikan :1. Al-Quran al-Karim
2. Buletin UPKN, Muharram-Sofar 1424, Bil. 01

Cara Acheh laksana syariah

DIA memakai topi keledar dan menunggang skuter di Banda Aceh, ibu negeri wilayah Aceh, Indonesia dengan mematuhi semua peraturan dan undang-undang.

Namun, Yuli masih ditahan polis syariah. Kesalahannya: memakai jeans ketat dan baju yang agak menjolok mata.

Gadis berusia 20 tahun itu hanya tunduk dan tidak membantah apabila ditegur pegawai lelaki yang menahannya.

“Saya berjanji akan berpakaian lebih sopan,” kata Yuli, menyebabkan dia hanya diberi amaran oleh pegawai berkenaan.

 
 

Dalam masa sejam saja 18 wanita ditahan kerana berpakaian yang pada pandangan mata pasukan Wilayatul Hisbah itu mendedahkan terlalu banyak bahagian tubuh mereka.

 

Hanya tiga lelaki ditahan sepanjang tempoh itu kerana memakai seluar pendek.

“Kita terpaksa menghormati undang-undang syariah yang diluluskan kerajaan tempatan. Undang-undang itu mewajibkan wanita hanya boleh mendedahkan muka dan tapak tangan mereka,” kata Komander Wilayatul Hisbah, Haji Marzuki.

Aceh yang terletak di bahagian paling hujung pulau Sumatera, kira-kira 1,000 kilometer ke barat laut Jakarta, adalah antara wilayah paling konservatif di Indonesia.

Sebahagian besar penduduk Islam di negara yang mempunyai jumlah populasi kira-kira 234 juta orang itu berfahaman sederhana dan moden.

Pada masa sama, Indonesia mengiktiraf lima agama rasmi termasuk Buddha dan Kristian.

Tetapi Aceh mempunyai autonomi khas dan satu daripada cara ia membezakan dirinya dengan wilayah lain di seluruh Indonesia ialah menerusi pelaksanaan undang-undang dan pembentukan pasukan Wilayatul Hisbah yang tugasnya untuk melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Pasukan itu dianggotai 1,500 kakitangan termasuk 60 wanita.

Bagaimanapun, tidak seperti di Arab Saudi, pasukan seumpama itu di Aceh tidak mencetuskan sebarang masalah dengan penduduk.

Anggotanya sentiasa kelihatan riang. Mereka tidak membawa senjata dan sering membebaskan pesalah dengan hanya memberi amaran.

“Matlamat kami bukan untuk menghukum. Kita perlu meyakinkan dan menjelaskan kepada penduduk mengenai peraturan undang-undang Islam,” kata Iskander, ketua pasukan itu di Banda Aceh.

Dengan pangkat selaku ketua yang baru disandangnya kira-kira setahun lalu, dia mempunyai kuasa untuk mengarahkan hukuman rotan terhadap pesalah.

Sebelum ini, beberapa pesalah menjalani hukuman rotan di tempat awam sejak 2005 kerana minum arak, berjudi dan berzina.

Mereka yang bersetuju dengan Wilayatul Hisbah berkata, kewujudan pasukan itu memberi kesan terhadap kehidupan harian masyarakat.

“Mesej kami sudah tersebar dan ketika ini jenayah semakin berkurangan,” kata pegawai kanan pasukan berkenaan, Syariffudin.

Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditangkap di bawah undang-undang syariah adalah hasil maklumat daripada orang ramai termasuk penangkapan sekumpulan lelaki yang berjudi di sebuah kafe awal bulan ini.

Satu lagi kes yang ditangani Wilayatul Hisbah ialah berkenaan khalwat.

Pasangan kekasih muda atau lelaki dan wanita yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan perlu berhati-hati jika mahu bermadu kasih di tepi pantai.

“Anda perlu berwaspada jika mahu berpacaran,” kata pelajar, Fira, yang baru berusia 17 tahun.

“Kami tahu bagaimana mahu mengelak daripada ditangkap. Lagi pun, jika ditangkap, kami hanya akan diberi nasihat dan kemudian dibebaskan,” katanya.

Namun, keadaan mungkin berubah sedikit masa lagi apabila peraturan baru dikuatkuasakan termasuk yang membenarkan hukuman rejam dilaksanakan ke atas mereka yang didapati bersalah berzina dan hukuman sebat terhadap yang melakukan kegiatan seks sejenis.

Undang-undang itu akan ditandatangani kerajaan Aceh sedikit masa lagi.

Ia diluluskan Majlis Perundangan Aceh pada September lalu, tetapi kini dikaji semula dewan perhimpunan baru sebelum ditandatangani gabenor, Irwandi Yusuf.

Beberapa anggota Parlimen di Jakarta menyuarakan rasa tidak senang hati mereka terhadap hukuman itu yang boleh diisytihar tidak sah oleh Mahkamah Agung Indonesia.

Tetapi jika itu berlaku, ia akan membuka semula luka lama mengenai perjuangan rakyat Aceh untuk mendapatkan pemerintahan autonomi. -Agensi