• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,252,908 orang
  • Kandungan Blog

Kasihnya nabi Muhammad s.a.w pada umat

Kedatangan bulan Rabiul Awwal bertambahnya ingatan dan pujian kita kepada Rasulullah s.a.w manusia agong di mana pengutusannya telah berjaya merubah tamadun manusia yang hampir musnah setelah terhentinya penurunan wahyu dengan kewafatan para nabi terdahulu. Pujian yang menggunung dan sebutan yang mengangungkan perjuangan nabi dan dakwah Islam yang suci sentiasa mekar dan berterusan dalam membuktikan kita sebagai umat akhir zaman yang memang mencintainya secara ikhlas dan bersungguh bukannya secara bermusim. Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang hina iaitu golongan yang menjadikan majlis memuji nabi sebagai adat yang bermusim bukannya ibadat yang berterusan. Ingatan dan pujian terhadap nabi bukan ada musimnya yang tertentu seperti manusia kini menyambut Hari Ibu setelah tiada masa untuk bersama ibu yang banyak berjasa kepada mereka di mana setelah berlalunya hari tersebut maka perhatian dan tumpuan kasih sayang kepada seorang insan berjasa bernama ibu mula terabai. Kita sebagai umat akhir zaman yang lahir selepas kewafatan Rasulullah s.a.w mestilah menanam rasa kasih dan menyubur rasa sayang terhadap nabi yang sentiasa menyebut tentang kelebihan umat Islam yang tidak sempat bersamanya ketika hidup. Jika para sahabat dan umat Islam yang sempat hidup dengan nabi ada kelebihan maka umat Islam yang tetap beriman kepada nabi selepas kewafatannya turut mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jika para sahabat dan umat Islam yang sempat berjuang bersama nabi dalam menjulang keagungan Islam di atas muka bumi mempunyai kelebihan maka umat Islam yang terus memperjuangkan Islam walau pun tanpa kehadiran nabi disisinya tetapi disebabkan terlalu yakin kepada Islam dan terlalu cinta kepada nabi maka Allah memberi kelebihan tersendiri kepada golongan ini.Ini dapat kita simpulkan melalui 2 buah hadis yang hampir sama isi kandungannya iaitu yang pertama melalui Abu Umamah telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepadaku. Dan berbahagialah pula bagi sesiapa yang beriman kepadaku sedangkan dia tidak pernah melihat aku, tujuh kali .…Begitu juga dengan sebuah hadis lagi daripada Abu Said al-Khudri telah berkata : Bahawasanya seorang lelaki  berkata kepada Rasulullah s.a.w: Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :  Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepadaku. Dan berbahagialah kemudian berbahagialah kemudian berbahagialah bagi sesiapa yang beriman kepadaku sedangkan dia tidak pernah melihatku.

         Kasihnya nabi terhadap umatnya tidak ternilai harganya, tidak terbayang betapa mendalam lautan kasihnya, tidak terkata betapa tinggi menggunung cinta sucinya.Sanggup meninggalkan tanahair untuk memastikan Islam berdaulat, sanggup menolak tawaran menjadi raja demi memastikan Islam memerintah dunia, sanggup mengenepikan harta dunia demi mencari redha Allah dalam mengajak umatnya lebih mengejar kehidupan akhirat negeri tempat kembalinya seluruh umat manusia. Tindak tanduknya berhati-hati, perjalanan hidupnya di bawah suluhan wahyu sehingga tunduk dan tewasnya segala pujukan nafsu, bercakapnya lemah lembut dan cermat kerana setiap perkataan yang keluar dari mulutnya akan dijadikan ikutan umat, keputusan yang dibuat sentiasa adil mengikut kehendak Rabbul ‘Izzati bukan semata-mata gerak hati sehingga kawan dan lawan kagum menghormati. Renungilah betapa sabarnya nabi dalam menempuh kesusahan semata-mata kerana menunaikan perintah Allah dalam menjulang tinggi panji Islam di atas muka bumi ini. Ingatilah betapa cekalnya nabi dalam berjuang sehingga kedudukan umat Islam yang dulunya dipandang hina bertukar menjadi umat mulia bertakhta merajai dunia.Sedarilah betapa tabahnya nabi dalam memastikan umat Islam yang lemah menderita disiksa musuh bertukar menjadi umat yang gagah digeruni musuh. Setelah meneliti dan mengkaji dengan teliti tentang perjalanan sirah nabi maka di sana banyak pengajaran dan tauladan yang sepatutnya dicontohi dan diikuti oleh seluruh umat Islam dalam mencari kemuliaan hidup di dunia fana dan akhirat yang kekal selamanya.Tiada resepi terbaik dalam mengembalikan kemuliaan umat Islam hari ini melainkan Islam. Tiada ubat mujarrab yang mampu menyembuhkan penyakit perpecahan yang melanda umat Islam melainkan Islam. Tiada pelindung kukuh yang mampu menahan daripada serangan musuh yang sentiasa berusaha memadamkan cahaya Allah melainkan Islam. Rasulullah s.a.w dan para pejuang Islam yang dianugerahkan kemenangan oleh Allah semuanya terdiri daripada umat pilihan yang mengabaikan tawaran kemewahan dunia sehingga dunia tunduk kepada mereka sedangkan umat Islam kini yang diuji dengan pelbagai kekalahan disebabkan mereka mengabaikan akhirat sehingga terpaksa melutut dan menjadi hamba dunia. Rasulullah s.a.w dan umat Islam silam yang dianugerahkan kemenangan apabila takut kepada Allah sehingga berani melawan musuh sedangkan umat Islam kini mengalami kekalahan kerana ramai di kalangan mereka berani melawan Allah sehingga takut pada musuh. Rasulullah s.a.w dan umat Islam silam menjadi umat mulia kerana dekat pergantungan hatinya dengan Allah serta berjuang bersungguh-sungguh barulah bertanya bila lagi akan datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah sedangkan umat Islam hari ini terlalu jauh daripada bergantung hati kepada Allah serta tidak bersungguh dalam berjuang sebaliknya asyik bertanya bila lagi akan datangnya kemenangan Islam.

          Umat Islam adalah umat pilihan dan terbaik di kalangan umat manusia. Umat pilihan mesti ada kriterianya yang tertentu pada dirinya antaranya ialah menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah Tuhan Pencipta alam semesta. Umat pilihan tidak cukup sekadar berkata bahawa mereka telah beriman dengan lidahnya sedangkan mereka tidak beramal pada anggotanya ditambah lagi mengabaikan tugas sebagai perubah atau islah terhadap orang Islam daripada buruk kepada baik dan seterusnya terbaik disamping menunaikan usaha dakwah terhadap bukan Islam sehingga mereka faham tentang Islam samada mereka menerimanya sebagai agama untuk dianuti atau pun mereka tidak memeluknya tetapi sanggup tunduk di bawah naungan keadilannya. Umat pilihan mesti sedar tentang tugas dan tanggungjawabnya yang begitu besar bersesuaian dengan gelaran yang dianugerahkan kepada mereka oleh Allah. Amat malang bagi umat Islam yang hanya tahu mendabik dada memberitahu dunia bahawa mereka umat pilihan sedangkan kewajipan mereka untuk merealisasikan kedudukan mereka sebagai umat pilihan tidak dilaksanakan. Gelaran sebagai umat pilihan bukan dianugerahkan dengan mudah dan percuma tanpa ada di sana usaha dalam memenuhi tuntutan ke arah mencapainya. Jika sebarang gelaran yang diterima oleh manusia pada hari ini dalam pelbagai bidang mesti ada syarat sebelum memperolehinya maka begitulah juga dengan gelaran umat pilihan yang mesti ada syarat sebelum benar-benar diiktiraf oleh Allah sebagai umat pilihan. Oleh itu penuhilah segala syarat, kriteria dan tanggungjawab yang mesti dibuat ke arah memasukkan diri kita sebagai umat pilihan yang hakiki bukan pada mulutnya sahaja yang tahu mendakwa bahawa dia umat pilihan sedangkan pada tindakannya tidak pernah menampakkan bahawa dirinya adalah umat pilihan akibat tindakannya kadang-kadang lebih buruk dan keji daripada mereka yang tidak beriman. Sepatutnya sebagai umat pilihan maka kita menjadi contoh teladan kepada orang lain dalam pelbagai aspek kehidupan bukannya kita menunjukkan pelbagai keburukan sehingga menjadi fitnah kepada kemurniaan Islam. Tanda syukur kerana dilahir dan dihidupkan dalam keadaan Islam mestilah ditonjolkan dengan menjadikannya sebagai cara hidup sehingga kita mampu menjadi model terbaik dalam menarik minat orang lain untuk memilih Islam sebagai agama. Jangan pula diri kita menjadi dinding yang menyebabkan orang bukan Islam tidak nampak tentang keindahan Islam yang sebenar di mana mereka hanya melihat kejahatan dan keburukan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang tidak berpegang dengan ajaran Islam yang menyeluruh yang menyebabkan mereka berpandangan bahawa Islam adalah agama yang negatif. 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: