• Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    albakriah.com

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

     

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib

  • Statistik Pengunjung

    • 1,219,345 orang
  • Kandungan Blog

Rasulullah s.a.w diPuji Ajarannya DiIkuti

Selawat serta salam buat rasul junjungan nabi Muhammad rasul utusan akhir zaman yang diutuskan untuk sekalian alam. Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w seorang nabi lagi rasul yang banyak berjasa kepada seluruh umat manusia tanpa mengira darjat dan harta, bangsa dan budaya, bahasa dan negara. Baginda menjadi idola dan ikutan terbaik buat umat manusia dalam pelbagai aspek kehidupan kerana agama Islam yang dibawa dan disebarkan serasi dengan fitrah kejadian manusia bukan berbentuk memaksa dan tidak pula melampau. Perjalanan hidup baginda yang sarat dengan kisah teladan untuk dicontohi meletakkan baginda di tempat tinggi bukan sebagaimana tokoh dunia biasa sebaliknya sebagai seorang manusia mulia yang tiada tandingannya. Walau pun tidak dapat lari daripada melakukan amalan rutin manusia biasa seperti makan, minum, tidur, membeli belah dan sebagainya tetapi tidak mencacatkan keadaannya sebagai seorang rasul bahkan pergerakan ini dijadikan ikutan umat manusia bagaimana adab dan cara terbaik dalam melakukan perkara rutin tersebut agar selaras dengan kehendak agama. Malah dengan kelakuan Rasulullah s.a.w sendiri yang menunjukkan cara mengamalkan amalan rutin manusia itu menjadikan baginda sebagai wahyu bergerak untuk diikuti dan dicontohi bukan sekadar umat manusia hanya mendengar daripada pengajaran dan membaca dalam al-Quran sahaja bagaimana cara terbaik untuk melakukan perkara rutin kehidupan tadi. Malah tugasannya yang banyak sebagai ketua negara, pendakwah dan pengajar utama tidak pernah dijadikan alasan dalam mernguruskan tugasan sebagai seorang ketua kepada sebuah keluarga bahagia. Sebagaimana dapat disaksikan betapa dekatnya ikatan diri Rasulullah s.a.w dengan Allah sebagai ikatan kehambaan antara seorang hamba yang serba lemah dengan Allah yang Maha Gagah maka ikatan kemanusiaan baginda dengan umat manusia tidak pernah terabai malah kasih sayang dan kecintaan yang ditunjukkan telah menyebabkan Islam lebih luas tersebar dan lebih mudah untuk diterima oleh masyarakat dunia. Berbuat baiklah kamu kepada manusia nescaya kamu mampu menawan hati mereka dengan kasih sayang bukannya dengan paksaan dan tawaran kemewahan.

         Akhlak yang mulia, tindakan yang bijaksana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w menjadikan baginda ikutan yang terbaik untuk diteladani oleh setiap generasi yang inginkan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. Setiap tindakan dan pertuturan  baginda berdasarkan wahyu bukannya mengikut hasutan hawa nafsu telah menanamkan keyakinan penuh kepada umat manusia untuk mengikuti jejak langkahnya. Oleh itu kita sebagai umat nabi Muhammad s.a.w mestilah bersungguh dalam mengikuti segala yang telah diberi tunjuk ajar oleh baginda bukannya setakat membaca sejarah perjalanannya dan bercakap memuji kehebatannya sahaja. Alangkah ruginya umat Islam mempunyai seorang rasul penunjuk segala-galanya sebagai pedoman hidup tetapi kita mengenepikannya apabila masuk bab meniru segala tindakannya yang bijaksana itu atas alasan yang dangkal dan tidak cerdik. Betapa bodohnya umat Islam yang yakin bahawa nabi Muhammad s.a.w adalah rasul mereka tetapi apabila mencari ubat mujarab dalam menangani masalah pentadbiran dunia yang terbaik maka cara yang pernah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w diperkecil dan diperlekehkan. Umat Islam yang degil ini seumpama orang yang mengiktiraf bahawa seseorang itu adalah doktor pakar dalam mengubati penyakit kroniknya tetapi bertindak bodoh melarangnya daripada merawatinya tanpa alasan yang munasabah. Umat Islam yang keras hati ini juga diibaratkan seorang yang tersesat jalan tetapi tidak mempercayai pemandu jalan yang berpengalaman tentang tempat yang menjadi tempat tujunya. Tiada manusia yang lebih arif mengenai hakikat kehidupan dunia yang sementara dan ikatan antara kehidupan dunia ini dengan hari akhirat melainkan para nabi dan rasul termasuk junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu betapa hinanya umat Islam jika enggan menggunakan tunjuk ajar nabi kita dalam bab ini dengan mencari pedoman lain yang kebanyakannya sesat dan menyeleweng daripada garisan agama malah lebih banyak mendatangkan masalah daripada menyelesaikannya. Jangan jadikan diri kita sebagaimana orang buta yang sombong di mana sudahlah tidak nampak jalan yang dituju ditambah lagi dengan kedegilannya tidak mahu pula orang yang ikhlas membantu untuk memimpinnya.

        Sempena menyambut Maulidurrasul 1431H ini maka seluruh umat Islam mestilah muhasabah dan menghitungkan diri masing-masing dengan bertanya tentang sejauh manakah segala tunjuk ajar nabi yang telah dilaksanakan dan banyak mana pula perkara yang disuruh oleh Allah dan rasulNya yang masih belum dilakukan. Jika Rasulullah s.a.w berjaya menggunakan Islam sebagai penyembuh penyakit syirik dan kejahatan jahiliah mengapakah kita gagal menggunakan Islam yang sama untuk menyelesaikan masalah murtad dan gejala sosial yang sering bertambah bukannya menurun. Jika Rasulullah s.a.w berjaya mentarbiah manusia yang dulunya ganas tetapi menjadi jinak dan berakhlak mulia apabila ditiupkan ruh iman dan Islam ke dalam dirinya sehingga wujudnya kecemerlangan pembinaan tamadun keinsanan dalam masyarakat yang dulunya berpecah dan berbalah di mana ia banyak membantu kepada kegemilangan tamadun kebendaan mengapakan kita masih berdegil daripada menggunakan formula yang sama dalam menangani keruntuhan aqidah dan akhlak yang berlaku pada hari ini. Mengapakah Rasulullah s.a.w begitu yakin bahawa Islam mampu membawa kemuliaan dan kebahagiaan walau pun baginda tahu bahawa ia bakal menempah permusuhan dengan mereka yang tidak beriman sedangkan kita terikut-ikut dengan arahan musuh Islam yang sentiasa berusaha agar umat Islam meninggalkan ajaran agama yang menyeluruh atas alasan bahawa dengan cara itu sahaja barulah kemajuan akan diraih. Adakah kita berfahaman bahawa nabi diberikan kemenangan semata-mata baginda seorang nabi yang dekat dengan Allah dan mempunyai mukjizat dalam melawan musuh sedangkan umat Islam hari ini menerima ujian kekalahan kerana kita bukan nabi dan tidak mempunyai mukjizat. Alangkah dangkal dan sesatnya mereka yang berpandangan demikian kerana jika kita lihat kepada kemenangan Islam bukan diraih pada zaman nabi sahaja malah terus mendapat kemenangan dan mengembangkan pengaruh dakwahnya yang suci pada zaman sahabat, tabi’in dan pejuang selepas itu yang benar-benar ikhlas berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini serta ditambah lagi dengan betapa teguhnya ikatan diri mereka dengan Allah. Umat Islam yang dianugerahkan kemenangan oleh Allah tidak banyak bertanya tentang mampukah Islam merajai dunia sebaliknya umat Islam yang ditimpa ujian kekalahan sentiasa sangsi tentang kemampuan Islam untuk memerintah. Umat Islam silam yang memperolehi kejayaan gemilang tidak banyak menyoal tentang cara manakah untuk bersatu sedangkan umat Islam kini yang ditimpa musibah kekalahan hanya tahu menyebut Islam tetapi tidak mahu bersatu menggunakannya sebagai wadah perjuangan. Oleh itu hayunkan tangan dan langkahkan kaki dengan semangat jihad yang berkobar-kobar demi Allah untuk kembali menjadi umat cemerlang dan gemilang dengan menjadikan Islam sebagai pegangan dalam setiap aspek kehidupan. Katakan Ya untuk Islam dan Tidak kepada jahiliah, Katakan Ya untuk iman dan Tidak untuk kekufuran, Katakan Ya untuk Islam dan Tidak kepada sebarang ideologi sesat ciptaan manusia. Hanya Islam sahaja satu-satunya jalan dalam mengejar kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: