Bersolat pupuk disiplin

Bersama Mohd Zawawi Yusoh

JAMINAN Allah s.w.t di dalam ayat surah al-Mukminun yang bermaksud: “Pasti berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”

Nabi Muhammad s.a.w serta sahabat berjaya mengubah lembah hina di Makkah kepada kawasan paling popular daripada sifat jahiliyah hasil daripada roh solat.

Perkataan kejayaan di dalam al-Quran ada tiga. Pertama an-Nasru, iaitu kejayaan di dalam peperangan. Kedua al-Fauz (kemenangan) yang membawa nikmat syurga. Ketiga al-Falah bermakna berjaya di dunia dan akhirat.

Umat Islam diseru sebanyak 15 kali sehari semalam; 10 kali dalam azan dan lima kali dalam iqamah. Itulah suara motivasi yang berkumandang saban waktu sehari semalam.

Kita acap kali bersolat tetapi tetap malas. Kita bersembahyang tetapi masih ponteng kerja, curi tulang, bergaduh dan mengumpat seolah-olah ia tidak dapat ‘dipisahkan’.

Sebenarnya apa sudah jadi dengan solat kita? Kenapa kita masih tidak berjaya? Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.

Sifat solat nabi antara lainnya adalah di awal waktu. Adakah kita menjaga waktu solat? Kata orang ‘time is money’ tetapi yang paling penting sebenarnya bukan saja duit tetapi ‘time is live’.

Bagaimana kita mengisi waktu? Membuang masa bererti kita membunuh keseluruhan kehidupan. Remaja suka melepak, kemudian ada yang dapat peluang belajar tetapi mensia-siakannya.

Belajar di Barat memang tidak salah tetapi sebelum belajar sudah menjadi orang Barat. Dengan baju seluar koyak rabak malah yang kita bimbang iman dan daya juang pun turut koyak sekali.

Siapa yang tidak tahu perkataan janji atau jam Melayu. Asal lewat kita sudah tahu apa yang ramai dikatakan; “Ala biasalah janji Melayu… Jika macam ini bagaimana hendak menjadi insan cemerlang. Nampak gayanya kita hanya jaga masa pada bulan puasa. Itu pun waktu Maghrib kerana tidak sabar hendak berbuka.

Antara sifat solat Nabi Muhammad s.a.w adalah khusyuk. Khusyuk bermakna memberikan fokus sepenuhnya kepada pekerjaan yang dilakukan. Hal ini berkaitan dengan penumpuan tinggi apabila melakukan sesuatu, dan bukannya dibuat sambil lewa.

Kita banyak melakukan kerja tidak betul. Kerja yang betul pula dibuat dengan tidak betul. Apabila tidak dibuat dengan sepenuh perhatian, kerja yang betul menjadi tidak betul.

Manakala jika buat kerja yang tidak betul pun jadi betul. Sesuatu perkara hanya akan berhasil dan terlaksana jika kita memberi penumpuan sepenuhnya terhadapnya. Cuba kita lihat kanta, kalau dipancar ke atas kertas, cahaya matahari boleh menembusi lalu membakarnya.

Ulama dulu sangat fokus dalam pekerjaan yang mereka sehingga lahirlah pakar perubatan seperti Ibnu Sina, pakar astronomi seperti al-Khawarizmi dan ramai lagi cendikiawan yang bekerja dengan betul.

Solat berjemaah juga adalah salah satu sifat solat Nabi Muhammad s.a.w. Maknanya jika hendak cemerlang, kita kena melakukan solat secara berjemaah.

Jangan cemburu dengan kejayaan orang lain. Jika ada sebuah kedai nasi lemak berjaya, jangan cemburu serta dengki. Malah, akibat cemburu yang tahap ‘parah’ mereka sanggup menghantar toyol, ceplos, jenglot atau bomoh Siam.

Solat berjemaah akan memupuk jalinan kerjasama antara kita. Kekuatan itu jelas kerana apabila bersembahyang, kita berdiri bersebelahan jemaah lain yang mana bahu akan bertemu dengan jemaah di kanan dan kiri.

Selepas selesai solat berjemaah, jangan bercakaran sesama sendiri. Perkara terbaik adalah dengan menyokong serta mendoakan kejayaan mereka supaya terus berjaya.

Terbukti orang yang bersolat pasti akan berjaya. Ini kerana ketika bersolat kita berasa diri kita sentiasa diperhatikan serta diawasi. Kita tidak pernah melakukan solat empat rakaat kemudian dipotong menjadi dua walaupun kita bersolat berseorangan di dalam gelap.

Masalahnya, apabila berada di luar solat kita lupa kepada tuntutan di dalam amalan solat. Contohnya di luar solat kita menjual dan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Yang rosak dicampur dengan yang baru malah makanan yang sudah basi juga kita sanggup menjual.

Solat melatih kita membuat kerja ibarat dipantau audit dalaman dan luaran. Teguran mengajar kita supaya jangan mengulangi kesalahan lampau. Jiwa orang cemerlang bukannya tidak membuat kesilapan tetapi orang cemerlang tidak akan mengulangi kesilapan sama

Kewajipan mencintai keluarga Nabi SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

RATA-RATANYA masyarakat Islam keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.

Sebahagian yang lain menganggap ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan diperbahaskan dengan panjang lebar.

Walau apa pun alasannya, perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara sampingan dan hal remeh-temeh.

Sebabnya, mereka sedar dengan sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.

Secara umumnya perintah memulia dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)

Demikian juga diriwayatkan dalam banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa’i, Ahmad dan al-Hakim).

Di dalam hadis yang lain pula Baginda SAW bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini”. (Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma’ al Zawaid)

Daripada dalil-dalil di atas, nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Salafussoleh dan Ahli Bait

Para salafussoleh r.a tidak membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia. Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka sejak kecil lagi.

Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a pernah berkata: “Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saidina Umar ibn al-Khattab r.a pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: “Demi Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab”. (riwayat Ibnu Saad di dalam al-Tobaqat).

Demikian juga perbuatan Saidina Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata: “Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi kami”.

Seorang cucu Rasulullah SAW yang bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: “Aku telah datang menemui Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku: Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala melihatmu berada di depan pintu rumahku”.

Kecintaan Imam Mazhab Terhadap Ahli Bait

Imam-imam mazhab fiqh yang muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.

Mereka hidup bergaul dengan zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda mereka, Rasulullah SAW.

Imam Abu Hanifah r.a adalah di antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW. Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala’ (kesetiaan), melazimi dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan kepadanya.

Imam Malik ibn Anas r.a juga telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.

Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang bermaksud: “Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa aku adalah Rafidhah”.

Di dalam sebuah syairnya yang lain beliau menyatakan: “Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya”.

Diriwayatkan oleh muridnya bernama al-Rabi’ bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya yang bermaksud: “Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku”.

Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.

Kecintaan mereka pada hakikatnya berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:

1. Ahli Sunnah mewajibkan pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.

2. Ahli Sunnah berlepas diri (tiada kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.

3. Ahli Sunnah memuliakan isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah SAW.

4. Ahli Sunnah menyifatkan Ahli Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah, bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana amalan kaum Syiah.

5. Ahli Sunnah tidak mengiktikadkan bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.

6. Ahli Sunnah beriktikad bahawa perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang. Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih afdal daripada mereka.

Demikian juga terdapat banyak kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti r.a.

Beliau telah menulis sebuah risalah bertajuk Ihya’ al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60 buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.