بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Nazar merupakan salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada
Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Melalui nazar seseorang itu
mewajibkan ke atas dirinya sesuatu amalan kebajikan dengan
kerelaan hati serta niat yang tulus ikhlas lagi bersih semata-mata
untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Pada dasarnya, perkara yang dinazarkan ialah perkara-perkara
yang disunatkan oleh syara‘ seperti berpuasa sunat, bersedekah,
menunaikan umrah dan sebagainya. Nazar yang seumpama ini
wajib ditunaikan. Jika ditunaikan, maka orang yang bernazar itu
akan mendapat ganjaran pahala. Manakala jika dia tidak
menunaikannya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.
Tetapi timbul persoalan, bagaimana jika perkara yang dinazarkan
bukan terdiri daripada perkara-perkara yang disunatkan oleh
syara‘? Contohnya bernazar dengan perkara yang sememangnya
diwajibkan oleh syara‘ seperti sembahyang lima waktu, bernazar
dengan perkara yang dimakruhkan seperti berpuasa sepanjang
tahun atau bernazar dengan perkara mubah (harus) seperti makan
dan minum? Maka penjelasan mengenainya akan dikupas oleh
ruangan Irsyad Hukum kali ini.
Perkara Yang Dinazarkan Adalah Rukun Nazar
Selain daripada An-nadzir iaitu orang yang bernazar dan ashshighah
iaitu lafaz (nazar), al-mandzur iaitu perkara yang
dinazarkan juga merupakan antara rukun nazar.
Al-Mandzur iaitu perkara yang dinazarkan terbahagi kepada empat:
i. Perkara yang berupa ketaatan.
ii. Perkara yang berupa dosa atau maksiat.
iii. Perkara yang mubah iaitu perkara yang diharuskan.
iv. Perkara yang makruh.
Perkara yang berupa ketaatan
Bernazar pada perkara yang berupa ketaatan terbahagi kepada dua:
a. Perkara yang wajib dikerjakan menurut syara‘,
umpamanya sembahyang lima waktu, puasa Ramadhan,
mengeluarkan zakat dan sebagainya.
Seseorang yang bernazar pada perkara-perkara tersebut
dihukumkan tidak sah nazarnya itu, kerana perkara tersebut
sememangnya sudah diwajibkan oleh syara‘ ke atas dirinya.
Begitu juga tidak sah bernazar pada meninggalkan perkaraperkara
yang diharamkan oleh syara‘, seperti bernazar
meninggalkan meminum khamr (arak) atau bernazar untuk
tidak mencuri, dan tidak dikenakan kaffarah jika dia tidak
menunaikan nazar tersebut.
b. Perkara-perkara yang disunatkan oleh syara‘
melakukannya, seperti berpuasa sunat, sembahyang sunat,
bersedekah, beri‘tikaf, menziarahi orang sakit, memberi
salam sesama muslim, mendoakan orang bersin dan
sebagainya.
Bernazar pada perkara-perkara sedemikian dihukumkan sah
dan wajib ditunaikan.
Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah
Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
م ن ن َ ذ ر َأ ْ ن يطِي ع اللَّه َفلْيطِعه ، وم ن ن َ ذ ر َأ ْ ن يعصِيه َف َ لا يعصِهِ
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Barangsiapa bernazar untuk melakukan
ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka taatlah
kepadaNya (tunaikanlah nazar itu), dan barangsiapa
bernazar untuk melakukan maksiat kepadaNya, maka
janganlah dia melakukan maksiat itu (janganlah dia
menunaikan nazarnya itu).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Perkara yang berupa dosa atau maksiat
Tidak sah bernazar pada perkara yang berupa maksiat atau dosa,
seperti bernazar meminum khamr (arak), melakukan zina,
membunuh dan apa-apa jua perkara yang dihukumkan haram,
malah haram hukumnya jika dilaksanakannya. Dia juga tidak
dikenakan kaffarah jika dia tidak menunaikannya.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Imran bin Hushain
Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda:
َ لا وفَاءَ لِنذْرٍ فِي معصِيةٍ، و َ لا فِي ما َ لا يملِك اْلعب د.
وفِي رِوايةِ ابنِ حجرٍ َ لا نذْ ر فِى معصِيةِ الّلهِ
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Tidak boleh melaksanakan nazar dalam perkara
maksiat, dan tidak juga dalam perkara yang tidak dimiliki oleh
seorang hamba).”
Dan menurut riwayat Ibnu Hujr: “Tidak boleh bernazar dalam
perkara maksiat kepada Allah.”
(Hadis riwayat Muslim)
Selain dari itu, bernazar pada perkara maksiat akan menyebabkan
berlakunya pelanggaran kepada perintah Allah Subhanahu wa
Ta‘ala, sedangkan maksud atau tujuan nazar adalah untuk
menghampirkan diri kepadaNya bukan untuk menjauhiNya dengan
melakukan perkara-perkara yang dilarang.
Perkara yang diharuskan (mubah)
Mubah ialah perkara yang diharuskan dan jika ditinggalkan tidak
berdosa, seperti makan, minum, duduk, berdiri, tidur dan
sebagainya. Bernazar pada perkara-perkara mubah sama ada
bernazar untuk melakukannya atau tidak melakukannya,
hukumnya tidak sah dan tidak dikenakan kaffarah jika
mengingkarinya, kerana melakukan atau meninggalkan perkara
mubah tidak dikatakan sebagai taqarrub.
Perkara ini disebutkan di dalam hadis Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam:
َ لا نذْ ر إِلاَّ فِي ما ابتغِ ى بِهِ وجه اللَّه تعاَلى
(رواه أبو داود)
Maksudnya: “Tidak sah nazar kecuali bernazar pada perkara
yang dapat memperolehi keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Perkara yang makruh
Tidak sah hukumnya bernazar pada perkara-perkara yang makruh.
Umpamanya bernazar untuk berpuasa sepanjang tahun bagi orang
yang dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan ke atas dirinya
atau boleh menghilangkan hak orang lain seperti hak isterinya
yang tertanggung ke atas dirinya.
Kaffarah Nazar
Kaffarah adalah denda yang wajib dibayar kerana melanggar suatu
ketentuan syara’ (yang mengakibatkan dosa), dengan tujuan untuk
menghapus atau menutup dosa tersebut sehingga tidak ada lagi
pengaruhnya atau kesan dosa itu baik di dunia mahupun di akhirat.
Adapun tujuan kaffarah diwajibkan ke atas seseorang yang
melakukan dosa tertentu adalah sebagai hukuman atau denda
kepadanya kerana melanggar ketetapan syara’ dan menjadi
peringatan untuk tidak akan mengulang kesalahan yang sama pada
masa akan datang, namun tidak semua dosa dapat dihapuskan
dengan kaffarah.
Hukum kaffarah adalah wajib kepada orang yang melakukan
kesalahan tertentu sahaja, antaranya tidak melaksanakan nazar.
Kaffarah nazar itu sama dengan kaffarah sumpah berdasarkan
hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin ‘Amir Radhiallahu ‘anhu,
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
َ كفََّا رةُ النذْرِ َ كفَّارةُ الْيمِينِ
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Kaffarah (denda) nazar sama dengan kaffarah
(denda) sumpah.”
(Hadis riwayat Muslim)
Kaffarah sumpah dan nazar ialah:
(1) Memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan dari
jenis sederhana yang biasa diberikan oleh orang yang
membayar kaffarah itu (jenis makanan) kepada keluarganya.
(2) Atau memberi pakaian sepuluh orang miskin dengan sesuatu
yang dinamakan pakaian, seperti baju, kain sarung, serban
dan sebagainya.
(3) Atau memerdekakan hamba.
Orang yang dikenakan kaffarah, boleh memilih salah satu di antara
tiga perkara yang tersebut.
(4) Jika dia tidak berkemampuan untuk melakukan salah satu
dari tiga jenis perkara yang tersebut, maka wajiblah dia
berpuasa selama tiga hari.
Yang dimaksudkan dengan tidak berkemampuan itu ialah
tidak berdaya untuk mengadakan harta bagi membayar
kaffarah tersebut, seperti orang yang mempunyai harta, tetapi
hanya mencukupi untuk orang yang di bawah
tanggungannya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
َ لا يؤاخِذُكُم اللَّه بِاللَّغوِ فِى َأي منِ ُ كم وَلكِن ي ؤاخِ ُ ذ ُ كم بِ ما عقَّدت م
الأيم ن فَكَفَّرته إِطعام ع شرةِ م سكِ ين مِن َأو سطِ ما تطعِ مو َ ن
َأهلِي ُ كم َأو كِس وت هم َأو تحرِير رَقبةٍ َف من لَّم يجِد فَصِيام َثَلَثةِ َأيامٍ َذلِ ك
َ كفَّرةُ َأي منِ ُ كم إَِذا حَلفتم واحَف ُ ظوْا َأي من ُ كم
( (سورة المائدة : 89
Tafsirnya: “Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang
sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk
bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan
sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguhsungguh.
Maka bayaran dendanya ialah memberi makan
sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana
yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau
memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang
hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan
denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.
Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu
apabila kamu bersumpah. Dan jagalah (peliharalah) sumpah
kamu.”
(Surah Al-Ma’idah: 89)
Maka jelasnya, tidak boleh dan tidak sah bernazar dengan perkaraperkara
yang wajib, haram, mubah dan makruh. Perkara yang
dinazarkan hanya dibolehkan dan sah pada perkara-perkara yang
disunatkan oleh syara‘. Manakala jika orang yang bernazar tidak
menunaikan nazarnya, maka wajib ke atasnya melakukan kaffarah.
Filed under: Kemusykilan Anda | 2 Comments »