Etika pemakaian pelawat

Makluman penting kepada tuan, puan, saudara dan saudari yang ingin melawat pondok samada untuk lawatan sambil belajar, siapkan tesis pengajian, ziarah ibubapa atau anak dan saudara mara yang belajar di pusat pengajian pondok maka hendaklah mematuhi cara pemakaian agar menjaga syariat Islam dan menghormati pusat pengajian Islam

  1. Lelaki

–          Menutup aurat dengan sempurna

–          Tidak memakai pakaian yang melambangkan gambar yang tidak senonoh dan bertentangan dengan Islam

  1. Perempuan

–          Sebaiknya memakai jubah labuh

–          Sekurangnya baju kurung atau sejenisnya

–          Bertudung dengan sempurna bukan setakat skaf sahaja yang masih menampakkan rambut

–          Tidak dibenarkan memakai t-shirt dan seluar yang kebanyakannya menampak bentuk tubuh yang menyebabkan tidak sempurna dalam masalah aurat

Semoga arahan ini dipatuhi demi mentaati perintah agama bagi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat

 

Hukum Tabarruj atau Berhias Berlebihan Bagi Perempuan

 

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari, “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-”Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-”Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

5. Gigi
-’Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)
-”Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-”Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-”Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-”Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).
-”Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).
-”Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-”Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-”Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pengasas 2 Pondok Pasir Tumboh

BIODATA TUAN GURU HJ ABDUL AZIZ BIN HJ ABU BAKAR

Tarikh dan tempat lahir  : Awal Ogos 1923M di Kampung Terusan Limbat, Kota Bharu

Nama Ayahanda : Hj Abu Bakar bin Hj Abdul Latif  bin Abdul Ghani (meninggal sekitar 1966) di mana beliau pernah berguru dengan Tok Seridik, Kuala Nipah sewaktu berada di Mekah

Nama Bonda : Hajah Mariam bt Hj Daud iaitu anak kepada Tuan Guru Hj Daud b Hj Hasan (meninggal lebih kurang tahun 1957) yang merupakan seorang ulama’ di Kampung Machang Limbat yang sempat berguru dengan Hj Said Kg Lama, Besut, Hj Ismail b Hj Mahmud, Kg Atas Banggol, Kota Bharu, Hj Omar Mentuan dan Hj Nik Man Tua, Jalan Che Su, Kota Bharu.

Pendidikan

a.     Belajar asas agama dengan ayahandanya sendiri

b.     1930 bersekolah di Sekolah Melayu Kubang Keranji hingga darjah IV

c.     Pondok Tok Kenali selama 3 tahun tetapi tidak sempat belajar dengan Tok Kenali sendiri disebabkan beliau telah meninggal dunia ketika itu

d.     1940 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Ali Salahuddin b Awang, Pulau Pisang selama 3 tahun setengah

e.     1943 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Abdullah Tahir, Bunut Payong

f.        Beliau turut belajar dengan berulang-alik ke Masjid Muhammadi, Kota Bharu dengan mengayuh basikal untuk berguru dengan Mufti Hj Muhammad Nor b Hj Ibrahim disamping belajar dengan Dato’ Hj Ahmad Maher dirumahnya di Medan Tuan Padang dan juga Kampung Puteh

g.     1950 menyambung pengajian di Mekah selama 3 tahun 8 bulan

Antara Usaha dan Kata-kata Perangsang Daripada Ayahanda

1. Semasa kecil ayahandanya Hj Abu Bakar telah membawa beliau dan abangnya Tuan Guru Hj Mustafa untuk bertemu dengan Tok Kenali. Ayahandanya meminta agar Tok Kenali meludah ke dalam mulut kedua anaknya itu tetapi Tok Kenali tidak berbuat demikian sebaliknya bertindak meludah ke dalam bekas air lalu diberikan kepada abangnya dahulu tetapi dia enggan. Air itu diberikan kepadanya lalu diminumnya kemudian diikuti oleh abangnya

2. Ayahandanya sentiasa mengintip anaknya ini pada waktu malam sepanjang belajar di pondok di mana anaknya dapat mengetahui tentang kedatangan ayahandanya  selepas melihat adanya bekalan seperti beras, kayu api dan makanan lain yang diletakkan di atas tangga pondoknya

3. Semasa berada di Mekah maka ayahandanya sentiasa mengutus surat dan diantara kata perangsangnya ialah sebagaimana berikut :

a.     “ Wahai anakku! Ayahanda tidak akan mengaku bahawa engkau alim sehingga engkau dapat mengajar dalam Masjidil Haram”.

–         Sebelum pulang ke Malaysia pada tahun 1953, beliau sempat mengajar di Masjidil Haram sebagaimana yang dikehendaki oleh ayahnya

b.     “ Ayahanda mahukan anakanda belajar sekejap tetapi dapat menandingi ilmu orang-orang lama walau pun terpaksa menghabiskan wang”

– Beliau menunai permintaan ini dengan belajar lebih masa serta sanggup memberi saguhati kepada 4 orang guru sebanyak RM 25.00 setiap orang sebulan

Membuka pondok

  • Setelah pulang ke tanahair pada pertengahan tahun 1953 maka beliau bersama abangnya mulai mengajar di atas balaisah kepunyaan ayahandanya.
  • 1954 dengan usaha mereka bersama bapa sepupunya Hj Yazid b Hj Yaakub b Hj Ghani , Penggawa dan orang-orang kampung maka sebuah madrasah untuk tempat berjemaah dan belajar berjaya dibina. Ia dinamakan al-Madrasah ad-Diniah al-Bakriah sempena nama ayahanda tercinta

Lantikan dan Kurniaan

  • 1950-an beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sehinggalah beliau meninggal dunia
  • 1978 KDYMM Sultan Yahya Petra telah mengurniakan Pingat Bakti (P.B) kepadanya

Sakit dan Meninggal Dunia

  • Abangnya Tuan Guru Hj Mustafa telah meninggal dunia pada 19 April 1984
  • Beliau sendiri terpaksa berhenti daripada mengajar mulai tahun 1985 kerana sakit angin ahmar
  • Beliau menghembus nafas yang terakhir pada petang Rabu jam 7.10 malam Khamis 17 Jun 1987M bersamaan 20 Syawal 1407H

Pengasas 1 Pondok Pasir Tumboh

Tuan Guru Hj Mustafa b Hj Abu Bakar
Tempat lahir : Kampung Terusan Limbat, Kota Bharu

Nama Ayahanda : Hj Abu Bakar bin Hj Abdul Latif bin Abdul Ghani (meninggal sekitar 1966) di mana beliau pernah berguru dengan Tok Seridik, Kuala Nipah sewaktu berada di Mekah

Nama Bonda : Hajah Mariam bt Hj Daud iaitu anak kepada Tuan Guru Hj Daud b Hj Hasan (meninggal lebih kurang tahun 1957) yang merupakan seorang ulama’ di Kampung Machang Limbat yang sempat berguru dengan Hj Said Kg Lama, Besut, Hj Ismail b Hj Mahmud, Kg Atas Banggol, Kota Bharu, Hj Omar Mentuan dan Hj Nik Man Tua, Jalan Che Su, Kota Bharu.

Pendidikan

a. Belajar asas agama dengan ayahandanya sendiri
b. 1930 bersekolah di Sekolah Melayu Kubang Keranji
c. Pondok Tok Kenali selama 3 tahun tetapi tidak sempat belajar dengan Tok Kenali sendiri disebabkan beliau telah meninggal dunia ketika itu
d. 1940 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Ali Salahuddin b Awang, Pulau Pisang selama 3 tahun setengah
e. 1943 berpindah ke Pondok Tuan Guru Hj Abdullah Tahir, Bunut Payong
g. 1950 menyambung pengajian di Mekah selama 3 tahun 8 bulan iaitu sehingga tahun 1953

Antara Guru-gurunya

Tuan Guru Hj Ahmad b Hj Muhammad Yusof ( Tok Bangkok )
Tuan Guru Hj Muhammad Jebing ( Anak saudara Tok Kenali )
Tuan Guru Hj Ismail Perol
Tuan Guru Hj Salahuddin b Awang
Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong
Tuan Guru Hj Yaakub Kelong
Tuan Guru Hj Syihabuddin al-Mandili
Mufti Hj Mohd Nor b Ibrahim ( Mufti Kelantan )
Syeikh Daud b Sulaiman al-Kelantani
Syeikh Abdul Kadir al-Mandili
Syeikh Sayyid Amin al-Kutubi
Syeikh Yasin al-Fadani
Syed Alawi
Syeikh Ismail Kubang kali (Rantau Panjang)

Membuka pondok

Setelah pulang ke tanahair pada pertengahan tahun 1953 maka beliau bersama adiknya mulai mengajar di atas balaisah kepunyaan ayahandanya.
1954 dengan usaha mereka bersama bapa sepupunya Hj Yazid b Hj Yaakub b Hj Ghani , Penggawa dan orang-orang kampung maka sebuah madrasah untuk tempat berjemaah dan belajar berjaya dibina. Ia dinamakan al-Madrasah ad-Diniah al-Bakriah sempena nama ayahanda tercinta

Khidmat dan Hobi

a. Aktif dalam politik kepartian dan pernah dibacarakan di Terengganu atas tuduhan mengajar tanpa tauliah oleh musuh politiknya di mana kes ini tidak selesai sehingga beliau menghembus nafas yang terakhir

b. Suka mengumpul 40 jenis barangan besi yang berpangkalkan huruf ‘Pa’ seperti paku, Pahat. Dan lain-lain

c. Membuat tasbih sendiri menggunakan kayu-kayu daripada pokok yang tidak mempunyai teras seperti betik, ubi dan sebagainya

Sakit dan Meninggal Dunia

Tuan Guru Hj Mustafa telah meninggal dunia pada 19 April 1984

Antara Murid-muridnya

Tuan guru Hj Abdul Latif b Abdul Rahman(Mudir Pondok Pengkalan Hulu, Keroh, Perak)
Hj Jaafar b Hj Muhammad, Madrasah Merbau Patah, Kuala Terengganu
Tuan guru Hj Muhammad b Hj Ilyas, Pondok Bukit Keledang, Triang, Pahang
Tuan guru Hj Husin b Ibrahim, Pondok Amir, Besut, Terengganu
Tuan guru Hj Abdul Rahman b Awang Kecik, Permatang Jeram, Kubang Pasu, Kedah
Tuan guru Hj Ahmad b Hj Amin, Pondok Sungai Baru, Alor Star, Kedah
Tuan guru Hj Muhamed b Mat Diah ( Pengasas Pondok Beta Hilir, Kelantan)
Tuan guru Hj Ghazali b Hj Abdullah ( Pengasas Pondok Tunjung, Kelantan )
Tuan guru Hj Awang b Yusuf ( Mudir Pondok Gelang Mas, Kelantan)
YB Ustaz Hj Daud b Yusuf (Bekas ADUN Pasir Tumboh dan Timb Pemegang Amanah 2 Pusat Pembangunan Pondok Berhad)
Prof Abdul Hayyi b Abdul Syakur , Pensyarah UM
Ustaz Hj Zawawi b Hj Abdullah ( Mudir Taman Islam, Kemaman, Terengganu)
Ustaz Mokhtar Senik ( Pondok an-Nur, Kuantan, Pahang )
YB Ustaz Taib Azamuddin ( Ahli Parlimen Baling dan bekas imam besar Masjid Negara)
Tuan Guru Hj Abdul Aziz b Hj Hitam, Tanjung Bedil, Alor Star, Kedah
Ustaz Ismail b Taib, Pondok Tembak, Kuala Ketil, Kedah
Pakda Eil, Mudir Pondok Kerasak, Thailand