• Kem Cuti Sekolah 2014

    Pondok Tunjong, Kota Bharu

    ( 100 orang Muslimin/muslimat Umur 11 – 24 Tahun )
    SESI 1 : 1-10 Disember 2014
    SESI 2 : 15 - 24 Disember 2014

    Pengisian
    • Pengajian kitab pilihan
    • Tazkirah dan ceramah motivasi
    • Kursus jenazah lengkap
    • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
    • Hafalan surah-surah pilihan
    • Tadarrus al-Quran
    • Latihan amali fardhu ‘Ain

    Yuran RM 250 (penginapan/makan minum/bahan kursus)

    Cara Daftar

    Tempah melalui sms

    Taip nama umursesi dan hantar kepada

    Us Nasharudin 0199859887

  • Pengenalan

    Blog ini dikendalikan oleh pihak pengurusan pondok sebagai alternatif kepada portal rasmi madrasah
    www.al-bakriah.com.my

  • Sumbangan Derma

    Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk zakat dan sedekah bagi tujuan kebajikan guru, pelajar dan pembangunan

    Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun tersebut

    1. Tabung Madrasah Diniah Bakriah
    BIMB 03018010098410

    2. Tabung Kebajikan & Pelajaran Pondok Pasir Tumboh
    Maybank 553131002678

  • Facebook/epondok

  • Bakriah Facebook



  • Tazkirah Audio




  • Kandungan Blog

  • Arkib

  • twitter/albakriah

  • Statistik Pengunjung

    • 628,620 orang
  • Tetamu Online

Peranan besar Tok Kenali dalam perkembangan Islam

TOK KENALI atau Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada tahun 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “balik buka pondok!”

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah seperti berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang masin (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau).

Beliau juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.

Beliau meninggal dunia dalam usia 65 tahun pada 19 November, 1933.

Tenaga penting majalah Pengasuh

Beliau adalah tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahl iMajlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.

Beliau membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. Di sinilah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama, yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di samping mengajar, Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.

Gandingan ulama dan umara

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali juga turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.

Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar) Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara pentadbiran.

Beliau pernah bertanyakan Tok Kenali berhubung cara untuk memajukan bandar Kota Bharu. Tok Kenali mencadangkan agar membina banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.

Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali.

Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.

Mengajar di Masjid Muhammadi

Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi.

Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar).

Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia). Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.

Syeikh Abdul Qadir al-Mandili Guru di Masjidil Haram

Bukan sedikit tokoh-tokoh ulama yang berketurunan Mandailing berhijrah ke Tanah Melayu. Antara tokoh terawal yang datang ke Tanah Melayu ialah Syeikh Junid Thala. Tokoh besar ini lahir pada tahun 1314 Hijriyyah bersamaan dengan 1897 Masehi. Beliau merupakan pendiri Madrasah ad-Diniyah di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak. Madrasah ini pernah menjadi pusat gerakan menentang penjajah satu masa dahulu.

 Tokoh selanjutnya ialah Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Mutollib Al-Indonesi Al-Mandili. Beliau pernah menimba ilmu di Kedah dan kemudiannya menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram. Walaupun menjadi guru di Masjidil Haram, hubungan beliau dengan alim-ulama dan para penuntut ilmu di Alam Melayu sangat akrab. Beliau sangat mengambil berat tentang perkembangan semasa samada dari segi agama mahupun politik di Alam Melayu.

Nama penuh ulama ini ialah Abdul Qadir bin Abdul Mutollib bin Hassan. Beliau dilahirkan pada tahun 1910 Masehi di Sigalangang, Tapanuli Selatan sebuah wilayah yang terletak di bahagian Sumatera Utara dalam Pulau Sumatera. Latar belakang keluarganya adalah dalam bidang asas tani. Syeikh Abdul Qadir mendapat pendidikan awal di Sekolah Belanda pada tahun 1917 dan lulus Darjah Lima pada tahun 1923. Setahun selepas itu beliau berhijrah ke Kedah untuk mendalami ilmu agama.

Di peringkat awal, beliau menimba ilmu kepada Tuan Guru Haji Bakar Tobiar di Pondok Penyarum, Pendang. Selepas itu beliau berpindah ke Pondok Air Hitam untuk menimba ilmu kepada tokoh ulama di situ iaitu Tuan Guru Haji Idris dan Lebai Dukun. Pada tahun 1926, Syeikh Abdul Qadir memasuki Madrasah Darul Saadah Al-Islamiyah (Pondok Titi Gajah ) yang pada waktu itu dipimpin oleh Syeikh Wan Ibrahim Abdul Qadir yang lebih terkenal dengan panggilan Pak Chu Him) oleh masyarakat setempat. Beliau menadah kitab kepada Pak Chu Him selama 10 tahun. Beliau sangat tekun belajar dan amat ringan tulang. Pada musim cuti, beliau akan bekerja mengambil upah memukul padi kerana pondok itu terletak di dalam kawasan padi. Diriwayatkan bahawa telah menjadi amalan beliau untuk menghafaz sambil memukul padi. Tidak hairanlah beliau menjadi anak murid kesayangan Pak Chu Him Selanjutnya beliau menjadi guru pondok membantu Pak Chu Him mengajar di situ tetapi dalam tempoh yang tidak lama. Ini adalah kerana beliau mengambil keputusan untuk berangkat ke Makkah untuk menimba ilmu kepada kakanda Pak Chu Him iaitu Syeikh Wan Ismail Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Pak Da ‘Ail. Pak Da ‘Ail pada ketika itu merupakan tokoh ulama besar di Makkah. Pada tahun 1936, beliau bertolak ke Makkah dan setibanya di sana, beliau bukan sahaja berguru dengan Pak Da ‘Ail tetapi juga tokoh-tokoh ulama lain seperti Syeikh Al-Maliki, Syeikh Hassan Al-Masyat, Syeikh Muhammad Al-Arabi, Syeikh Sayyid Al-Alawi, Syeikh Muhammad Ahyad, Syeikh Hasan Yamani, Syeikh Muhammad Nur Saif, Syeikh Umar Hamdan Mahrusi, Syeikh Yasin Isa Al-Fadani dan Syeikh Abdullah Lahji. Dengan mendampingi ulama-ulama besar ini, beliau telah mendalami ilmu khususnya dalam bidang Tauhid, Tasawwuf, Fiqh dan Hadith. Ketika berada di Makkah beliau tambah tekun belajar. Diriwayatkan masanya banyak dihabiskan di Masjidil Haram dengan mengaji, menghafaz, mengerjakan tawaf dan minum air zam-zam Saking alimnya beliau yang menguasai pelbagai bidang ilmu maka beliau kemudiannya diterima menjadi guru di Masjidil Haram. Bukan calang-calang orang menjadi guru agama di Masjidil Haram kerana Masjidil Haram menjadi tempat perhimpunan alim-ulama untuk menimba ilmu. Syeikh Abdul Qadir telah mendapat pengiktirafan tokoh-tokoh ulama di Makkah sehingga beliau diberi izin untuk mengajar di kota suci itu. Disebabkan itulah beliau telah digelar oleh seorang tokoh ulama Kedah iaitu Tuan Guru Haji Husein Che Dol[1] sebagai “al-Alim al-Fadhil wa al-Abdi al-Kamil As-Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Mutollib Al-Mandili al-Indonesi” yang menggambarkan tingginya tahap keilmuan beliau. Halaqah pengajiannya sentiasa mendapat tempat di hati para penuntut ilmu khususnya penuntut yang datang dari Alam Melayu. Halaqah beliau dikatakan sentiasa penuh, tidak pernah kurang dari 200 orang pelajar. Beliau mengajar pelbagai bidang ilmu termasuklah ilmu Nahu, Sorof, Hadith, Musthalah Hadith, Tafsir, Fiqh Syafi`i dan sebagainya.

Ketika menjadi guru di Masjidil Haram, Syeikh Abdul Qadir pernah ditawarkan dengan pelbagai jawatan termasuk sebagai guru agama di Cape Town, Afrika Selatan. Presiden Sukarno dikatakan pernah menawarkan kepada beliau jawatan Mufti Indonesia manakala Al-Malik Saud, Raja Arab Saudi menawarkan jawatan sebagai Qadhi Al-Qudat dengan gaji yang besar tetapi beliau menolaknya kerana ingin menumpukan perhatian kepada pengajarannya di Masjidil Haram. Ini bersesuaianlah dengan gelaran yang beliau sendiri pakai iaitu “Khuwaidam Talabah al-Ilmu as-Syarif bil Harami al-Makki (Khadam kecil bagi penuntut ilmu di Masjidil Haram)”.

Syeikh Abdul Qadir tidak ketinggalan menghasilkan karya dimana ada di antara kitab-kitab yang ditulisnya itu masih lagi digunakan sebagai teks pengajian di pondok dan di masjid. Tulisan beliau meliputi pelbagai bidang seperti usuluddin, tasawwuf, fiqh, politik, pendidikan dan perundangan. Diriwayatkan sewaktu berada di Makkah, beliau telah menghasilkan 24 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab. Antara hasil penulisannya ialah seperti seperti

Risalah Pokok Qadyani – Risalah ini mendedahkan kesesatan dan bahaya ajaran Mirza Ghulam Ahmad Qadyani.

Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar Al-Asy’ari – Kitab ini ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

al-Mazhab atau Tiada Haram Bermazhab – Kitab ini juga ditulis pada tahun 1958 mengkritik pemikiran Kaum Muda.

Pendirian Agama Islam – Kitab ini ditulis pada tahun 1956 dan membicarakan tentang masalah ideologi ciptaan manusia seperti kapitalisme, sosialisme dan komunisme serta percanggahannya dengan aqidah dan pemikiran Islam.

Senjata Tok Haji dan Tok Lebai – Kitab ini ditulis pada tahun 1949

Pembantu Bagi Sekalian Orang Islam Dengan Harus Membaca Quran dan Sampai Pahalanya Kepada Sekalian Yang Mati – Kitab ini ditulis pada tahun 1950

Tuhfat Al-Qari Al-Muslim Al-Mukhtarah Mimma Ittifaqa Alaih Al-Bukhari wa Muslim – Kitab ini ditulis pada tahun 1952

Bekal Orang Yang Menunaikan Haji – Kitab ini ditulis pada tahun 1953

Penawar bagi Hati – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh penerbit Hidayah Publishers

Perisai bagi Sekalian Mukallaf – Kitab ini ada diterbitkan dalam versi Rumi oleh Hidayah Publishers dan Jahabersa.

Buku-buku yang ditulisnya dalam bidang politik dan perundangan antaranya ialah seperti Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia (1961), Siasah dan Loteri dan Alim Ulama (1962) dan Islam: Agama dan Kedaulatan (1959).

Syeikh Abdul Qadir sangat gigih mengajar tidak kira walaupun dalam keadaan sakit. Tidak langsung tampak kesakitan yang dideritainya sebaik sahaja beliau mula mengajar. Apabila ditanya oleh anak muridnya apakah beliau sudah sembuh, beliau menjawab, “kalau menangis pun bukan nak lega”. Begitulah hebatnya tokoh ulama yang berasal dari Alam Melayu ini yang sangat gigih berdakwah dan menabur ilmu kepada umat Islam tanpa mengira penat dan lelah. Pada tahun 1385 Hijriyyah (1965 Masehi), Syeikh Abdul Qadir bin Tholib menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah mengalami penyakit uzur di kakinya. Jenazahnya telah dimakamkan di perkuburan Ma`la Makkah Mukarramah

Syeikh Habib Umar Ulama Masyhur Yaman dan Antarabangsa

Latar Belakang

al-Allamah al-Habib Umar al-HafizAl-Allamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan anak Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya

habib2

Dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M.Mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry.

Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain. Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau.

Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-
1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka
2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak
3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.
Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.
Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Habib Zain bin Ibrahim bin Sumaith Pengetua Rubath al-Jufri Madinah Munawwarah

BIODATA AL-ALLAMAH AL-HABIB

Al-Alaamah al-Muhaqqiq al-Faqih al-’Abid

az-Zahid al-Murabbi ad-Da`ie ila Allah as-Sayyid al-Habib Zain bin Ibrahim bin

Zain bin Muhammad bin Zain bin ‘Abdur Rahman bin Ahmad bin ‘Abdur Rahman bin

‘Ali bin Saalim bin `Abdillah bin Muhammad Sumaith bin ‘Ali bin ‘Abdur Rahman

bin Ahmad bin ‘Alawi bin Ahmad bin ‘Abdur Rahman bin ‘Alawi (‘ammul Faqih).

Beliau

dilahirkan pada tahun 1357H di Jakarta, Indonesia. Beliau telah diberi didikan

awal agamanya oleh ayahandanya sendiri dan juga dengan para ulama dan pemuka

habaib di Jawa. Sedari kecil beliau telah dibawa oleh ayahandanya untuk hadir
ke halaqah ilmu, rohah dan mawlid yang dianjurkan oleh Habib ‘Alwi bin Muhammad

al-Haddad di Bogor yang merupakan naqib para saadah di Tanah Jawa. Habib ‘Alwi

ini adalah seorang ulama dan waliyUllah yang terkemuka pada masanya. Beliau

wafat pada tahun 1373H dan dimakamkan di Empang, Bogor di mana hingga saat ini

makamnya diziarahi dan terkenal sebagai Keramat Empang Bogor. Beliau inilah

antara guru awal Habib Zain. Selain itu, Habib Zain juga sering dibawa

ayahandanya untuk meneguk ilmu dan hikmah di majlis seorang lagi ulama dan

waliyUllah iaitu Habib ‘Ali bin ‘Abdur Rahman al-Habsyi (Habib ‘Ali Kwitang).

Dalam

tahun 1371H, ketikanya usianya lebih kurang 14 tahun, Habib Zain telah dibawa

oleh ayahandanya ke Tarim al-Ghanna. Di sana beliau meneruskan pengajiannya di

Rubath Tarim dan berguru dengan ramai ulama terkemuka yang telah memberinya

sanad dan ijazah mereka seperti Habib Muhammad bin Saalim BinHafidz (lihat

gambar sebelah, beliau adalah ayahanda Habib ‘Umar), Habib ‘Umar bin ‘Alawi

al-Kaaf, Habib ‘Alawi bin ‘Abdullah Bin Syihaabuddin, Habib Ja’far bin Ahmad

al-’Aydrus, Habib Ibrahim bin ‘Umar bin ‘Aqil, Habib Abu Bakar ‘Aththas bin

‘Abdullah al-Habsyi, Habib Salim bin ‘Alawi Khird, Habib ‘Abdur Rahman bin

Haamid as-Sariy, ‘Allaamah Syaikh Mahfuz bin Saalim al-Zubaidi, Syaikh Saalim

bin Sa`id Bukair BaGhitsaan al-Mufti, Syaikh Fadhl bin Muhammad BaFadhl, Habib

Muhammad bin Hadi as-Saqqaf, Habib Ahmad bin Musa al-Habsyi, ‘Allaamah

al-Muhaddits Sayyid ‘Alawi bin ‘Abbas al-Maliki al-Makki, Habib ‘Umar bin Ahmad

BinSumaith, Habib Ahmad Masyhur bin Taha al-Haddad, Habib ‘Abdul Qaadir bin

Ahmad as-Saqqaf dan Habib Muhammad bin Ahmad asy-Syaathiri. Asuhan dan didikan

selama 8 tahun di Kota Tarim dengan ulama-ulamanya itu menjadikan Habib Zain

seorang ulama dan faqih yang melaut ilmunya di samping hafalannya akan segala

mutun para ulama antaranya matan az-Zubad dan al-Irsyad

bagi Ibnu al-Muqri` sehingga bab al-jinayah.

Setelah kira-kira 8 tahun menuntut di Tarim, Habib Zain telah disuruh oleh guru

beliau Habib Muhammad bin Saalim BinHafiz untuk pindah ke al-Baidha` untuk

mengajar dan berdakwah di samping meneruskan pengajian dengan para ulama di

sana antaranya kepada mufti al-Baidha`, Habib Muhammad bin ‘Abdullah al-Haddar.

Kedatangannya ke al-Baidha` disambut dengan penuh kegembiraan oleh Habib

Muhammad bin ‘Abdullah al-Haddar. Habib Zain telah ditugaskan oleh Habib

Muhammad al-Haddar untuk mengajar dan membantu beliau dalam berdakwah. Kagum

dengan beliau, akhirnya Habib Muhammad al-Haddar telah menikahkan beliau dengan

puterinya. Habib Zain terus menetap di al-Baidha` dan meneruskan pengabdiannya

terhadap ilmu dan dakwah di mana beliau menjadi tempat rujuk dan mufti.

Ketinggian ilmunya diakui oleh para ulama sehingga Habib Muhammad al-Haddar

menyatakan bahawa apabila sesuatu permasalahan itu telah dijawab oleh Habib

Zain, maka tidaklah perlu untuk membuat rujukan lain.

Setelah kira-kira 21 tahun menetap di al-Baidha`, maka pada bulan Ramadhan

1406, Habib Zain telah berhijrah ke kota nenda beliau al-Mustafa s.a.w.,

Madinah al-Munawwarah, untuk menjadi pengasuh Rubath Habib ‘Abdur Rahman bin

Hasan al-Jufri. Beliau berganding dengan Habib Saalim asy-Syaathiri untuk

mengasuh Rubath al-Jufri tersebut. Setelah Habib Saalim pulang ke Tarim untuk

mengasuh Rubath Tarim, maka tanggungjawab di Rubath al-Jufri dipikul sepenuhnya

oleh Habib Zain sehingga kini. Selain melahirkan ramai murid yang menjadi ulama

dan da`ie, beliau juga telah menghasilkan beberapa karya yang berbobot,

antaranya “al-Manhaj as-Sawi syarhu Ushul Thoriiqah as-Saadah Ali

Baa ‘Alawi” dan “al-Ajwibah al-Ghaliyyah fi ‘Aqidah

al-Firqah an-Naajiyyah“. Kitabnya “al-Manhaj as-Sawi

sekitar 700 halaman menerangkan dengan terperinci mengenai 5 usul yang menjadi

asas bagi jalan para saadah Bani ‘Alawi (Thoriqah Bani ‘Alawi) iaitu (1) ilmu;

(2) amal; (3) wara`;(4) khauf dan (5) ikhlas. Selain kitab-kitab tersebut,

sejumlah fatwa-fatwa beliau juga telah dikumpul dan dibukukan oleh sebahagian

murid-murid beliau.

Moga-moga Allah memelihara dan melanjutkan usia Habib Zain bin Ibrahim

BinSumaith. Semoga kita dan sekalian umat dapat mengambil manfaat dengan

keberadaan beliau atas muka bumi ini. Allahumma aamiin.

Tok Kenali Ulama’ Tersohor

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

 

DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.

Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.

Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

 

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

 

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur  alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek,  Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid  Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai  pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana  kegigihannya yang sedemikian, maka tidak  peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid  berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai,  Hj. Abdullah Kok  Lanas,  Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman  Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor  Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj.  Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang,  Hj. Yahya joned Gurun,  Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj.  Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj.  Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan  15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang  tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya

Kiyai Haji Ahmad Jamhuri‏

RIWAYAT RINGKAS HIDUP KIYAI HAJI AHMAD JAMHURI JAHARIS NURUDDIN AL-BANJARI

 

 

- Dilahirkan pada tahun 1940 di Kota Banjarmasin.(Indonesia)

- Pernah mengaji di Pondok Pesantren Darussalam Martapura.

- Mendirikan rumahtangga pada tahun 1960.

- Tahun 1963 pergi menunaikan ibadah  Haji  dan terus bermustautin di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah sehingga sekarang.

- Antara lain guru-guru yang terkenal yang sempat Kiyai belajar Di Masjidil Haram:-

(1)              Syeikh Hassan Masysyath

(2)              Syeikh Muhammad Al-‘Arabiy

(3)              Syeikh Sayyid ‘Alawi Al-Maliki

(4)              Syeikh Sayyid Amin Kutbi

(5)              Mulai mengaji dengan Sayyid Ismail Zen Al-Yamani  sejak tahun 1970 (1391 H)

- Antara lain penulisan yang dihasilkan oleh Kiyai Haji Jamhuri :-

(1)              Siapakah Yang Mewarisi Syurga Dan Yang Memasuki Api Neraka  (من يرث الجنة و من يدخل النار )

(2)            Hukum Ketawa Dan Senyum  (فتح الملك العلام بأحكام الضحك والابتسام )

(3)            Kasidah Seharum Wangi Pujian Atas Nabi Sebaik Makhluk Ilahi   (نفحات عنبرية في مدح خير البرية)

(4)            Kewajipan Muslim Terhadap Al-Quran Karim (اداب المسلم مع القران الكريم )

(5)            تأملات في الأرض المقدسة مع دليل الحج و العمرة

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 15,850 other followers